Komentar Untuk Teks Ucapan DS Najib Mengenai MEB – Bahagian 1


Teks ucapan ini diperolehi daripada Berita Harian. Komen OnDaStreet disiarkan berpadanan dengan bahagian teks ucapan tersebut.

Teks ucapan pembentangan MEB oleh PM2010/03/30

Berikut adalah teks ucapan pembentangan Model Ekonomi Baru (MEB) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di Kuala Lumpur sebentar tadi.

PENGENALAN

1. Terima kasih di atas pengenalan tersebut. Saya amat berbesar hati berada di sini pada hari ini. Pemimpin perniagaan dan pelabur adalah penting untuk menentukan kesejahteraan ekonomi Malaysia – dan juga masyarakat. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas usaha, sumbangan dan penglibatan anda dalam beberapa perbincangan penting yang akan berlangsung sepanjang beberapa hari yang akan datang.

2. ‘Menerajui Kecemerlangan Global’ tema bagi Invest Malaysia 2010, adalah berpadanan dengan persekitaran Bursa Malaysia yang berpandangan jauh serta aspirasi yang dikongsi bersama bagi negara dan perniagaan. Ia juga bertepatan dengan apa yang ingin saya katakan pada hari ini. Dalam tahun baru, konteks baru, dan dunia yang semakin pulih dari kemelesetan, kita perlu fokus terhadap:

  • Pemulihan yang mapan dan kukuh dalam jangka masa pendek dan sederhana;
  • Meningkatkan daya saing Malaysia;
  • Merancakkan pelaburan dan pertumbuhan swasta;
  • Meletakkan negara ke arah mencapai tahap berpendapatan tinggi;
  • Membina ekonomi yang inovatif; dan
  • Transformasi nekad dan perubahan ekonomi untuk memodenkan model ekonomi demi masa hadapan.

[Komen OnDaStreet: Persediaan asas untuk fokus-fokus tersebut?]

3. Dua belas bulan yang lalu, agenda tersebut mungkin idealistik. Suasana ekonomi sangat berbeza ketika kita berhimpun di sini pada tahun lepas. Pada masa itu, dunia berada dalam kemelut kemelesetan ekonomi global yang pertama. Lebih 20 juta pekerjaan telah hilang. Sumber kekayaan bertrilion dolar terus hilang. Ekonomi di seluruh dunia mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pengeluaran industri dan pelaburan modal jatuh mendadak.

4. Kita mengalu-alukan ketibaan tahun 2010. Namun, sementara Malaysia masih merasai kesan kemelesetan ini, saya percaya kita telah mengharungi rintangan dan mencapai kemajuan dalam menongkah arus. Kita enggan menjadi pemerhati pasif semasa kemelesetan ini melanda rantau Asia, justeru kita telah bertindak dengan tegas dan pantas.

5. Kita telah menyuntik RM67 bilion rangsangan fiskal, dan berjaya mengimbangi pelaburan negara yang dikehendaki dan perbelanjaan berhemat yang diperlukan untuk mengurangkan defisit bajet. Kita telah memperkenalkan rangkuman insentif dan inisiatif liberalisasi sektor perkhidmatan yang membuka peluang kepada pelaburan yang berkualiti tinggi dalam sektor utama ekonomi negara.

6. Kini, kita sedang menyaksikan hasil langkah-langkah tersebut. KDNK bagi suku keempat 2009 mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus, lebih tinggi daripada yang dijangkakan. Pakej-pakej rangsangan menjana ratusan projek infrastruktur penghasilan kerja. Eksport kembali pulih, dan pengaliran semula pelaburan asing yang berkualiti ke Malaysia. Defisit fiskal dijangka mengecil dari 7.0 peratus kepada 5.6 peratus pada tahun 2010. Indeks pengeluaran industri kembali kukuh dengan pertumbuhan 12.7 peratus pada Januari 2010. Jumlah eksport meningkat 37 peratus kepada RM52 bilion dan import bertambah 31 peratus kepada RM40 bilion.

7. Aktiviti sektor swasta yang positif juga amat menggalakkan. Coca-cola telah mengumumkan pelaburan bernilai 1 bilion ringgit yang mampu menjana 2,000 hingga 3,000 pekerjaan di Malaysia. IPO Maxis yang bernilai beberapa bilion ringgit merupakan yang terbesar di Asia Tenggara dan ini mencerminkan visi keusahawanan yang biasa saya lihat dalam setiap syarikat tempatan. JCY Berhad juga merupakan satu contoh kebanggaan aktiviti sektor swasta, di mana ia bermula sebagai syarikat yang kecil dan kini, menghasilkan 25 peratus daripada pengeluaran pemacu cakera keras dunia. Melangkah ke hadapan, pegangan Kerajaan dalam pasaran akan dikurangkan, modal akan dijana, inovasi akan dipupuk dan kekayaan akan dihasilkan bagi memberi kemudahan untuk mengembangkan lagi ekonomi Malaysia.

8. Ekonomi global masih belum pulih sepenuhnya daripada kejutan kemelesetan sejak dua tahun lepas. Negara kita juga tidak terkecuali daripada menerima impak tersebut. Sungguhpun demikian, ekonomi Malaysia kini berada dalam landasan pemulihan yang kukuh. Keputusan yang diambil oleh Kerajaan dan visi sektor swasta yang dinamik telah membantu mewujudkan asas untuk pembangunan ekonomi Malaysia ke tahap seterusnya.
 

[Komen OnDaStreet: Perkara-perkara yang disebut diatas adalah berdasarkan asas yang telah tersedia berasaskan DEB. Jika tidak kerana pendekatan dan langkah yang telah diambil oleh kerajaan dan rakyat dahulu, mana mungkin tersedia peluang dan ruang]

Tuan-tuan dan puan-puan,

CABARAN YANG DIHADAPI

9. Walaupun begitu, perjalanan kita masih jauh. Sebagai Kerajaan – dan Perdana Menteri – aspirasi kita untuk Malaysia dan rakyat Malaysia, adalah lebih jauh dan bukan sekadar membimbing negara ke arah pemulihan ekonomi. Justeru, segala usaha yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas akan sia-sia sekiranya kita kembali ke status asal. Saya tidak boleh menerima keadaan ini. Saya berjanji: kita akan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk membangun serta melaksanakan pembaharuan ekonomi yang diperlukan oleh negara untuk terus berkembang, untuk perniagaan berjaya dan yang paling utama untuk kemakmuran rakyat.

10. Ekonomi dunia – sebelum dan khususnya sejak krisis kewangan, telah mengalami perubahan yang ketara. Polisi sebelum ini yang memacu pertumbuhan tinggi dan membantu mengurangkan kemiskinan tegar, tidak lagi memadai untuk meningkatkan tahap pendapatan dan mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi yang kita ingini. Kita tidak boleh hanya bergantung sepenuhnya kepada modal baru untuk menjana pertumbuhan. Sebaliknya, kita harus menggunakan modal ini secara lebih efektif untuk meningkatkan produktiviti, merangsang inovasi dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja. Jika kita tidak bertindak pantas untuk mengenal pasti halangan dan bertindak balas secara efektif terhadap perubahan persekitaran ekonomi, kita akan menghadapi risiko kehilangan daya saing.

[Komen OnDaStreet: Tidak lagi memadai untuk meningkatkan pendapatan? Apakah ruang itu tertutup atau gagal dilaksanakan sebaik mungkin? Bagaimana pula dengan mereka yang masih dan akan tergolong dibawah Model Ekonomi Baru? Masih adakah ruang untuk mereka? Bagaimana?]

11. Kita tidak boleh lagi bergantung hanya pada beberapa sektor ekonomi untuk memacu pertumbuhan. Kita perlu mempelbagai dan memberi insentif kepada industri strategik yang baru di mana negara kita mempunyai kepakaran, kekuatan dan potensi untuk lebih berjaya. Selaras dengan perkembangan ini, kita juga harus memberi pertimbangan kepada manfaat yang boleh diperoleh daripada kompetensi tenaga kerja Malaysia yang berada di dalam dan di luar negara. Mereka – dengan sokongan bakat asing yang sesuai – mampu menyumbangkan kecerdasan minda, modal intelektual dan kemahiran untuk membantu merealisasikan matlamat kita dengan lebih bermakna. Saya menjemput kesemua rakyat Malaysia yang telah meninggalkan tanah air ini untuk kembali semula dan bersama-sama mengembleng tenaga dalam proses transformasi ini untuk mencapai potensi Malaysia yang sepenuhnya.

[Komen OnDaStreet: Bagaimana pula dengan mereka yang menyediakan keperluan dan perkhidmatan seharian? Pengutip sampah, pencacai najis, pencuci tandas, ORANG GAJI? Berapakah nilai mereka?]

12. Sistem pendidikan kita perlu dikaji semula secara berterusan dan ditambah baik untuk melahirkan tenaga kerja masa depan, dengan komitmen kepada program berasaskan merit. Ini akan mendorong kecemerlangan dan memupuk graduan berbakat yang cemerlang dari segi pemikiran kreatif dan strategik serta kemahiran keusahawanan dan kepimpinan yang akan memacu kejayaan pada dekad mendatang.

[Komen OnDaStreet: Bagaimana dengan Satu Sekolah untuk Semua? Adakah DS Najib, TS Muhyiddin atau mana-mana konsultan terpilih telah menilainya? Jika kurang, tambahkan.🙂]

13. Kita memerlukan kerajaan yang dapat membantu untuk memperkukuh sektor swasta. Ini bermakna, membentuk semula dan memperkasa sektor awam untuk menjadi lebih responsif dan bertanggungjawab kepada keperluan sektor swasta dan perniagaan.

14. Kita juga telah mengenalpasti beberapa polisi yang telah berjaya mencapai tujuannya pada era sebelum ini, namun kini mungkin menjadi penghalang kepada kejayaan, merencat pasaran dan meletakkan kita dalam kedudukan yang kurang berdaya saing. Sebagai contoh, kerajaan sedang berunding untuk mengubah struktur polisi fiskal yang akan menaksir semula sistem subsidi yang wujud di Malaysia dan meluaskan punca kutipan hasil melalui cadangan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan. Langkah ini akan membawa Malaysia sejajar dengan keadaan norma antarabangsa dan mengurangkan kebergantungan terhadap industri, perniagaan dan pembayar cukai. Ini adalah penting untuk membolehkan kita terus maju ke hadapan bersama sebagai satu negara, di samping meningkat dan mengukuh program jaringan keselamatan untuk menyokong kebajikan rakyat Malaysia yang mudah terjejas.

[Komen OnDaStreet: Dan sistem itu ialah..???]

15. Secara keseluruhan, kekurangan ini menjelaskan keadaan pelaburan swasta Malaysia yang masih belum pulih ke paras sebelum krisis kewangan Asia. Dan sebagaimana yang anda tahu, ini boleh memberi ancaman pada usaha kita untuk menjadikan negara sebagai destinasi pelaburan asing dan tempatan.

16. Menangani isu-isu ini bukan sahaja perlu mempunyai visi yang jelas dan polisi yang betul tetapi ia juga memerlukan iltizam politik yang jitu, pelaksanaan yang efektif dan sokongan rakyat yang sepadu. Adakah kita mempunyai semangat dan keberanian untuk keluar dari perangkap ekonomi berpendapatan sederhana? Saya percaya kita perlu mencapai persetujuan bersama mengenai isu ini. Memandangkan pertumbuhan ekonomi semakin pulih, sesetengah pihak mempersoalkan keperluan untuk segera mengubah tabiat lama. Kini, terdapat seruan untuk melindungi status sedia ada. Kita jangan mudah terpedaya. Kita memerlukan cara baru untuk bertindak. Dengan pemulihan ekonomi, kita mesti bertindak segera untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia di masa hadapan. Dan ini merupakan pilihan yang perlu kita hadapi. Untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana iaitu satu kedudukan yang merbahaya kepada mana-mana negara dalam ekonomi global baru; atau untuk terus kekal dengan apa yang kita tahu dan kita selesa serta terus berharap agar dunia beradaptasi dengan kita. Pilihan kita dan tugasan Kerajaan adalah untuk terus menerajui polisi-polisi ekonomi yang berjaya dalam industri berpengetahuan masa hadapan, dengan pekerjaan bergaji tinggi dan kemakmuran yang boleh dikongsi bersama.

Tuan-tuan dan puan-puan,

LAPORAN NEAC

17. Pada hari ini, kita akan mengambil satu langkah penting dalam perjalanan tersebut. Teras utama agenda polisi jangka-panjang merupakan model ekonomi baru – yang akan disepadukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dengan visi jangka masa yang lebih panjang yang akan dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-11. Ini akan mengubah ekonomi Malaysia menjadi satu ekonomi yang berpendapatan tinggi dan mempunyai pertumbuhan berkualiti dalam abad yang mendatang.

18. Model Ekonomi Baru (MEB) merupakan tunjang penting kepada Malaysia yang sedang dibentuk, struktur yang akan berkhidmat kepada masyarakat kita pada masa akan datang. Sebagai metafora, fikirkan sebuah rumah yang disinari mentari Malaysia. Kita memerlukan bumbung – falsafah yang merangkumi kesemua bahagian binaan ini. Dalam situasi ini, 1Malaysia merupakan bumbung tempat kita sama berteduh. Program Transformasi Kerajaan (GTP) – satu program penyampaian dalam enam Bidang Keberhasilan Utama – merupakan satu tiang asas kepada rumah ini. Tiang asas kedua ialah Pelan Transformasi Ekonomi yang akan membangunkan MEB. Dan lantainya, asas di mana kesemua rakyat Malaysia terus bergerak ke hadapan adalah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11.

[Komen OnDaStreet: Bumbung sahaja? Tiangnya? Lantainya?]

19. Selepas beberapa bulan saya menjadi Perdana Menteri, saya telah menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) yang merupakan satu badan bebas yang ditugaskan untuk mengkaji ekonomi negara secara terperinci. Saya meminta majlis ini memberikan cadangan berani tetapi praktikal untuk melaksanakan model ekonomi baru bagi mengubah ekonomi Malaysia. Dan saya dengan ini mengumumkan bahawa saya telah menerima laporan NEAC ini.

20. Laporan ini secara telusnya menyatakan keadaan ekonomi masa kini, kekuatan dan kelemahan – serta menilai polisi semasa dan bidang berpotensi untuk dijadikan tumpuan pada masa akan datang bagi Malaysia. Ia merupakan analisis yang komprehensif dan berpandangan jauh. Saya mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada pengerusi NEAC, Senator Tan Sri Amirsham A Aziz, ahli jawatankuasa NEAC dan pasukan Sekretariat. Hasil kerja dan khidmat yang diberikan kepada negara bukan sahaja layak menerima pengiktirafan tetapi juga penghargaan kita.

21. Pada hari ini, saya dan anggota kabinet – bersama-sama ahli jawatankuasa NEAC – akan memulakan pertimbangan terperinci mengenai cara untuk kita maju ke hadapan, terutamanya dalam kita beralih dari laporan ini kepada pelan tindakan masa depan. Namun, ia bukan merupakan cara lama debat politik. MEB mempunyai implikasi yang meluas untuk semua rakyat Malaysia dan kita tidak mampu untuk mengabaikan pandangan mereka mengenai perkara ini. Seperti mana pelabur, Kerajaan juga menitikberatkan ketelusan yang tinggi. Sama ada dalam bajet mahupun GTP, di mana ribuan penduduk awam terlibat dalam proses ini, saya telah mengarahkan laporan ini diterbitkan dan mudah dicapai oleh masyarakat umum. Dengan ini kita dapat mengumpulkan input dan memberi peluang untuk mereka terlibat sama dalam proses membuat keputusan bagi bulan yang mendatang. Hanya melalui konsultasi bersama Rakyat dan semua pihak lain yang berkepentingan, maka kita akan mampu mencapai perancangan yang kukuh, meyakinkan dan efektif dalam melaksanakan MEB.

[Komen OnDaStreet: Konsultansi bersama rakyat? Siapa yang TS Amirsham dan pasukan konsultannya jumpa untuk mendapatkan data-data? Adakah mereka masuk ke ceruk kampung hulu dan hilir di seluruh Malaysia?]

22. Saya telah menekankan dalam pelbagai majlis sebelum ini bahawa era ‘Kerajaan tahu segalanya’ telah berakhir. Rakyat – dan golongan-golongan seperti pemimpin perniagaan dan pelabur – ingin serta layak untuk melibatkan diri dalam proses pembuatan polisi. Kita perlu membangunkan pendekatan yang lebih konsultatif dalam melibatkan pihak berkepentingan paling utama. Hanya melalui proses tersebut, kita boleh meluaskan pandangan, mencabar pemikiran sedia ada dan membantu membina ketelusan dan keterbukaan semua ke arah yang betul. Inilah hala tuju yang akan kita ambil. Rakyat didahulukan.

[Komen OnDaStreet: Bunyinya seperti sudah berkahir, namun hasil PRK-PRK, inisiatif subsidi minyak yang gagal, GST yang ditangguh pembentangannya menunjukkan kerajaan pimpinan Barisan masih belum mengikis sepenuhnya “Kerajaan tahu segalanya”]

BERSAMBUNG….

3 thoughts on “Komentar Untuk Teks Ucapan DS Najib Mengenai MEB – Bahagian 1

  1. Salam Sdr.,

    Membaca ucapan setakat ini, belum jelas lagi apa dia langkah-langkah yang akan di ambil. Bagi saya, masih lagi di tahap cerita, konsep yang perlaksanaan masih lagi kabur. Suatu yang agak jelas, pada saya, adalah DS Najib akan tetap cuba melaksanakan apa-apa yang telah dia hasratkan. Contoh:-

    Subsidi, GST – Perkara sudah mendapat perbincangan umum, sekurang2nya di blog-blog yang mana perlaksanaannya masih lagi dipertikaikan, belum lagi dapat diterima sepenuhnya. Seperti yg Sdr tulis, pembentangan GST ditangguhkan. Juga, struktur subsidi minyak pada Mei ini, dibatalkan. Tetapi kedua-dua ini, subsidi & GST, masih juga ditekankan dalam ucapan konsep ini. DS Najib masih berkeras utk melaksanakannya. Ingat ribut-ribut pasal penswastaan IJN? OutSyed the Box (sekirannya tidak silap) telah menulis bahawa IJN telahpun senyap-senyap di swastakan di peringkatan pengurusannya.

    Pasal Pendidikan, DS Najib ada meyebut:-
    …dengan komitmen kepada program berasaskan merit…

    “Merit” disini perlu dijelaskan. Apakah kayu pengukur “merit” itu? Kecemerlangan keputusan peperiksaan semata-mata? “deserving” merit seperti pelajar-pelajar luar bandar yang ibubapanya berpendapatan rendah atau langsung tiada pendapatan tetap? apakah kuota akan dihapuskan atau diselitkan sebagai salah satu kayu pengukur “merit”? Bagaimana pula kecermerlangan dari segi praktikal walaupun tiada kecermerlangan dalam keputusan peperiksaan – e.g. natural talent? Bagi pula elemen-elemen membina negara dalam pendidikan ? Tidak ada merit dalam elemen-elemen menyatupadukan negara atau masih juga lagi identiti “rojak” juga yang disanjung?

    ODS: Saya tertarik kepada komen anda di perenggan terakhir.. Persoalan harus diberi.. jika merit yang dicari, apakah pelajar luar bandar diberi peluang yang sama kerana kemudahan dan guru yang mereka dapat berbeza daripada mereka yang berada di bandar..

    Adakah nasib mereka terbela atau tertinggal?

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s