Antara UMNO, PAS dan Yahudi…Kemudahan dan Keperluan Kita…


Susulan daripada kenyataan Tun Guru Haji Hadi beberapa hari lalu, membuatkan antara kita sudah patut mula berfikir lebih kritis dan baca sebanyak mungkin sebelum menilai sesuatu perkara. Tuan Guru Haji Hadi disebut sebagai berkata:

“Yahudi ada dua. Satu Yahudi satu lagi Zionis. Satu bangsa dan satu lagi kefahaman.

“Walaupun boleh berniaga dengan Yahudi, tetapi Pas tetap menentang sekeras-kerasnya (aktiviti) berniaga dengan Zionis,”

Oleh itu, isu dagangan dengan Yahudi yang selama ini bermain dalam masyarakat kita perlulah dinilai sebaiknya.

Pasti ramai yang masih ingat kempen boikot barangan yang dipercayai milik Yahudi/Israel. Kebanyakan dalam senarai itu yang diguna pakai seharian, malah tika dan saat ini, saya percaya ada produk buatan Yahudi/Israel didalam kemudahan yang anda gunakan ketika ini untuk membaca artikel ini.

Saya melihat ada beberapa kekusutan yang perlu dirungkaikan oleh PAS terutamanya dalam isu Yahudi ini. UMNO? Buat tika dan masa ini, apa jua UMNO buat, pasti salah di mata ramai orang, terutama mereka yang telah mempunyai persepsi negatif terhadap UMNO dan Barisan Nasional.

Manakan tidak, tika dua individu daripada kepimpinan PAS mengeluarkan hujah dan nas menunjukkan adalah salah berurusan dengan Yahudi, Presidennya kata boleh, kerana berniaga dengan bangsa, bukan kefahaman Zionis.

Ingin juga saya bertanya… bagaimana rupanya berniaga dengan kefahaman? Apakah berniaga melibatkan “perniagaan” akidah Yahudi?

Untuk satu ketika, kita difahamkan SALAH berniaga dengan Yahudi, terutama sekali ketika dua kapal yang berlabuh di Malaysia tempohari. Pelbagai dalil yang diberi, pelbagai hujah yang diberi dan kelihatan, UMNO hipokrit dan salah berurusan dengan Yahudi. Isu APCO kembali dimainkan, bagi menyokong sentimen UMNO berniaga dengan Yahudi dan menunjukkan mereka hipokrit dan tidak Islamik. Kerana itulah, saya sebutkan tadi, saya fikir tidaklah perlu UMNO membuat apa-apa kenyataan kerana apa jua kenyataan mereka, salah dan tidak benar semata-mata.

Saya amat mengharapkan kita adil dalam menilai sesuatu perkara.

Apa yang saya fahami, kita TIDAK mengiktiraf Israel, tetapi, kita tidak menghalang hubungan dagang dengan Yahudi. Mungkin, ada diantara pembaca boleh beritahu saya, bagaimana Rasulullah berurusan dengan Yahudi dahulu, dan bagaimana keadaannya.

Soalan dijalanan: Kerjasama dengan Yahudi yang bagaimana dibolehkan atau tidak? Apa yang kita boleh pelajari daripada sirah?

One thought on “Antara UMNO, PAS dan Yahudi…Kemudahan dan Keperluan Kita…

  1. Yahudi Dan Islam

    Yahudi sebenarnya bukan seperti agama lain. Yahudi itu agama dan keturunan. Itulah Yahudi yang asal. Seperti mana yang saya tegaskan bahawa Islam adalah agama yang menghormati semua keturunan manusia.

    Islam tidak menghukum seseorang disebabkan keturunannya. Tidak mungkin Allah menghukum ciptaan-Nya, yang bukan pilihan makhluk yang dicipta itu. Keturunan bukan pilihan seseorang.

    Juga, Islam juga tidak memaksa orang menganut Islam dan memerangi serta menghukum hanya kerana perbezaan agama. Demikian seseorang Yahudi tidak boleh dihukum hanya kerana dia berketurunan Yahudi atau beragama Yahudi.

    Permusuhan berlaku antara masyarakat Yahudi dan Nabi SAW dalam sejarah disebabkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam, bukan keturunan mereka.

    Maka, permusuhan umat Islam dan Yahudi pada hari ini juga sepatutnya atas isu kekejaman mereka di Palestin. Sesiapa dalam kalangan Yahudi yang tidak terlibat, maka dia tidak dimusuhi.

    Dalam sejarah Nabi SAW; baginda mempunyai isteri yang merupakan seorang Yahudi iaitu Safiyyah binti Huyai. Sahabat Nabi SAW yang dianggap ilmuwan ‘Abdullah bin Salam, juga seorang Yahudi.

    Baginda Nabi SAW dalam urusan muamalat pernah menggadai barang kepada Yahudi. Baginda juga menziarahi Yahudi yang sakit. Ini menunjukkan kita boleh berbuat baik kepada Yahudi atas dasar persahabatan yang tidak mengkhianati Islam atau atas asas dakwah.

    Bahkan Al-Quran dalam Surah al-Maidah membenarkan perkahwinan dengan wanita Yahudi dan Kristian yang dikatagori sebagai Ahlul Kitab.

    Maka, seseorang Yahudi ataupun negara Yahudi kerana permusuhan mereka. Sementara Yahudi di tempat lain yang tidak menzahirkan permusuhan kepada umat Islam, tidak wajar dimusuhi.

    Emosi tidak membolehkan menghukum yang tidak bersalah, dan juga tidak boleh membiarkan kezaliman ke atas yang pihak yang lain.

    Firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahah, 8-9)

    Juga perlu kita tahu, al-Quran menyatakan bahawa kecenderungan Yahudi dan penyembah berhala memusuhi Islam lebih besar dibandingkan orang Kristian.

    Orang Kristian disifatkan lebih lunak kepada orang Islam dibandingkan Yahudi dan musyrikin.

    Firman Allah: “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: Bahawa kami ini orang-orang Nasrani. Yang demikian itu, disebabkan antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak sombong.” (Surah al-Maidah: 82).

    Pun begitu, Islam hanya bertindak apabila terbukti. Sesiapa yang tidak menzahirkan tindakan permusuhan maka dia tidak dimusuhi sekalipun dia Yahudi. Dalam sejarah Yahudi, The Golden Age of Judaism itu di Sepanyol ketika di bawah pemerintahan umat Islam.

    Petikan dari http://www.malaysiakini.com/news/192921

Leave a reply to arah Cancel reply