Komentar Untuk Teks Ucapan DS Najib Mengenai MEB – Bahagian 3


Sambungan Bahagian 2….

Tuan-tuan dan puan-puan,

DARIPADA PRINSIP KEPADA SEBUAH PELAN

43. Persoalannya adalah bagaimana kita dapat menuju ke sana? Usaha Kerajaan dan NEAC masih belum selesai dengan pembentangan laporan awal ini. Pendekatan ini mempunyai dua peringkat. Kini, kita perlu memastikan konsultasi yang menyeluruh dan mantap dan kemudiannya, membangunkan rangka kerja (blueprint) atau pelan halatuju pelaksanaan MEB yang terperinci serta perubahan ekonomi yang akan dilaksanakan. Umpamanya, kumpulan kerja seperti lab yang menerajui pembangunan GTP di bawah NKRA akan diadakan, yang disertai oleh sektor awam dan swasta bagi memacu strategi MEB, yang akan membawa kepada laporan kedua pelan hala tuju yang lebih terperinci. Malah, kita akan membangunkan Program Transformasi Ekonomi bagi melaksanakan MEB ini.

44. Bagi merealisasikan transformasi ini, NEAC telah menggariskan beberapa inisiatif pembaharuan yang strategik.

45. Lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik akan bertumpu kepada:

  • 1) Menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi;
  • 2) Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing;
  • 3) Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing;
  • 4) Memperkukuhkan sektor awam;
  • 5) Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran;
  • 6) Membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan;
  • 7) Meningkatkan sumber pertumbuhan ; dan
  • 8) Memastikan pertumbuhan yang mapan.

46. Kesemua lapan inisiatif ini adalah saling melengkapi dan kesannya merentasi semua sektor ekonomi. Ketiga-tiga matlamat MEB memerlukan kita mencapai pertumbuhan KDNK yang lebih tinggi untuk dekad yang seterusnya. Oleh yang demikian, dasar-dasar yang perlu kita laksanakan mesti menyentuh isu-isu asas, bagi memastikan momentum pertumbuhan dapat dipercepatkan melalui pendekatan yang holistik untuk menghapuskan semua halangan. Matlamat ini memberi penekanan kepada binaupaya dan bukanlah hanya pembangunan negara semata-mata, sebagai langkah mencapai pembangunan mapan.

47. Sebagai tambahan kepada laporan NEAC, suka saya mencadangkan supaya usaha ditumpukan secara efektif ke atas sektor utama yang spesifik, atau yang dikenali sebagai Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEAs). Ini adalah bidang di mana ekonomi negara mempunyai potensi untuk terus maju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Pada masa lalu, Kerajaan lebih memainkan peranan paternalistic dalam mencadang dan mempromosi sumber pertumbuhan baru yang sepatutnya diterajui oleh sektor swasta. Sememangnya kita perlu memberi panduan, tetapi kita berpendapat pihak Kerajaan tidak sepatutnya membuat keputusan pelaburan untuk sektor swasta.

48. Berdasarkan pendekatan baru NEAC yang menyatakan bahawa sektor swasta perlu memacu pertumbuhan, Kerajaan mestilah meningkatkan peranannya sebagai fasilitator kepada pihak industri untuk berkembang maju. Majoriti inisiatif yang telah diwujudkan adalah berkaitan dengan semua faktor yang penting dalam memperbaiki hala tuju ekonomi – untuk menghapuskan pengherotan pasaran dan halangan yang menggugat ekonomi kita daripada terus bergerak ke arah rantaian nilai lebih tinggi serta menggalakkan persaingan sihat. Pelaksanaan dasar ini merupakan pra-syarat untuk kita memanfaatkan sumber pertumbuhan baru. Selagi halangan-halangan ini wujud, peluang pembangunan dalam semua sektor tidak akan tercapai.

49. NEAC dengan mengambil kira input daripada sektor swasta telah mengenal pasti sektor utama yang boleh menjadi peneraju dalam menjana pertumbuhan tinggi – sektor yang mana negara kita mempunyai daya saing dan berkemahiran tinggi, mempunyai peluang untuk menggunakan pengkhususan dan yang telah memperoleh kelebihan sebagai pelopor (first mover advantage) serta kelebihan berbanding tradisional (traditional comparative advantages). Banyak lagi yang perlu kita lakukan, namun bagi meraih peluang yang ada sepenuhnya, kita perlu memberi fokus ke atas sektor-sektor utama ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

50. Selaras dengan proses GTP dan NKRAs, saya komited untuk mengadakan proses konsultasi yang menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan, dan memastikan NKEAs akan dipilih berdasarkan kriteria kepentingan negara. NEAC akan bekerja bersama-sama dengan PEMANDU bagi membangunkan NKEAs. Mereka akan mengadakan konsultasi dengan rakyat dan semua pihak berkepentingan lain. Apabila RMKe-10 diumumkan bersama dengan NKEAs, sebuah Unit Penyampaian Ekonomi khas akan ditubuhkan untuk menerajui proses perubahan serta memuktamad dan melaksanakan NKEAs tersebut. Masih terdapat banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk mengenal pasti strategi kejayaan yang perlu dilaksanakan di samping NKEAs yang perlu diberikan fokus. Namun, sebagai penunjuk awal, sukacita saya memberikan beberapa contoh mengenai kemungkinan-kemungkinan yang boleh kita jangkakan:

51. Dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), Malaysia boleh memanfaatkan sepenuhnya kelebihan sebagai peneraju awal. Berbekalkan asas yang kukuh, masa hadapan Malaysia dalam sektor ini perlu ditekankan bukan sahaja dalam pembuatan tetapi dalam penyelidikan, pembangunan serta rekaan, di mana syarikat Malaysia memacu inovasi dan bukan hanya mengimportnya. Antara langkah yang perlu dipertimbangkan adalah pemberian insentif bagi aktiviti penyelidikan yang bernilai tinggi dan menyokong PKS yang menjadi pembekal kepada syarikat-syarikat besar dalam skala yang besar.

52. Industri berasaskan sumber dalam sektor minyak sawit serta minyak dan gas akan terus diberi penekanan. Dalam sektor minyak sawit, inisiatif bagi pengukuhan penyelidikan akan memacu teknologi tempatan yang dapat memenuhi permintaan pasaran, seperti minyak dan lemak yang sihat, biofuel daripada biomas, kosmetik dan plastik biodegradable.

53. Dalam sektor minyak dan gas, kita mempunyai juara seperti Petronas. Ia telah membina sebuah jenama yang sangat kukuh di peringkat antarabangsa dan saya percaya, kini ia perlu membantu untuk memacu pertumbuhan negara dengan memberi sokongan yang lebih lagi kepada pembekal tempatan. Walau bagaimanapun, melangkaui sektor teras minyak dan gas, kepakaran tenaga Malaysia di peringkat antarabangsa mampu membantu syarikat-syarikat untuk berkembang di peringkat antarabangsa dengan berkongsi pengetahuan, bekerjasama dalam pembidaan antarabangsa dan memberi sokongan pada skala global. Dengan mempunyai bakat tempatan yang berkemahiran tinggi serta syarikat yang mampu bersaing di peringkat global akan memberi Malaysia satu kelebihan yang nyata.

54. Dalam sektor perkhidmatan, potensi sektor pelancongan masih belum dieksploitasi sepenuhnya. Masih banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menarik pasaran baru dari Eropah dan Amerika untuk melengkapkan pasaran dari United Kingdom dan Asia. Kita mempunyai antara hutan yang tertua di dunia yang kaya dengan flora dan fauna serta kawasan menyelam dasar laut yang amat menarik. Malaysia mampu menerajui dalam menyediakan pengembaraan ekopelancongan yang lestari, mempunyai permintaan yang amat tinggi di kalangan negara maju. Kita perlu mensasarkan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan yang akan menarik high-end tourists, yang ingin mendapatkan perkhidmatan eksklusif dan bernilai tinggi. Kita juga perlu kreatif dalam menyediakan bidang baru dalam industri ini. Daripada pelancongan kesihatan, iaitu sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi, kepada ekopelancongan, pelancongan pasaran mewah serta pelawat yang berkaitan dengan pembangunan negara sebagai hab pendidikan serantau. Masa depan industri pelancongan Malaysia adalah cerah sekiranya kita mempunyai visi dan kreativiti bagi menyokong potensi pertumbuhannya yang luas dan pelbagai.

55. Sebagai sebuah negara yang turut mengeluarkan hasil pertanian serta bergantung kepada import makanan, terdapat keperluan strategik bagi memberi fokus kepada peluasan sektor pertanian yang bernilai tinggi. Masih terdapat potensi untuk mewujudkan nilai melalui pembangunan pertanian berskala besar, kaedah pengeluaran hasil yang tinggi, teknologi baru, rangkaian pemasaran yang lebih baik yang akan meningkatkan pengeluaran dan pendapatan. Kita mesti menggalakkan perniagaan agro melalui amalan pertanian yang bersepadu dan moden. Memandangkan masyarakat bumiputera di kawasan luar adalah besar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, peningkatan aktiviti pertanian moden secara intensif akan menyumbang kepada pendapatan yang lebih tinggi dan mengurangkan jurang pendapatan. Seterusnya, untuk bersaing di peringkat global, kita perlu memastikan sektor pertanian Malaysia, daripada peringkat penanaman sehinggalah pemprosesan, mematuhi atau melepasi standard dan amalan terbaik antarabangsa, serta memasarkan produk pada skala antarabangsa.

56. Malaysia juga berpotensi untuk menjadi peneraju dalam bidang teknologi hijau dan membangunkan niche dalam industri dan perkhidmatan hijau bernilai tinggi. Kita mempunyai kepakaran dalam bidang pembuatan kompleks, dan merupakan peneraju dalam sektor solar dan tenaga alternatif serantau. Dengan kejayaan terkini dalam pengkomersialan produk bio-diversity, yang semakin mendapat tempat di kalangan pengguna yang peka dengan alam sekitar, Malaysia mampu menjadi hab hijau yang menyeluruh dalam bidang perniagaan – merangkumi aktiviti penyelidikan, rekaan, pembuatan dan pengkomersialan, kita mempunyai kemahiran dan sokongan sektor awam.

57. Terdapat pelbagai bidang yang boleh diterokai untuk meluaskan punca pertumbuhan. Ingin saya memberi contoh yang lain – industri perkhidmatan kewangan, yang merupakan sektor pertumbuhan serta pemudah cara kepada pertumbuhan sektor-sektor lain. Potensi pembangunannya boleh dilihat dalam perkhidmatan kewangan Islam, serta dalam derivatif pengurusan risiko oleh peserta tempatan dan serantau. Kini, Malaysia merupakan peneraju perbankan dan pasaran modal Islam serta industri takaful di dunia. Kita juga berpotensi untuk menjadi hab perkhidmatan kewangan Islam yang bersepadu. Umpamanya, Bank Negara Malaysia kini dalam proses memuktamadkan penubuhan pusat kewangan Islam dan kelulusan dua lesen bank Islam mega.

58. Persaingan kini bukan lagi di antara negara tetapi juga bandaraya. Bagi Malaysia melonjak ke arah sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, kita mesti meraih pulangan lumayan dengan pelaksanaan strategi untuk membina densiti, pembangunan kluster dan pengkhususan dalam sektor bernilai tinggi. Menyedari peranan ini, bandaraya seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru perlu dibangunkan supaya lebih sesuai didiami dan mampu menarik bakat serta menjadi sebahagian daripada perancangan bandar-luar bandar yang lebih komprehensif dan bersepadu. Kita mesti membangunkan kluster yang lebih kukuh dan berperanan sebagai inkubator untuk syarikat baru, memastikan perkongsian perkhidmatan dan membangunkan lebih banyak perniagaan serta jalinan universiti. Bukti menunjukkan, pembangunan bandaraya membantu meningkatkan pendapatan penduduk kawasan sekitar luar bandar, terutamanya apabila mereka diintegrasikan ke dalam jaringan rantaian penawaran.

59. Terdapat banyak lagi sektor pertumbuhan strategik, di mana Malaysia berpotensi untuk berkembang. Kita mempunyai kekuatan di dalam industri IT. Industri kreatif – kepakaran kita dalam muzik, filem, kesenian dan budaya – boleh menjadi sektor yang penting untuk Malaysia pada masa hadapan. Dengan asas yang kukuh dalam kepakaran di bidang perubatan, saintifik dan pembuatan, kita boleh menjadi pusat serantau untuk sektor bioteknologi dan sains hayat yang berkembang pesat.

60. Oleh yang demikian, saya menyeru agar syarikat, pelabur dan usahawan Malaysia untuk merebut peluang yang ada serta menjadi juara serantau malah di peringkat global. Kita perlu mewujudkan polisi intervensi bersama untuk menjadikan ini satu realiti. Syarikat yang menunjukkan inovasi dan berpandangan jauh dalam membentuk dan mencergaskan semula aktiviti mereka akan mempunyai prospek cerah untuk menjadi peneraju dunia pada masa hadapan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

KERJASAMA AWAM-SWASTA

61. Sekiranya Malaysia ingin mencapai matlamatnya, kita harus membina hubungan strategik, kuat dan teguh serta dipacu pasaran berasaskan permintaan yang menghubungkan sektor pertumbuhan kepada MEB. Saya telah menyentuh beberapa strategi yang saya percaya kita perlu, termasuk pemodenan sistem pendidikan ke arah melahirkan tenaga kerja bertaraf dunia; pembaharuan fiskal berhemat yang membawa lebih banyak keseimbangan kepada rangka kerja hasil dan perbelanjaan; serta langkah mesra pasaran yang berkesan bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pendekatan baru ini.

62. Namun begitu, asas kepada semua strategi ini ialah kefahaman yang baru dan jelas mengenai peranan perniagaan dan Kerajaan. Pada masa yang sama, Kerajaan hanya bertindak sebagai pemangkin dalam mencapai kekayaan. Kita berperanan untuk memastikan kestabilan, keterbukaan dan kesaksamaan dalam persekitaran selamat yang menggalakkan, dan tidak menggugat atau menghalang pertumbuhan. Persaingan harus digalakkan bagi mewujudkan pasaran yang dinamik serta efisien dan sekiranya perlu, sokongan daripada sektor awam akan diberikan. Dalam tempoh 18 bulan yang lalu, kita telah melihat dengan jelas keperluan, di mana Kerajaan harus berwaspada di dalam menjamin kestabilan ekonomi apabila berlaku kegagalan pasaran.

63. Saya mendapati di dalam dewan ini beberapa bakat sektor swasta adalah antara yang terbaik di dunia. Anda adalah peneraju kepada penciptaan kekayaan dan pertumbuhan. Kita akan melindungi kepentingan ekonomi dan seluruh rakyat Malaysia secara aktif, tetapi kita juga mahukan kepakaran dan pelaburan daripada sektor swasta untuk terus berkembang. Sekali lagi, untuk berjaya dalam konteks ekonomi yang berbeza, kita perlu melihat untuk melaksanakan sesuatu dengan cara berlainan.

64. Satu daripada perubahan ini ialah dengan menggunakan pendekatan baru yang meluaskan peranan pasaran modal di bawah MEB. Malaysia tidak akan berjaya, meskipun dalam sektor utama kita, sekiranya kita kekal di takuk lama. Pencetus pertumbuhan membawa maksud memupuk inovasi, berani mengambil risiko dan kreatif dalam pembangunan produk atau perkhidmatan baru.

65. Sehubungan itu, bagi memudahkan pelaksanaan MEB, menyokong inovasi sektor swasta dan merangsang pembiayaan dalam perkhidmatan yang berisiko tinggi serta sektor berasaskan pengetahuan yang penting untuk masa depan Malaysia, saya ingin melihat peluasan peranan pasaran modal, berkembang daripada model pemerolehan dana kepada model berasaskan kecairan dan kepelbagaian risiko bagi menggalakkan usahawan dan pelabur untuk menjadi sebahagian daripada masa hadapan ekonomi Malaysia yang cerah.

66. Pembangunan dalam pasaran modal akan terus diperkukuh di dalam Pelan Induk Pasaran Modal Kedua yang pada masa ini sedang dirangka oleh Suruhanjaya Sekuriti. Saya juga melihat kerancakan industri pasaran modal seperti sektor pengurusan dana, modal teroka dan ekuiti swasta sebagai penentu penting dalam usaha kita untuk mencapai ekonomi berpendapatan dan berkemahiran tinggi bagi masa hadapan.

67. Sehubungan itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada masa ini menguasai pasaran ekuiti dan bon tempatan sehingga 50 peratus daripada volum harian Bursa yang diwakili oleh perdagangan berkaitan KWSP, yang mana situasi ini tidak sihat untuk pasaran mahupun KWSP. Pada hari ini, saya mengumumkan bahawa KWSP dibenarkan untuk melabur lebih banyak aset di luar negara, dan ini membolehkan KWSP mempelbagaikan portfolio dan memberikan lebih banyak ruang domestik untuk penyertaan baru. Pada masa ini, KWSP mempunyai 6 peratus aset pelaburan luar pesisir pantai dan jumlah ini akan meningkat secara ketara. KWSP juga akan meningkatkan pelaburan langsung di dalam ekonomi benar Malaysia, sebagai alternatif kepada pasaran pelaburan seperti penglibatan dalam sektor penjagaan kesihatan, komoditi, harta tanah dan pelaburan jangka masa panjang yang lain dengan memenuhi keperluan KWSP untuk melindungi nilai pulangan benar ke atas asetnya.

68. Dari segi institusi, Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA) merupakan agensi utama Kerajaan yang bertanggungjawab untuk mempromosi serta memudahkan pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia. MIDA memainkan peranan penting di dalam transformasi negara di bawah pelbagai fasa pembangunan industri sepanjang tempoh empat dekad yang lalu. MIDA juga telah muncul sebagai institusi yang diiktiraf di kalangan pelabur asing dan domestik. Walau bagaimanapun, masanya telah tiba untuk membuat perubahan drastik bagi menjadikan MIDA sebuah agensi promosi pelaburan yang lebih efektif.

69. Saya dengan ini mengumumkan bahawa MIDA akan dikorporatkan untuk memberikannya lebih fleksibiliti untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja serta bakat yang diperlukan untuk menjadi sebuah agensi promosi pelaburan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Kerajaan juga telah bersetuju untuk memperkasa MIDA dengan kuasa yang diperlukan untuk berunding secara terus dengan pelabur untuk projek yang disasarkan. Selain itu, MIDA akan dilantik sebagai agensi pusat promosi pelaburan untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan, kecuali perkhidmatan utiliti dan kewangan, bagi meningkatkan koordinasi dan kepaduan antara pelbagai badan promosi pelaburan di negara ini. Perubahan ini akan membolehkan MIDA untuk meluluskan insentif secara real time dan bertindak dengan lebih pantas untuk menjalin hubungan yang lebih efektif dengan pelabur. Oleh itu, MIDA akan dinamakan sebagai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dengan mengekalkan akronim, MIDA, yang merupakan satu jenama yang telah terkenal.

70. Sebagai tambahan kepada pembaharuan penting institusi, saya percaya, kita juga hendaklah memastikan keseimbangan yang wajar antara Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan sektor swasta di dalam ekonomi sebagai sebahagian daripada MEB. Sebelum krisis kewangan Asia, sumbangan sektor swasta kepada KDNK jelas mengatasi sumbangan sektor awam. Sebaliknya, dalam dekad pertama alaf baru ini, keadaan ini telah berubah. Suntikan fiskal yang bermula sebagai kitaran keperluan telah menjadi satu pergantungan dan mewujudkan keadaan yang tidak mapan.

71. Saya telah menyentuh beberapa prinsip utama yang akan menjadi asas kepada penentukuran (recalibration) hubungan sektor awam-swasta; transformasi Kerajaan untuk mengurangkan birokrasi dan memfokus kepada penciptaan persekitaran penggerak pertumbuhan; galakan dan insentif untuk merangsang inovasi dan produktiviti sektor swasta; fokus terhadap sektor berasaskan pengetahuan strategik untuk pertumbuhan jangka panjang; dan juga pengiktirafan terhadap kepentingan untuk merebut peluang di peringkat pasaran serantau dan global yang akan membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

72. Dalam majlis yang sama tahun lalu, saya telah menggariskan strategi untuk melihat GLCs bagi melepaskan pegangan aset bukan teras; memangkin dan membangunkan ekosistem sektor teras mereka; dan bersaing secara adil dengan sektor swasta. Mengenai prinsip ketiga, saya telah mengumumkan bahawa syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan dibenarkan untuk melepaskan pegangan aset bukan teras dan/atau aset yang tidak kompetitif.

73. Hari ini saya ingin mengumumkan beberapa langkah lanjut yang dapat meningkatkan peluang sektor swasta di samping mengeratkan perhubungan di antara sektor awam dan swasta.

74. Melangkah ke hadapan, saya ingin melihat GLCs dan agensi milik Kerajaan menjalin kerjasama strategik dengan sumber modal swasta di Malaysia dalam membantu bakal pelabur supaya lebih maklum mengenai order book Kerajaan dan membina kompetensi nasional. Kerjasama ini adalah penting, bukan sahaja ke arah meningkatkan strategi peluasan serantau (regionalisation) syarikat-syarikat Malaysia mengambil kira saiz pasaran domestik, malahan untuk memastikan sumber modal tersedia dan boleh digunakan dengan segera. Di samping itu, peluang untuk mewujudkan usaha sama dengan pelabur dari pelbagai bidang termasuklah pelabur runcit, dan dana mutual tempatan dan luar negara kekal terbuka. Sekiranya ini berjaya dilaksanakan dalam skala yang besar, kerjasama ini dapat menjadi pemangkin kepada satu bentuk kerjasama awam-swasta yang unik. Kita sudah mempunyai beberapa inisiatif menuju ke arah ini. Contohnya termasuk penswastaan Astro dan kerjasama di antara Malakoff dan Tenaga Nasional di dalam projek utiliti di Arab Saudi.

75. Kita sudah menunjukkan perkembangan di dalam bidang pelupusan aset bukan teras dan dalam masa sembilan bulan yang lepas, Khazanah telah melepaskan pegangan yang ketara dalam Tenaga Nasional, Malaysia Airports dan PLUS dengan tujuan untuk meningkatkan kecairan saham ini. Namun demikian, lebih banyak perkembangan di sektor ini perlu dilakukan.

76. Kita akan melupuskan aset bukan teras dan aset tidak kompetitif dalam bidang di mana pemegang saham strategik yang baru mempunyai potensi untuk meningkatkan pewujudan nilai, berbanding sekiranya mereka terus berada di dalam pegangan Kerajaan. Sudah tentu, kita perlu memastikan pelupusan ini melepasi penilaian yang ketat demi kepentingan awam.

77. Proses telus akan dilaksanakan bagi memastikan pembida yang berpotensi daripada sektor swasta memenuhi kriteria minimum, termasuklah dari segi kedudukan kewangan, rekod di dalam pengembangan perniagaan dan kecemerlangan pengurusan, serta tawaran mereka untuk membantu pembangunan Bumiputera dan menjayakan gagasan 1Malaysia. Pembida hendaklah menunjukkan penyampaian yang melebihi tanda aras inovasi dan penciptaan nilai, serta menyokong matlamat MEB iaitu berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan. Bagi membangunkan proses ini, saya mencadangkan satu panel penilai yang terdiri daripada ahli kewangan profesional, pakar industri antarabangsa dan pegawai kanan Kerajaan dilantik untuk menilai bidaan sektor swasta bagi aset-aset GLCs.

78. Memandangkan betapa pentingnya prestasi sektor awam dan swasta perlu ditingkatkan, kita perlulah berwaspada bagi memastikan pindahan aset GLCs kepada sektor swasta tidak mengabaikan matlamat pembaharuan dan penyampaian sektor awam atau pelupusan aset yang menjejaskan kepentingan awam. Dalam masa yang tertentu, ini termasuklah mengekalkan pengurusan utama dan mengelakkan pemberhentian pekerja secara tanpa rela. Pada masa yang sama, saya sedar akan kepentingan untuk mengkaji semula tarif dan insentif sedia ada yang disediakan kepada GLCs jika kita ingin menarik pelaburan swasta dan, untuk itu, saya mencadangkan sebarang kajian semula berkaitan hal ini dibawa ke Kabinet.

79. Dengan garis panduan dan prinsip strategik yang jelas, saya yakin momentum perjalanan transformasi GLCs akan dapat terus dikekalkan, dan saya mengumumkan bahawa Khazanah telah memutuskan untuk melupuskan 32 peratus pegangan dalam Pos Malaysia melalui dua peringkat proses pelupusan strategik. Di peringkat pertama yang bermula serta-merta, kaedah urus tadbir korporat dan kawal seliaan yang sesuai akan dipatuhi. Perbincangan menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan akan dilaksanakan. Pos Malaysia akan membuat persediaan untuk pelupusan strategik dengan mengambil kira pelbagai aspek persekitaran perniagaannya termasuk struktur kawal seliaan, penggunaan tanah Kerajaan dan kedudukan serta kebajikan pekerja. Isu berlanjutan mengenai pendapatan rendah sebilangan staf termasuk posmen juga akan dikaji semula. Bagi memastikan kepentingan kedua-dua sektor awam dan komersial adalah seimbang, Kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci dan mengemaskini rangka kawal selia sistem pos. Di peringkat kedua, Khazanah akan menggariskan proses bidaan dan penilaian untuk memilih pemegang saham baru dengan tahap keusahawanan yang tinggi bagi memodenkan Pos Malaysia. Maklumat lanjut berkaitan hal ini akan diumumkan.

80. Bagi mempromosikan pelaburan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, beberapa lot tanah di Jalan Stonor, Jalan Ampang, Jalan Lidcol, Kuala Lumpur, telah dikenal pasti untuk ditender dan dibangunkan oleh sektor swasta. Aset ini, jika tidak dibangunkan, adalah satu pembaziran dan meningkatkan kos penyelenggaraan kepada Kerajaan. Inisiatif ini akan menjadi permulaan yang baik untuk lebih banyak penjualan dan usahasama antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan harta tanah. Dalam hal ini, sukacita saya maklumkan Kerajaan dan KWSP akan membentuk satu kerjasama bagi membangunkan 3,000 ekar tanah di Sungai Buloh sebagai hab baru bagi Lembah Klang. Ini akan membawa kepada pelaburan baru yang melebihi RM5 bilion yang akan memberikan kesan segera kepada pertumbuhan ekonomi domestik, dengan potensi yang besar kepada sektor swasta untuk turut sama terlibat dengan lebih aktif.

81. Saya juga ingin berkongsi dengan anda sekarang, bahawa Kerajaan secara beransur-ansur akan mengurangkan peranannya dalam aktiviti-aktiviti persaingan secara langsung dengan sektor swasta. Kita telah menyemak semula beberapa buah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan dan agensi-agensi lain, dan saya ingin memaklumkan, kita sedang mempertimbangkan langkah-langkah penswastaan untuk Percetakan Nasional Malaysia Berhad, CTRM Aero Composites Sdn Bhd, Nine Bio Sdn Bhd dan Innobio Sdn Bhd serta beberapa lagi syarikat dalam pertimbangan.

82. Selain itu, Petronas telah pun mengenal pasti dua subsidiari yang mempunyai prestasi baik akan disenaraikan pada tahun ini. Matlamat inisiatif ini adalah untuk mengurangkan penglibatan Kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti perniagaan yang akan menjadi lebih cekap sekiranya dijalankan oleh sektor swasta dan memberi isyarat jelas komitmen menggalakkan persaingan dalam ekonomi, mengambil risiko dan merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada semua warga Malaysia.

83. Seperti yang saya tegaskan tadi, kita tidak mampu untuk berpatah balik kepada cara lama. Cabaran yang kita hadapi sekarang memerlukan kita untuk menilai semula dengan segera cara kita melakukan sesuatu. Institusi, pendekatan dan sistem yang telah berjaya sebelum ini mungkin perlu diubahsuai mengikut perubahan landskap global.

84. Pengumuman yang dibuat pada hari ini, mengenai pelupusan baru, usaha sama sektor awam dan swasta, serta pembaharuan mengenai proses Kerajaan untuk menjana pertumbuhan – mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memperbaharui dan menempatkan negara kita, guna tenaga kita, syarikat kita dan generasi masa depan untuk berdepan cabaran ekonomi global yang kompetitif.

Tuan-tuan dan puan-puan,

PENUTUP

85. Pada hari-hari pertama sebagai Perdana Menteri, saya mengatakan bahawa Malaysia mesti bersedia untuk berubah. Kita tiada pilihan, selain daripada bergerak ke hadapan dan menjadi negara berpendapatan tinggi dengan pertumbuhan yang mapan dan menyeluruh. Perubahan ini tentunya menyakitkan dan jalan pintas pastinya menarik. Namun, kita tidak boleh hanya mencari kemenangan mudah. Ia pasti perjalanan yang membawa kesukaran masa pendek, tetapi berbaloi dalam mewujudkan masa depan Malaysia yang lebih kukuh. Kita memerlukan ‘dorongan kuat’ yang mapan dan konsisten supaya perubahan besar hari ini menghasilkan arus momentum yang semakin kuat dan membantu mencapai matlamat kita.

86. Maka, ini adalah detik penentuan bagi Malaysia. Sedang kita pulih dari kemelesetan ekonomi, adakah kita akan mempunyai kekuatan dan wawasan untuk memburu agenda perubahan yang hebat lagi mencabar, tetapi amat perlu demi masa depan negara kita? Jawapan kita ialah dengan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, memberikan anak-anak kita peluang pendidikan yang terbaik, serta menarik pelaburan berkualiti tinggi, yang akan menjadi tema pendorong perhimpunan penting ini.

87. Di persimpangan yang genting ini, di mana kita mengimbangkan sejarah negara dengan masa hadapannya, saya percaya kita ada kekuatan untuk mencapai cita-cita Malaysia.

88. Namun begitu, ia adalah lebih besar daripada cita-cita ekonomi negara kita. Ini adalah tentang kehidupan yang lebih besar peluangnya untuk generasi masa hadapan. Ini adalah tentang membuka mata keluarga berpendapatan rendah untuk membantu mereka keluar dari kemelut kemiskinan. Ini adalah tentang lapisan masyarakat kita di mana setiap daripada kita mempunyai peluang dan tanggungjawab. Ia mengenai meletakkan Malaysia di barisan hadapan ekonomi berpendapatan tinggi supaya kita dapat berdiri sama tinggi dengan negara maju lain. Saya yakin – dengan sokongan anda – bahawasanya kita akan memilih jalan yang betul, bergerak ke hadapan dan bukannya mundur, dan membina Malaysia yang lebih saksama, kukuh dan dinamik untuk dekad yang mendatang. Saya menyeru anda berganding bahu dengan saya dalam perjalanan bersejarah ini untuk membina kemakmuran dan masa depan baru demi 1Malaysia.

 

Komen OnDaStreet:  Apa yang terucap oleh DS Najib sebenarnya adalah dalam bentuk yang masih belum jelas. Ianya lebih kepada memberitahu apa yang ingin dicapai. Bagaimana? Ianya belum jelas dan kelihatan masih diusahakan.

Mungkin, dengan pembentangan ucapan ini, rakyat Malaysia boleh memahami apa yang cuba disampaikan. Bagi OnDaStreet, belum cukup jelas dan berpendapat ianya masih boleh diperbaiki.

Dengan peluang untuk memberikan idea kepada DS Najib terbuka dengan laman facebook dan twitternya (dan harapnya juga NEAC punya saluran yang menggambarkan ianya datang daripada majoriti rakyat termasuk yang tiada facebook dan twitter), luahkanlah pendapat anda. Beritahu kerajaan apa yang anda fikirkan. Akan tetapi, bukan sekadar luahan rasa, tetapi biarlah disertakan hujah intelektual dan membina. Sertakan sekali (jika boleh) kajian dan analisis (bukan setakat tulis berdasarkan kajian tetapi tiada rujukan).

Bahagian 1 tentang sebahagian Model Ekonomi Baru boleh diperolehi daripada laman ini. Jika larat, bacalah 209 muka surat (termasuk pembahagi seksyen) tentang model ini. Fahamkan… dan semoga kerajaan dapat input dan maklumat berguna daripada rakyat Malaysia.. bukan sekadar luahan tanpa merujuk kepada apa yang cuba kerajaan lakukan..

Dengan komentar-komentar OnDaStreet di celah-celah ucapan DS Najib, diharapkan sedikit sebanyak terjawab kerisauan akan perkara-perkara yang menyesakkan kepala mereka yang berminat untuk mengetahui bagaimanakah MEB ini..

Bacalah sebanyak mungkin.. yang pasti, pada pandangan OnDaStreet, kita perlu tahu asas ekonomi dan bahasanya…

Jika diambil dari sudut negatif, DS Najib belum benar-benar membentangkan MEB sebagaimana yang dijanjikan. Tiada beza dengan gembar gembur di media sejak ianya diumumkan tahun lepas..

Keluhan dijalanan (?): Masih jauh lagi rupanya pembentangan MEB ini… harapnya lebih gah dan baik daripada DEB.. sebabnya DEB itu rasanya tidaklah sampai begini apabila cuba disampaikan kepada rakyat Malaysia dahulu…

 

5 thoughts on “Komentar Untuk Teks Ucapan DS Najib Mengenai MEB – Bahagian 3

  1. Salam Sdr,

    Memang menjadi cita-cita setiap buah negara dan rakyatnya untuk berstatuskan negra berpendapatan tinggi, berekonomi mantap. Cuma pendekatan, perlaksanaan segala sesuatu itu janganlah dibuat secara konsep mee maggi, cepat dimasak, sedap dimakan – konsep mee segara.

    Saya sebenar ingin memerhatikan sejauh mana ekonomi gergasi dewasa ini seperti China itu dapat bertahan (saya tidak akan hidup selama itu). Apakah yang mebuatkan China dilabelkan sebagai ekonomi gergasi dewasa ini. Berpunca dari penduduknya yang ramai?

    Dari bacaan sejarah, saya rasa, negara-negara barat (negara dunia pertama dewasa ini) mengambil masa yang panjang untuk mencapai status itu e.g. bukan secara konsep mee segera. Kita lihat bagaimana semangat nasionalistik diterapkan kepada rakyat, kesedaran sivik dipertingkatkan, kemurnian jati diri ditekankan dan hari ini kita lihat produk-produk yang dihasilkan oleh negara-negara barat yang maju ini (termasuklah Jepun) adalh first class dari segi kualiti, piawai dan tahap keselamatan kepenggunaannya.

    Cuba lihat China pula dari segi ekonomi gergasinya. Bolehkah kita katakan produk-produknya cukup piawai? atau dihasilkan dengan kos yang paling rendah walaupun membelakangi tahap piawai, kualiti dsb? Pernah kita dengar susu bayi yang menyebabkan kematian bayi? Barangan yang dihasilkan dgn secara tidak jur e.g, menipu? Pernah dengar kuew tiaw dibuat dari surat khabar lama demi memaksimakan untung dgn menampakkan kuantiti lebih? Kecoh bukan suatu ketika dulu mengenai barangan impot dari China yang membahayakan kesihatan? Inikah kemajuan ekonomi, kependapatan tinggi yang hendak kita kejar?

    ODS: Menyentuh ekonomi China, jika tidak salah saya, dalam berita ekonomi, ada disebut tentang nilai Yuan kini. Ada yang mencadangkan bahawa, jika Yuan benar-benar dinilai kembali, kebarangkalian ia akan memberi impak yang kurang positif kepada ekonomi China kerana akan menambah kos kepada barang-barang yang dieksport dari China (sekaligus menambahkan juga kos buruh). Entah benar atau tidak, yang pakar lebih tahu daripada saya.

    Terima kasih atas komen anda.🙂

  2. Baca sepintas lalu, nampaknya ini hanya rangka, bukan pelan MEB. Tidak ada butir lanjut, hanya pokok dan cabang besar, belom ada dahan kecil dan rantingnya.

    Saya minat nak lihat, contohnya, bagaimana Melayu dan Bumiputra di Sabah dan Sarawak di”persaingkan”. Adakah yang tender-tender yang dahulu dikhaskan untuk Bumiputera, yang kebanyakannya Melayu Semenanjung mengambil bahagian, dalam MEB akan dimasukkan Bumiputera Sabah dan Sarawak sebagai perserta?

    ODS: Setahu saya, untuk Bumiputera Sabah dan Sarawak boleh sahaja bersaing untuk dapatkan tender.. cuma bezanya pula “kemampuan”…

    Entahlah…

  3. Penting mahu tahu bagaimana caranya mahu mendapatkan syor-syor kita akan dipertimbang secara serius dan ada harapan dimasukkan kedalam MEB yang final nanti. Kalau tahu, kita boleh perahkan otak kita sikit dan keluarkan cadangan secara terperinci.

    Dalam keadaan begini kita hanya boleh melalak sahaja dan berharap apa yang kita sebutkan akan diambil kira oleh mereka yang memperincikan pelan MEB itu.

    Fasal meninggikan pendapatan kumpulan pendapatan rendah memang sudah masuk semua pelan-pelan kemajuan yang lalu. Angka 40% itu mungkin bahru.

    Saya khuatir kalau institusi-institusi memajukan orang Melayu itu digantikan, bagaimana bentuk gantinya, anggota pengendalinya, operasinya. Kurang pasti sama ada butir-butir demikian akan dimasukkan kedalam pelan MEB final itu.

    Malaysia Today sudah membuat “pronouncement .. that NEP is dead”. memanglah mereka bukan doktor dan tidak ada upaya mengeluarkan Sijil Mati. Namun demikian, saya harap ciri-ciri DEB akan diteruskan diMEB. Saya akan amat kecewa dan akan melaung jika tidak. Saya akan baca lagi pengumuman PM itu secara terperinci dalam masa berikutan.

    ODS: Abu,
    Tidak dinyatakan secara jelas apa yang diganti dan diteruskan. Hanya kekelabuan dan ketidak jelasan yang diberikan…

    Mungkinkah DS Najib perlu bercakap dalam bahasa yang lebih mudah?

  4. Salam ODS,

    Terimakasih atas usaha saudara. Setidaknya dapat memberi warga2 marhaen ekonomi seperti saya kesempatan untuk memahami dengan lebih mudah MEB Najib ni.

    Hmmm macam 1Msia yang ditambah jargon ekonomi….

    ODS: Salam Din,
    Sekadar mana yang boleh.. dan ianya belum cukup lagi.. ucapan DS Najib agak panjang (dan mengambil kira banyak yang nak disampaikan), eloklah dipecah-pecahkan untuk mudah dibaca…

    Walau apapun, OnDaStreet masih berpendapat, walaupun dikatakan ada dua peringkat, seharusnya ia tidak harus perlu macam kerja tidak siap…

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s