Komentar Untuk Teks Ucapan DS Najib Mengenai MEB – Bahagian 2


Sambungan daripada Bahagian 1

Tuan-tuan dan puan-puan,

PRINSIP MEB

23. Seterusnya, saya ingin menetapkan tiga prinsip yang saya percaya akan menjadi penunjuk kepada pemikiran negara dan pembangunan MEB. Saya mahu – seperti mana yang digariskan oleh Tan Sri Amirsham – untuk kita semua membayangkan kesan MEB pada masa akan datang dan makna MEB terhadap diri kita dari segi individu dan perniagaan.

24. Tiga prinsip yang jelas terhasil daripada laporan NEAC – pertama, berpendapatan tinggi, kedua, kemapanan dan ketiga, keterangkuman (inclusive). Ketiga-tiga prinsip ini akan memacu kemajuan ekonomi untuk kita menjadi sebuah negara yang membangun sepenuhnya; meletakkan kedudukan negara yang berdaya saing secara strategik di dalam ekonomi serantau dan global, persekitaran yang mapan dan kualiti kehidupan secara menyeluruh.

25. Kita perlu bertanya pada diri sendiri akan soalan asas ini: Adakah MEB ini menjana pekerjaan berpendapatan tinggi di mana Rakyat mendapat manfaat daripada ekonomi yang berdaya saing dan cara hidup yang lebih baik? Inilah intipati (raison d’être) bagi MEB. Kita mahu melihat Malaysia melakukan lonjakan kuantum daripada pendapatan tahunan per kapita sebanyak AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun seperti yang dinyatakan dalam Laporan NEAC. MEB hendaklah dibina dari sini. Ia bukanlah suatu tugas yang mudah, tapi ia menjanjikan pulangan yang lumayan jika kita mampu melakukan transformasi ini. Cabaran kita adalah bagaimana untuk melakukannya. Ini bermaksud, membangunkan sektor sedia ada dan memaksimumkan potensi sektor baru melalui inovasi.

26. Mewujudkan negara yang berpendapatan tinggi bermakna upah pekerja yang lebih tinggi bagi keseluruhan ekonomi disebabkan pertumbuhan bukan sahaja daripada modal, tetapi juga daripada produktiviti yang tinggi melalui penggunaan kemahiran dan inovasi, koordinasi yang diperbaiki, penjenamaan yang kukuh dan mematuhi piawaian antarabangsa dan hak harta intelektual. Ekonomi yang berasaskan pengetahuan, pelaburan dalam teknologi baru, kemahiran yang pelbagai, innovasi dan kreativiti, serta peningkatan kompetensi adalah pemacu kepada prestasi sektor awam dan swasta. Kita mengharapkan pelaburan dan persaingan untuk bakat terbaik melalui pembayaran upah yang tinggi. Malah, pekerja kolar biru juga akan diberi upah berdasarkan peningkatan kompetensi yang mereka miliki, dengan prestasi mereka akan diukur berdasarkan tanda aras pesaing antarabangsa. Semakin banyak kemahiran, akan datang tanggungjawab yang lebih besar dan pekerjaan yang lebih baik serta berpendapatan tinggi.

27. Antara penemuan lain, laporan NEAC turut memberi penekanan bahawa sehingga hari ini seramai 80 peratus daripada populasi tenaga kerja mempunyai taraf pendidikan sehingga kelayakan SPM yang setaraf dengan O-levels. Perkara ini tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi yang kita aspirasikan. Kita perlu pendidikan yang berterusan, latihan kerja praktikal dan latihan semula kemahiran bagi memanfaatkan sepenuhnya teknologi baru. Dan dengan membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di mana produktiviti dan daya saing memacu pertumbuhan, kos menjalankan perniagaan akan sentiasa berdaya saing berikutan penggunaan modal yang lebih efisien serta memberi penekanan terhadap pekerja yang berkualiti. Ini bermakna, pengurangan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing yang tidak berkemahiran, dan lebih penumpuan kepada pekerja pelbagai kemahiran yang boleh meningkatkan produktiviti. Perubahan ini juga memerlukan Kerajaan untuk turut meningkatkan kualiti dan produktiviti para pekerjanya. Saya percaya kita telah memulakan usaha melalui GTP, yang mana antaranya akan meningkatkan infrastruktur negara serta memperbaiki akses kepada pendidikan yang berkualiti.

[Komen OnDaStreet: Secara logiknya, jika kita mahu membentuk rakyat Malaysia yang mampu memperolehi pendapatan tinggi, asasnya perlu diperkukuhkan, ilmunya perlu dipertingkatkan. Persoalannya, adakah “pasaran” di Malaysia menghargai pekerja Malaysia seumpama pekerja luar negara atau tidak? Apakah nilai mereka? Jika ya, masakan NEAC melaporkan bahawa kita kehilangan ramai pekerja yang mahir? Apakah, dengan MEB, setelah kemahiran sesetengah dipertingkatkan, mereka tidak akan lari mencari kerja di luar negara?]

28. Kedua, MEB mesti bertunjangkan komitmen terhadap penjanaan pertumbuhan yang mapan, bukan sahaja dari sudut prestasi ekonomi negara kita, bahkan perlu mengambilkira kesan pembangunan ekonomi ke atas persekitaran dan sumber asli yang tidak ternilai. Tidak ada maknanya kita terlalu mengejar masa depan dengan kekayaan yang melimpah-ruah, sekiranya sumber alam dan nilai masyarakat terhakis yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang. Pilihan ini adalah tidak wajar dan amat sia-sia sekali. Kita boleh memiliki pendekatan ekonomi yang mantap dan dinamik, tetapi ianya mesti berupaya memelihara negara kita yang dicintai demi generasi akan datang. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mapan hendaklah selari dengan pemuliharaan alam sekitar. Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini semasa penubuhan NEAC, pencapaian berasaskan kekayaan semata-mata belum memadai dengan apa yang saya hasratkan. Bukan sahaja saya mahukan rakyat memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, tetapi juga mereka turut menikmati kehidupan yang lebih sempurna. Meningkatkan kualiti hidup mestilah menjadi sebahagian daripada adunan MEB.

[Komen OnDaStreet: Siapa yang tidak mahu kehidupan yang seimbang? Semua mahukan itu, namun tidak semuanya mampu dimiliki.

Berdasarkan para ucapan ini, minda saya merujuk kepada artikel lepas yang menyentuh tentang NBI sebagai salah satu pemangkin MEB. Jika kita mahu maju tanpa mengurangkan sumber asli, maka NBI adalah salah satu jalannya. Persoalannya, siapa yang memperoleh faedah secara pendapatan tinggi daripada inisiatif NBI ini?]

29. Akhir sekali, adakah MEB melibatkan keterangkuman? Kita perlu mengambil kira penggembelingan potensi keseluruhan rakyat Malaysia, dan sama-sama menikmati hasil kemakmuran negara yang semakin berkembang.

30. Keterangkuman atau penyertaan menyeluruh merupakan pra-syarat utama bagi memupuk semangat kekitaan dan pemuafakatan di dalam MEB. Saya mengambil kesempatan ini, untuk menyentuh isu penyertaan menyeluruh MEB di mana tidak ada seorang pun yang terpinggir dalam menyumbang dan mengecapi hasil penjanaan kekayaan seiring dengan kemajuan negara. Walaupun dari segi realitinya, adalah mustahil untuk kita mencapai kesaksamaan yang sempurna dalam ekonomi global dan terbuka, masyarakat yang berteraskan penyertaan bersama mampu memastikan yang kita boleh mengurangkan jurang ketidaksamaan, mampu membantu mereka yang paling memerlukan, dan melibatkan penyertaan semua rakyat Malaysia yang berkebolehan dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing.

31. Dalam mengubah pendekatan dengan mengambilkira cabaran-cabaran baru ini, ia memerlukan kita untuk mengubah pemikiran rakyat kita. Dalam jangka masa pendek, tentu akan ada tentangan yang hebat. Sebahagian sektor ekonomi mungkin terjejas. Proses pembaharuan tidaklah mudah dan tentunya akan mengalami kesukaran. Namun, bagi membina kekuatan jangka panjang negara, kita tidak boleh berterusan membelakangi isu ini. Jika kita benar-benar mahu menyelesaikan isu ketidaksamarataan dan menjadi contoh di rantau ini, kita perlu bertindak segera untuk melakukan perubahan.

[Komen OnDaStreet: Ketidaksamarataan yang bagaimana dimaksudkan? GDP? Per Capita? Pecahan yang bagaimana? Umum? Mengikut kelas? Adakah dasar afirmatif memainkan peranan lagi ataupun tidak?

Persoalan ini tidak lain berkaitan dengan keadaan semasa GDP atau per kapita mengikut keadaan etnik dan kelas ekonomi rakyat Malaysia. Kadar kemiskinan dikalangan Bumiputera masih lagi tinggi. Sedikit sebanyak ianya menurunkan kembali GDP walaupun disumbangkan oleh mereka yang berpendapatan tinggi. Apakah usaha dan bagaimana membantu mereka ini? Dengan peluang pendidikan pun dipersoalkan, bagaimanakah mereka ini dapat dimajukan?]

Tuan-tuan dan puan-puan,

TINDAKAN AFIRMATIF SEBAHAGIAN DARIPADA PENYERTAAN MENYELURUH

32. Dasar Ekonomi Baru dengan tindakan afirmatif telah berjaya dilaksanakan selama 40 tahun yang lalu, mengimbangkan strategi pertumbuhan ekonomi negara kita dengan keperluan menangani ketidaksamarataan struktur ekonomi dan memupuk keharmonian sosial. Kadar kemisikinan berjaya dikurangkan dengan ketara kepada 3.7 peratus pada masa ini. Kita seharusnya berbangga dengan pencapaian tersebut. Kejayaan ini menjadi contoh kepada negara-negara berbilang kaum lain yang ingin diikuti. Namun begitu, bilangan isirumah berpendapatan rendah masih lagi banyak di Malaysia. Kerajaan kini berhadapan dengan masalah abad ke-21 yang memerlukan pendekatan baru untuk menyelesaikannya.

33. Laporan NEAC menggariskan pendekatan untuk menangani kemiskinan dan juga memperbaharui polisi afirmatif dalam konteks ekonomi baru dan lebih berdaya saing. Ini akan menjadi sebahagian daripada proses konsultasi awam. Sungguhpun demikian, Kerajaan berpendapat ianya mempunyai kewajaran untuk pertimbangan dan saya ingin menggariskan parameter yang lebih menyeluruh.

34. Keutamaan kita adalah untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Kita tidak akan mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, mapan dan yang melibatkan penyertaan menyeluruh tanpa menangani masalah jurang pendapatan.

35. Justeru, adalah perlu kita memperbaharui polisi afirmatif terhadap MEB yang akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap pendapatan semua golongan yang kurang bernasib baik. Ia akan memberi fokus terhadap keperluan seluruh rakyat – mereka yang tinggal di rumah panjang di Sabah dan Sarawak serta golongan miskin luar bandar di Semenanjung Malaysia yang seringkali tersisih daripada aktiviti ekonomi negara. Golongan nelayan, peniaga kecil dan petani juga tergolong dalam kategori ini. Begitu juga Orang Asli dan penduduk bandar yang berpendapatan rendah yang bekerja keras untuk menyara kehidupan dalam keadaan ekonomi yang sukar. Sehubungan ini, laporan NEAC mencadangkan supaya fokus diberikan terhadap kumpulan 40 peratus strata pendapatan terendah di Malaysia – dari segi individu dan wilayah. Merekalah merupakan golongan yang kurang bernasib baik yang masih memerlukan perhatian khusus.

36. Matlamat akhirnya, tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara. Sementara terdapat di kalangan mereka masih bergelut dalam keadaan sukar dengan berpendapatan yang rendah, kita akan sentiasa memberikan sokongan khas untuk membantu mereka keluar daripada perangkap kemiskinan.

[Komen OnDaStreet: Jika benar kemiskinan masih lagi dalam perhatian, perlulah diperingatkan bahawa yang pecahan rakyat yang miskin masih lagi “dikuasai” golongan bumiputera. Maka, bukan bumiputera tidak harus melihat dari sudut pandang perkauman sebaliknya sama membantu agar semua dapat mengecapi pecahan kek ekonomi sewajarnya.]

37. Sejak berdekad lamanya, DEB telah menjadi kayu pengukur pencapaian utama masyarakat kita, satu polisi yang saya sokong dan terima sepenuhnya. Objektif asalnya masih lagi relevan, namun, sudah tiba masanya untuk kita menilai kembali pelaksanaan DEB. Kita akan mensasarkan pencapaian matlamat yang sama tetapi dengan mengubah cara kita melaksanakannya. Oleh itu, dasar afirmatif yang diperbaharui akan dilaksana berdasarkan empat prinsip, ia perlu:

  • mesra pasaran;
  • berdasarkan merit;
  • telus; dan
  • berdasarkan keperluan.

38. Sebagai contoh, salah satu pertimbangan penting adalah mewujudkan proses tender yang kompetitif dan telus, dengan peraturan yang tetap dan jelas bagi seluruh komuniti Bumiputera yang terdiri daripada kedua-dua kaum Melayu dan pribumi lain. Ini merupakan pemantapan dasar kita bagi menghadapi keadaan ekonomi baru, di mana keterangkuman merupakan komponen penting di dalam MEB. Secara praktiknya, pendekatan ini bermakna sokongan kepada Bumiputera dipertingkatkan, di mana ia berdasarkan kepada keperluan dan bukannya bangsa. Golongan Bumiputera masih merupakan majoriti dalam kumpulan yang mudah terjejas, walaupun dalam pelbagai pendekatan, sementara pendekatan baru kita akan membantu mereka yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan rendah. Pendekatan ini sebahagian besarnya masih lagi akan memanfaatkan komuniti Bumiputera dan pada masa yang sama, memberi manfaat kepada komuniti lain yang kurang bernasib baik.

39. Dalam menilai pencapaiannya, pengagihan yang adil hendaklah merangkumi keseluruhan spektrum pengukuran kekayaan seperti pemilikan ekuiti, aset kewangan dan bukan kewangan lain serta akses kepada peluang menjana kekayaan seperti konsesi jangka panjang dan kontrak. Malahan dari segi pengukuran pemilikan, ia perlu melangkauiaspekekuiti termasuk harta benda lain, aset perniagaan seperti peruncitan, harta tanah, bangunan komersial, harta intelek dan perkhidmatan lain serta perjawatan dalam pengurusan. Satu contoh yang baik ialah pembangunan semula Kampung Baru, yang merupakan peluang penjanaan kekayaan secara holistik yang mendalam dan melangkaui pemilikan ekuiti. Saya telah mengarahkan NEAC untuk menyediakan satu rangka kerja yang terperinci untuk melaksanakan model afirmatif baru yang berdasarkan mekanisme yang telus dan berasaskan pasaran untuk mencapai pengagihan yang saksama, manfaat daripada ekonomi berpendapatan tinggi.

[Komen OnDaStreet: Adil tidak semestinay sama rata.. Betulkan DS Anwar Ibrahim? (Kerana beliau suka dengan perkataan “adil”). Jika adil=sama rata, maka agihkanlah hartamu kepada rakyat jelata juga… Begitu juga pesanku kepada semua orang-orang kaya termasuklah keluarga Ananda Krishnan, Lim Guang Eng, DS Anwar Ibrahim, Zaid Ibrahim, Karpal Singh.. sebab kamu semua lebih berduit daripada kami yang makan sehari pun kekadang tidak cukup.. Hehehe..]

40. Laporan NEAC menggariskan pandangan bahawa mekanisme sebelum ini yang menumpukan pada penetapan sasaran, kini perlu memberi fokus kepada pelaburan binaupaya yang berdedikasi dan berstruktur di mana ia membolehkan Bumiputera meraih manfaat daripada peluang-peluang baru dalam ekonomi. Selanjutnya, akses dan peluang latihan yang lebih saksama bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan untuk mendapat pekerjaan akan diberi keutamaan kepada semua rakyat Malaysia.

41. Pendekatan ini dibina berasaskan pengalaman kita dalam melaksanakan tindakan afirmatif selama ini. Apabila dasar ini dilaksanakan dengan telus, adil dan dengan kaedah yang lebih berwibawa, ia akan menjurus kepada pencapaian yang lebih baik. Akan tetapi, setelah sekian lama, pelaksanaan tindakan afirmatif tidak menepati golongan sasaran yang amat memerlukan. Terdapat persepsi yang menggambarkan bahawa bukan Bumiputera tidak mendapat manfaat daripadanya sehingga kini, walaupun fakta dan data menunjukkan sebaliknya. Justeru, kita perlu menukar persepsi ini dengan prinsip baru tindakan afirmatif yang telah dinyatakan sebelum ini. Kita tidak boleh lagi bertolak-ansur dengan amalan yang menyokong aktiviti rent-seeking dan patronage, yang telah sekian lama menjejaskan matlamat murni DEB. Penyertaan menyeluruh diperlukan, di mana semua rakyat Malaysia dapat menyumbang dan mengambil manfaat daripada pertumbuhan ekonomi – perlu menjadi teras utama bagi sebarang pendekatan ekonomi baru.

42. Ini adalah prinsip yang ingin saya lihat sebagai panduan dalam fasa konsultasi seterusnya. Bolehkah kita membina model baru yang berlandaskan ekonomi berpendapatan tinggi, mapan dan penyertaan menyeluruh di mana kita semua dapat menikmati kemakmuran? Saya percaya kita semakin menghampiri sasarannya. Saya percaya terdapat sokongan padu yang menyeluruh daripada rakyat Malaysia. Dan saya juga percaya – dengan kepintaran dan kreativiti rakyat Malaysia dan golongan peniaga dan usahawan Malaysia – kita boleh dan akan merealisasikan aspirasi ekonomi nasional tersebut.

[Komen OnDaStreet: Pendapatan tinggi… agaknya berapakah nilai pendapatan orang gaji (sebagai contoh) selepas ini? Mereka akan kata mereka ada kemahiran (yelah pun.. ada sahaj isteri pandai berhias, kerja, bos di pejabat tetapi tidak pandai memasak!!!) Bagaimana?]

BERSAMBUNG…

3 thoughts on “Komentar Untuk Teks Ucapan DS Najib Mengenai MEB – Bahagian 2

  1. Salam Sdr,

    Adakah MEB ini menjana pekerjaan berpendapatan tinggi di mana Rakyat mendapat manfaat daripada ekonomi yang berdaya saing dan cara hidup yang lebih baik? Inilah intipati (raison d’être) bagi MEB.

    Ini agak saya bimbang. apakah dlm mengejar “pendapatan tinggi” kita meletakkan perkara-perkara yg lebih penting ke bahagian belakang? back seat? Bagi saya, nilai, jati diri, kesedaran sivik sepatutnya berada di kerusi hadapan drp wang ringgit (pendapatan tinggi). Dalam mengejar pendapatan tinggi, sekira seseorang itu tidak memp[unyai nilai diri yang murni, akan melakukan apa saja demi mencapai pendapatan yang tinggi. Ini termasuklah menipu, rasuah, kau-tim, membunuh sekalipun. Seseorang yang mempunyai kesedaran sivik yg tinggi, jati diri akan menolak “perlumbaan” ini. Ahli politik Zul Kulim dikatakan menolak “tawaran yang menggoncang iman” bagi menfitnah PM. Kalaulah “pendapatan tinggi” ini menjadi intipati NEM, maka saya gusar akan masa depan negara ini.

    Laporan NEAC nampaknya terlalu materialistik, bagi saya.

    “Inclusive” – “Kerangkuman”
    …masyarakat yang berteraskan penyertaan bersama..

    Penyertaan bersama ini agak sukar apabila kerajaan masih lagi dengan dasar-dasar yang tidak membantu penyatuan, persefahaman sesama sendiri. Contoh paling mudah adalah penggunaan Bahasa Kebangsaan, dan penolakan sistem pendidikan satu aliran. Bagaimana masyarakat akan berserta bersama-sama secara menyeluruh sedangkan polarisasi di anatara mereka semakin melebar?

    Setakat ini, saya secara peribadinya, masih merumuskan bahawa DS Najib lebih mementingkan kejayaan ekonomi yang kini diterajui secara majoritinya oleh kaum cina. Oleh itu DS Najib akan lebih menuruti tuntutan-tuntutan berdasarkan ekonomi demi mencapai sasaran “pendapatan tinggi”. DS Najib nampaknya tidak begitu memberatkan nilai-nilai jati diri, kemurnian yang rata-ratanya lebih terdapat pada orang Melayu e.g. sifat tolong menolong tanpa mengharapkan balasan, apabila upah sebagai syaratnya dalam membuat sesuatu.

    Apa guna kita kaya malam ini, esok mati dibunuh orang kerana pembunuh itu juga mahu kaya seperti kita. Kita yang dibunuh dan pembunuh,kedua-duanya tidak mementingkan nilai murni dan jati diri. Kita & pembunuh mementingkan kekayaan, bukan?

    ODS: Salam saudara,
    Dicelah ucapan DS Najib terdapat beberapa bahagian yang menyentuh tentang keadilan ekonomi (sebagaimana yang telah saya “highlight”kan).

    Cuma, bagaimanakah caranya.. saya kurang pasti…

    Dan ya, kerisauan anda di perenggan pertama ada asasnya..🙂

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s