Komentar Ucapan DS Najib: Transformasi Pacu Kejayaan Negara (Bahagian 1)


Suatu ketika dahulu, saya pernah memberi komentar dalam dua bahagian apabila DS Najib menyampaikan ucapan mengenai Model Ekonomi Baru pada Mac 2010. Ianya boleh dibaca di sini dan sini.

Sumber teks ucapan DS Najib saya ambil daripada Berita Harian. Sebagaimana model komentar saya pada ucapan teks DS Najib untuk Model Ekonomi Baru, begitu jugalah yang akan saya lakukan pada kali ini.

Mari kita mulakan…

Rakyat Malaysia sekalian, CERITERA kejayaan Malaysia adalah ceritera yang ditinta emas. Ia dilakar oleh sumbangan semua rakyat Malaysia dari Perlis hinggalah ke Sabah. Hakikatnya, ia hasil sumbangan warga 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan yang walaupun dipisahkan secara fizikalnya oleh Laut China Selatan, namun disatukan roh dan semangatnya oleh kehendak untuk hari ini yang lebih baik daripada hari semalam dan hari esok yang penuh dengan harapan di bawah lembayung kibaran jalur gemilang.

Kejayaan ini hasil sumbangan usahawan kecil, sederhana dan besar yang berani mengambil risiko, ia hasil sumbangan petani, pesawah, pekebun, peladang, penternak dan nelayan yang gigih menggunakan kudrat, ia hasil sumbangan guru, pensyarah, wartawan, karyawan dan cendekiawan yang mendidik serta memberi kesedaran, ia hasil pengorbanan anggota tentera dan polis yang setia mempertaruhkan jiwa dan raga demi keselamatan negara tercinta, ia hasil sumbangan penjawat awam, pekerja swasta, pekerja kolar putih, biru dan buruh yang menjadi roda yang menggerakkan pembangunan negara, pendek kata kejayaan nasional adalah kejayaan yang dibina semua warga Malaysia.

Tugas kita hari ini sebagai generasi baru Malaysia yang mewarisi watan daripada generasi terdahulu teramat berat, kita dipanggil semboyan pertiwi bagi me-neruskan tugas mulia membina negara bangsa Malaysia.

Kita berdiri di atas bahu patriot negara, bahu gergasi bapa pengasas Malaysia. Kita berhadapan dengan amanah dan cabaran bagaimana membina di atas kejayaan sedia ada di samping meneruskan proses perubahan dan pembaharuan nasional.

Tiga tahun lalu, saya berdiri di hadapan tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari bagi menyampaikan ucapan sulung saya selaku Perdana Menteri Malaysia keenam.

Di dalam ucapan sulung berkenaan, saya menggariskan prinsip yang akan memandu hala tuju kerajaan pimpinan saya dalam bergerak ke hadapan, prinsip yang dimaksudkan ialah 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Falsafah asas yang saya dan rakan pilih menjadi teras kerajaan ini, ialah falsafah yang merai dan menuil kemajmukan masyarakat Malaysia yang sedia ada. Ia menjunjung harapan mereka untuk membentuk masa hadapan lebih baik. Falsafah ini terbentuk hasil daripada proses merasai denyut nadi rakyat, menggarap aspirasi serta mendengar keluh kesah mereka.

Ia dibentuk bagi menangani tiga cabaran utama era globalisasi dan era dunia tanpa sempadan, iaitu pertama, dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk Malaysia. Kedua, bagi membentuk sistem penyampaian kerajaan yang lebih mendakap aspirasi rakyat dan ketiga, mengeluarkan Malaysia daripada perangkap gejala negara berpendapatan sederhana yang melanda banyak negara lain di dunia, di mana kadar pertumbuhan semakin perlahan dan pembangunan menjadi statik malahan dalam kes yang ekstrem ia mula menjadi regresif.

(Komen OnDaStreet: Selama ini, ramai yang kurang jelas apakah definasi dan liputan konsep 1Malaysia. Ya, ia diulang-ulang, tetapi masih kurang jelas gambaran yang diberikan. Dengan penjelasan di perenggan di atas, iaitu dibentuk bagi menangani tiga cabaran utama, konsep 1Malaysia seharusnya menjadi lebih mudah untuk difahami oleh lebih ramai rakyat Malaysia.

Benar, kita selama ini berdiri dikalangan masyarakat Malaysia yang majmuk. Kita sedar akan itu. Kita juga mampu bekerjasama, biarpun ada diantara kita masih pentingkan diri sendiri. Namun, dengan desakan keperluan hidup, ada diantara kita mudah terlupa akan asas perpaduan yang membentuk Malaysia.

Walaupun sedikit sebanyak tekanan itu berpunca daripada keadaan semasa, yang juga melanda beberapa negara, kerajaan yang dipilih perlu berusaha untuk rakyat, tidak menyalahgunakan kepercayaan rakyat dan seharusnya pembangkang membantu menjernihkan suasana, bukan mengeruhkan suasana dengan memburukkan Malaysia di luar negara.)

Rakyat Malaysia yang dihormati,
Sebarang perubahan dan pembaharuan yang ingin kita bawa, wajib berasaskan premis bahawa sebagai negara yang majmuk survival kita bergantung pada keberterusan keutuhan perpaduan nasional yang didasarkan kepada keyakinan bahawa kepelbagaian yang kita miliki adalah sumber kekuatan, bukannya kelemahan.

Kita perlu memanfaatkan bakat yang terbaik dari kolam bakat kebangsaan bagi membangunkan negara serta menambah kekayaan nasional tanpa mengira ras dan kepercayaan penyumbang berkenaan. Perkiraan pertama dan terakhir seharusnya adakah mereka warga negara yang mampu menyumbang.

Sepanjang lipatan sejarah pembangunan negara Malaysia, dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi, ia menyaksikan sumbangan mereka yang datang dari semua kaum dan semua kepercayaan.

Menjadi keyakinan yang saya nyatakan secara terbuka bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya, era kerajaan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir. Menginsafi hakikat ini, dalam menggubal komponen pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Program Transformasi Kerajaan atau GTP, kita mewujudkan makmal khusus bagi mendapat maklum balas daripada rakyat, mengenai apakah yang sebenarnya menjadi urutan keutamaan mereka.

Hasil daripada merundingi rakyat, sebanyak tujuh bidang keberhasilan utama atau NKRA dikenal pasti untuk dilaksanakan. Bagi memastikan pencapaian KPI di bawah NKRA ini akan mampu dicapai mengikut jadual atau lebih pantas, maka kerajaan mengambil keputusan untuk menggunakan strategi lautan biru kebangsaan atau ‘national blue ocean strategy’ di dalam beberapa NKRA.

(Komen OnDaStreet: Jika menilai keadaan semasa, sudah mula ramai yang mempersoalkan apa yang negara dan kerajaan boleh berikan kepada mereka, bukan sebaliknya. Lebih merisaukan, ianya datang daripada golongan belia dan remaja, berumur 35 tahun ke bawah. Antara sedar atau tidak, majoriti golongan ini adalah mereka yang sedang membesar ketika DS Anwar Ibrahim dipecat sebagai Perdana Menteri Malaysia. Ramai daripada golongan ini dibakar dengan pelbagai idea yang menarik, dan berdasarkan faktor darah muda, dan tidak melalui keadaan sukar, adalah tidak menghairankan mereka mempersoalkan apa yang negara dan kerajaan yang boleh berikan kepada mereka, dan bukan mereka kepada negara.

Namun, meletakkan sepenuhnya kepada mereka adalah tidak adil. Ini juga sedikit sebanyak berpunca daripada didikan ibubapa dan juga kesilapan para pemimpin yang dipercayai mereka. Kerana itulah, pada hari ini, ada yang begitu bencikan Tun Dr Mahathir dan DS Anwar Ibrahim, tanpa mengambil kira jasa dan bakti yang telah mereka lakukan. Apa yang kelihatan, hanyalah buruk dan kelemahan mereka.

Ini ditambah buruk dengan kelemahan pentadbiran Tun Abdullah Badawi. Kelemahan yang saya maksudkan disini adalah pelbagai keputusan yang telah diambil sepanjang pentadbiran beliau, yang diwarnai aksi YB Khairy dan keluarga Tun Abdullah sendiri.

Apa yang jelas, sentimen itu masih berterusan, apatah lagi dengan beberapa keputusan yang diambil seperti tidak dinilai dengan baik. Lebih parah, jika dahulu Khairy menjadi watak jahat, kini isteri DS Najib sendiri digambarkan memainkan watak itu.)

Pada malam ini, genaplah tiga tahun pentadbiran saya. Saya berdiri pada malam ini bagi melaporkan kepada tuan-tuan dan puan-puan apa yang kita capai setelah perencanaan yang rapi dan pelaksanaan yang berstrategi.

NKRA yang diberi keutamaan, adalah untuk menangani kos sara hidup. Kerajaan prihatin bahawa rakyat terhimpit akibat tekanan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat. Ia melanda bukan saja penduduk bandar tetapi juga penduduk luar bandar. Hakikatnya, semua segmen warga negara terkesan olehnya. Bagi meringankan bebanan ini, kerajaan merangka pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menanganinya.

Antara langkah jangka pendek bersifat ‘one off’ yang dilaksanakan bagi 2012 ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M, sebanyak RM500 yang memanfaatkan hampir empat juta isi rumah negara berpendapatan di bawah RM3,000.

Tidak cukup dengan bantuan BR1M, kerajaan juga memberikan bantuan persekolahan RM100 untuk setiap pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini memanfaatkan 5.3 juta pelajar sekolah di seluruh negara.

Bagi pelajar institusi pengajian tinggi dan Tingkatan Enam pula, mereka tidak dilupakan. Baucar buku bernilai RM200 disediakan yang memanfaatkan 1.3 juta pelajar. Semua bantuan ini membabitkan peruntukan hampir RM3 bilion.

Kerajaan juga baru-baru ini mengumumkan kenaikan gaji 7 hingga 13 peratus bagi 1.4 juta kakitangan sektor awam yang memanfaatkan hampir empat juta rakyat Malaysia, manakala bagi sektor swasta, saya akan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum pada akhir bulan ini.

Untuk langkah jangka sederhana, kerajaan memperkenalkan beberapa prakarsa bagi mengurangkan tekanan kos hidup antaranya, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia serta pembekuan kenaikan untuk tempoh lima tahun bayaran tol di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur serta penghapusan tol di beberapa laluan seperti di Lebuh Raya Cheras- Kajang dan Lebuh Raya Connaught.

(Komen OnDaStreet: BR1M yang disampaikan merupakan satu bantuan yang baik kepada rakyat, biarpun ianya bukanlah sesuatu yang baik untuk rakyat dan kerajaan kini untuk satu jangka masa yang panjang. Benar, saya boleh nilaikan ini sebagai usaha sementara menantikan “pokok” yang ditanam membuahkan hasil.

Namun, oleh kerana kita punya sebuah pakatan pembangkang yang amat arif dalam membangkang dan skandal pinjaman kewangan NFC yang masih tidak berkesudahan, ianya sedikit sebanyak membawa sedikit implikasi negatif kepada sesetengah rakyat Malaysia.

Lebih parah, bantuan yang diberikan itu tidak disyukuri oleh sesetengah rakyat Malaysia. Manakan tidak, dengan hanya skandal pinjaman NFC, pembangkang dapat menggambarkan kepada rakyat, disebalik pengagihan BR1M, terdapat ketirisan yang banyak, biarpun tiada bukti yang kukuh. 

Oleh kerana insiden-insiden tidak bertanggungjawab oleh mereka yang tidak amanah, adalah tidak menghairankan remaja dan mahasiswa yang idealistik mula hilang kepercayaan terhadap kerajaan hari ini. 

Cuma, yang lebih malang adalah, terdapat dikalangan mereka ini bukan bersandarkan mana-mana parti politik. Golongan seperti mereka ini dalam kerajaan, dan akan berada dalam perkhidmatan, biarpun Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat yang menjadi kerajaan. Kerana itulah, biarpun beberapa kerajaan negeri ditadbir oleh Pakatan Rakyat, masalah ketirisan masih lagi berlaku.)

Bersambung…

One thought on “Komentar Ucapan DS Najib: Transformasi Pacu Kejayaan Negara (Bahagian 1)

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s