Tazkirah Jumaat: Belajarlah Mendengar


Pertama sekali, mohon maaf kerana gagal berkongsi Tazkirah Jumaat dalam beberapa Jumaat yang lepas.

Tazkirah Jumaat kali ini ingin berkongsi sebuah artikel, untuk renungan bersama:

MANUSIA yang lemah hanya mementingkan diri sendiri. Baginya orang lain belakang kira, langsung tidak diendahkan.

Antara jenis pentingkan diri ialah tidak mahu mendengar suara orang di sekitarnya. Cuma yang dia mahu dengar ialah suara nafsu dan keinginannya saja, walaupun kadangkala orang menderita disebabkan sikapnya.

Suara luar, rintihan yang di sekelilingnya tidak diendahkannya. Baginya itu semua tidak penting.

Nabi Sulaiman a.s sanggup mendengar suara dan pendapat luar walaupun daripada seekor burung hud-hud mengenai negeri Saba’.

Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w mendengar pendapat dan pandangan sahabat, kemudian bersama berfikir mengenai cadangan dan akhirnya melaksanakan kesimpulan yang dipersetujui. Bukankah itu memberikan kejayaan!

Pemimpin yang baik ialah mereka yang dapat menyentuh hati golongan dipimpin. Tetapi sebelum kita dapat menyentuh yang dipimpin, kita semestinya menyelami apa ada dalam hati mereka.

Hendak menyelami hati mesti mendengar dulu suara mereka. Semestinya kita menjadi pendengar yang baik.

Dalam kehidupan seharian antara suara yang perlu kita dengar ialah:

1. Suara mereka yang dekat dengan kita seperti suara hati suami, isteri, anak, teman dan sahabat kita.

Luangkan masa mendengar sama ada pujian atau teguran. Tunjukkan wajah yang simpati dan tindak balas.

Hindarilah wajah yang dingin kerana ia akan melukakan mereka yang sedang berkomunikasi dengan kita. Banyak orang yang suka ceritanya didengari daripada memenuhi permintaan.

2. Suara pelanggan. Kepada yang ingin berjaya luangkanlah waktu untuk mendengar suara pelanggan (terutama peniaga dan pemberi perkhidmatan) dan mendengar suara umat (bagi golongan pendakwah atau pakar motivasi) kerana kadangkala ilmu dan hikmah datang daripada suara mereka ini.

Apabila suara mereka mengandungi makian hadapilah dengan positif dan sangka baik serta cuba perbaiki diri.

Jika suara mereka mengandungi pujian pertahankan pujian dengan mempertingkatkan kualiti.

3. Suara lawan. Suara lawan memang sukar untuk diterima, malah kadang-kadang disambut dengan lawan juga.

Bagi mereka yang bijaksana, suara lawan sebenarnya sangat berharga. Melalui kritikan mereka kita mengetahui lemah kita, bahkan yang cacat akan diperbaiki.

Kata bijak pandai ‘apabila lawan kita menceritakan aib kita sebenarnya kita patut berterima kasih kerana dia bersusah meluangkan masa dan fikirannya menasihati kita’.

Cuba fikirkan, berapa banyakkah waktu yang kita pernah guna untuk memperbetulkan dan muhasabah diri kita?

Mulai sekarang marilah kita belajar mendengar, bukan sahaja kata-kata tetapi juga perasaan mereka di sekitar. Nanti mereka juga akan mendengar perasaan kita.

Oleh: Lokman Mohd Hashim

Nukilan OnDaStreet: Sejak kebelakangan ini, begitu ramai orang yang bersuara, terutama orang-orang politik dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan politik. Masing-masing ingin bersuara, dan mahukan tuntutan atau kehendak mereka dipenuhi. Apa yang cuma mahu didengari adalah tuntuntan atau kehendak mereka dipenuhi 100%. Jika tidak, bersiap sedialah kamu.

Adakah ini yang dianjurkan oleh Islam? Berbincang, berbicara, tetapi tidak mendengar dan bertolak ansur? Jika berkaitan dengan akidah, saya boleh faham. Akan tetapi kebanyakan perkara adalah bukan berkaitan dengan akidah.

Belajar-belajarlah untuk mendengar supaya paling tidak, apabila kita berbicara, kita tidak kelihatan bodoh atau sombong mahupun kita menelan kata atau tuduhan kita sendiri kerana GAGAL MENDENGAR dengan baik.

Semoga Tazkirah Jumaat kali ini dapat memberi manfaat bersama…

Wallahualam….

One thought on “Tazkirah Jumaat: Belajarlah Mendengar

  1. Nabi Sulaiman a.s sanggup mendengar suara dan pendapat luar walaupun daripada seekor burung hud-hud mengenai negeri Saba’. Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w mendengar pendapat dan pandangan sahabat, kemudian bersama berfikir mengenai cadangan dan akhirnya melaksanakan kesimpulan yang dipersetujui. Bukankah itu memberikan kejayaan!

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s