Tazkirah Jumaat: Bagaimana Untuk Berubah?


Hari ini hari terakhir 2010. Esok permulaan 2011. Satu perubahan dari segi tahun kita berada, tetapi bagaimana pula kita?

Untuk Tazkirah Jumaat hari ini, saya ingin berkongsi satu tazkirah yang saya rasa sesuai untuk kita baca, renungkan dan ambil tindakan yang sewajarnya yang saya peroleh daripada laman ini:

KITA terlalu banyak memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai orang menginginkan orang lain berubah.

Malah, kadang-kadang kita berkeinginan tetapi tidak kesampaian. Kita mahu negara kita berubah. Kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah pekerja kita tetapi malangnya anak isteri kita tidak mampu diubah.

Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara sebabnya kita tidak pernah memberi masa bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri.

Rahsia mengubah orang ialah dengan mengubah diri sendiri. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang
lain sekiranya tidak dimulakan dengan diri sendiri ia akan menjadi hampa.

Kadangkala hasrat untuk mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap tidak serupa bikin yang kita laungkan.

Sebagai perbandingan elok juga kita fikirkan perbandingan ini. Kalau kita hendak membina rumah apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak tidak kita bina.

“Mulakan dengan dirimu,” kata pepatah Arab. Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani berhujah itu mudah tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri.

Ramai orang berani melihat kekurangan orang tetapi jarang orang berani membincangkan kelemahan diri sendiri.

Sebenarnya mengubah diri dengan penuh sedar adalah juga mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatannya yang berubah itu menjadi ucapan yang sangat bererti bagi orang lain.

Memang pengaruh dari kegigihan mengubah diri tidak akan spontan dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain.

Makin lama orang akan simpati dan terdorong juga untuk turut sama berubah. Lantas bagaimana kaedah mengubah
diri?

Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Bagaimana mungkin kita mengajak orang berubah sedangkan kita tidak berubah. Jadilah seperti ‘ketam mengajar anak berjalan betul’ nanti cakap tidak serupa bikin.

Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara yang kecil-kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar-besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar diawali dengan titik-titik hujan yang kecil.


Ketiga: Mulakan sekarang (Do it now). Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil-kecil akan jadi besar jika dibiarkan.

Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dipaksa nanti jadi degil.

Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Kalangan sahabat pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana mengumpat.

Keenam: Kena ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang kebaikan sehingga sebati dengan diri. Wassalam.

 

Nukilan OnDaStreet: Masa akan terus berlalu. Baik dari segi tahun, bulan, hari, jam, minit dan saat. Dan apa yang berlalu tetap akan berlalu.

Bagaimana pula kita? Dari arena politik dalam tahun 2010, kerap kita dengar tentang laungan perubahan, baik dari sudut pandang ahli politik dan penyokong Barisan mahupun Pakatan. Akan tetapi, perubahan itu kebanyakan hanya tersangkut di jeritan dan laungan, dan ada usaha yang sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Dari sudut peribadi setiap insan di Malaysia, ramai yang menyampah dengan aksi dan drama politik tentang perubahan. Akan tetapi, ramai juga yang tidak meneladani untuk kebaikan diri sendiri yang boleh memanfaatkan diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat.

Saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan para pembaca, marilah kita cuba berubah untuk kebaikan diri sendiri. Bukan demi UMNO, PAS, PKR, MCA, MIC, DAP mahupun mana-mana parti politik mahupun organisasi. Mulakan perubahan positif daripada diri kita demi Allah dan diri kita sendiri.

Semoga Tazkirah Jumat terakhir 2010 ini dapat kita renungi dan hayati yang tersurat dan tersirat.

Saya juga memohon maaf kerana tahun ini, tazkirah tidak sekerap tahun sebelumnya, dan saya berterima kasih kerana ada yang masih sudi membaca tazkirah-tazkirah yang dikumpulkan disini daripada laman-laman lain untuk renungan bersama.

Selamat menyambut tahun baru 2011 dan semoga tahun 2011 lebih bererti dan bermanfaat untuk kita demi hidup di dunia dan akhirat.

Wallahualam…

 

About these ads

One response to “Tazkirah Jumaat: Bagaimana Untuk Berubah?

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s