Tazkirah Jumaat: Kritik dan Pujian… Bagaimana Penerimaan Anda?


Untuk Tazkirah Jumaat kali ini, ingin saya mengajak pembaca merenung sejenak artikel nukilan seorang hamba Allah yang pada saya terdapat nilai-nilai yang terkadang kita terlupa atau diabaikan. Artikel ini pada saya agak santai, tetapi pengisiannya boleh difikirkan dan diterjemahkan dalam bentuk perbuatan dan amalan untuk menjadi umat yang lebih baik. Sama-sama kita renungi:

Berani dia kutuk aku? Perli aku? Sindir aku? Tegur kelemahan dan keaiban aku? Mungkin itu yang akan terlintas di hati kita bila kita dikutuk oleh seseorang atau mengungkit keaiban, kelemahan,dan kesalahan kita.

Lantas akan terlintas dalam hati perasaan marah, dendam dan mem’protect’ diri!!

Sebenarnya sikap sedemikian bukanlah sifat orang yang ada dalam dirinya saki baki keimanan. Orang beriman tidak akan menolak bulat-bulat ‘kutukan’, ‘amaran’ dan ‘teguran’ dalam apapun bentuknya.

Menolak peringatan, amaran dan teguran orang sebenarnya jauh lebih keji dari perbuatan keji yang kita lakukan. Yang menimbulkan rasa marah dalam diri ‘orang’ yang menegur.

Baru-baru ini seseorang menghantar kepada saya satu teguran dan peringatan. Tentang sikap dan cara saya menulis satu artikel dalam blog ini. Banyak yang dia perkatakan tentang kelemahan saya.

Lama saya termenung…tapi bukan untuk mencari siapa penghantar yang tak bernama dan apa motifnya berbuat demikian.

Saya termenung kerana rasa bersyukur sangat…dalam ramai-ramai manusia yang kenal saya, masih ada yang sudi memperbetulkan kesilapan dan menunjukkan kelemahan diri. Sedangkan di luar sana yang ramai saya temui hanyalah pujian demi pujian dari peminat yang jujur atau juga berkepentingan. Pujian sebenarnya tidak mampu saya jadikan ubat untuk mengubat jiwa yang hampir mati dan iman yang semakin hambar.

Apapun motifnya, sekasar manapun uslub yang digunakan, bagi seorang muslim semua itu sepatutnya dipandang positif dan dianggap rahmat dari yang Maha Esa. Mungkin juga sengaja Allah datangkan kepada kita orang sebegitu ‘berani’ demi memperbetulkan kesilapan kita yang kita sendiri kurang sedari atau sedar tapi tak pernah berubah dan diubah.

Saya terfikir, siapalah aku nak menolak kritikan orang sedangkan manusia yang jauh lebih mulia dari aku menerima kritikan dengan dada yang lapang dan akal yang terbuka. Itulah Umar al-Khattab R.A. Ketika ia mula dilantik menjadi Khalifah, ia berkata kepada yang hadir:
(إن رأيتم في إعوجاجا فقوموني)
(Kalau kamu melihat pada diriku ada penyelewengan, perbetulkanlah aku) Lalu seorang lelaki berkata kepadanya: “kalau kami dapati pada diri engkau ada penyelewengan, maka kami akan perbetulkan engkau dengan pedang kami” Lalu Umar berkata:
(الحمد لله الذي جعل في رعية عمر من يقومه بحد سيفه)
(Segala puji bagi Allah yang menjadikan di kalangan rakyat Umar ada yang sanggup memperbetukannya dengan pedangnya). (Ibn Jauzi. Manaqib Umar bin al-Khattab. Hal. 19)

Bersyukurlah, apabila ada orang yang sanggup menegur keaiban diri anda di dunia ini. Walau ia lahir dari seorang musuh, kebenaran tetap kebenaran. Bahkan sebenarnya ‘dia’ lah sahabat sejati. Teguran dan peringatan yang diberikan sepatutnya memotivasi diri untuk membuat penambah baikan diri.

Teguran begitu mengingatkan aku akan kelemahan-kelemahan lain yang mungkin di dunia masih boleh disembunyikan, tapi bagaimana di akhirat kelak di hadapan Rabbul Jalil? Di dunia pelbagai hujah kita boleh keluarkan untuk menolak kritikan orang dan menyembunyikan fakta! Tapi semua hujah tak ada lagi faedahnya bila berhadapan dengan Allah SWT di akhirat kelak. Ketika itu mulut akan terkunci dan yang akan menjadi saksi adalah seluruh anggota badan…

Itulah nikmatnya ‘peringatan walau sekasar manapun ia’. Kadangkala di saat hati sudah mati, ‘cara kasar’ itulah yang paling berkesan untuk menimbulkan keinsafan. Umpama sakit tenat, sering buat manusia lebih memuhasabah diri berbanding demam selsema. Al-Quran juga sering mengunakan uslub ‘nazir:amaran’ kepada orang-orang beriman agar mereka tidak terpedaya dengan kehidupan duniawi ini hingga akhirya mengugat keimanan mereka kepada Allah dan menerjerumuskan mereka ke dalam neraka.

Kehadiran ‘satu kritikan’ bagi ku jauh lebih berharga dari ‘seribu pujian’. Pujian kalau setiap hari diperolehi, lama kelamaan hilang nikmatnya. Bahkan pujian sering membuat manusia lalai dan leka. Pujian membenihkan kesombongan dan riya’. Mematikan hati dan menjauhkan diri dari hakikat diri sebenarnya.

Seorang sahabat yang sanggup ‘mengutuk’ dan ‘menegur’ kelemahan diri lebih aku perlukan dari jutaan teman yang tahunya cuma memuji.

Setelah menerima ‘kutukan’ dan ‘peringatan’…tak perlulah kita mempersoalkan uslubnya, kasar lembutnya atau pendekatannya. Fokuskan sahaja pada kebenaran fakta, agar banyak masa untuk mula memperbetulkan kesilapan dan memperelokkan kelemahan.

Sebenarnya dalam proses mentarbiah diri, setiap insan perlu sedar bahawa sebagai manusia pasti ada titik lemahnya. Titik lemah itu amat perlu diperbetulkan terlebih dahulu. Itu syarat utama meningkatkan kualiti diri. Justeru itu Imam Ibn Qayyim (Madarij al-Salikin. Jil. 1 Hal 171) ketika memperkatakan tentang muhasabah diri menyebut: (adapun sangka buruk terhadap diri sendiri amat diperlukan (dalam muhasabah), kerana sangkaan baik terhadap diri (Husnu al-Zan) menghalang seseorang dari melakukan penyiasatan yang sempurna terhadap diri dan menimbulkan kesamaran. Maka akhirnya ia akan melihat kejahatan itu baik dan keaiban itu satu kesempurnaan. Ini kerana orang yang sukakan sesuatu melihat kejahatan dan keaibannya sebagai satu kebaikan). Kata beliau lagi: ( tidak sangka buruk seseorang itu terhadap dirinya sendiri kecuali orang yang kenal benar akan dirinya. Adapun orang yang sering sangka baik terhadap diri sendiri sebenarnya sejahil-jahil manusia akan dirinya sendiri.

Keaiban diri pula kadangkala terlindung dari pandangan mata sendiri. Bak kata pepatah Melayu: Nyamuk di seberang sungai nampak sedang gajah depan mata tak nampak. Selalunya orang lain yang lebih tahu kekurangan kita. Pandangan serta tegurannya sering kali benar. Bahkan kebencian yang bersarang dalam hati musuh menyebabkan ia sering berfikir akan kelemahan musuhnya. Ia akan mencari sampai ke lubang cacing dan cuba menpamerkan kepada kita walau sehalus hama. Namun andainya ‘serangan peribadi’ itu memang satu realiti dan hakikat yang sememangnya wujud pada diri kita, tak usahlah kita menghunus senjata untuk mematahkan serangan. Ini kerana waktu itu kita berada di pihak yang salah. Menolak kebenaran walaupun dari seorang musuh Cuma akan membibitkan kebatilan yang lebih besar. Terimalah pukulan dan tikaman itu sebagai satu pengajaran. Jadikan ia titik tolak untuk meningkatkan diri. Mudahan esok yang menjelma lebih baik dari semalam yang ditinggalkan. Mudahan detik terakhir kehidupan berkesudahan dengan husnu al-Khatimah. Akhirnya setiap kita akan bersendirian juga berhadapan dengan Allah dan memikul beban dosa yang telah kita lakukan selama mana diperuntukan masa dalam hidup ini. Ibn Dahah telah mengungkapkan nasyidnya kepada Abdullah bin Muawiyyah:
فعين الرضى عن كل عيب كليلة … كما أن عين السخط تبدي المساويا
(Pandangan redha akan menutup segala keaiban umpama malam…sepertimana pandangan benci akan mepamerkan semua keburukan)

Telah menjadi kebiasaan manusia menyembunyikan keaiban dan kelemahan diri. Orang beriman tidak akan melakukan dosa terang-terangan. Bahkan ia akan berusaha untuk menghindari kejahatan walaupun jauh dari pandangan mata manusia lain. Namun sebagai manusia biasa, kadangkala orang beriman juga pandai tersasar dari landasan. Bezanya, orang beriman apabila melakukan dosa ia terasa sesak nafas, gelisah dan sesak nafasnya. Rasulullah SAW bersabda:

إن المؤمن يرى ذنوبه كأنه قاعد تحت جبل يخاف أن يقع عليه وإن الفاجر يرى ذنوبه كذباب مر على أنفه فقال به هكذا . قال أبو شهاب بيده فوق أنفه

(Orang beriman melihat dosanya seumpama duduk di bawah bukit yang ia takut-takut bukit itu akan runtuh menimbusinya. Adapun orang jahat, melihat dosanya umpama seekor lalat sahaja yang melintas di hadapan hidungnya. Maka ia berkata kepadanya: begini…(maksudnya menghalaunya). (Riwayat Bukhari)

Itulah perbezaannya. Orang yang jauh hatinya dari iman, bila buat dosa ia tidak merasakan perbuatannya itu perkara besar. Baginya dosanya itu bila-bila masa boleh diampunkan oleh Allah dengan sedikit amalan. Bahkan ia akan melambat-lambatkan taubat. Mungkin juga ia tak malu melakukannya di hadapan orang lain.

Apapun, andainya kita menyedari wujudnya keaiban pada diri sahabat kita, menjadi tanggungjawab kita untuk menutupnya selagi terdaya. Tapi itu tidaklah bererti kita perlu menutup diri dari menasihati, menegur dan mengkritiknya. Bahkan itu sebahagian dari hak persaudaraan.

Aku sendiri jarang berkongsi kejahatan dan kelemahanku dengan orang lain. Di saat aku membukanya dan mempamerkannya pada seseorang itu bererti aku sangat mempercayai dan menyayanginya. Bagiku persaudaraan sejati ialah perkongsiaan kebaikan dan keburukan, kebahagiaan dan penderitaan. Adapun dengan orang biasa, aku sering berkongsi kebahagiaan, kegembiran dan keistimewaanku sahaja dengan mereka. Begitu juga apabila seseorang sanggup mendedahkah keaiban dan kelemahannya padaku. Itu tandanya ia amat mempercayai dan mengasihi ku. Seumur hidup ia amanah bagiku.

Sebenarnya kawan-kawan begini amat ku perlukan bukan hanya ketika senang bahkan ketika susah, ketika derita dan jatuh tersungkur. Perli, kritikan dan mungkin juga sumpah seranah dari orang-orang ini, bagi ku adalah kata-kata hikmah dan motivasi yang mampu meluruskan jalanku yang bengkok.

Kadangkala bila memikirkan kelemahan, kesalahan dan dosa…terfikir sejenak untuk meninggalkan sahaja usaha dakwah, tarbiah dan memperbaiki orang lain. Tunggu diri sampai kekemuncak kesempurnaan dan tahap tertinggi ketakwaan. Takut nantinya jadi ketm yang cuba mengajar anaknya berjalan lurus. Berkata sesuatu yang tidak dilaksanakan. Tapi persoalannya…apakah itu kesempurnaan? Bila aku akan mencapai kesempurnaan?

Kadangkala di depan mata ada ‘hamba-hamba Allah’ yang aku respect peribadinya dari satu sudut, tapi di sudut yang lain kebaikannya hanya sekadar untuk dirinya. Ia langsung tidak memanfaatkan kebaikannya untuk memperbetulkan orang yang ada di sekelilingnya. Mereka ini seumpama golongan ‘al-‘Abiduun al-Halikuun’ (Ahli Ibadah yang binasa) yang digambarkan pengarang al-Muntalaq.

Lantaran itu aku mengambil keputusan untuk terus ‘melakukan sesuatu yang baik’, kalau itu dakwah atau tarbiah…maka itulah dakwah dan tarbiah cara ku. Mudah-mudahan sedikit kebaikan dan kejujuran yang ada menjadi pengimbang kejahatan yang dilakukan sepanjang kehidupan. Allah SWT telah berjanji ketika berfirman:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ

(Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk) (Hud:114)

Mudahan-mudahan Allah SWT terus menganugerahkan aku kawan atau lawan yang tidak lokek dengan nasihat, peringatan dan kritikan. Kepada mereka yang berada di sekelilingku, mengenaliku, pernah berguru denganku atau menjadi guruku…andainya kalian melihat pada diriku sesuatu yang tercela…jangan takut menegurnya. Mudahan kalimah yang keluar dari mulut kalian menjadi sebab diri ini terhindar dari berterusan dalam nista dan terselamat dari azab neraka.

Umar sekali lagi menjadi contoh dalam hal ini ketika seorang lelaki berkata kepadanya: ‘’ Wahai umar! bertakwalah engkau kepada Allah’’. Seorang lelaki lain cuba membantah perbuatan lelaki tersebut, tapi Umar berkata kepadanya:

” دعه فليقلها لي، .. لا خير فيكم إن لم تقولوها، ولا خير فينا إن لم نقبلها منكم”.
(biarkan ia memperkatakannya kepadaku, tidak ada kebaikan kepada kamu kalau kamu tidak memperkatakannya dan tidak ada kebaikan kepada kami kalau kami tidak menerimanya daripada kamu”. (Ibn Jauzi, Munaqib Umar al-Khattab: Hal. 155)
Terima kasih buat sahabat yang sanggup menegur, itu tandanya saya masih penting bagi mereka. Masih ada di hati mereka. Moga Allah jadikan kebaikan pada apapun yang keluar dari mulut kita. Moga Allah terus pautkan hati-hati kita untuk melayari baki hidup ini mencari redhaNYA. Mudahan Allah himpunkan kita semua berjiran di syurga. Allahumma Amin.

Nukilan OnDaStreet: Dalam urusan seharian, tidak dapat tidak kita akan menghadapi pujian atau kritikan. Pujian dan kritikan boleh datang dalam apa jua keadaan, samada semasa kita dalam biasa mahupun beremosi.

Terkadang kritikan itu membina, tetapi tidak diberikan dalam keadaan yang sesuai. Terdapat juga kritikan yang membawa kepada keadaan yang lebih buruk atau teruk.

Begitu juga dengan pujian. Tidak semua pujian itu baik.. malah ada yang membawa kejatuhan. Apatah lagi kalau datangnya daripada mereka yang berniat “yes boss” untuk memenuhi kehendak diri.

Pesanan untuk diri dan para pembaca, harapnya apabila mengkritik untuk membina, berikan dalam keadaan, bahasa dan cara yang sesuai. Begitu juga apabila menerima kritikan dan pujian, harapnya tenangkan perasaan, nilaikan dari sudut yang membantu menjadikan diri kita untuk lebih baik daripada sebelumnya.

Dan kesempatan ini juga, ingin diucapkan terima kasih kepada yang membaca dan memberi komen di blog OnDaStreet.🙂

Semoga tazkirah kali ini dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama.

Wallahualam…

 

One thought on “Tazkirah Jumaat: Kritik dan Pujian… Bagaimana Penerimaan Anda?

  1. Bagi orang-orang yang memiliki tahaf keimanan yang tinggi, pujian dan celaan adalah satu nama. Tidak lebih dari itu serta tidak menngubah satu zarah pun pergerakan hati kerana hatinya sudah bersih dari aryar yang wahmiyah.

    Hatinya asyik dengan tuhannya bukan lagi dengan makhluk. Inilah hakikat wajah pujian dan celaan yang sebenar. Ianya tidak menguntung atau merugikan sesiapa. Untung dan rugi yang sebenar adalah sejauh mana istana hatinya ingat atau lupa kepada Allah.

    Bagi orang yang sihat pemikirannya, sudah memadai akan makna ayat kedua surah Al-Fatihah yang bermaksud; ‘ Segala puji hanya bagi Allah’. Jadi bagaimanakah pula kita juga ingin memiliki pujian dari makhluk ini, walhal sekelian pujian sudah meliputi hanyalah untuk Allah bukan untuk makhluk seperti kita yang serba kekurangan ini.

    ODS: Terima kasih atas komen anda. Satu pandangan yang bernas dan semoga kita dapat manfaat.🙂

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s