Tazkirah Jumaat: Suatu ketika pada 12 Rabiul Awal…


Untuk Tazkirah Jumaat kali ini, saya ingin mengajak pembaca merenung, fikirkan, ambil iktibar apa yang dinukilkan oleh Suarajagat…

Semua pembaca pastinya sedang memikirkan tentang Maulidur Rasul 1431H. Dalam kesempatan waktu yang ada, penulis berharap agar kita dapat sama-sama merenungi kembali dalam diri dan bertanya – Sejauh mana kita benar-benar menjadi umat Muhammad s.a.w?

Kebelakangan ini, sering terdengar suara-suara sumbang dari kelompok tertentu yang mempertikaikan sambutan Maulidur Rasul dengan beralasan bahawa ianya suatu bidaah kerana Rasulullah s.a.w tidak pernah melakukannya. Selain itu terdapat juga pandangan ekstrim yang cuba mengelirukan masyarakat dengan mengibaratkan Maulidur Rasul seperti perayaan Krismas.

Statement sedemikian adalah amat tidak wajar!

Sambutan Maulidur Rasul amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan perayaan Krismas oleh kaum kristian. Ini kerana umat Islam mengimani Rasulullah s.a.w sebagai seorang Nabi dan Rasul (utusan ALLAH) manakala pengganut agama Kristian pula menganggap Jesus sebagai Anak Tuhan.

Sambutan Maulidur Rasul juga tidak pernah mendewakan Rasulullah s.a.w, sebaliknya ia membawa umat Islam kepada rasa kesyukuran di atas rahmat yang amat besar dikurniakan oleh ALLAH s.w.t kepada kita kerana kelahiran Baginda, kenabian dan kerasulannya membawa petunjuk kepada manusia untuk mentauhidkan ALLAH s.w.t. Oleh yang demikian, menolak sambutan Maulidur Rasul dengan alasan-alasan seperti di atas merupakan hujah dangkal yang tidak bersandarkan kepada asas kefahaman Islam yang jitu.

Firman ALLAH di dalam al-Quran :

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya : “Dan tiadalah Kami mengutus kamu Muhammad, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. (Al-Anbiya’: 107).

Beberapa minggu lalu, seorang kenalan menemui penulis atas urusan tertentu. Beliau sempat mengajukan pertanyaan; “Kita selalu kata kita ni umat Muhammad. Tapi kadang-kadang perangai kita, sikap kita kurang baik. Apa pendapat kau?”

Segera saya kemukakan beberapa jawapan kepada beliau.

MENGAMALKAN AKHLAK RASULULLAH.

Islam merangkumi tiga aspek penting iaitu akidah, syariat dan akhlak. Kejayaan dakwah Rasulullah s.a.w adalah kerana kehebatan akhlak Baginda. Justeru secara peribadi, saya berpendapat, keperibadian dan akhlak Baginda sebagai satu sunnah yang wajib diamalkan. Firman ALLAH s.w.t di dalam al-Quran;

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”  (surah al-Ahzaab ayat 21).

Ketinggian akhlak Baginda telah diketahui dan diakui oleh masyarakat arab jahiliyyah. Kerana itulah Baginda digelar al-Amin. Sifat lemah lembut, siddiq dan amanah yang ada pada diri Rasulullah s.a.w jugalah yang memikat hati Saidatina Khadijah.

Kerana sifat siddiq inilah, para sahabat Baginda menerima seruan dakwah dan kebenaran agama Islam. Kerana melihat kepada kemuliaan akhlak Baginda juga, maka golongan Aus dan Khazraj bertemu Rasulullah s.a.w lalu menawarkan Yathrib sebagai tempat tinggal yang baru. Lantas berlakulah peristiwa Hijrah yang menjadi titik permulaan kepada terbinanya sebuah negara Islam. Yathrib akhirnya ditukar nama menjadi Madinah al-Munawwarah (Bandar bercahaya).

Ketika berlakunya peristiwa Futuh Mekah, Rasulullah s.a.w bertanya kepada penduduk Mekah;

“Wahai orang-orang Quraisy menurut pendapat kamu apa yang akan kuperbuat terhadap kamu sekarang ?”. Mereka menjawab :” Yang baik-baik, saudara yang pemurah, sepupu yang pemurah”. Dan dengan penuh sikap pemaaf Rasulullah SAW bersabda : “Pergilah kamu sekalian, kamu sudah bebas”.

Lihatlah kepada jawapan penduduk Mekah itu. Jawapan tersebut jelas memuji dan mengakui betapa agungnya akhlak Rasulullah s.a.w.

Di dalam surah al-Qalam, ALLAH Azza Wa Jalla berfirman;


وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ

“Dan sesungguhnya kamu(Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung”. (Al-Qalam: 4).

Rasulullah juga pernah bersabda;

إنما بعثت لأتم صالح الاخلق

”Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang soleh”. (HR: Bukhari dalam shahih Bukhari kitab adab, Baihaqi dalam kitab syu’bil Iman dan Hakim).

Soalnya kini, bagaimana untuk kita mengakui diri sebagai umat Muhammad bin Abdullah s.a.w andai akhlak kita tidak mencerminkan kemuliaan peribadi Baginda? Layakkah kita dinamakan sebagai umat Rasulullah s.a.w jika tidak berakhlak baik?

Bukankah Muhammad bermaksud ‘Yang Terpuji’? Justeru, untuk menjadi umat Muhammad, kita mestilah memiliki akhlak yang terpuji yaitu dengan mempraktikkan akhlak Baginda s.a.w.

Seperti yang saya nyatakan tadi, Islam merangkumi aspek akidah, syariat dan akhlak. Untuk itu, marilah kita pastikan akidah kita lurus, pelaksanaan syariat kita lurus dan pastikan akhlak kita juga lurus.

Sekian buat renungan kita bersama. Sesungguhnya segala yang baik datangnya dari ALLAH s.a.w dan kesilapan itu datangnya dari kelemahan diri sendiri. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, rahmat sekalian alam. Wallahu’alam.

Nukilan OnDaStreet: Saya tidak mahu mengulas dengan keributan dari konteks politik tentang sambuat Maulidur Rasul. Saya cuma lebih berminat dengan usaha kita untuk menjadi umat Muhammad s.a.w. yang terbaik dari segenap sudut.

Perlu diingat, pembangunan ummah bukan hanya terletak kepada perlaksanaan hukum undang-undang, tetapi juga akhlak, sahsiah, ilmu dan pengukuhan iman dan taqwa.

Semoga Maulidur Rasul ini dapat menjadi satu titik perubahan yang lebih positif untuk kita semua..InsyaAllah…🙂

5 thoughts on “Tazkirah Jumaat: Suatu ketika pada 12 Rabiul Awal…

  1. Kalau anda diberikan untuk memilih 5 isu sahaja utk dicari jalan penyelesaikan buat masa ini, isu yang mana anda akan pilih?

    1. Isu nama ‘Allah’

    2. Perarakan Maulidur Rasul – suatu bida’ah?

    3. Isu membela hubungan seks bebas dengan suami orang

    4. Isu memberikan taraf ‘BIN’ yang sah kepada anak luar nikah yang belum masih belum tentu siapakah bapanya yang sebenarnya. Undang-undang bersabit hal ini pun telah ada.

    5. Berjuang bersama-sama untuk kebebasan pusat urut, minum arak, pengembangan pusat ternakan babi, seks bebas dan yang seumpama dalam konteks negara ini adalah sebuah negara yang mengiktirafkan agama Islam sebagai agama rasmi

    6. Isu jaminan tempat di syurga dan mengkafirkan orang lain

    7. Isu seorang bukan beragama Islam membaca ayat-ayat Qur’an untuk sesuatu tujuan tertentu

    8. Isu masjid/surau dijadikan tempat berpolitik sehingga ada org yang bukan beragama Islam dibenarkan masuk berdiri utk membuat ucapan

    9. Mempertikaikan hukum Syariah – suatu penghinaan terhadap agama Islam?

    10. Tindak tanduk seorang alim ulamak, lebai, tok guru yang tidak mencerminkan peribadi Muslim.

    cukuplah 10 dulu.. heheheheh

    1. antuisu,
      Jika diberi pilihan untuk selesaikan 5 daripada 10 isu yang saudara berikan, saya memilih 5 yang berikut:

      – Isu nama “Allah”;
      – Isu membela hubungan seks bebas dengan suami orang;
      – Isu memberikan taraf ‘BIN’ yang sah kepada anak luar nikah yang belum masih belum tentu siapakah bapanya yang sebenarnya. Undang-undang bersabit hal ini pun telah ada;
      – Berjuang bersama-sama untuk kebebasan menghadkan pusat urut, minum arak, pengembangan pusat ternakan babi, seks bebas dan yang seumpama dalam konteks negara ini mengikut pola petempatan umat Islam di Malaysia kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mengiktirafkan agama Islam sebagai agama rasmi;
      – Mempertikaikan hukum Syariah – suatu penghinaan terhadap agama Islam?

      Daripada 5 yang baki itu pun, tidak semua akan cuba diselesaikan dengan kadar segera kerana dengan pendidikan yang teratur dan kesedaran, insyaAllah umat Islam sendiri yang akan “menyelesaikan” beberapa isu tersebut.

      Terima kasih.🙂

  2. Seperti yang saya sangka, isu sambutan Maulidur Rasul ini adalah lebih ‘kecil’ dari 5 yang tersenarai yang dipilih itu.

    Hairan kenapa ada di antara ‘ulamak’ sekarang lebih ‘bising’ mengenai perkara-perkara ‘aksesori’ daripada perkara perkara dasar. Tidak akan terdiri sebuah rumah itu tanpa tiang serinya. Kenapa sebok berbicara tentang warna dinding sehingga lupa pada tiang? Pernahkah bertanya di atas apa pula tiang itu berdiri?

    1. antuisu,
      Sememangnya saya tiada punya jawapan terhadap persoalan anda, tetapi jawapan yang saya berikan adalah berdasarkan soalan anda yang sebelum ini yang meminta 5 daripada 10 pilihan.

      Mungkin perkara “bising” ini timbul kerana apa yang difahami berlainan daripada apa yang dikotakan oleh pihak yang memberikan “kata” (janji, manifesto dsb).

      Kerana itulah saya telah menulis:
      Saya tidak mahu mengulas dengan keributan dari konteks politik tentang sambuat Maulidur Rasul. Saya cuma lebih berminat dengan usaha kita untuk menjadi umat Muhammad s.a.w. yang terbaik dari segenap sudut

      Terima kasih.🙂

  3. Salam,

    “Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan.” (Surah Al-Isra : 36).

    Gejala taqlid amat berleluasa di kalangan masyarakat Melayu Malaysia sehingga ramai yang bertaqlid dan beramal dengan Islam hanya berdasarkan ikutan dan kepercayaan yang didengarnya tanpa mengetahui sebarang dalil mahupun hujah. Ramai orang hanya mendengar agama dari para ustaz dan golongan agama dan menerima bulat-bulat apa yang disampaikan tanpa mempertimbangkan terlebih dahulu isinya adakah bertepatan dengan pertunjuk dari Allah mahupun rasul atau sebaliknya.

    Kisah Nabi dan kaum Yahudi yang boleh kita ambil pengajaran.

    ” Mereka menjadikan para ulama’ dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain dari Allah ” (Surah At-Taubah : 31). Maka apabila ayat ini dibacakan oleh Rasulullah Salallahualaihiwasalam kebetulan Adi’ bin Hatim ra (bekas yahudi) mendengarnya lantas beliau menegur Rasulullah Salallahualaihiwasalam

    Mereka mengatakan bahawa tidaklah mereka (orang yahudi) menjadikan rahib-rahib dan orang alim mereka sebagai tuhan (yakni tidaklah sampai menyembah).

    Maka jawab baginda Rasul Salallahualaihiwasalam :

    ” Mereka (para rahib) jika menghalalkan sesuatu maka orang ramai pun ikut menghalalkannya (yakni mengikutinya/mentaqlidnya) dan mereka jika mengharamkan sesuatu maka orang ramai pun ikut mengharamkannya maka itulah pengibadatan mereka (itulah bukti mereka menyembah para rahib).

    Bukankah apa yang belaku kepada kaum Yahudi juga belaku di Malaysia hari ini?

    ” Katakanlah; jika kamu benar-benar cintakan Allah maka ikutlah aku (rasul) maka Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha Pengasih ” (Ali Imran -31).

    Kembali kepada isu nama ‘Allah atau bab Maulid atau isu kepimpinan Negara dll, pasti ada berbagai pendapat dari para Ulama, Ustaz Ustaz dan blogger blogger di Msia.

    “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taati Rasul dan ulil amri, maka jika kamu bersengketa dalam sesuatu perkara, kembalilah ia kepada Allah dan Rasulnya, iaitu sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhir, demikian itu adalah cara yang paling baik dan sebaik-baik kesudahan.” (An-Nisa’: 59)

    Soalannya apakah kita menyelesaikan sesuatu perbezaan pendapat dengan takliq buta atau dengan emosi, logic akal dan ego kerana kehebatan ilmu kita atau kembali kepada ajaran Al Quran dan Sunnah Rasullullah?

    Let us come back to BASIC.

    Wassalam

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s