Tazkirah Jumaat: Belia


Bersempena Hari Belia Negara 2012, ingin saya kongsikan sebuah artikel yang agak menarik. Sumber dari laman www.ukhwah.com.

Ahli psikologi perkembangan Barat sebenarnya masih belum mencapai kata sepakat apabila menentukan golongan yang dikatakan remaja. Di negara kita, golongan berpendidikan tinggi lebih cenderung membuat sedikit perbandingan di antara remaja dan belia.

Walaupun perbezaannya masih belum jelas tetapi ia dapat memberi gambaran perbandingan di antara dua istilah itu.
Ahli psikologi perkembangan Barat sebenarnya masih belum mencapai kata sepakat apabila menentukan golongan yang dikatakan remaja. Di negara kita, golongan berpendidikan tinggi lebih cenderung membuat sedikit perbandingan di antara remaja dan belia. Walaupun perbezaannya masih belum jelas tetapi ia dapat memberi gambaran perbandingan di antara dua istilah itu.

Biasanya, remaja adalah mereka yang berada dalam lingkungan umur belasan tahun. Secara amnya, golongan remaja berumur antara 11 hingga 19 tahun. Terdapat beberapa istilah yang sering dikaitkan dengan remaja. Antaranya ialah awal belia, anak muda dan orang muda. Istilah lain yang berkaitan pula digunakan bagi menerangkan sifat umum yang ada pada diri remaja itu sendiri, seperti baligh dan matang. Perkataan juvenil juga sering disebut kerana ia berkait dengan remaja.

Kamus Dewan (2000:1121) menjelaskan, remaja bermaksud mulai dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur berkahwin. Ada banyak pengertian yang dapat dihuraikan apabila perkataan remaja dibincangkan. Walau bagaimanapun, banyak pihak bersetuju, tahap remaja adalah tahap umur berkembang dan melibatkan sesetengah perubahan. Antara orang yang mula menghuraikan perkembangan ini adalah pergi. Stanley Haal (1846-1924). Beliau menyatakan, tahap remaja adalah tahap ‘ribut dan tekanan’ melanda para remaja, kesan daripada faktor biologi dan psikologi yang berubah.

Beliau dapati pada tahap ini, remaja mengalami rasa kecewa, emosinya tidak stabil dan tidak dapat menyesuaikan emosinya. Beliau juga menganggap proses berkembang yang berlaku pada individu remaja tidak dipengaruhi oleh aspek luaran mahupun persekitaran. Buktinya, ibu bapa sering bermasalah apabila berdepan dengan remaja. Perkara ini cuma satu pandangan daripada banyak pandangan ataupun teori yang dikemukakan oleh pakar psikologi.

Robert Havighurst juga turut menghuraikan maksud remaja. Huraian beliau menarik kerana pandangan yang diberikannya bersifat elektif iaitu pandangan campuran yang meliputi biologi, sosiologi dan psikologi. Pandangan dan teori ini dikenali sebagai teori ‘tugas perkembangan’ (Developmental Task, Havighurst, 1972). Beliau menyatakan tahap remaja adalah tempoh individu menjalani beberapa tugas perkembangan.

Menurut beliau, tugas perkembangan ini perlu bagi individu dan didorong oleh masyarakat. Tugas perkembangan ini adalah keterampilan ataupun kebolehan, pengetahuan, fungsi, dan sikap yang individu perlu ada pada sesetengah tahap hidup mereka. Semua ini dicapai melalui kematangan fizikal, harapan sosial dan usaha belia itu sendiri. Tugas yang dimaksudkan itu adalah (Havighurst, 1972):
1. Menerima bentuk badan sendiri dan menggunakannya secara berkesan.
2. Berusaha mencapai hubungan yang lebih matang dengan kawan sebaya daripada kedua-dua jantina.
3. Berusaha mencapai peranan jantina sosial, lelaki ataupun perempuan.
4. Berusaha mencapai emosi yang bebas daripada pengaruh ibu bapa dan orang dewasa.
5. Menyiapkan diri supaya berjaya dalam ekonomi.
6. Menyiapkan diri bagi tujuan berkahwin dan berkeluarga.
7. Mahu dan mencapai sikap bertanggungjawab secara sosial.
8. Memperoleh bentuk nilai hidup dan sistem etika sebagai panduan bertingkah laku dan mewujudkan satu ideologi untuk diri sendiri.

Istilah dan Definisi Belia
Menurut Kamus Dewan (1994), belia bermaksud muda belia, sangat muda, golongan muda secara keseluruhannya yang terdiri daripada pemuda dan pemudi. K. H. Ali Yafie (1997) menjelaskan, menurut pandangan para ulama, ada tujuh tahap proses manusia berkembang sejak lahir hingga akhir usia, iaitu:
1. Usia bayi.
2. Usia kanak-kanak.
3. Usia remaja.
4. Usia dewasa muda.
5. Usia dewasa matang.
6. Usia tua.
7. Usia pikun.

Dalam teori Fikah, hanya ada empat tahap sahaja kerana manusia dikaitkan dengan tanggungjawab hukum yang dituntut ke atas setiap diri individu, iaitu:
1. Anak-anak di bawah umur.
2. Pra-dewasa atau remaja tanggungan.
3. Dewasa, akil baligh.
4. Orang tua yang tidak dikenakan tanggungjawab hukum.

Takrif belia menurut Kementerian Belia dan Sukan, Malaysia dalam kertas kerja “Cadangan Dasar Pembangunan Belia Negara” (1995), belia ialah orang yang berumur antara 15 hingga 40 tahun dengan alasan-alasan berikut:

1. Ia adalah takrif Majlis Belia Malaysia 1985.
2. Ia dianggap golongan yang sudah mencapai taraf matang yang memuaskan dan dapat menerima manfaat maksimum daripada rancangan-rancangan yang disusun.
3. Ia adalah sebahagian besar daripada jumlah rakyat negara ini. Apa-apa usaha bagi membina masyarakat, meninggal- kan kesan secara menyeluruh.

Kementerian Belia dan Sukan dalam “Draf Kajian Semula Dasar Belia Negara” mentakrifkan belia sebagai “mereka yang berumur antara 15 hingga 25 tahun.” Alasannya, ia selaras dengan takrif yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan diguna pakai oleh banyak negara. Menurut Commonwealth Youth Secretariate (1993), umur belia di sebahagian negara-negara anggotanya adalah seperti berikut:

Bangladesh: 15 hingga 30 tahun
Brunei Darussalam: 15 hingga 35 tahun
India: 15 hingga 34 tahun
Hong Kong: 10 hingga 24 tahun
Pakistan: 18 hingga 30 tahun
Singapura: 15 hingga 30 tahun
Sri Langka: 15 hingga 29 tahun

Azizan Bahari (1995) mengatakan, definisi sekarang yang menyatakan lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun sebagai belia itu adalah luas. Barangkali yang sesuai adalah antara 13 hingga 30 tahun. Ia adalah satu lingkungan umur yang sesuai dipanggil belia, walaupun masih terdapat beberapa hal yang berbeza daripada aspek tahap bersekolah, mencari kerja, memulakan kerjaya, berkenalan, mencari pasangan hidup, berumah tangga dan sebagainya. Biasanya, individu yang berusia lebih daripada 30 tahun sudah berkeluarga. Manakala mereka yang berusia lebih daripada 35 tahun, meletakkan kerjaya di samping masa depan keluarga sebagai fokus hidup.

Dalam buku Pembentukan Generasi Belia Selangor 2005: Satu Pengamatan, belia ditakrif berdasarkan peringkat umur dari 15 hingga 40 tahun. Julat umur di antara dua umur ini agak tinggi bagi memasukkan mereka dalam program pembangunan yang sama.

Keperluan golongan awal belia dan golongan akhir belia adalah berlainan. Oleh sebab itu, lebih baik mengkategorikan mereka mengikut kelompok berdasarkan faktor umur dan ke- giatan utama status hidup mereka, bagi menyediakan program pembangunan untuk mereka. Mereka dapat dibahagikan kepada kelompok berikut:
1. Golongan belia remaja. Rata-rata kumpulan ini masih di bangku sekolah. Antara beberapa perkara yang perlu ditekankan pada kumpulan ini adalah mendidik nilai, memupuk jati diri, di samping mendedahkan mereka dengan senario yang berubah dan impaknya ke atas mereka. Remaja yang mengalami krisis dan konflik identiti perlu dibimbing menerusi Program Rakan Sebaya atau menjinakkan mereka dengan kaunseling remaja.

2. Golongan belia institusi pengajian tinggi atau penuntut (18 hingga 25 tahun). Golongan ini terdiri daripada penuntut yang berada di institusi pengajian tinggi dan lepasan sekolah menengah. Mereka mula memasuki alam lebih bebas daripada kawalan ibu bapa mahupun peraturan sekolah. Pada peringkat ini, mereka perlu ditekankan dengan moral yang tinggi dan memupuk hubungan sihat apabila bergaul.

3. Golongan belia awal pekerjaan (18 hingga 23 tahun). Golongan ini perlu didedahkan dengan pelbagai peluang memajukan diri dalam bidang yang mereka ceburi. Galakan belajar dan menimba pengalaman perlu diutamakan. Di samping itu, program yang dapat meningkatkan kesedaran sosial yang sihat perlu diusahakan dan dilaksanakan.
4. Golongan belia industri (20 hingga 30 tahun). Sektor industri kini menyediakan peluang kerja yang tinggi di Selangor. Belia perlu diberi peluang meningkatkan diri dalam hal yang berkait dengan keperluan kemahiran bekerja dan membangunkan insan. Gerakan dan usaha memulihkan imej pekerja industri perlu diutamakan dengan meletakkan mereka pada posisi yang lebih baik daripada segi nama dan kehidupan sosial mereka.
5. Golongan belia veteran (30 hingga 40 tahun). Biasanya golongan ini sudah berumah tangga dan lebih menumpukan pada usaha mengukuhkan pendapatan keluarga serta mendidik anak-anak. Mereka ini lebih matang dan ada tanggungjawab yang lebih tinggi pada keluarga. Program membangunkan golongan ini perlu ditumpukan pada usaha meningkatkan kualiti hidup serta mengukuhkan institusi keluarga.

Menurut Azizan Bahari (1995), definisi sebagaimana yang dinyatakan di atas adalah luas dan tidak sesuai lagi bagi masyarakat kita yang cepat berkembang. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (khasnya ESCAP) menggunakan lingkungan umur antara 15 hingga 25 tahun, manakala Commonwealth Youth Programme (CYP) pula menganggap kumpulan umur 18 hingga 35 tahun sebagai belia.

Walaupun pelbagai interpretasi dikemukakan apabila membincangkan isu belia, definisi yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan dijadikan fokus yang dibincangkan dalam kajian ini bagi mengikut ketetapan masyarakat yang selari dengan Kementerian Belia dan Sukan. Hal ini memudahkan kita memahami dan menyusun strategi selari dengan matlamat membangunkan belia negara.

Cukup umur atau baligh
Daripada perspektif Islam pula, belia dikaitkan dengan umur baligh. Di dalam al-Quran ada disebut perkataan fata dan dalam hadis pula disebut perkataan syabab. Kedua-duanya membawa maksud pemuda atau belia, (Abdul Ghafar Hj. Don, 1996). Menurut Islam, manusia ditentukan kewajipan melaksanakan tanggungjawab kepada Allah, rasul dan masyarakat. Justeru itu, Islam menetapkan usia baligh dan akal sempurna sebagai faktor penentu. Menentukan umur baligh penting bagi menentukan sama ada remaja itu sudah sampai tahap mukalaf ataupun tidak. Mukalaf bermaksud orang yang sudah cukup umur dan diwajibkan mematuhi hukum-hakam Islam. Mereka dipertanggungjawabkan ke atas segala tingkah laku serta perbuatan mereka. Dalam satu hadis Nabi Muhammad berkata, mafhumnya:
“Terangkat kalam (catatan amal) daripada tiga perkara, daripada orang yang tidur sehingga ia terjaga, daripada kanak-kanak sehingga ia bermimpi dan daripada orang gila sehingga ia berakal.” (Sunan Abu Daud, t.tahu)

Menurut ahli perundangan Islam, syarat pertama bagi menentukan baligh dilihat pada lima perkara. Tiga untuk lelaki dan dua untuk perempuan. Tanda baligh bagi lelaki adalah bermimpi berserta keluar mani, pertumbuhan fizikal badan dan bersuara garau atau kasar. Bagi perempuan pula apabila datang haid dan mengandung (Abu Abdullah Muhammad, 1967).

Menurut Imam Syafie, umur baligh bagi perempuan ialah 10 tahun qamariyyah. Lelaki pula ialah 12 tahun qamariyyah (Abu Abdullah Muhammad, 1967). Namun begitu, sama ada cepat ataupun lambatnya umur baligh individu dipengaruhi oleh keadaan serta persekitaran di mana kanak-kanak itu berada.

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah mereka yang berumur antara 15 hingga 24 tahun pada tahun 1995 ialah 3.79 juta (18.89 peratus daripada jumlah penduduk 22.43 juta). Manakala dalam Kertas Cadangan Dasar Pembangunan Belia Negara (1995) pula, dinyatakan jumlah penduduk yang berumur antara 15 hingga 39 tahun pada tahun 1995 adalah 8.39 juta (41.80 peratus), dan pada tahun 2000 adalah 9.25 juta (41.24 peratus).

Selepas menjelaskan definisi remaja dan belia, dapat dirumuskan ketetapan masyarakat yang selari dengan Kementerian Belia dan Sukan perlu diutamakan bagi memudahkan pendekatan, perbincangan dan perbahasan di dalam buku ini. Istilah remaja dan belia disatukan dan dikupas secara menyeluruh. Perbincangan pula difokuskan mengikut tahap umur apabila perlu bagi mengkategorikan belia menurut tahap perkembangan.

Dipetik daripada: Petikan Bab 1, buku Menjadi Belia Cemerlang

Nukilan OnDaStreet: Pada pandangan OnDaStreet, apa yang ternukil ada kebenarannya. Walaupun kini usia “belia” itu banyak diperdebat dan dibincangkan, yang pasti, ramai merasakan diri mereka “muda belia” walaupun menginjak usia yang sudah tidak begitu “junior”.

Kebiasaannya, definasi “belia” ini lebih banyak terkait dan melibatkan gerakan belia yang diketuai oleh yang sudah melepasi belia. Sebagai contoh, lihat sahaja isi kandungan debat antara YB Dato Saifuddin dan Saifuddin Nasution di iPidato tidak lama dahulu.

Walauapapun, diharap tazkirah kali ini masih dapat memberi manfaat, panduan dan muhasabah diri tentang apa yang telah kita capai dan selama mana lagi kita dapat bernafas dimuka bumi ini. Ini kerana, hidup di dunia ini hanya sementara. Malah, terdapat di sesetengah keadaan, ada yang langsung tidak menginjak usia belia.

Wallahualam….

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s