Politikku Hanya Kerana Allah cc @NajibRazak @anwaribrahim @tunfaisal @abby_abadi112


Niat saya sebenarnya tidak mahu menulis apa-apa sehingga selepas 1 Syawal. Ini kerana, ingin berehat sebentar terutama 10 hari terakhir Ramadhan. Memang amat mengharapkan ketenangan ketika melakukan ibadah di hujung Ramadhan ini.

Namun, sebentar tadi telah disuakan satu artikel yang menarik perhatian. Terasa akan keikhlasan si penulis menutur kata menghambur bicara. Saya pohon pembaca-pembaca yang budiman, berakal lagi berilmu, terutama yang beragama Islam untuk baca, renungkan dan fikirkan apakah yang telah kita lakukan selama mana ini satu ibadah atau perjuangan yang sia-sia.

MUHASABAH: APAKAH POLITIK KITA JADI IBADAH?

sudah sekian lama orang Melayu Islam berpolitik… apakah kita sudah matang? Apakah kita sudah berpolitik dengan penuh KEBIJAKSANAAN dan KESABARAN?

Sedih melihatkan wajah politik orang-orang Melayu masih hodoh. Situasi dan perkembangan terkini jika tidak ditangani dengan proses memberi ilmu dan didikan yang berterusan dan mantap akan menolak orang Melayu dalam jurang dendam yang berpanjangan. Yang menang akan terus menghenyak, yang kalah akan terus menyalak.

Percayalah, politik ini hanya alat, bukan matlamat. Kuasa itu hanya jalan, bukan tujuan. perlunya ada “aliran ketiga” dalam arus politik Melayu. Mereka yang boleh mendamaikan, meredakan, menasihati dan mengingatkan, agar percakaran sesama Islam ini tidak melampaui batas-batas akidah, syariah dan akhlak Islamiah. Berpolitiklah, perjuangkanlah keyakinan masing-masing… tetapi dalam kerangka “satu perlumbaan” untuk mendapat keredaan Allah dengan berbakti setulusnya kepada manusia.

Marilah sama kita bermuhasabah, sejauh mana urusan dan kerja politik kita jadi ibadah dengan melihat syarat-syarat di bawah:
1. Mulakan dengan niat yang baik.
Sebelum kita menceburi bidang politik, cuba tanyakan hati apakah niat kita menceburi bidang ini? Pastikan pada awal-awal lagi, niat kita ialah niat yang baik. Apakah niat yang baik? Banyak niat yang baik, umpamanya… ingin membela nasib bangsa, memertabatkan negara, membantu masyarakat dan lain-lain. Ini adalah niat yang baik. Namun, perlu diingat ada niat yang ‘lebih baik’ berbanding niat-niat tersebut. Sebagai seorang Islam kita sewajarnya membuat sesuatu dengan niat ‘kerana Allah’.

Ini kerana Islam mengajar kita bahawa setiap urusan yang melibatkan hubungan sesama manusia, Tuhan mestilah dijadikan sebagai pengikat dalam perhubungan itu. Oleh itu, adalah lebih baik jika ‘mengikat’ niat membela rakyat, bangsa dan negara itu atas dasar ‘kerana Allah’. Katakan kepada diri , “aku ingin membela bangsaku, masyarakatku dan negaraku kerana Allah memerintahkan aku untuk berbuat demikian.” Dengan cara ini tugas politik kita akan terikat dengan misi utama Tuhan jadikan manusia yakni untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah:

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku.”

Niat ‘kerana Allah’ itulah nanti yang akan menjadi pengawal, pemantau dan pendorong untuk kita berlaku benar, telus dan tulus dalam kancah politik yang sering digambarkan sebagai ‘kotor’ itu. Sebaliknya, niat semata-mata ingin membela bangsa, negara dan lain-lain tidak cukup kukuh untuk menjamin kita tidak tergoda dan tergelincir dalam dunia politik yang tentunya penuh dengan cabaran dan godaan samada dalam bentuk nikmat atau kesusahan. Betapa ramai ‘pejuang’ bangsa yang terkorban dek harta? Betapa ramai pula ‘pembela’ masyarakat yang lupa daratan bila disanjung?

Namun, jika kita berbuat dan berjuang atas dasar yang kukuh yakni ‘kerana Allah’, maka Tuhan akan sentiasa berada di hati kita untuk menjamin kita sentiasa berada di atas landasan yang benar pada setiap masa dan suasana. Ingatlah, natijah (pengakhiran) dari sesuatu selalunya ditentukan oleh muqaddimahnya (permulaan). Oleh itu, semuanya bermula dengan niat, jika niat baik, maka besar kemungkinan pengakirannya pun turut baik. Tetapi sekiranya, niat awal hanya untuk mendapat ganjaran, sanjungan dan nama, maka batalkan sahaja hasrat kita menceburi politik. Kita tidak akan menjadi ahli politik yang baik jika bertitik-tolakkan niat yang tidak baik.

2. Bidang yang diceburi (politik) adalah satu yang dibenar oleh syariat.
Politik atau siasah memanglah suatu bidang yang bukan sahaja dihalalkan bahkan diutamakan dalam Islam. Istilah politic bermakna, ‘the arts and sciene of government’. Atau ‘siasah’ dalam bahasa Arab berasal daripada kata dasar yang bermakna, ‘to lead, to guide, to conduct, to direct’. Jika politik dilihat menerusi dimensi ini, maka ia adalah satu bidang yang sangat berkait rapat dengan peranan manusia di atas muka bumi yakni seebagai khalifah Allah. Firman Allah:
“Kami jadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.”

Dalam konteks ini politik dilihat seabagi satu urusan kepimpinan yang hakikatnya adalah amanah Allah kepada setiap manusia. Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud, setiap kita adalah gembala (pemimpin) dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya. Urusan ini sangat penting dalam ajaran Islam justeru ia adalah satu alat ataupun jalan untuk menegakkan ubudiyah kepada Allah swt. Oleh itu, ahli-ahli politik seharusnya sedar bahawa bidang yang mereka ceburi adalah satu gelanggang yang begitu besar dan luas untuk meraih keredaan Allah.

3. Melaksanakan amalan berpolitik itu dengan betul.
Niat yang baik semata-mata tidak akan menjamin kita menjadi seorang ahli politik yang baik. Langkah seterusnya ialah laksanakan niat itu dengan betul. Melaksanakan dengan ‘betul’ di sini bermaksud mematuhi syariat (peraturan Allah). Maksudnya, kita mesti sentiasa memilih cara yang halal dalam melaksanakan urusan politik. Islam tidak mengamalkan dasar politik Machevelli – matlamat menghalalkan cara. Tegasnya, niat yang baik mestilah dilaksanakan dengan cara yang baik. Oleh itu, jangan sekali-kali kita terlibat dengan perkara-perkara yang haram, mungkar dan dosa dalam melaksanakan cita-cita politik.

Pelaksanaan politik itu hendaklah sentiasa mengikut batas-batas syariat dan peraturan-peraturan lain yang selaras dengan kehendak Allah. Proses berpolitik hendaklah sentiasa berpandukan batas-batas hukum yang lima – halal, haram, harus, sunat dan makruh. Kepatuhan kepada hukum Allah ini secara otomatik akan menyebabkan peraturan parti dan negara turut dipatuhi. Politik wang misalnya, bukan sahaja bertentangan dengan peraturan dan etika parti tetapi ia adalah haram di sisi Allah.

Begitu juga perbuatan mencaci, menghina dan memfitnah musuh politik tidak wajar dilakukan walau atas apa alasan sekalipun. Yang penting ialah memberi penerangan dan penjelasan tentang matlamat atau apa yang hendak kita perjuangkan. Boleh mengkritik, menegur malah menyalahkan pihak lain tetapi hendaklah dalam batas-batas syariat dan akhlak Islamiah. Baik sesama rakan separti separti atau dengan parti lawan, kita seharusnya menjaga diri agar tidak dirasuk oleh sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam, marah, tamak dan lain-lain. Untuk mendapat kedudukan atau pangkat tidak salah, tetapi dapatkanlah dengan cara bekerja keras bukan dengan cara mengampu, menyogok atau mengancam. Ingat selalu, pangkat bukan matlamat tetapi hanya alat dalam sesuatu perjuangan.

4. Berpolitiklah secara yang paling optimum (terbaik).
Untuk menjadi seorang ahli politik yang baik, kita mestlilah melakasanakan tugas politik secara yang terbaik (optimum). Maksud optimum di sini ialah kita berpolitik dengan penuh kemahiran, ilmu dan etika kerja yang tinggi. Kita seharusnya mendalami ilmu-ilmu tentang pengurusan, pentadbiran dan perhubungan. Kuasailah kemahiran berfikir yang tajam dan cepat. Berlatihlah cara bercakap dan berucap dengan berkesan, agar mesej politik dapat difahami dengan baik oleh masyarakat. Banyakkan membaca, bergaul dan mendengar suara rakyat menerusi apa jua saluran yang dapat mempertingkatkan mutu kepimpinan dan pengurusan. Ahli politik yang baik, tentunya mempunyai ilmu tentang agama, psikologi, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain mengikut tahap atau bidang yang selaras dengan kedudukan kita di dalamparti dan masyarakat.

Tidak cukup sekadar itu, kita mestilah mempunyai ‘skill’ dalam bidang perhubungan manusia. Kebolehan menjadi pendengar yang baik, empati dan peka dengan apa yang disuarakan atau apa yang tidak disuarakan. Ini adalah suatu yang wajib untuk melonjakkan karier politik kita. Kita mesti mahir dalam pengurusan masa dan mempunyai kecekapan dalam mengatur serta membahagikan waktu dengan cekap dan berkesan. Urusan diri, keluarga, masyarakat, parti mestilah disusun secara adil agar setiap tindakan diatur mengikut tahap keutamaannya. Jangan ada perkara yang penting tercicir atau terpinggir.

Bergepanglah kepada etika kerja politik anda. Sentiasalah mengutamakan rakyat dan perjuangan bangsa berbanding dengan kepentingan diri. Cuba lihat sejarah ‘ahli-ahli’ politik yang berjaya khususnya para khulafa ur Rasyidin (Sayidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali R.A.) mereka semua telah berpegang kepada etika ini sampai ke akhir hayat. Jika ditakdirkan menjadi wakil rakyat, duduklah bersama rakyat, dengar suara hati mereka. Jangan jadi wakil rakyat yang jarang ‘bersama’ rakyat. Sabar, berkorban, prihatin, empati, pemaaf, pemurah adalah sifat-sifat yang perlu ada jika anda ingin menjadi ahli politik yang baik.

5. Tidak meninggalkan perkara-perkara yang asas dalam Islam.
Perkara yang asas dalam Islam ialah rukun Iman yang enam dan rukun Islam yang lima. Ini adalah pra-syarat kepada semua perlakuan umat Islam untuk dinilai sebagai ibadah. Sekiranya perkara-perkara asas ini diabaikan, semua kebaikan yang kita bina sebelumnya tidak akan dinilai sebagai kebaikan. Bayangkan, bagaimana kita boleh dianggap seorang manusia yang baik jika kita mengabaikan ibu kandung sendiri walaupun kita takdirnya telah berbakti kepada seluruh manusia? Maka begitulah orang yang tidak mendirikan perkara-perkara asas dalam Islam ini, maka ia tetap ‘jahat’ walaupun segunung kebaikannya kepada manusia.

Solat misalnya, tidak boleh diabaikan walaupun sesibok mana urusan politik kita. Jangan bermesyuarat menyebabkan anda luput waktu solat. Jika kita sudah cukup harta, maka laksanakanlah ibadah haji tanpa melengah-lengahkannya dengan alasan kononnya sibok berbakti kepada masyarakat. Hendaklah kita ingat, ibadah-ibadah asas inilah yang akan memberi kekuatan jiwa, kelapangan fikiran dan ketenangan emosi untuk kita menjalankan urusan politik dengan lebih afektif, produktif dan kreatif lagi. Ingatlah, barangsiapa yang menjaga hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menjaga hubungannya dengan manusia.

6. Natijah yang baik.
Bagaimana sikap kita di hujung kejayaan atau kegagalan di hujung karier politik? Jika ditakdirkan kita berjaya, maka bersyukurlah dengan kejayaan itu. Bukti syukur ialah dengan kita merasakan nikmat kejayaan itu datangnya dari Allah bukan kerana kebijaksanaan kita. Nafikanlah segala kelebihan, usaha dan tenaga kita di hadapan Tuhan dengan merasakan semua itu tidak memberi kesan tanpa bantuan daripada-Nya.

Kemudian, rasa syukur di dalam hati itu dilanjutkan lagi dengan melahirkan tindakan-tindakan yang selaras dengan tujuan Allah mengurniakan nikmat itu. Diberi pangkat, itu tandanya Tuhan ‘menyuruh’ kita berbakti kepada manusia dengan pangkat tersebut. Maka berbaktilah, bukan menyombong diri. Janganlah hendaknya syukur terbatas hanya di lidah, tetapi kosong di hati dan sifar pula dalam tindakan.

Sebaliknya, jika gagal, bersabarlah… hakikatnya Allah mahu mematangkan karier politik kita. Bukankah besi sejati ditempa oleh kepanasan yang tinggi? Jadi, jangan putus asa. Tempohlah sekali lagi, soalnya bukan serendah mana kita jatuh tetapi setinggi mana kita melonjak semula. Hakikat ini bukan sahaja satu sunnahtullah dalam kehidupan, bahkan inilah juga asam garam dalam dunia politik. Pastikan kita tidak kecewa atau patah hati. Bangunlah setiap kali kita jatuh!

Keenam-enam langkah itu akan mudah diikuti sekiranya iman diperteguhkan. Seseorang akan memilih himpunan tindakan yang selaras dengan keimanannya dan menolak sesuatu yang bertentangan. Inilah yang membentuk sistem nilai. Sistem nilai ini akan membentuk sikap ahli politik yang Islamik bukan sahaja di sudut cakapnya tetapi juga sikapnya. Indahnya, program ‘ke dalam’ ini jika berjaya dilaksanakan pasti menyerlahkan kesannya pada diri, masyarakat dan pengundi. Penghayatan berpolitik sebagai satu ibadah, akan memperteguhkan kekuatan dan perpaduan dalam parti tanpa perlu dilakon-lakonkan atau dilobi-lobi lagi.

Demikianlah sedikit gambaran bagaimana menjadikan politik sebagai satu ibadah. Namun rasanya ia sudah memadai untuk meransang dan membuka fikiran untuk merealisasikan politik sebagai satu ibadah!

ramadhan yang masih bersisa ini, alangkah indahnya jika…semua yg berbeza pendapat dlm berpolitik dpt bersatu dan mengeratkat ukhwah yang dilihat hampir hancur hanya kerana perbezaan politik…masing-masing mengaku islam dan beriman…berlumba-lumba mendapatkan keampunan Allah, tetapi memutuskan silaturrahim dan tak pernah berusaha untuk berbaik semula…ingatlah Daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

“Tidak beriman (secara sempurna) seseorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”(Hadis Riwayat al-Bukhari no.13 , Muslim no.45 , dan Ahmad no.18076)

Tegasnya, iman akan menimbulkan rasa sifat kasih sayang, cinta-mencintai dan bantu-membantu dalam diri manusia. Hasilnya, terbentuk suatu nilai ukhwah yang kukuh dan konkrit berlandaskan iman tanpa perlu didesak dan dipropagandakan.

ketika “orang-orang politik” walau di sebelah manapun mereka berada, ketika mengangkat tangan berdoa kepada Allah, janganlah hanya memohon kemenangan, tetapi pohonlah juga kedamaian, hidayah dan rahmat untuk umat ini secara keseluruhan. Jika mereka tidak tahu, pohonlah doa agar umat ini cepat tahu. Jika mereka terkeliru, pohonlah agar umat ini mendapat petunjuk. Inilah ibrah ketika rasulullah SAW dilempar batu ketika di Taif. Apakah kita punya kesabaran seperti Rasulullah SAW yang ketika ditawarkan pertolongan para malaikat untuk menghancurkan penentangnya… lalu tetap berharap agar generasi kemudian akan beriman?

Berdasarkan artikel diatas, saya percaya mungkin akan merasakan ianya lebih tertuju kepada pro PAS. Ini kerana dalam pada mulut bicara perjuangan mereka demi Islam, ianya kadangkala tidak diterjemahkan kepada percakapan, perbuatan dan amalan.

Namun, ingin ditegaskan, artikel ini peringatan untuk semua. Ini kerana UMNO juga mengaku berjuang untuk Islam. Hanya PKR sahaja saya tidak pasti, meskipun diketuai oleh Dr Wan Azizah dan dinasihati oleh DS Anwar Ibrahim.

Jika benar niatmu kerana Allah semata, tindak tanduk, bicara dan perlakuanmu pasti tidak sewajarnya memalukan Allah, Rasulullah dan Islam. Jika benar niatmu kerana Allah, setiap sumber berita dan cerita akan diselidik sebelum melakukan sesuatu tindakan. Jika benar kerana Allah, kebenaran dan kebaikan (biarpun dari seteru politik) akan diakui.

Ini artikel terakhir sebelum Ramadhan berakhir…

Maka, dengan kesempatan ini juga, OnDaStreet ingin memohon ampun dan maaf jika ada tersalah bicara terkasar bahasa.

Selamat menyambut Syawal, sebagai meraikan kejayaan puasa penuh dan ibadah yang dilakukan dibulan Ramadhan.

Soalan dijalanan: Apakah niatmu bila berpolitik? Benarkah ianya dilakukan seperti yang diniatkan?

 

 

 

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s