@abdulhadiawang: Isu Kalimah Allah: Islam Benarkan Tapi Jangan Salah Guna


Inilah kenyataan paling mutakhir daripada TG Hj Hadi Awang berkenaan isu kalimah Allah, seperti yang dilaporkan di Harakahdaily:

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah mempunyai pendirian yang konsisten dalam isu ini, seperti dalam kenyataan media saya pada 4 januari 2010 dan saya juga telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada tahun 2010 yang telah diterbitkan sebagai buku kecil yang bertajuk: “Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah” pada bulan januari 2010 yang lalu.
2. Kalimah “Allah” adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

3. Kalimah “Allah” tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan. Oleh itu pengganut Islam berbagai bangsa tetap menyebut perkataan Allah (tanpa terjemahan) apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.

4. Walau bagaimanapun Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Aallah” dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

5. Al-Quran menyebut penggunaan kalimah Allah oleh kalangan bukan Islam dengan penjelasannya:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan sengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (Par paderi, sami dan pemimpin ) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. kemudia jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.” (Ali-imran:64)

6. PAS merasa sangat kesal terhadap Umno yang mewakili pihak Melayu Islam dan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara kerana menjadikan kalimah Allah sebagai satu isu yang dipolemikkan sebebasnya oleh pihak media arus perdana dalam kempen politik pilihan raya, tanpa peduli terhadap salah faham dan ketegangan penduduk berbagai-bagai agama dalam masyarakat majmuk.

Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
8 Januari 2013

Begitulah bunyinya kenyataan paling mutakhir.

Maka, bolehlah kita abaikan kenyataan hujung tahun lepas daripada Tuan Ibrahim sebagai Ketua Penerangan PAS, yang berbunyi:

KUALA LUMPUR: PAS hari ini menyatakan pendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan ‘Tuhan’ dan bukannya ‘Allah’ untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal Bible.

Bagaimanapun, PAS boleh menerima bahawa orang Kristian berhak menggunakan nama Allah dalam gereja atau sebarang upacara agama mereka sebagaimana keputusan PAS sebelum ini.

“Memandangkan Bible Bahasa Melayu adalah terjemahan dari teks asal bahasa Inggeris, maka sewajarnya istilah God tidak bermaksud Allah, kerana terjemahan tepat ialah Tuhan. Maka sewajarnya ia diterjemahkan menurut maksud asal,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Hujah Tuan Ibrahim, menterjemahkan God dengan Allah akan mengelirukan penganut Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam serta boleh mengelirukan orang Islam jika digunakan di tempat awam termasuk dalam Bible terjemahan.

“PAS melihat isu penggunaan nama Allah di dalam terjemahan Bible dalam Bahasa Malaysia tidak mencerminkan maksud sebenar dari teks asal serta mengelirukan pelbagai pihak.  Bahkan cadangan tersebut juga telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan orang Islam dan penganut Kristian,” kata beliau.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan bahawa nama Allah adalah sensitif dan kesuciannya mesti dipelihara oleh umat Islam.

“Ia tidak boleh dibuang merata tempat atau digunakan nama tersebut pada tempat yang tidak layak baginya seperti menyamakan dengan makhluk, bersifat dengan sifat makhluk, seperti menganggap ia ada anak, isteri, makan, tidur dan berjalan sebagaimana makhluk,” terang Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Sehubungan itu, katanya, permintaan untuk menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible Bahasa Melayu tidak wajar, bahkan di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada God samada dalam pertuturan, penulisan atau filem.

“Perkataan yang sering digunakan ialah ‘Lord’,” tambahnya.

Walaupun penggunaannya tidak bertentangan dengan tradisi ilmu dan budaya di kalangan ahli  kitab (Yahudi dan Nasara),   tetapi  keluar dari khilaf atau mengelak berlakunya kekeliruan dan polemik adalah jalan terbaik, kata Tuan Ibrahim.

“Ada perkataan yang sensitif bagi sesetengah agama, seperti kalimah Dua Shahadah dan Allah, tidak boleh disebut secara sewenang-wenangnya dalam konteks yang tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan ketidaksenangan yang tidak perlu dalam masyarakat majmuk di negara kita dan situasi negara masa kini,” terang beliau.

Isu kalimah Allah timbul semula  selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Kerajaan Pusat membenarkan kitab Bible bahasa Melayu menggunakan perkataan tersebut.

Menekankan bahawa ada dalil-dalil yang membenarkan atau harus kepada bukan Islam menggunakan Allah, Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berpendapat situasi semasa di negara ini amat tidak sesuai sekali kerana kenyataan itu bakal dilihat umat Islam sebagai ofensif and berbentuk provokasi sehingga mengugat keamanan yang sedia ada jika tidak dikawal.

“Satu lagi fakta yang perlu difikirkan adalah, mengapa gereja-gereja di Eropah termasuk United Kingdom (UK) dan Vatican City di Itali tidak menggunakan Allah untuk God, malah negara-negara majoriti Kristian juga tidak pernah sibuk ingin menggunakan nama Allah ini.

“Malah dalam filem-filem bercorak agama terbitan Hollywood, pihak Kristian tidak pernah di skrip menggunakan Allah bila menyeru tuhan, mereka hanya gunakan God atau Lord sahaja. Ini kerana itulah yang terpakai di sisi Kristian seluruh dunia sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman turut melahirkan pendapat yang sama bahawa istilah God lebih sesuai digantikan dengan istilah Tuhan.

Berikut ialah kenyataan penuh Tuan Ibrahim:


Bible Bahasa Melayu menggantikan istilah ‘God’ dengan Tuhan

PAS berpendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan Tuhan dan bukannya Allah untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.

Memandangkan Bible Bahasa Melayu adalah terjemahan dari teks asal bahasa Inggeris, maka sewajarnya istilah God tidak bermaksud Allah, kerana terjemahan tepat ialah Tuhan.

Maka sewajarnya ia diterjemahkan menurut maksud asal. Manakala menterjemahkan God dengan Allah akan mengelirukan penganut Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam serta boleh mengelirukan orang Islam.

Bagaimanapun, PAS boleh menerima bahawa orang Kristian berhak menggunakan nama Allah dalam gereja atau sebarang upacara agama mereka sebagaimana keputusan PAS sebelum ini.

PAS melihat isu penggunaan nama Allah di dalam terjemahan Bible dalam Bahasa Malaysia tidak mencerminkan maksud sebenar dari teks asal serta mengelirukan pelbagai pihak.

Bahkan cadangan tersebut juga telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan orang Islam dan penganut Kristian.

Harus diingat, bagi umat Islam, nama Allah merupakan nama yang khusus yang mesti dipelihara kesuciannya.

Ia tidak boleh dibuang merata tempat atau digunakan nama tersebut pada tempat yang tidak layak baginya seperti menyamakan dengan makhluk, bersifat dengan sifat makhluk, seperti menganggap ia ada anak, isteri, makan, tidur dan berjalan sebagaimana makhluk.

Sehubungan itu,  permintaan untuk menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible Bahasa Melayu tidak wajar, bahkan di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada God samada dalam pertuturan, penulisan atau filem. Perkataan yang sering digunakan ialah ‘Lord’.

Walaupun penggunaannya tidak bertentangan dengan tradisi ilmu dan budaya di kalangan ahli  kitab (Yahudi dan Nasara),   tetapi  keluar dari khilaf atau mengelak berlakunya kekeliruan dan polemik adalah jalan terbaik.

Ada perkataan yang sensitif bagi sesetengah agama, seperti kalimah Dua Shahadah dan Allah, tidak boleh disebut secara sewenang-wenangnya dalam konteks yang tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan ketidaksenangan yang tidak perlu dalam masyarakat majmuk di negara kita dan situasi negara masa kini.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

26 Disember 2012

Kecewa? Ya, saya kecewa. Akan tetapi, hendak dibuat apa lagi.

Pastinya kenyataan terbaru TG Hj Hadi akan dipergunakan sepenuhnya untuk penerbitan dan penyebaran risalah dakwah Kristian, yang saya fikir, bukan setakat Bible versi Bahasa Melayu.

Ini kerana tidak dinyatakan secara jelas akan “salah guna” itu. Salah guna yang bagaimana? Di mana “garisan” dan “sempadan” penggunaan yang betul atau salah guna?

Memandangkan tiada sempadan yang jelas, maka, saya fikir, kita akan melalui satu lagi keadaan dimana umat Islam di Malaysia akan berbalah lagi. Akan tetapi, pada ketika itu adalah lebih kepada apa yang sepatutnya sudah dilakukan.

Mungkin ini kali terakhir saya akan menulis mengenai perkara ini.

Harapnya, saya tidak akan kata “I told you so”…

Soalan dijalanan: Apakah yang boleh ditakrifkan sebagai “salah guna”? “Salah guna dari pandang sudut agama mana? Islam atau bukan Islam?

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s