Rasuah Seks dan Wang???


Berikut adalah laporan Berita Harian, 21 Januari 2010:

Setiausaha Kerja Exco Selangor antara 34 orang ditahan SPRM dalam serbuan besar-besaran kes curi, seludup pasir di lima negeri

PUTRAJAYA: Setiausaha kerja seorang Exco Selangor dan setiausaha sulit seorang ahli politik adalah antara 34 orang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima sogokan serta rasuah seks berhubung kes mencuri dan menyeludup pasir di lima negeri.

Penahanan besar-besaran itu dibuat dalam beberapa siri operasi kelmarin dan semalam hasil risikan, intipan, pemantauan dan pemerhatian sejak April tahun lalu berikutan 410 maklumat awam yang diterima SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata selain dua pegawai ahli politik, turut ditahan 24 kakitangan awam yang sebahagiannya pegawai dan ketua jabatan, lima orang awam dan tiga kakitangan swasta.

Dalam operasi itu, SPRM juga merampas wang tunai kira-kira RM50,000 dan beberapa dokumen.

Beliau mengesahkan pasir yang dicuri itu diseludup ke negara jiran.

Shukri berkata, seorang kakitangan kerajaan sudah didakwa di Ipoh, kelmarin, berhubung kes itu.

Katanya, siasatan mendapati setiap individu terbabit dipercayai menerima sogokan antara RM500 hingga RM50,000 termasuk ada yang mendapat wang secara bulanan dan tiga membabitkan rasuah seks.

Beliau berkata, sindiket mencuri dan menyeludup pasir di lima negeri itu dikatakan membabitkan sogokan lebih RM280,000, selain rasuah seks.

Shukri enggan mendedahkan lima negeri terbabit, tetapi difahamkan kes berkenaan berlaku di Johor, Pahang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Operasi masih berjalan dan SPRM menjangka akan ada lagi beberapa tangkapan dan saya berharap orang ramai memberi kerjasama.

“Saya tidak ada jumlah (akan ditahan) tetapi dijangka ramai lagilah… ada kemungkinan (pangkat) tinggi lagi, tunggu, sabar dan lihat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Difahamkan, dua daripada 24 kakitangan awam ditahan itu adalah ketua jabatan kerajaan di Selangor.

Shukri juga merujuk kepada ketegangan yang berlaku di Shah Alam, semalam, apabila pegawainya dihalang daripada menahan seorang individu yang bekerja dengan ahli politik.

Semua 34 individu itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

“Rasuah itu untuk memproses permohonan mengeluarkan pasir, mempercepatkan permohonan pengeluaran pasir dan tidak mengambil tindakan ke atas (kegiatan) pasir yang dibawa keluar tanpa permit,” katanya.

Beliau enggan menjelaskan mengenai rasuah seks, tetapi meminta media menunggu sehingga perbicaraan.

Shukri berkata, sebahagian daripada mereka yang ditahan dibebaskan selepas diambil keterangan manakala bakinya masih ditahan untuk disoal siasat.

Terdahulu, di SHAH ALAM, Setiausaha Kerja kepada Exco Selangor ditahan pegawai suruhanjaya itu di pejabat wakil rakyat berkenaan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, bagi membantu siasatan.

Beliau dibawa sepasukan lima pegawai SPRM diketuai Superintendan Prem Raj Victor ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya jam 3.30 petang, diiringi Exco itu dan peguam dilantik kerajaan negeri.

Exco itu yang ditemui mengesahkan pegawai SPRM mengambil tiga dokumen berkaitan profil sebuah syarikat melombong pasir dan dokumen lawatan ke China.

Di IPOH, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM30,000 ke atas pembantu am rendah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ipoh yang mengaku salah menerima suapan RM6,000 untuk kelulusan mengeluarkan pasir Sungai Menora, Mukim Sayong di Kuala Kangsar, Perak.

Noorazhar Azlan, 48, dituduh melakukan perbuatan itu di Dulang Coffee House, Hotel Excelsior di sini, jam 12.15 tengah hari, 15 Januari lalu.

Hakim Tan Hooi Leng dalam keputusannya berkata, tertuduh melakukan kesalahan keji dan boleh memberi kesan bukan saja kepada dirinya, tetapi masyarakat umum.

Bagaimanapun, katanya, individu itu berjaya ditahan dan dibawa ke ibu pejabat suruhanjaya di sini selepas perbincangan lebih sejam dengan peguamnya.

“Justeru, hukuman ini adalah mesej kepada diri kamu (tertuduh) dan juga orang lain,” katanya.

Berikutan dengan penahanan individu-individu yang terlibat dengan rasuah seks dan wang, saya pasti akan ada timbul reaksi kurang senang daripada Pakatan dan tuduhan melulu terhadap SPRM yang akan kebiasaannya dituduh berat sebelah. Apatah lagi apabila melibatkan individu daripada kerajaan negeri Selangor yang turut ditahan. Laungan biasa – “UMNO dan Barisan lagi banyak rasuah. Pergi tangkap mereka.”, padahal SPRM (atau dahulunya BPR) akan bertindak apabila ada laporan dan bukti yang kukuh untuk mengambil tindakan. Saya pasti terdapat peguam didalam Pakatan yang tahu prosedur laporan dan tindakan badan-badan beruniform yang berkaitan dengan tangkapan dan serbuan. Maklumlah, apabila serbuan dan tangkapan (termasuk bagi membantu siasatan) tanpa laporan dan bukti nanti, padahnya kepada mereka ini. Mereka akan dituduh tidak menghormati hak asasi manusia dan sebagainya. Tidak kurang juga akan ada masalah teknikaliti yang membebaskan tertuduh daripada tuduhan tersebut.

Sememangnya bukan senang untuk SPRM (ataupun polis, kastam) untuk menangkap penjenayah rasuah mahupun penjenayah biasa. Mereka mempunyai atur gerak kerja yang perlu diikuti mengikut lunas undang-undang. Ini kerana, biarpun terdapat bahan kes tetapi tidak mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur yang sewajarnya, peguam-peguam yang licik akan dapat membebaskan tertuduh kerana kegagalan pihak berkuasa mengikut langkah-langkah yang sewajarnya.

Cuma bezanya kali ini, sejak sekian lama kita mendengar tangkapan rasuah berdasarkan rasuah wang, kali ini rasuah seks pula menjadi sebahagian “transaksi” rasuah. Sudahlah rasuah itu tidak elok, ditambah pula dengan rasuah seks???  Apakah ini menjadi “trend” perasuah kepada dirasuah? Kasihan isteri dan anak dirumah (kerana saya beranggapan, kebanyakan mereka ini rasanya sudah berkahwin)…

Saya mengharapkan SPRM dibawah kepimpinan ketua pesuruhjaya yang baru dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik. Kepada masyarakat, baik yang melihat ataupun berada ditempat kejadian, berilah kerjasama (tertuduh tu mungkinlah tidak.. susah hendak mengaku punya).

Bagi yang ditahan (baik dituduh dan ditahan untuk membantu siasatan), janganlah berdrama. Diam-diam sahajalah. Kalau anda benar, tidak terlibat dalam “urusniaga” tersebut, insyaAllah peguam anda akan membantu dengan sebaik mungkin. Saya pasti peguam anda tahu anda boleh dibebaskan atau tidak apabila melihat bahan bukti. Malah mungkin tidak perlu memohon tukar peguam kerana apa jua alasan (Siapa tak nak menang kes beb? Menang kes, dah tentu orang cari).

Persoalan dijalanan: Laporan menyebut “serbuan besar-besaran kes curi, seludup pasir di lima negeri”.. Ada kaitan dengan pasir yang dihantar ke Singapurakah? Entahlah.. tertanya sahaja…

SPRM, selamat menjalankan tugas anda.🙂

2 thoughts on “Rasuah Seks dan Wang???

  1. Salam,

    Sokong 100% basmikan perasuah

    Perasuah PENGKIANAT kepada negara dan agama

    Kalau disesebuah negara …Hukumanya ditembak MATI, dan kos peluru ditanggung simati, sebab apa?………sebab pengkianat kpd Agama dan Negara…pengkianat…pengkianat…pengkianat

    ODS: Haa? “kos peluru ditanggung simati”??? Aduhai.. memang kalau dah ter”kantoi”, umpama jatuh ditimpa tangga (tetapi yang ini dah mati kena tembak pun kena tanggung lagi)..😀

    Terima kasih atas komen anda.🙂

  2. Salam ODS,

    Mula2 dengar berita TV3 semalam, saya tak berapa perasan negeri mana, cuma dengar ramai penjawat awam ngan 2-3 bos kena tahan. First reaction – Padan muka ! Kalau terbukti salah, antar lokap je.
    Second time dengar, baru tahu dari Selangor ( dan akan datang dari Pahang,Johor dan Melaka)…second reaction – Padan muka ! Kalau terbukti salah, antar lokap je.

    emmmm… saya nak buat report kat SPRM gak, ada orang tipu main dam haji. Tak puas hati sungguh !

    ODS: Tipu main dam haji pun mahu report sama SPRM ka? Adoila.. macam ini SPRM memang tak cukup kakitangan (sebab belum mengambil kira jumlah permainan dam haji dalam sehari di warung-warung seluruh Malaysia) Hahaha😀

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s