Tazkirah Jumaat: Hakikat Perbezaan Pandangan


Tidak mahu bicara panjang, melainkan jemput baca sesuatu yang saya baca di Facebook:

Katalah kita ni polis, sedang duduk dalam kereta peronda Kita sambil minum kopi. Tiba-tiba radio kita berbunyi, mengatakan ada dua kes yang diminta kita menangani salah satu darinya. Dua-dua kes orang kena tangkap mencuri. Kes pertama di kampung hulu, seorang lelaki ditangkap mencuri duit seringgit. Kes kedua di kampung hilir, seorang warga asing kena tangkap mencuri duit 20 ribu ringgit.

Kes mana yang kita kejarkan dulu? Agaknya tentulah kita segera berkejar ke kampung hilir, ye tak? I mean, apalah sangat duit seringgit, itupun nak report polis ke? Tapi bagaimana kalau lepas tu kita tahu hakikatnya begini:

Dalam kes pertama, duit itu kepunyaan seorang anak yatim piatu peminta sedekah, dan duit itu sajalah yang ada padanya untuk digunakan membeli roti setelah beberapa hari tak makan? Sedangkan dalam kes kedua, duit itu kepunyaan orang kaya bakhil yang seumur hidupnya tak pernah keluar zakat?

Tiba-tiba, baru kita sedar perbezaannya, antara prinsip dan appearance. Kalau ikut prinsip, tentulah kes pertama lebih berat, walaupun hanya melibatkan duit seringgit. Tapi sebab kita hidup ini dah biasa menghakimkan orang serta peristiwa dari segi luaran, maka selalu minda kita tertipu.

Stephen Covey, dalam bukunya”Seven Habits of Highly Effective People” menceritakan pula begini:

Kita sedang duduk di sebuah bangku dalam taman. Sedang kita enak menikmati sandwic dan Coke kita di tengah taman dengan udara bertiup lembut itu,tiba-tiba datang seorang lelaki bersama 2 orang anak kecilnya duduk di sebelah kita. Lelaki itu hanya menung panjang melihat ke tasik dan mendiamkan diri sementara anak-anaknya berlarian macam setan menjerit-jerit sekuat hati. Orang yang lalu lalang semuanya melihat dengan kening berkerut-kerut perangai budak-budak yang tak tahu hormat pada orang lain tu.

Kita pun lama-lama semakin bengang. Setan sungguh budak ni! Apahal mamat ni diammm je, tak nak tegur ke anak-anak dia ni? Lepas dah tak tahan sangat, kita pun tegur lelaki itu. Boleh tak encik suruh anak-anak encik tu dok diam-diam, saya tengah nak makan sandwic ni!

Lelaki itu melihat pada kita seketika sebelum tersenyum sedikit. “Maafkan saya,” kata lelaki itu. “Dan maafkan anak-anak saya tu.Sebenarnya, isteri saya – ibu mereka – baru meninggal dunia sebab kanser di hospital, dan saya tak tahu macamana nak terangkan pada mereka hal ini.”

Kemudian dia sambung : “Biarlah saya bawa mereka ke tempat lain supaya tak menganggu anda makan.”

Apa rasa kita masa itu? Sebab itulah bila teringat ayat Qur’an mengatakan, beza antara manusia itu hanyalah iman dan taqwa, saya sering berasa menyesal.Sebab saya selalu menghukum orang melihat keadaan luarannya!

Bagaimana dengan anda?

Wallahualam.

Sumber: http://ohislam.com/mukjizat/

Nukilan OnDaStreet: Hari mengundi hanya tinggal minggu hadapan dan saya percaya, anda ada bertembung dengan pelbagai perbezaan pendapat dari hari ke hari.

Apa yang ingin saya sampaikan adalah, sentiasa beringatlah dan kawal diri anda apabila berbeza pendapat. Hormati dan berbicaralah secara terbaik, apatah lagi jika anda mengaku anda berpolitik secara Islam.

Semoga Tazkirah Jumaat kali ini dapat membawa manfaat dan menjadikan diri kita lebih baik dari sebelumnya, insyaAllah🙂

2 thoughts on “Tazkirah Jumaat: Hakikat Perbezaan Pandangan

  1. Ubah, ubah & ubah lagi

    Dr Mohd Asri Zainul Abidin
    4:58PM Apr 25 2013

    Saya suka dengan perkataan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz kepada ‘setiausaha politiknya’ Rajak bin Haiwah.

    Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz: “Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya.

    “Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, alu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya.” (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).

    Manusia yang normal sentiasa berkehendak kepada perubahan. Berubah kepada yang lebih baik. Sekalipun kadang-kala dalam proses perubahan manusia terpaksa mengalami kesusahan.

    Persis seperti orang yang berpindah rumah dari yang kecil kepada yang lebih besar, selesa dan baik. Dalam proses pemindahan mungkin ada banyak kesusahan di peringkat awal.

    Mungkin terpaksa berjimat terlebih dahulu sebelum mampu membeli rumah baru yang besar. Terpaksa mengangkat barang-barang yang berat. Mungkin juga ada barang kesayangan yang terjatuh dan rosak.

    Terpaksa tinggalkan jiran-jiran lama yang disayangi. Terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan pelbagai lagi.

    Namun jika dia tidak pindah, taraf hidupnya tidak berkembang. Anak-anak akan susah hidup dalam rumah yang sempit. Di tempat baru, dia menikmati kemudahan hidup yang lebih selesa dan persekitaran yang lebih nyaman.

    Esok lebih baik

    Manusia yang normal sentiasa cuba memastikan hari esok lebih baik dari hari ini. Mengubah persekitaran hidup ke arah yang lebih baik adalah tabiat manusia bertamadun. Hanya yang kita tidak ubah ialah prinsip-prinsip kebenaran yang merentasi masa dan tempat.

    Pun begitu, cara melaksanakan prinsip-prinsip kebenaran itu juga kadang-kadang berubah. Cara menegakkan keadilan dalam masyarakat berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain.

    Pendekatan mencegah kezaliman juga berubah mengikut keadaan masa dan tempat. Namun tanggungjawab menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman itu kekal sehingga kiamat.

    Manusia yang enggan berubah dan takut hendak berubah kerana satu risiko yang tidak pasti asas ialah manusia yang dungu.

    Seseorang yang takut hendak belajar ke peringkat tinggi kerana bimbang dianggap sombong adalah orang membodohkan dirinya.

    Lebih bodoh lagi, jika seseorang yang sanggup hidup dalam keadaan berpenyakit dan bimbang sembuh kerana takut jika terlalu sihat nanti dia akan makan nasi lebih banyak lalu kos hidup akan jadi lebih tinggi.

    Dia lupa bahawa kos ubat yang dia ambil setiap hari melebihi kos nasi yang mungkin dia tambah jika dia sihat. Demikian dalam politik.

    Pindah pada politik lebih matang

    Air yang bertakung akan rosak. Air yang mengalir lebih baik untuk digunakan. Air yang mengalir juga lebih indah bau dan bunyi iramanya. Air yang bertakung kadang-kala ada kegerunan pada bunyi senyapnya itu.

    Kuasa politik juga demikian. Jika ia terlalu berada dalam genggaman seseorang, banyak keburukannya. Ketamakan, salah guna, keegoan, kesombongan dan sebagainya akan berlaku.

    Jika hal itu mula kelihatan pada seseorang atau sesuatu pentadbiran maka hendaklah kuasa itu dialirkan ke pihak lain agar dapat mengelakkan keadaan yang seperti itu. Di situ datangnya peranan pilihan raya dalam sistem demokrasi.

    Dalam konteks Malaysia, perkara ini terpakai untuk negeri-negeri yang dikuasai oleh BN ataupun Pakatan Rakyat.

    Kata syair ‘Arab yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafii:

    “Seorang yang berakal dan beradab tidak akan kekal berehat di satu tempat. Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah.

    “Bermusafirlah, nescaya engkau dapati ganti orang yang engkau tinggalkan. Berletihanlah, kerana kelazatan hidup pada keletihan (untuk mendapat kebaikan). Aku melihat terhentinya air itu merosakkannya. Jika ia mengalir maka baik, jika ia tidak mengalir tidak baik.”

    Hijrah dalam Islam mempunyai perlambangan yang tersendiri. Ia adalah perlambangan betapa perlunya kita berpindah kepada yang lebih baik. Negara kita tidak boleh berpolitik dengan tahap lama lagi.

    Kita perlukan politik masa depan yang lebih matang dan berkualiti. Kita tidak wajar membandingkan kehidupan kita dengan zaman Jepun makan ubi kayu. Mengapa kita tidak bandingkan kualiti integriti kepimpinan kita dengan negara Jepun?

    Media tidak wajar memperbodohkan akal rakyat dengan menemubual pakcik-pakcik kampung yang bercakap tentang zaman Jepun. Pemimpin sepatutnya berusaha mendidik rakyat maju ke hadapan, bukan melihat ke belakang.

    Ibn Hamdun dalam al-Tazkirah al-Hamduniyyah memetik kata-kata Plato:

    “Jangan kamu paksa anak-anak kamu dengan cara kamu kerana mereka diciptakan bukan untuk zaman kamu.”

    Dalam kerangka politik, saya tidak menaruh penuh kepercayaan kepada BN ataupun Pakatan. Saya tidak beriman kepada parti-parti itu bahawa mereka akan memenuhi segala maksud kebaikan untuk sebuah negara yang bernama Malaysia ini.

    Saya rasa tabiat politik antara keduanya masih banyak yang sama. Walaupun masing-masing ada kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Mungkin ada beberapa tokoh dalam parti-parti itu yang berkualiti tinggi, namun kedua gabungan politik itu masih banyak yang terikat dengan ‘order lama’ politik.

    Lihat sahaja cara Dr Haron Din dan Karpal Singh membincangkan tentang isu hudud di waktu sepatutnya fokus rakyat kepada perkara-perkara yang lebih praktikal untuk masa ini.

    Lihat pula bagaimana BN mengendalikan media massa semasa pilihan raya ini. Namun, saya percaya satu perkara; perubahan, pengaliran kuasa, penggiliran, menghadkan tempoh kekuasaan, memberi peluang kepada tawaran-tawaran baru untuk rakyat adalah satu cara untuk mematangkan politik dan membawanya ke arah yang lebih baik.

    Saya percaya tukar, tukar dan tukar lagi sehingga kita dapat yang terbaik dapat membawa negara ke arah yang lebih matang dan baik.

    Kita hendaklah bersedia untuk menukar BN kepada Pakatan, ataupun Pakatan kepada BN ataupun membuang keduanya sekali pada masa depan dan memunculkan politik baru sehingga kita menemui yang terbaik.

    Apabila yang terbaik itu mula ‘merepek’, kita akan tukar lagi. Kita tidak pentingkan nama parti, tetapi kualiti perkhidmatan yang mampu diberikan! Kita sanggup menukar jika perlu tanpa mengira BN ataupun Pakatan.

    Ubah, ubah dan ubah lagi sehingga yang baik diperoleh.

    PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    1. Artikel Dr Asri ini perlu dibaca dengan penuh, jangan sekadar baca tajuk sahaja dan ambil faham tukar dari BN kepada PR atau PR kepada BN semata-mata.

      Mungkin proPR akan mengambil artikel ini secara pukal kerana tajuk “ubah”.. tanpa faham artikel ini neutral.

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s