Teguran Ikhlas Buat Media Alternatif UMNO


Selama ini, blog ini dipandang sebagai pro UMNO dan pro Barisan Nasional, biarpun terdapat artikel-artikel yang tidak memihak kepada Barisan Nasional.

Namun, kesabaran terhadap beberapa media pro UMNO yang memanipulasi isu bacaan Al-Quran di Pulau Pinang susulan larangan daripada JHEAIPP agak teruji. Apatah lagi apabila terbaca beberapa artikel dan twitter yang bukan sahaja kurang bertanggungjawab, malah terkadang, menunjukkan kedangkalan dan kecetekan dalam memainkan isu.

Secara asasnya, blog ini memohon agar media alternatif UMNO dan Barisan Nasional untuk tidak terus memainkan isu larangan membaca Al-Quran sebelum Subuh menggunakan pembesar suara di Pulau Pinang. Ini berdasarkan rasional berikut:

  1. JHEAIPP menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan kerja-kerja yang telah dilakukan, sebagaimana JAIS dalam isu murtad di Selangor;
  2. Larangan itu telah diberi MUNGKIN berdasarkan aduan yang diterima, dan kajian/siasatan yang telah dijalankan;
  3. Larangan tersebut hanya di Pulau Pinang dan tidak di Kelantan mungkin kerana orang Kelantan boleh menerima amalan itu sehingga kini, tetapi tidak di Pulau Pinang baru baru ini (ini kena tanya masyarakat di Pulau Pinang. Jika tidak, masakan JHEAIPP menggunakan klausa “mengganggu”);

Sila renungkan laporan akhbar BERNAMA berikut, dan nilaikan, sejauh manakah antara kita sudah terlalu memanipulasi isu ini:

GEORGE TOWN, 15 Ogos (Bernama) — Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad Isnin berkata larangan terhadap masjid atau surau di negeri itu menggunakan pembesar suara untuk bacaan Al-Quran sebelum subuh adalah berlandaskan hukum syarak dengan nas-nas yang sahih.

Katanya tidak timbul isu kononnya larangan itu akan diperluaskan untuk melarang penggunaan pembesar suara untuk azan kerana larangan itu bukanlah satu fatwa.

“Saya kesal atas kenyataan yang tidak profesional dan tidak berhemah daripada beberapa pihak termasuk menuduh kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat keputusan secara melulu.

“Hal ini bukan isu politik tetapi ia arahan Nabi Muhammad SAW dan juga menjaga Islam yang harmoni,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Hassan berkata larangan penggunaan pembesar suara itu adalah nasihat hukum, iaitu satu panduan tanpa mewartakannya dalam Enakmen Agama Islam negeri.

Katanya banyak pihak termasuk media massa telah menyalahtafsir arahan itu kerana tidak faham perbezaan antara nasihat hukum dan fatwa sehingga mengheret Majlis Fatwa Kebangsaan untuk turut terkeliru.

Hassan berkata, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, Majlis Fatwa Negeri perlu mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 45 Enakmen Agama Islam Pulau Pinang 2004 tetapi dalam mengeluarkan arahan nasihat hukum, ianya tidak memerlukan perkenan Seri Paduka bagianda.

“Bagaimanapun, perkara itu (larangan penggunaan pembesar suara untuk bacaan Quran) mungkin dibincangkan dalam mesyuarat majlis fatwa akan datang bagi membuat keputusan sama ada ianya dijadikan fatwa atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, dalam Islam sebenarnya terdapat dua azan subuh iaitu azan pertama ialah sebelum waktu subuh untuk mengejutkan orang ramai tetapi ianya tidak dipratikkan di negara ini bagi mengelak dari mengganggu orang ramai sebelum masuk waktu subuh.

“Islam mensyariatkan tidak mengangkat suara dengan kuat kecuali untuk azan dan beberapa rutin ibadah lain seperti khutbah dan terdapat banyak nas yang melarang kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain kerana walaupun bacaan Al Quran dan zikir amatlah baik, kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita,” katanya.

Hassan berkata Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang telah mengeluarkan larangan itu kepada Jabatan hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) pada 12 Julai lepas kerana pentadbiran kariah adalah di bawah bidang kuasa jabatan itu.

Katanya, beliau juga bersedia untuk bertemu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi berbincang menangani isu itu.

Apakah ada unsur politik dalam petikan akhbar diatas? Apakah JHEAIPP bertindak atas arahan DAP?

Blog ini juga menerima komen berkenaan ceramah-ceramah PAS yang menggunakan pembesar suara yang ada kalanya  diserta dengan caci maki dan fitnah. Komen-komen sebegini juga bertebaran di media alternatif pro UMNO dan Barisan Nasional.

Pendirian dan pandangan blog ini?

“Ceramah” seharusnya diisi dengan ilmu yang berguna, yang mempunyai pengisian yang membawa kebaikan. Jika disertai dengan caci maki dan fitnah, maka wajarlah dikatakan, entiti tersebut telah menyalahgunakan “ceramah” itu. Perbandingan dan teguran boleh dilakukan, tetapi dilakukan secara berhikmah.

Maka, secara tidak langsung, OnDaStreet juga tidak bersetuju dengan cara PAS menggunakan pentas ceramah.

Namun, ini tidak seharusnya dikaitkan dengan isu larangan menggunakan pembesar suara untuk bacaan Al-Quran di Pulau Pinang. Ianya dua kisah berbeza, biarpun menggunakan pembesar suara.

Seharusnya, apabila Datuk Ahmad Maslan menyebut UMNO perlu kuasai Media Baru untuk Tangkis Fitnah, gunakanlah media baru secara bijak. Isu larangan membaca Al-Quran dengan pembesar suara di Pulau Pinang bukan sesuatu isu yang perlu dimanipulasi. Dari satu sudut, ianya boleh membawa kepada seolah-olah media alternatif UMNO bagaikan tiada isu lain untuk “menyerang” Pakatan Rakyat.

Namun, sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, kita perlu mengambil iktibar, bila mana umat Islam tidak lagi mempunyai “suara” yang kuat, amalan yang elok pun sukar diamalkan. Contoh paling mudah, bacaan Al-Quran menggunakan pembesar suara boleh di Kelantan, tetapi tidak di Pulau Pinang kerana berkemungkinan “suara” orang Islam di Pulau Pinang tidak sekuat di Kelantan.

Fikir-fikirkan..

Oh ya, benar, Pakatan Rakyat gagal menguruskan isu murtad dengan baik di Selangor. Namun, janganlah bodoh sangat sampai tertangkap menipu. Hasil kesilapan untuk terlalu memanipulasi, kini Khalid Samad sudah ada “peluru” untuk menembak media pro UMNO, biarpun yang melakukan kesilapan itu adalah mungkin PapaGomo seorang.

KUALA LUMPUR, 16 Ogos: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menafikan tuduhan blogger Umno, Papa Gomo kononnya beliau dan beberapa Adun Selangor mengarahkan pembatalan sita Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU).

Menurut Khalid, Papa Gomo  dalam blognya menyiarkan surat palsu dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkaitan kontroversi serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas gereja tersebut baru-baru ini.

Ia kononnya mengandungi bukti campur tangan Khalid, Nik Nazmi, Ronnie Liu, Teresa Kok dan Elizabeth Wong dalam operasi sita tersebut.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan pemalsuan yang dilakukan Papa Gomo itu hanyalah untuk beri gambaran buruk kepada Pakatan Rakyat,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau juga berkata, Papa Gomo jelas tidak melakukan persediaan sebelum melakukan penipuan apabila menyatakan lokasi GMDU terletak di Damansara Utama sedangkan lokasi sebenar rumah ibadat itu adalah di Seksyen 13, Petaling Jaya.

“Papa Gomo kata MBPJ menerima aduan daripada seorang penduduk Damansara Utama tapi yang sebenarnya gereja itu di Seksyen 13 Pataling Jaya. Nampak sangat tak study betul-betul,” katanya.

Sehubungan itu, beliau bersama-sama MBPJ membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya petang ini meminta satu siasatan dijalankan terhadap Papa Gomo.

Percayalah, laporan ini akan digunapakai dalam banyak ceramah PAS dan Pakatan Rakyat untuk menunjukkan blog pro UMNO menipu. Dengan ceramah Pakatan Rakyat itu lebih ampuh dan kuat daripada sesi ucapan Barisan Nasional, OnDaStreet percaya insiden ini akan dimanipulasi pula oleh Pakatan Rakyat.

Maaf jika terasa hati.. tetapi ini satu teguran ikhlas. Jika Pakatan Rakyat menipu dan memfitnah, janganlah diikut cara yang sama. Kelak akan memakan diri.. jika tidak didunia, di akhirat bakal menanti.

Ingin juga memohon maaf kerana terdapat beberapa perkataan yang tertinggal yang mencacatkan maksud ayat dan penyampaian.

Pesanan dijalanan: Bacalah sebanyak mana mungkin, dan pelbagaikan bacaan yang mempunyai sudut pandang yang berbeza.

6 thoughts on “Teguran Ikhlas Buat Media Alternatif UMNO

  1. Seharusnya, apabila Datuk Ahmad Maslan menyebut UMNO perlu kuasai Media Baru untuk Tangkis Fitnah, gunakanlah media baru secara bijak. Isu larangan membaca Al-Quran dengan pembesar suara di Pulau Pinang bukan sesuatu isu yang perlu dimanipulasi. Dari satu sudut, ianya boleh membawa kepada seolah-olah media alternatif UMNO bagaikan tiada isu lain untuk “menyerang” Pakatan Rakyat.

    Salam sdra ods.
    Sebenarnya kebanyakan blogger pro Umno tak bertuan dan tak diiktiraf Umno pun.Jadi belasah je ikut sedap mulut,termasuk saya.Jadi tiada satu garis panduan yang patut dituruti oleh kami.Kalau ada kesatuan dalam memerangi atau spin sesuatu isu itu hanyalah kebetulan sahaja.

    Bila tiada sense of belonging terhadap Umno (sebab tiada pengiktirafan)tadi maka kebanyakan blogger ikut citarasa masing masing dalam mengenengahkan sesuatu isu.Siapa Umno untuk mengarah itu dan ini.

    Ini sebenarnya masaalah besar yang sampai hari ini tidak ditangani oleh Umno secara serius dalam menyelaraskan blogger yang berpihak kepada mereka.Ada ketua penerangan dan menteri penerangan Umno hanya sekadar mempromo diri mereka sendiri sahaja.Lebih teruk bila menteri penerangan memandang jijik terhadap blogger secara pukal bila kisah peribadinya dijaja blogger pembangkang…

    1. saudara,
      Apa yang saudara nyatakan itu juga ada kebenaran.

      Namun, sebagaimana media pro Barisan Nasional akan memukul secara pukal mana-mana media alternatif yang berat kepada Pakatan Rakyat walaupun tidak bertuan (mahupun berbayar), begitu jugalah media pro Pakatan Rakyat terhadap mana-mana yang dilihat pro Barisan Nasional. Saya sendiri pun, biarpun neutral, tidak bertuan, tidak berbayar, acapkali dicap blog pro UMNO dan Barisan Nasional.

      Teguran saya ini ikhlas. Mungkin dimata saya, media aternatif pro Barisan Nasional dan UMNO ini masih boleh diselamatkan berbanding media pro Pakatan Rakyat.

      Sekian, terima kasih.

  2. Satu lagi bro.
    Kami bukan media alternatif Umno,kami blogger jalanan yang tak inteligent.
    Media alternatif Umno adalah Unit Media Baru PPUM yang dikepalai Tun Faisal.Supaya bro tak terkeliru…
    Salam

    1. saudara,
      Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, pro Pakatan Rakyat tidak kira siapa, asalkan ada sahaja tulisan yang menyokong kerajaan, semua akan dicap blogger UMNO dan Barisan Nasional.

      Sebagaimana blog saudara, saya pasti blog anda tidak dicap blog pro Pakatan Rakyat, walaupun menghentam Barisan Nasional (terutama Tun Abdullah atau secara favourite dipanggil Tun Dol).

      Ya, UMB pun satu hal juga…

  3. lama tak singgah sini,
    banyak miss artikel artikel hang,
    kesibukan kerja menyiapkan salah satu projek
    meningkat kan pendapatan negara dan rakyat,
    aha raya seminggu lebih lagi tapi takut tak sempat ucap
    maka aku wish encik onda dan keluarga selamat hari raya aidil fitri
    maaf zahir dan batin tuan! jika memandu pulang ke kampung di ucapkan
    selamat lah hendak nya,amin.

    keep on writting.

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s