Komentar Ucapan DS Najib: Transformasi Pacu Kejayaan Negara (Bahagian 2)


Sambungan daripada Bahagian 1

Untuk tempoh jangka panjang, menyedari bahawa perumahan adalah komponen terbesar kos sara hidup, maka kerajaan memperkenalkan Skim Perumahan 1Malaysia atau PR1MA untuk membina perumahan mampu milik di kawasan bandar bagi golongan pertengahan, manakala untuk golongan berpendapatan rendah skim seperti Projek Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan ditingkat giatkan lagi.

Bagi perumahan kawasan luar bandar, pembinaan rumah yang mencukupi diterajui oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Kerajaan juga tidak melupakan perumahan bagi golongan nelayan. Bagi tahun ini sebanyak RM300 juta diperuntukkan di bawah Tabung Khas Perumahan Nelayan untuk membina dan membaik pulih rumah.

Selain semua inisiatif di atas, kerajaan juga komited untuk meneruskan dasar subsidi yang terpilih membabitkan makanan seperti beras, gula, minyak masak dan tepung gandum, hasil petroleum termasuk minyak kereta, diesel dan gas memasak.

Kerajaan juga memberikan subsidi bil elektrik bagi satu juta isi rumah membabitkan bil bernilai RM20 ke bawah. Segala subsidi ini membabitkan peruntukan sebanyak lebih RM30 bilion setahun.

Kerajaan yang sedia ada ialah kerajaan berkebajikan dan bertanggungjawab. Pengurusan ekonomi serta hasil secara berhemat memungkinkan lebih RM30 bilion diperuntukkan setiap tahun untuk subsidi secara langsung bagi mengurangkan bebanan hidup rakyat serta hampir RM3 bilion untuk berian terus bagi 2012.

(Komen OnDaStreet: Rumah merupakan salah satu keperluan asas untuk berteduh dari panas dan hujan. Kemudahan asas yang satu ketika dahulu amat disyukuri.

Namun kini, dengan sikap antara kita yang kurang berterima kasih (mungkin kerana antara kita yang tidak mendapat faedah tersebut atau merasakan itu tanggungjawab kerajaan, bukan tanggungjawab terhadap diri sendiri), projek-projek sebegini tidak dipandang begitu penting oleh sesetengah rakyat Malaysia.

Lebih parah, dengan harga rumah yang kini lebih mahal (atau sengaja dibina untuk mereka yang mewah dan berduit), golongan berpendapatan sederhana sukar untuk membeli hartanah samada untuk pelaburan mahupun aset tetap mereka. Boleh dikatakan, dikalangan mereka ada yang terasa dipinggirkan. Manakan tidak, pemaju membina rumah untuk mereka yang mewah, kerajaan cuba membantu mereka yang kurang mampu. Maka, hartanah untuk mereka yang berpendapatan sederhana lebih terhad berbanding dengan yang lain.

Disinilah, merujuk kepada satu artikel saya yang lalu, saya merasa hairan dengan perancangan pembinaan rumah kediaman yang tidak melihat kepada keperluan penduduk, tetapi melihat kepada peluang keuntungan (dimana, apabila gagal, kerajaan juga yang dicari dan diminta untuk tanggung). Sedikit sebanyak, pemaju dan perancang bandar perlu bertanggungjawab dalam memastikan pembangunan Malaysia yang stabil dan harmoni.

Oh ya, ini belum masuk kisah letak tempat kereta yang tidak memadai!!!)

Keduanya, NKRA yang bermatlamat mengurangkan kadar jenayah.

Kerajaan mengambil langkah inovatif dan kreatif melalui strategi lautan biru (national blue ocean strategy) untuk meningkatkan jumlah anggota polis terutama di kawasan panas. Strategi ini nyata berkesan di mana kadar jenayah jalanan berjaya dikurangkan sebanyak 39 peratus, manakala jenayah keseluruhan berkurangan sebanyak 11 peratus semenjak 2009.

Usaha mengurangkan kadar jenayah jalanan menyaksikan era baru kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di mana pusat latihan tentera sedia ada dimanfaatkan untuk melatih juga anggota polis.

Kesannya, dengan kos yang minimum lebih banyak anggota polis boleh dilatih dengan kadar lebih pantas, seterusnya diatur gerak ke kawasan yang memerlukannya. Di bawah strategi lautan biru ini juga rondaan bersama anggota polis dan tentera serta anggota RELA dan Jabatan Pertahanan Awam yang dilatih khusus serta dikawal selia oleh pihak PDRM dilaksanakan bagi tujuan pencegahan jenayah. Sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan kadar jenayah ini juga, teknologi inovatif dan moden seperti pemasangan CCTV akan di tingkat luaskan.

(Komen OnDaStreet: Kerjasama diantara polis dan tentera amat diharapkan bagi membantu mengurangkan kadar jenayah di Malaysia ini. Sememangnya dari segi atur gerak bersama dua badan beruniform yang telah melalui pelbagai pengalaman getir sejak penubuhannya (dan Malaysia), amat dialu-alukan. Namun, mungkin terdapat dikalangan rakyat tidak nampak akan kejayaan dan keampuhan mereka ini, mereka tidak dinilai dengan baik. Manakan tidak, sesetengah rakyat Malaysia disuapkan dengan unsur-unsur yang hidup di Malaysia ini tidak selamat. Hanya kerana sesetengah nama yang dikenali rakyat dirompak, Malaysia terus dianggap tidak selamat.

Oleh itu, walaupun kerjasama antara dua badan beruniform ini penting, kerjasama daripada rakyat Malaysia sendiri juga penting dalam membendung kadar jenayah di Malaysia. Pasukan keselamatan yang paling cekap didunia sekalipun, akan melalui saat yang sukar jika tiada kerjasama daripada rakyat.

Maka, adalah penting untuk setiap satu daripada kita untuk memastikan keselamatan dan keharmonian hidup kita di Malaysia.)

Ketiga, NKRA yang bermatlamat meningkatkan pencapaian pelajar.

Buat pertama kalinya dalam sejarah negara, pendidikan peringkat rendah dan menengah adalah percuma. Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan besar setiap tahun untuk bidang pendidikan. Hasilnya, 77 peratus daripada anak kita mendapat peluang mengikuti pembelajaran peringkat prasekolah berbanding 67 peratus, dua tahun lalu.

Kerajaan menyedari anak ialah permata negara. Pendidikan seawal mungkin menjamin mereka mendapat kelebihan persaingan dalam kehidupan masa depan.

Kerajaan juga menyedari peri pentingnya peranan guru dalam memastikan sistem pendidikan berkualiti. Menyedari hakikat itu, saya pun mengumumkan laluan karier perguruan yang lebih baik berasaskan sistem kenaikan pangkat ‘time based’ dalam Bajet 2012 dan mengumumkan jaminan penerusan komitmen berkenaan dalam ucapan saya kepada anggota perkhidmatan awam baru-baru ini.

(Komen OnDaStreet: Dari sudut pencapaian akademik, tidak dinafikan akan kejayaan pelajar-pelajar kita saban tahun. Namun, dalam masa yang sama, kita dapat lihat pembinaan dan kemajuan sahsiah itu agak kurang menyenangkan.

Disinilah dilema kerana kejayaan sahsiah tidak boleh diukur dengan ujian pada satu masa yang tertentu. Maka, kerana itulah, pembangunan sahsiah perlu berterusan, serta perlu dilakukan bersama oleh mereka yang lebih matang dan berusia.)

Keempat, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar.

Kerajaan tidak pernah melupakan penduduk luar bandar. Keprihatinan kerajaan ini terbukti apabila pada 1959 Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar ditubuhkan. Sejak tiga tahun lalu, usaha untuk mempertingkatkan kemudahan asas luar bandar diberikan nafas baru dengan penekanan ke Negeri Sabah dan Sarawak.

Setakat ini, hampir 1,000 kilometer jalan luar bandar sudah dibina. Dalam sejarah negara, ini adalah jumlah kilometer jalan terpanjang yang pernah dibina dalam tempoh dua tahun. Sebagai perbandingan, panjangnya melebihi Lebuh Raya Utara-Selatan sedia ada.

Menggunakan strategi lautan biru, Angkatan Tentera Malaysia melalui Projek Jiwa Murni telah membantu dalam pembinaan jalan luar bandar ini. Contohnya, Long Lopeng ke Ba’kelalan, Kuala Medalam ke Medamit, Limbang dan Kampung Saeh, Bekenu, Miri.

Sejak pelaksanaan NKRA ini tiga tahun lalu, sebanyak 27,000 lagi isi rumah luar bandar mendapat nikmat bekalan elektrik dan lebih 70,000 lagi isi rumah pula mendapat bekalan air bersih.

Hasil langkah ini meningkatkan akses rakyat Malaysia kepada air bersih. Bagi negeri Sabah peningkatan membabitkan lapan peratus membabitkan lebih 150,000 penduduk. Bagi negeri Sarawak, peningkatan ialah sebanyak 5.3 peratus membabitkan lebih 100,000 penduduk, manakala bagi negeri-negeri di Semenanjung, peningkatan ialah sebanyak 3.6 peratus yang membabitkan lebih 250,000 penduduk. Bagi bekalan elektrik pula, negeri Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak 6.8 peratus dan 6.2 peratus, yang memanfaatkan lebih daripada 230,000 penduduk.

Bagi merancakkan lagi pembangunan luar bandar, kerajaan melancarkan Program Transformasi Luar Bandar sebagai sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional. Di bawah program ini, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) telah dan bakal didirikan.

Pusat RTC pertama dilancarkan di Gopeng, Perak, manakala RTC yang berikutnya akan dilancarkan di Kota Bharu dan beberapa lokasi yang dikenal pasti.

(Komen OnDaStreet: Pembangunan berterusan untuk luar bandar dipuji, biarpun diperlekeh oleh Pakatan Rakyat.

Oleh itu, kerajaan perlu dilihat telus dan tulus untuk meneruskan pembangunan untuk luar negara.

Dan dalam masa yang sama, rakyat juga perlu faham, dalam sesuatu perancangan dan pembangunan, keutamaan sesuatu perkara itu berbeza berdasarkan keperluan dan sumber yang ada. Tidak semua boleh dicapai dan dibelanja pada masa yang sama. Kadangkala, ianya perlu dilakukan secara berperingkat.)

Kelima, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan pengangkutan awam bandar.

Bagi meningkat kualiti kehidupan rakyat terutama di kawasan bandar, kerajaan akan melaksanakan beberapa projek besar pengangkutan awam. Projek paling utama ialah projek MRT yang merupakan projek pengangkutan awam bandar jangka panjang paling komprehensif dalam sejarah pengangkutan awam negara. Fasa pertama projek ini dijangka siap dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, kerajaan sudahpun mengambil tindakan untuk meningkatkan sistem pengangkutan LRT dengan penambahan dari gerabak dua koc kepada gerabak empat koc, dan pemanjangan kedua-dua laluan Kelana Jaya dan Ampang Jaya. Pemanjangan kedua-dua laluan ini dijangka memanfaatkan lebih 500,000 pengguna sehari ketika waktu puncak.

Bagi perkhidmatan komuter KTM pula, koc baru sudah pun dibeli dan akan diperoleh secara berperingkat. Ini akan meningkatkan mutu dan keselesaan perkhidmatan komuter. Langkah ini dijangka meningkatkan keselesaan kepada hampir 100,000 pengguna harian.

KTM juga kini dalam proses mempersiapkan laluan berkembar dan proses elektrifikasi laluan Ipoh-Padang Besar.

Di bawah NKRA ini juga, kerajaan telah memperkenalkan Bas Ekspresway Transit (BET) yang memanfaatkan 370,000 pengguna setiap hari.

(Komen OnDaStreet: Tidak dapat tidak, perkara ini perlu diberi perhatian yang serius, terutama di kawasan bandar. Ramai rakyat Malaysia yang hidup dibandar menghabiskan masa dijalanraya, ketika pergi dan balik daripada pejabat.)

Keenam, NKRA yang bermatlamat mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah.

Perang terhadap kemiskinan dilancarkan secara sistematik dan berterusan sejak kemerdekaan lagi. Ia dilaksanakan secara lebih saintifik bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971-1990). Matlamat kedua DEB adalah untuk mengurangkan dan seterusnya membasmi kemiskinan. Alhamdulillah, kita berjaya membasmi kemiskinan tegar apabila kita mengeluarkan lebih 44,000 isi rumah daripada kategori berkenaan. Namun, kita tetap waspada terhadap kes baru yang mungkin berlaku.

Kerajaan juga melaksanakan pelbagai inisiatif, seumpama akhiri zaman miskin atau 1AZAM yang memberi nikmat kepada lebih 47,000 isi rumah membabitkan perbelanjaan lebih RM500 juta, manakala di bawah program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA pula sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan setiap tahun kepada 500,000 penerima bantuan kebajikan masyarakat seluruh negara.

(Komen OnDaStreet: Peningkatan pendapatan isi rumah tidak begitu terasa dek kenaikan harga barang keperluan. Biarpun kerajaan telah berusaha, namun, nyata terdapat dikalangan mereka yang berniaga ini mementingkan diri sendiri. Apa yang dijaga adalah poketnya sendiri.

Senario ini jelas, terutama sekali apabila kerajaan mengisytiharkan bonus atau kenaikan gaji, dan pada ketika itulah peniaga menaikkan harga. Namun, menurunkannya agak sukar sekali.

Oleh itu, adalah diharapkan BR1M mampu membantu memperbaiki mutu hidup rakyat Malaysia.)

Bersambung….

One thought on “Komentar Ucapan DS Najib: Transformasi Pacu Kejayaan Negara (Bahagian 2)

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s