Tazkirah Jumaat: Nilai Agama vs Hak Asasi Manusia


Untuk Tazkirah Jumaat kali ini, saya ingin kongsikan sebuah artikel yang dimajukan kepada saya. Ianya mungkin satu topik yang berat, tetapi agak asas untuk kita renungi. Berikut adalah artikel tersebut:

PENGHAKISAN NILAI AGAMA MELALUI DOKTRIN HAK ASASI MANUSIA
Penulis: Mafis bin Mohd Samuri

Ghuzwah al-fikr atau serangan pemikiran kian hangat diperdebatkan di Malaysia. Institusi agama Islam bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) mengadakan pelbagai program sebagai langkah memperjelaskan isu pemikiran kepada umat Islam. Dewasa ini, hak asasi manusia dan kebebasan menjadi subjek utama sehingga ramai di kalangan masyarakat awam mahupun golongan terpelajar serta ahli akademik terpengaruh dengan pelbagai derai sorak yang diketengahkan. Antaranya seperti kebebasan bersuara, kebebasan ilmu dan kebebasan berfikir. Slogan-slogan perjuangan kebebasan kini merupakan suatu isu yang sedang diperbesar-besarkan di serata dunia apatah lagi bila ia digerakkan oleh pertubuhan antarabangsa Human Rights Movement.

Sejarah Ringkas Gerakan Hak Asasi Manusia
Gerakan Hak Asasi Manusia (HAM) atau Human Rights Movement (HRM) merupakan suatu gerakan yang dibina berdasarkan fahaman liberalisme dan humanisme. Oxford Companion to Philosophy mendefinisikan humanisme sebagai “An appeal to reason in contrast to revelation or religious authority as a means of finding out about the natural world and destiny of man, and also giving a grounding for morality…Humanist ethics is also distinguished by placing the end of moral action in the welfare of humanity rather than in fulfilling the will of God.”

Menurut Collins Concise Dictionary humanisme bermaksud “Rejection of religion in favour of the advancement of humanity by its own efforts.” Manakala Little Oxford Dictionary memaknakan humanisme sebagai “A non-religious philosophy, based on liberal human values.” Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menjelaskan humanisme seperti berikut :-

“Faham humanisme ini hanya mementingkan dasar keistimewaan kemanusiaan dan
keduniaan serta kebendaan, dan tiada meletakkan agama dan ajaran-ajaran serta
kepercayaan Ketuhanan sebagai yang utama dan penting…”

Ringkasnya, dapat difahami falsafah humanisme ialah satu doktrin yang menafikan agama dan kewujudan Tuhan. Menurut Dr. Hamid Fahmi Zarkasyi, masyarakat Barat sememangnya telah berubah dari theocentric menjadi anthropocentric. Bukti orientasi antroposentrisme terserlah melalui doktrin kematian Tuhan (the God is dead) oleh Nitzsche.

Anthropocentric merujuk kepada pemusatan manusia (human-centered) di mana baik atau buruk, benar atau salah ditentukan secara mutlak oleh akal, nafsu dan pengalaman manusia. Mereka menolak peranan agama serta menyingkirkan wahyu Tuhan kerana beranggapan bahawa dogma agama bertentangan dengan realiti kehidupan manusia. Sekalipun istilah Humanism mula diketengahkan pada tahun 1808, namun falsafah tersebut dikatakan mempunyai sejarah yang panjang, bermula sejak Pelagius (354 – 420/440 AD) yang berpendapat bahawa manusia berkembang sendiri dan mampu hidup tanpa Tuhan.

Pelagius percaya akal manusia mampu mengetahui baik dan buruk serta tidak memerlukan panduan agama. Di Zaman Pertengahan (Middle-Age), Renaissance humanism mula dikembangkan oleh golongan liberalis dan Protestant kerana fahaman ini amat selari dengan Protestant dan Kapitalis. Menjelang abad ke-18 dan ke-19, fahaman rasionalisme dan kebebasan berfikir yang berkembang di Barat telah membawa humanisme dalam bentuk yang lebih moden. Ia terus menjadi suatu aliran yang digunakan untuk menghina agama serta mengambil sikap anti-establishment khususnya terhadap institusi keagamaan. Sejak itu, pelbagai organisasi ditubuhkan seperti Humanistic Religious Association (HRA), British Humanist Association (BHA) dan American Humanist Association (AHA).

Pelbagai bentuk dokumen telah dicipta sepanjang gerakan hak asasi, contoh yang paling terkenal ialah Magna Carta (1215), Petition of Right (1628) dan US Bill of Right (1791). Revolusi Perancis menyaksikan jatuhnya sistem monarki dan diikuti dengan Declaration of the Rights of Man (1789). Manakala Universal Declaration of Human Rights (UDHR) pula telah diisytiharkan pada 1948 selepas tamat Perang Dunia Ke-2.

Antara tokoh falsafah humanisme berpengaruh ialah seperti John Locke, Thomas Paine, John Stuart Mill dan Henry David Thoreau.

Hak dan Kebebasan dalam Perspektif Islam
Barat meletakkan konsep kebebasan mutlak bersamaan dengan hak. Bagi mereka setiap individu berhak mendapat kebebasan secara total, hinggakan apa juga kebebasan dan kemahuan yang diingini dianggap sebagai suatu hak yang mesti dilunaskan. Maka tidaklah menghairankan bila perlakuan anarki sosial, orientasi seks dan kes murtad telah diangkat sebagai kebebasan bersuara, hak individu, kebebasan memilih dan free-will, semuanya berlindungkan hak asasi manusia berlandaskan konsep ‘freedom and liberty’. Bagi memahami sesuatu perkara atau wacana, adalah penting untuk kita mengetahui makna istilah yang digunakan. Sesungguhnya dua istilah berbeza ini (hak dan kebebasan) telah cuba dijelmakan oleh Barat sebagai mempunyai makna yang sama, hingga akhirnya menimbulkan kekeliruan pemikiran khususnya di kalangan umat Islam seluruh dunia.

Justeru, takrifan istilah tersebut perlu dihadam agar ia diletakkan pada tempat yang betul dan tidak diguna sewenangnya. Sebagai umat Islam, daftar kata Arab menjadi rujukan utama kerana sudah pasti ada hikmah disebalik penurunan wahyu al-Quran dalam bahasa tersebut. Kedudukan bahasa Arab sebagai bahasa ilmu yang tinggi tiada dapat dinafi.

Istilah ‘hak’ yang berasal dari perkataan arab ‘haqq’ mempunyai makna tersendiri. Dalam taarif bahasa, istilah haqq bermaksud sesuatu perkara yang benar, yang tsabit/ tetap dan tidak boleh dipertikai atau diingkari. Menurut ulama’ usul taarif haqq ialah perbuatan yang tertakluk padanya perintah syarak. Hak Allah ialah apa yang berkaitan dengan perintah dan larangan-Nya.

Imam al-Jurjani di dalam kitabnya Al-Taarifat menyebutkan sesuatu yang hak ialah yang tetap secara hakikat (jelas), perkara yang tetap tiada mungkin diingkari. Dari
segi istilah, hak bermaksud hukum yang selari dengan kenyataan dan dimutlakkan dalam perkataan, akidah, pegangan agama dan pandangan. Lawan kepada hak ialah batil.

Istilah ‘bebas’ atau disebut sebagai ‘al-hurru’ di dalam bahasa arab pula bermaksud suatu yang tidak tunduk melainkan kepada perkara yang benar. Manakala istilah ‘al-hurriyah’ (kebebasan) merujuk kepada kemampuan untuk memilih, berdagang, mengurus, mentadbir, menulis dan seumpamanya tanpa tunduk kepada sebarang keterikatan dalaman atau luaran selagimana kebebasan ini tidak menyakiti orang lain dan kekal dalam lingkungan garis undang-undang, akhlak dan syarak.

Berdasarkan perenggan di atas, dapat difahami bahawa bukan semua perkara adalah hak, kerana hak mestilah sesuatu yang benar dan tidak menjurus kepada kebatilan. Islam menetapkan hak dan kebebasan dalam had tertentu di mana ia mestilah bertepatan dengan akidah, syariat dan akhlak yang diajarkan oleh Islam. Justeru, sesuatu perbuatan yang melanggari batasan ini adalah menyimpang dari jalan kebenaran. Di dalam Islam, mereka yang melanggar sempadan akidah, syariat dan akhlak inilah disebut sebagai golongan yang melampaui batas.

Lantaran itu, ketika kita asyik membicarakan persoalan jenayah syariah merangkumi hukum takzir, qisas dan hadd (hudud), sewajibnya kita hendaklah mengetahui terlebih dahulu tentang kedudukan hak dan kebebasan berkaitan semua perkara dalam konteks Islam supaya konsep ‘adil yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya tercapai. Malangnya ramai di kalangan umat Islam hari ini termasuklah golongan belia, remaja serta golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang Islam turut dijangkiti kudis hak asasi manusia dan ideologi humanisme yang tampil dengan pelbagai slogan kebebasan, perubahan dan reformasi.

Isu-isu HAM di Malaysia
Sudah banyak perkara batil, kejahatan dan kerosakan dilacakkan ke atas Negara kita berlindung di balik tabir HAM.

Antara yang paling hangat ialah kes murtad Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan lain-lain (2007), isu permohonan penggunaan kalimah ALLAH oleh pihak gereja Kristian dan kisah serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas dewan DUMC kerana wujudnya usaha kristianisasi. Malah, ketika pihak JAIS melakukan serbuan ke atas pengikut ajaran sesat Syiah di Gombak, golongan Syiah tersebut diketuai oleh saudara Kamil Zuhairi telah cuba menggunakan saluran hak asasi manusia untuk menidakkan usaha pihak berkuasa membanteras penyelewengan akidah.

Selain itu, kesetaraan gender atau feminisme, perlakuan songsang homoseksual, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) turut diperjuangkan oleh pihak pro HAM melalui program Seksualiti Merdeka. Atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi juga, pengamal homoseksual Irsyad Manji dibawa ke Malaysia pada Jun 2012 oleh kelompok tertentu yang mendukung serta menerbitkan bukunya di dalam versi bahasa Melayu bertajuk ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’.

Semua kes di atas telah mendapat sokongan padu gerakan HAM antarabangsa dan diberi liputan melalui akhbar, media massa dan laman sesawang Human Rights Watch yang mengutuk dan mengecam usaha murni kerajaan mempertahankan Islam di Negara ini

Tindakan mereka cuba memberi tekanan ke atas kerajaan mencerminkan sikap tidak menghormati kedaulatan Malaysia sebagai sebuah Negara merdeka yang berhak dan mempunyai kebebasan menentukan halatuju, sistem pentadbiran dan perundangan dalam acuan tersendiri sesuai dengan keadaan geo-politik serta kedudukan kita sebagai sebuah Negara Islam. Di sini dapat kita amati kejahilan golongan HAM yang lantang kononnya bersuara tentang hak dan kebebasan, tapi pada masa yang sama tidak tahu menghormati hak dan kebebasan sebuah Negara berdaulat.

Penting untuk digaris bawahi, sikap anti-establishment yang dipacu oleh segelintir pihak ke atas belia Islam di Malaysia mutakhir ini berakar dari tradisi kebencian Barat terhadap agama Kristian sejak bermulanya era Renaissance dan gerakan Protestantism. Kebencian berterusan itu akhirnya membawa kepada keinginan mereka untuk menghapuskan semua agama di dunia khususnya Islam dengan memberi label negatif seperti Islam agama keganasan dan mengongkong penganutnya, sehingga menimbulkan fenomena yang disebut ’islamophobia’ mutakhir ini.

Jika dinilai perkara-perkara yang diletakkan dalam label islamophobia tersebut tiada kaitan dengan ajaran Islam, tetapi mereka dengan sengaja telah menyalahtafsirkan ajaran Islam yang murni. Sebaliknya perlakuan ekstrim amat berkait rapat dengan sejarah keganasan dipelopori agamawan Kristian dan penguasa Eropah contohnya peristiwa Inquisisi di Sepanyol (1480) oleh Monarki Katolik Ferdinand II of Aragon dan Isabella I of Castile yang melakukan pemaksaan Kristianisasi ke atas umat Islam dan golongan Yahudi selepas berjaya menjatuhkan kerajaan Islam Andalusia. Kisah konflik di Ireland Utara juga satu lagi gambaran jelas tentang keganasan Kristian dan masyarakat Eropah membabitkan siri pergaduhan, pembunuhan dan pengeboman di antara penganut Katolik dan Protestant.

Bukankah penindasan terhadap kaum Red Indian dan kulit hitam di Amerika, penindasan Aborigines di Australia dan dasar Apartheid di Afrika semuanya disebabkan tangan-tangan zalim Barat yang gila kuasa?

Human Rights/ Humanisme Sebagai Agama Baru
Seorang ahli falsafah Jerman bernama Ludwig Feuerbach pernah menulis Homo homini deus est (“Man is a god to man” or “god is nothing [other than] man to himself”), “manusia adalah tuhan kepada manusia” atau “tuhan tidak lain, melainkan manusia kepada dirinya sendiri.”

Ucapan ringkas itu cukup memberi gambaran bahawa humanisme amat berlawanan dengan agama Islam dan membawa aroma atheisme. Selain itu, terdapat juga di kalangan tokoh serta aktivis hak asasi manusia yang menegaskan Human Rights sebagai satu agama baru.

Sebagai contoh seawal tahun 1930, Charles Francis Potter bersama isterinya Clara Cook Potter telah menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Humanism : A New Religion’. Tulis Potter dalam bukunya “So Humanism is not simply another denomination of Protestant Christianity; it is not a creed; nor is it a cult. It is a new type of religion altogether”.

Selang beberapa tahun berikutnya, individu-individu yang menandatangani Humanist Manifesto I (1933), percaya humanisme merupakan suatu bentuk agama. Di perenggan terakhir manifesto terbabit dicatatkan “So stands the theses of religious humanism”. Paul Kurtz menyebut di dalam pengantar ‘Humanist Manifestos I and II’ : “Humanism is a philosophical, religious, and moral point of view as old as human civilization itself”. Selepas genap 50 tahun usia UDHR, iaitu dalam tahun 1998, seorang aktivis HAM bernama Elie Wiesel yang juga pemenang anugerah Nobel telah menggelarkan deklarasi tersebut sebagai ‘world-wide secular religion’.

Pada 19 April 2010, akhbar terkemuka Britain The Guardian telah menerbitkan artikel tulisan Anthony Julius bertajuk ‘Human Rights : The New Secular Religion’. Menurut Julius, “A human rights discourse now dominates politics; there is a powerfull human rights “movement”. It is the new secular religion of our time.”

Jelaslah di sini membuktikan fahaman humanisme dan agenda HAM yang dibawa oleh Barat menuju arah membentuk suatu agama baru yang sedang giat dipaksakan secara doktrinisasi ke atas umat Islam seluruh dunia.

Hakikat Islam Yang Hak
Peguam Kanan Persekutuan, Tuan Haji Mahamad Naser bin Disa menerusi kertas kerjanya ‘Hak Asasi & Kebebasan Diri Perspektif Syara’ Dan Humanisme : Satu Analisis Perbandingan’ menjelaskan Khutbah Wada’ Rasulullah s.a.w telah memperlihatkan kesempurnaan ajaran Islam yang mengiktiraf hak-hak setiap insan sama ada lelaki atau wanita. Khutbah terakhir Rasulullah s.a.w yang berbunyi antara lainnya :

“Tidak ada kelebihan bagi seorang Arab dengan bukan Arab, bagi seorang yang berkulit putih dengan yang berkulit hitam melainkan ketakwaan kepada Allah sahaja yang berbeza.”

Hadis ini jelas memperlihatkan keadilan Islam yang tidak membenarkan sebarang bentuk penindasan hanya disebabkan perbezaan warna kulit sepertimana yang pernah dilakukan oleh Barat. Sirah Nabawiyah membuktikan Islam menolak penindasan. Hal ini selari dengan surah al-Hujurat ayat 13, di mana Allah berfirman, mafhumnya :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Bukankah Islam telah memerdekakan ramai individu dari gari penghambaan? Sebelum kedatangan Islam, siapakah yang memandang seorang hamba Habsyah berkulit hitam bernama Bilal bin Rabah? Namun bagaimana pula perubahan yang berlaku pada dirinya sesudah Islam yang menjadi antara sahabat termasyhur, dikenali oleh seluruh umat sepanjang zaman.

Agama Islam adalah agama yang menjamin keselamatan nyawa sebagaimana firman Allah s.w.t dalam al-Quran, pada surah al-Isra’ ayat 33 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).”

Wan Roslili binti Majid, Pegawai Penyelidik Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mencatatkan seperti berikut :
“Antara ciri penting yang membezakan kandungan Khutbah Wada` dengan instrumen hak asasi manusia barat ialah khutbah Nabi s.a.w. berasaskan wahyu dan bertujuan mentaati serta menunaikan hak Allah s.w.t. yang menjamin kemaslahatan umum (maslahah `ammah). Sebaliknya ada antara bentuk perjuangan hak asasi manusia yang dilaung-laungkan dan dipertahankan pihak barat bertentangan sama sekali dengan hak Allah s.w.t. dan kemaslahatan masyarakat umum. Misalnya, perjuangan bagi mempertahankan hak individu serta kelompok tertentu seperti LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transexual) yang mendatangkan kemudaratan serta musibah besar kepada manusia sejagat.”

Ajaran Islam juga menetapkan agar wanita dijaga dengan baik. Tidak seperti Barat yang memandang hina terhadap kedudukan wanita dan menganggap wanita sebagai ‘the root of all evil’. Kebatilan fahaman Human Rights tambah terserlah apabila pada 1985, satu piagam World Charter for Prostitutes’ Rights diwujudkan bagi memperjuangkan kebebasan pelacuran. Perkara ini amat bertentangan dengan ajaran Islam yang tidak membenarkan wanita menjadi barang dagangan.

Sabda Rasulullah s.a.w lagi dalam Khutbah Wada’, “Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”

Islam bukanlah satu agama yang bersifat menindas wanita, patriarchy atau misogyny sepertimana yang terdapat dalam sejarah Kristian dan Barat; sebaliknya Islam meletakkan kedudukan wanita sama dengan lelaki. Firman Allah pada ayat 124 surah an-Nisa :

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun.”

Apa yang berbeza ialah pada peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh lelaki dan wanita sesuai dengan sifat dan kemampuan yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. Malahan keistimewaan wanita di sisi Islam nyata dicerminkan melalui hadis Nabi s.a.w tentang keperluan seorang anak untuk mengutamakan ibunya berbanding bapa.

Adapun di waktu ini, terdapat juga gerakan di Barat sedang memperjuangkan hak
penggugurkan bayi dalam kandungan (freedom of abortion) atas dasar hak wanita atau women’s privacy. Anehnya, jika benar perjuangan HAM untuk mensejahterakan manusia, maka menjadi tanda tanya adakah bayi di dalam kandungan itu bukan manusia? Apakah bayi tidak mempunyai hak untuk hidup? Tidakkah ia suatu penafian hak? Perjuangan freedom of abortion secara automatis bermakna HAM menafikan hak manusia!

Penutup
Sepanjang sejarah HAM dan deklarasi UDHR, gerakan HAM hanya lantang memekik isu-isu batil seperti murtad, LGBT dan seumpamanya. Bukan hendak menafikan adanya usaha HAM membantu masyarakat manusia yang hidup melarat dan terpencil, tetapi suara HAM dalam hal sedemikian hanya bersifat suam-suam kuku atau hidup segan mati tak mahu.

Biarpun UDHR telah wujud lebih setengah abad, namun nasib rakyat Palestin masih tidak terbela. Adalah penting untuk kaum muslimin memartabatkan Deklarasi Kaherah berkaitan Hak Asasi Manusia di dalam Islam dengan menjadikannya piagam standard di setiap Negara Islam. Kita mesti lantang bersuara untuk mengetengahkan deklarasi tersebut disamping bersikap kritis terhadap setiap agenda yang dibawa oleh HAM Barat. Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) perlu saling berganding bahu bersama NGO Islam serta Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam membuat hebahan serta penjelasan kepada masyarakat khususnya umat Islam melalui program-program yang dirancang secara teliti dan berstrategi. Para ilmuwan dan ahli akademik pula berperanan untuk menyampaikan kefahaman yang lurus melalui pelbagai bentuk tulisan, wacana, diskusi dan sebagainya.

Merujuk kepada penulisan di atas, dapat difahami bahawa gerakan HAM yang berteraskan falsafah humanisme membawa ke arah kemudharatan kepada umat manusia. Paling penting ialah ianya bertentangan dengan konsep hak dan kebebasan menurut agama Islam, apatah lagi tika ia telah dianggap sebagai suatu agama baru yang didukung oleh faham atheisme.

Di sisi Islam kedudukan hak yang hakiki ialah apabila perkara yang hak itu tidak dipagari atau dicampur dengan perkara yang batil. Manakala makna kebebasan yang hakiki ialah apabila terhindar dari kejahilan. Oleh itu, jika benar mahu menegakkan perkara yang hak, mestilah disusuli dengan bentuk tindakan yang hak, penuh hikmah, beradab lagi fathonah (bijaksana). Bukan secara batil, biadab atau jahil yang bertentangan dengan batas undang-undang serta akhlak islamiyah yang luhur. Demikian dapat difahami akan makna – matlamat tidak menghalalkan cara.

Perihal ini berkaitan langsung dengan konsep adil di dalam Islam yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Maka sewajibnya yang hak diletakkan pada tempat yang hak, dan yang batil ditetapkan pada tempat yang batil. Garis sempadan atau had yang wujud di antara kedua-duanya mesti diperlihat secara jelas dan tidak sama sekali cuba disamar, apatah lagi jika dipadam.

Sesungguhnya Islam adalah agama yang hak, yang menyeru kepada hak dan menegak perkara yang hak. Dengan memahami dan melaksana hakikat hak yang hakiki, akan diperoleh hikmah kurnia Ilahi.

Wallahu’alam.

Nukilan OnDaStreet: Saya tidak mahu mengulas panjang, kerana artikel ini sudah panjang dan cukup ramuannya.

Semoga Tazkirah Jumaat kali ini dapat memberi manfaat dan semoga kita tidak terlajak dek kerana terlalu memperjuangkan “Hak Asasi Manusia”.

Wallahualam…  :)

-Harmonikan Ukhwah Sesama Insan-

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s