My Malaysia: Belanjawan “Transformasi” BN vs Belanjawan “Kesejahteraan” PR


Artikel ini mungkin lapuk, tetapi serasanya ianya perlu. Memandangkan ada dakwaan yang mengatakan Barisan Nasional meniru Pakatan Rakyat, eloklah disekalikan kedua belanjawan dalam satu artikel untuk kita lihat sejauh mana DS Najib meniru DS Anwar.

Dengan kedua belah pihak telah membentangkan Belanjawan mereka untuk rakyat, marilah kita lihat dan bandingkan isu-isu dan realistiknya apa yang telah dibentangkan. OnDaStreet akan cuba mengulas bahagian-bahagian yang difikirkan wajar untuk diperhatikan dan diberi lebih tumpuan.

Intipati menarik Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat:-

  • Pakatan Rakyat mengambil pendekatan yang sangat berbeza. Sementara kita memberi perhatian kepada perkara-perkara makro ekonomi (baik persoalan defisit, pelaburan swasta, angka-angka pertumbuhan, keberdayasaingan ekonomi negara), kita jangan sekali-kali alpa bahawa maqassid perancangan belanjawan adalah untuk mengangkat keperluan rakyat mengatasi yang lain;
  • Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar  4.4% daripada KDNK;
  • Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012;
  • Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan pendapatan kurang dari RM18,000 setahun;
  • Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion;
  • Bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550;
  • bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan;
  • Gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Pakatan Rakyat akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada. Gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan;
  • Pakatan Rakyat akan melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga;
  • Peruntukan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal;
  • Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri;
  • Pelaksanaan skim “Bina dan Jual” secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai;
  • Dividen dari PETRONAS diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja, iaitu RM4 bilion lebih rendah dari amalan semasa Barisan Nasional walaupun keuntungan PETRONAS dijangka melonjak naik dalam tahun 2012 akibat harga minyak mentah yang tinggi. Ini bertujuan memastikan PETRONAS mempunyai sumber yang mencukupi untuk berkembang dan menjamin masa depan negara;
  • Tumpuan kepada memaksimakan pendapatan negara dengan mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara;
  • Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di dalam tenaga kerja; dipadankan dengan pelaburan kerajaan untuk membina pusat penjagaan kanak-kanak yang menepati piawaian;
  • Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar;

Komen Awal OnDaStreet: Yang ditandakan dengan warna biru adalah “gula-gula” Pakatan Rakyat. Jika ada yang sudi berfikir, majoriti ditujukan kepada mereka yang tidak bekerja. Boleh dikatakan, ianya selari dengan tema kesejahteraan rakyat, kerana seharusnya kebahagiaan itu bermula daripada rumah.

Namun, tidak dinyatakan disini (tetapi dinyatakan dalam blog Lim Kit Siang) bahawa  10 ribu guru akan dilatih dan RM200 juta akan diperuntukkan untuk menampung kekurangan guru Cina, Bahasa Inggeris, Tamil dan agama, dan juga RM200 juta untuk disalurkan untuk menambah baik SRJK(C), SAR dan SRJKT terutamanya (“10 000 teachers will be trained and RM 200 million will be allocated to address the shortage of Chinese, English, Tamil and religious teachers, as well as an additional RM 200 million to be immediately disbursed to improve existing buildings of SRJK (C), Sekolah Agama Rakyat (SAR) and SRJK (T) schools in particular“).

Persoalannya.. apa jadi kepada Sekolah Kebangsaan? Apakah Pakatan Rakyat tiada niat untuk memperkasakan Sekolah Kebangsaan dimana percampuran nasional dari pelbagai etnik dapat diharmonikan?

….

Intipati Belanjawan Transformasi Barisan Nasional:-

  • Bajet 2012 akan menyediakan peruntukan 232.8 bilion ringgit bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan Kerajaan termasuk projek dan program di bawah RP-Kedua, NKEA, NKRA dan SRI khususnya menumpukan kepada kesejahteraan rakyat. Daripada jumlah tersebut 181.6 bilion ringgit adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan 51.2 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan;
  • Bagi menarik syarikat multinasional memilih Malaysia sebagai destinasi utama Perkhidmatan Pengurusan Perbendaharaan, Kerajaan mencadangkan pakej galakan berikut: Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama 5 tahun; Kedua: Pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman; dan Ketiga: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan
  • Kerajaan bercadang untuk menyenaraikan FELDA Global Ventures Holdings atau FGVH sebelum pertengahan tahun 2012 bagi menghasilkan dana untuk menjadikan FGVH sebuah syarikat berstatus konglomerat global. Penyenaraian FGVH akan mewujudkan sebuah lagi syarikat blue chip perladangan di samping meningkatkan minat pelabur antarabangsa terhadap Bursa Malaysia. Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan FELDA. Apa yang mustahak, setiap peneroka akan menerima “durian runtuh” yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti, sebelum penyenaraian dilakukan;
  • satu skim Dana Pembiayaan PKS patuh syariah berjumlah dua bilion ringgit yang dikendalikan oleh bank-bank Islam terpilih akan diwujudkan pada 2012. Seiring maksud ini, Kerajaan akan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan;
  • Kerajaan akan menyediakan SME Revitalisation Fund dengan dana 100 juta ringgit. Skim ini menawarkan pinjaman mudah dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan peniaga untuk membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan oleh SME Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012;
  • Kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS sebanyak 10 juta ringgit untuk membantu PKS yang terlibat dengan bencana alam;
  • Sektor pendidikan akan diperuntukkan 50.2 bilion ringgit bagi tahun 2012. Bagi Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak 1.9 bilion ringgit akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan;
  • peruntukan 1 bilion ringgit akan diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Daripada peruntukan tersebut, 500 juta ringgit kepada Sekolah Kebangsaan, 100 juta ringgit disediakan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan 100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA;
  • Pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma. Pemansuhan semua bayaran ini akan melibatkan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit;
  • Kerajaan telah membekalkan 20 ribu tangki menggunakan kaedah tadahan air hujan, untuk penduduk pedalaman Sarawak, terutama penduduk rumah panjang yang melibatkan perbelanjaan 52 juta ringgit. Kemudahan ini memberi faedah kepada hampir 100 ribu penduduk. Bagi tahun 2012, program ini akan dipanjangkan pula kepada negeri Sabah dengan peruntukan 50 juta ringgit;
  • 400 juta ringgit bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara berperingkat di kawasan-kawasan FELDA yang terpilih;
  • Penambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang;
  • Mulai tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus;
  • 600 ribu pesara Kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan 600 juta ringgit. Mulai tahun 2013 nanti, Kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji;
  • Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam. Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru;
  • Kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa;
  • Kerajaan akan menyediakan program latihan khusus untuk mereka yang sudah bersara tanpa pencen bagi menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta kepada mereka yang layak. Untuk melaksanakan insentif ini, sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan;
  • Kerajaan akan memberi sumbangan sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off kepada setiap bekas anggota serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah hampir 62,000 orang;
  • Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek, sederhana dan panjang. Antaranya meningkatkan pengeluaran makanan seperti beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan;
  • Keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja 2.3 bilion ringgit dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar;
  • Bagi tahun 2012, Kerajaan akan menyediakan 1.2 bilion ringgit untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi bantuan kepada warga emas miskin sebanyak 300 ringgit sebulan; bantuan kanak-kanak miskin 100 ringgit sebulan, dengan had maksimum 450 ringgit sebulan serta bantuan dan elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara 150 hingga 300 ringgit sebulan. KAR1SMA akan memberi manfaat kepada hampir 500 ribu rakyat dalam membantu meringankan beban sara hidup;
  • Bagi memenuhi permintaan rumah golongan berpendapatan kurang daripada 3,000 ringgit, Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku pada Mac 2011. Untuk menambah baik skim ini, Kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah dinaikkan daripada 220 ribu kepada 400 ribu ringgit. Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012;
  • Bagi melindungi pembeli, Kerajaan menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah menggunakan kaedah bina kemudian jual. Untuk tujuan ini, bank-bank Islam yang telah bersetuju akan menyediakan pembiayaan patuh syariah dan mengambil risiko pembinaan. Pembeli hanya membayar ansuran setelah rumah siap dibina. Skim ini akan dilaksanakan bagi rumah bernilai 600 ribu ringgit dan ke bawah;
  • melalui Program Pemulihan Rumah Terbengkalai, Kerajaan berjaya memulihkan dan mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) bagi 82 projek yang melibatkan lebih 15,000 unit rumah. Kerajaan akan terus melaksanakan usaha murni ini pada tahun 2012 dengan peruntukan 63 juta ringgit untuk memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai. Kerajaan juga memperuntukkan 40 juta ringgit bagi membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah awam dan swasta;
  • Kerajaan akan mewujudkan Tabung Khas Perumahan Nelayan dengan peruntukan 300 juta ringgit untuk membina dan membaik pulih rumah mereka agar menjadi lebih selesa dengan prasarana asas;
  • Kerajaan akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi program pembangunan usahawan dan kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah;

Komen Awal OnDaStreet: Belanjawan yang dibentangkan DS Najib lebih lengkap dan luas capaiannya. Ya, terdapat gula-gula dalam Belanjawan “Transformasi” ini (seperti yang diwarnakan dengan warna biru). Namun, gula-gula yang diberikan wajar diberikan kerana staf kerajaan juga perlu dijaga. Boleh juga dari satu sudut, ianya bukan gula-gula, tetapi penilaian dan timbangrasa “majikan” terhadap pekerja-pekerjanya.

….

Rumusan?

Setelah dibaca berulang kali belanjawan dan teks ucapan DS Najib dan DS Anwar Ibrahim, adalah mustahil DS Najib menyediakan Belanjawan berdasarkan apa yang disampai DS Anwar beberapa hari sebelumnya. Tolak tambah yang melibatkan banyak kementerian dan sektor bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Jika sebuah syarikat kecil pun mengambil masa menyediakan rancangan belanjawannya, apatah lagi sebuah kerajaan.

Tidak seperti Belanjawan Kesejahteraan yang terlalu umum, Belanjawan yang dibentangkan DS Najib lebih khusus dengan matlamat yang jelas. Samada ianya dapat dicapai, ianya bergantung kepada pihak yang terlibat untuk menjayakannya. Setidaknya, dengan matlamat yang lebih jelas, kebarangkalian ketirisan dana itu juga dapat dikurangkan. Seharusnya, DS Anwar lebih arif dan tahu.

Belanjawan Kesejateraan juga tidak memperlihatkan usaha untuk memajukan rakyat. Ya, kebajikan menjadi keutamaan, tetapi OnDaStreet melihat kepada Pakatan Rakyat lebih memberi ikan lebih daripada mengajar untuk menggunakan joran dan memancing ikan. Apakah ianya elok untuk jangka masa panjang? Apakah ianya sesuatu yang elok untuk negara selepas setahun?

Selain itu juga, terdapat usaha-usaha dan cadangan Pakatan Rakyat yang sebenarnya sudah dijalankan oleh Barisan Nasional. Sebagai contoh untuk urusan rumah terbengkalai. SPNB telah lama dipertanggungjawabkan untuk melihat perkara ini. Maka, ianya bukan sesuatu yang baru.

Walauapapun, tahniah kepada kedua belah pihak. Setidaknya, kita dapat lihat pemimpin-pemimpin kita berlumba untuk rakyat.

Soalan dijalanan:

1 – Kepada Barisan Nasional: Apakah kerana kekuatan aura Pakatan Rakyat baru kelihatan Barisan Nasional kembali menjaga rakyat?

2 – Kepada Pakatan Rakyat: Apakah perbelanjaan Belanjawan Kesejahteraan lebih bersandarkan perbendaharaan dan sumber dalaman Malaysia? Kenapa tidak kelihatan usaha untuk menarik pelaburan luar?

One thought on “My Malaysia: Belanjawan “Transformasi” BN vs Belanjawan “Kesejahteraan” PR

  1. Perbandingan yang sangat menarik dan saya setuju dengan soalan yang diajukan. Pada mata kasar seolah2 Belanjawan BN adalah reaksi kepada Belanjawan PKR, tapi tidak semestinya begitu. Saya lihat Belanjawan BN lebih menyeluruh dan juga lebih mementingkan kesan jangka panjang melalui skim2 penggalak ekonomi. Kita perlu ingat bahawa di zaman ini kekayaan hasil bumi tidak seberapa jika dibandingkan dengan hasil dari kegiatan ekonomi. Lainlah seperti Brunei yang kecil dengan rakyat yang sedikit. Contoh terbaik adalah Singapura yang tiada sumber asli, tapi makmur hasil dari sumber perdagangan. Projek seperti Iskandar Malaysia adalah langkah bijak untuk memacu ekonomi tempatan dan juga meraih pelaburan dari luar. Saya cuma berharap pelaksanaannya dibuat dengan telus, berhati2 dan berkesan. Tidak mahu menjadi seperti projek komputer dalam sekolah yang rata2nya terbengkalai kerana masalah2 teknikal dan staf2 IT yang pemalas.

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s