Kematian Seorang Hadirin BERSIH: Siapa Yang Benar?


Pertama sekali, OnDaStreet ingin merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Baharuddin yang meninggal ketika menyertai demonstrasi jalanan yang diadakan pada 9 Julai. Biarpun ditegah, biarpun diberi amaran, Allahyarham masih juga menyertai.

Berikut adalah laporan Harakah:

KUALA LUMPUR, 11 Julai: Bersih 2.0 hari mendakwa mereka menerima laporan bahawa punca utama kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad adalah disebabkan kekasaran polis dan kegagalan mereka untuk memberikan bantuan perubatan yang sepatutnya dan pada masanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Bersih 2.0 mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad sambil menuntut pihak berkuasa supaya tidak berdalih lagi dengan hakikat bahawa polis telah menggunakan kekerasan yang berat terhadap para peserta Bersih 2.0 dan melepaskan semua tahanan dengan kadar segera.

(Anak kedua Baharudin, Nazrul, memeluk Tuan Guru Nik Aziz ketika beliau mengunjungi rumah Baharudin semalam)

Cerita mengenai punca kematian Baharudin mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur jam 3 pagi semalam selepas menjalani postmortem.

Empat tulang dadanya didapati patah manakala tiga batang giginya juga patah,” kata Azhar Kassim, anak saudara Allahyarham Baharudin ketika ditemui Harakahdaily di rumah Allahyarham.

Sehingga kini, laporan postmortem tidak dikeluarkan oleh hospital kepada keluarga mangsa. Ia menjadi tandatanya keluarga kerana kenapa laporan itu tidak dikeluarkan sedangkan mayat dibenarkan untuk dikebumikan.

Usaha anak Allahyarham yang merupakan seorang doktor di HKL untuk mendapatkan laporan juga dikatakan tidak berjaya.

Menurut Azhar , pakciknya itu bekas askar dan kini menjadi polis simpanan.

“Dia tiada ada asma, jantung atau kencing manis…yang ada darah tinggi sahaja sedikit…pendek kata dia sihatlah,” kata Azhar.

“Ini (kematian Baharuddin) hanyalah salah satu daripada pelbagai tindakan polis pada 9 Julai yang lalu yang mengakibatkan kecederaan teruk.

Terdapat bukti video yang jelas menunjukkan polis menembak gas pemedih mata masuk ke perkarangan Hospital Tung Shin serta contoh-contoh lain yang menunjukkan polis membelasah orang-orang awam yang tidak bersenjata.

“Beberapa individu termasuk Ahli Parlimen YB Khalid Samad juga cedera parah apabila terkena kanister gas pemedih mata yang dilepaskan ke arah orang ramai. Terdapat banyak contoh yang lain. Kita menyeru para peserta untuk memberikan bukti gambar dan video insiden-insiden sedemikian kepada kita,” kata jawatankuasa Bersih 2.0.

Bersih 2.0 turut menyifatkan serangan bertubi-tubi terhadap para peserta demo aman Sabtu yang lalu sebagai mengejutkan.

“Kekejaman yang dilakukan dapat dilihat sendiri oleh warganegara Malaysia dan juga pemerhati antarabangsa. Ia telah menunjukkan tanpa raguan lagi bahawa pihak berkuasa telah gagal menjunjung dan memelihara perkara yang paling asas dalam hak asasi manusia seperti mana yang tercatat dalam Perlembagaan Negara,” tambahnya.

Jawatankuasa tersebut turut mengutuk penafian Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar tentang kekejaman dan kekerasan polis terhadap para peserta Bersih 2.0.

“Kenyataan daripada PM bahawa tiada ‘pertembungan fizikal’ antara polis dan para peserta yang berdemo secara aman sungguh bercanggah dengan bukti video yang berlambak, sama juga dengan kenyataan KPN yang menafikan tiada gas pemedih mata ditembak ke kawasan Hospital Tung Shin.

Kita mengharapkan integriti yang lebih tinggi daripada orang-orang yang diamanah untuk menerajui negara dan menjaga keselamatan kita,” selar jawatankuasa itu lagi.

Bersih 2.0 turut menuntut pihak berkuasa untuk melepas 6 tahanan dari Parti Sosialis Malaysia yang masih ditahan tanpa bicara, yang amat bercanggah dengan hak asasi manusia.

“Ahli Parlimen Dr Michael Jeyakumar baru-baru ini telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara dan kami amat bimbang tentang kesihatan dan keadaan mereka. Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, dan kami menuntut mereka dibebaskan serta-merta tanpa syarat,” seru Bersih 2.0.

Selain itu, Bersih 2.0 turut mengutuk tindakan paranoid dalam menahan individu-individu semata-mata mereka memakai baju Bersih seperti yang dilaporkan di Sabah semalam.

“Ia sememangnya tidak perlu untuk tindakan paranoid sedemikian, dan pihak berkuasa mesti menghentikan semua ini,” tegasnya lagi, sambil menambah bahawa kekerasan sama sekali tidak akan melunturkan hasrat mereka untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.

“Ia jelas dengan kehadiran melimpah pada 9 Julai yang lalu bahawa sejumlah besar rakyat Malaysia bersetuju bahawa ada benda yang tidak kena dalam sistem pilihanraya kita,” kata jawatankuasa Bersih 2.0.

“Komitmen kita untuk mereformasikan sistem pilihan raya akan dan mesti mencerminkan keberanian dan perpaduan yang ditunjukkan pada 9 Julai dan semangat yang kita lihat akan terus menjadi inspirasi kita,” katanya lagi.

Bersih 2.0 dianggotai Ambiga Sreevenasan (presiden), Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K., Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato’ Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato’ Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.

Berikut pula adalah dua laporan BERNAMA mengenai insiden berkaitan (yang pertama):

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) — Polis mengesahkan kematian seorang pemandu teksi berusia 59 tahun yang menyertai perhimpuan haram di kawasan KLCC semalam adalah akibat komplikasi jantung dan bukannya berpunca daripada gas pemedih mata seperti didakwa pihak tertentu.

Sehubungan itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis menafikan bahawa kematian Baharudin Ahmad berpunca daripada sebarang tindakan mereka.

“Kematian ada tetapi kematian itu tidak ada kaitan dengan tindakan yang diambil polis dan sebagainya, doktor yang merawatnya mengesahkan bahawa kematian mangsa berpunca daripada komplikasi jantung,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari Ahad.

Amar Singh juga memberitahu bahawa usaha untuk menyelamatkan nyawa Baharudin telah dilakukan oleh pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur namun pada pukul 5.30 petang, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

“Semasa bedah siasat malam tadi pada pukul 11.30 malam oleh pakar perubatan yang berkhidmat bernama Khairul, semasa siasatan mereka mendapati tidak ada kecederaan luar, tidak ada kecederaan atau apa sahaja kecederaan dalaman,” kata beliau.

Amar Singh juga menegaskan tiada sebarang gas pemedih mata atau meriam air digunakan untuk meleraikan perhimpunan haram semasa Baharudin berada di kawasan perhimpunan haram di KLCC.

Beliau berkata Baharudin melarikan diri ketika polis meleraikan perhimpunan haram tersebut dan menuju ke KL Avenue, dan pada ketika di situlah beliau mengalami masalah pernafasan.

“Kerana twitter menyatakan bahawa ia ada kaitan dengan tindakan polis. Siasatan oleh polis, tiada sebarang pemedih mata yang digunakan ketika beliau berada di situ,” katanya.

Amar Singh juga berkata anak Baharudin iaitu Mohd Nasrul, 22, dalam keterangannya kepada polis memberitahu bahawa bapanya ada memaklumkan mahu pergi ke KLCC untuk menghadiri perhimpunan tersebut dan juga merupakan seorang penghidap penyakit darah tinggi.

Ketika ditanya mengenai dakwaan pihak tertentu yang mempunyai bukti bahawa kematian Baharudin disebabkan tindakan polis meleraikan perhimpunan, Amar Singh berkata polis bersedia menerima apa-apa bukti berkaitan perkara tersebut.

“Jika anda ada bukti mengenainya, sila tunjukkan kepada kita tetapi polis mengesahkan bahawa mereka tidak ada kaitan dengan tindakan polis seperti gas pemedih mata dan meriam air,” kata beliau.

Dalam kenyataan media yang diedarkan pada sidang media itu, Amar Singh berkata polis menjalankan siasatan kes itu sebagai kes mati mengejut.

Dan ini yang kedua:

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) — Pihak pengurusan Hospital Tung Shin menafikan dakwaan sebuah berita portal bahawa gas pemedih mata dan meriam air yang dilepaskan oleh polis untuk meleraikan perhimpunan haram Sabtu lepas, memasuki kawasan hospital itu.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya Ng Beh Tong berkata tidak ada gas pemedih mata disembur ke dalam kawasan hospital.

“Malah, pihak polis membawa beberapa orang penyokong demonstrasi yang cedera ringan semasa kejadian itu berlaku ke dalam hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita di sini Isnin selepas memberikan taklimat kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong yang mengadakan lawatan ke hospital itu.

Ng berkata pada perhimpunan haram itu, polis juga tidak melakukan sebarang tangkapan terhadap penyokong perhimpunan haram yang melarikan diri ke dalam hospital itu.

Sementara itu, Liow berkata pada masa kejadian itu, polis hanya melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penyokong perhimpunan haram tersebut yang berkumpul di atas jalan raya di Jalan Pudu, di hadapan hospital berkenaan.

“Mungkin gas pemedih mata yang ditembak polis itu bagi meleraikan kumpulan penyokong perhimpunan haram ditolak angin hingga tersasar dan termasuk sedikit ke kawasan hospital,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun gas pemedih mata itu tidak mengenai mana-mana pihak yang berada dalam hospital.

Mengenai rakaman video yang didakwa menayangkan polis menyembur meriam air ke arah hospital, Liow berkata polis menyembur ke bangunan bersebelahan, di mana para penyokong berkumpul, bukan ke dalam hospital, dan perkara tersebut disokong oleh Ng.

Liow turut melahirkan rasa kesalnya dengan sikap pembangkang yang cuba membesarkan isu tersebut dengan tujuan memburukkan kerajaan dan polis.

“Pihak pembangkang cuba mempolitikkan keadaan itu dan seolah-olah mahu memberitahu rakyat bahawa kejadian itu benar-benar berlaku, tetapi hakikatnya ia tidak berlaku, jangan cuba politikkan isu ini,” katanya.

Jika diikutkan, OnDaStreet tidak mahu menulis tentang ini. Namun, terlintas untuk menulis memandangkan terdapat beberapa perkara yang menunjukkan ada orang yang tidak berkata benar. Ketahuilah, jika perkara ini disembunyikan kebenarannya, kasihanilah Allahyarham yang nyata kematiannya seperti dipolitikkan.

Setelah membaca 3 laporan akhbar berbeza media diatas, terdapat beberapa persoalan:

  1. Jika Allahyarham meninggal disebabkan gas pemedih mata, bagaimana pula empat tulang dadanya dann tiga batang giginya patah? Gas pemedih mata sekadar memedihkan mata, tidak boleh menyebabkan tulang atau gigi patah. Melainkan kanister gas pemedih mata itu dihentak kepada tulang dan gigi mangsa;
  2. Dimanakah sebenarnya Allahyraham rebah ketika berhimpun untuk demonstrasi? KLCC atau sekitar Hospital Tung Sing? Harakah melaporkan seolah-olah Allahyarham berada di kawasan Hospital Tung Sing, manakala BERNAMA melaporkan di sekitar KLCC;
  3. Khalid Samad CEDERA PARAH????? Gambar yang Harakah tunjukkan di artikel sebelum ini tidaklah separah mana (rujuk artikel OnDaStreet sebelum ini). Pada gambar tersebut, lebih kelihatan Khalid Samad bermandikan peluh dan sedikit warna merah yang air (saya percaya itu darah). Jika parah, seharusnya Khalid Samad sudah terlantar lebih teruk daripada DS Anwar Ibrahim.

Sukacita diingatkan, di Harakah telah tertulis:

Justeru, beliau mengingatkan mereka bahawa apa yang ditulis akan dipertanggungjawabkan nanti di hadapan Allah SWT.

Katanya, wartawam jangan menjadi sebahagian lidah fitnah di akhir zaman kerana mereka sepatutnya menjadi lidah agama dan keadilan rakyat dan bukannya lidah individu tertentu

Ini peringatan buat kesekian kalinya buat sesiapa yang berbohong. Ketahuilah, kematian Allahyarham telah diperalatkan untuk fitnah yang lebih besar. Biarlah Allahyarham tenang tanpa kematiannya perlu dipolitikkan.

Kepada keluarga Allahyraham, maaf kerana menulis begini, tetapi saya merasa perlu untuk pengajaran kepada pihak-pihak yang berkaitan.

Wallahualam…

Peribahasa baru dijalanan: Siakap Senohong, Gelama Ikan duri, bercakap bohong… JAWAB DI AKHIRAT NANTI!!!

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s