Ala Omak.. Tak Cukup Duit Lah…


Nota ODS: Tajuk artikel ini hanyalah antara ungkapan biasa bila sentuh bab kahwin. Tiada kaitan dengan ungkapan yang mungkin diucapkan oleh pihak yang terlibat dalam laporan akhbar berikut. Terima kasih.

Berikut adalah laporan akhbar Berita Harian, 19 Januari 2010:

Dakwa disamun untuk lengah majlis kahwin

KULAIJAYA: Seorang juruteknik ditahan polis selepas membuat laporan palsu mendakwa dia disamun, kelmarin, semata-mata bagi melengahkan majlis perkahwinannya yang dijadualkan bulan depan.

Lelaki berusia 27 tahun itu yang bekerja di sebuah kilang di Taman Teknologi Senai di sini, dipercayai bertindak demikian selepas bakal bapa mentuanya mahu mempercepatkan majlis perkahwinan dengan anaknya kepada bulan depan, berbanding jadual asal pada bulan Julai.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata lelaki itu membuat laporan polis mendakwa disamun dua lelaki yang memakai topi keledar selepas mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) di Kulai.

“Dalam laporannya, dia mendakwa mengeluarkan wang RM1,500 sebanyak empat kali, menjadikan jumlah keseluruhan RM6,000, kira-kira jam 7 petang semalam (kelmarin).

“Pengadu mendakwa selepas masuk ke dalam kereta dan belum sempat menghidupkan enjin kenderaannya, beliau didatangi dua lelaki berkulit gelap yang memakai topi keledar.

“Seorang daripada lelaki dikatakan mengacukan pisau ke lehernya sebelum merampas wang tunai RM6,000, kad ATM dan resit sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam dengan plat nombor pendaftaran bahagian belakang kenderaan dipatahkan,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas laporan itu, polis merakam percakapan pengadu sebelum mendapati lelaki terbabit membuat laporan palsu.

Katanya, siasatan mendapati pengadu sepatutnya melangsungkan perkahwinan Julai ini, namun bakal bapa mentuanya ingin mempercepatkan majlis itu dan beliau dipercayai tidak mempunyai wang bagi melangsungkan majlis perkahwinannya.

“Pengadu membuat laporan menyatakan wangnya disamun supaya majlis itu dapat ditunda, sedangkan pemeriksaan di rumahnya mendapati wangnya disimpan di rumahnya di Senai Utama di sini,” katanya.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Sabit kesalahan mengikut seksyen itu, boleh dipenjara enam bulan atau denda RM2,000.

Apabila terbaca laporan akhbar ini, tersenyum ada, tersengih ada, kasihan pun ada. Saya pasti kisah ini antara beribu yang tidak ternukil yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini.

Kisah pasangan ingin berkahwin atau lanjutan selepas kahwin kerana kekurangan sumber kewangan bukan baru dalam masyarakat kita. Lebih-lebih lagi dengan jumlah hantaran yang diminta untuk pengantin perempuan bukan sedikit. Bagi wanita yang sudah bekerja, rata-rata nilai hantaran berlegar sekitar RM7,000 sehingga ke RM10,000. Malah mungkin lebih. Jumlah dulang hantaran? Bergantung.. tetapi amat jarang kurang daripada jumlah dulang ketika majlis pertunangan. Ini belum dikira dengan nilai barang hantaran didalam dulang. Dan yang pasti, bagi yang terlalu mengambil kisah apa orang sekeliling bercakap, “standard” kena jaga juga.

Mangsa? Boleh dikatakan pengantin lelaki (melainkan sama-sama betul-betul berkongsi suka dan DUKA. Maklumlah, part duka ni terkadang cakap sahaja lebih.. bila nak lalu, aduhai…). Dengan norma “tak gentleman kalau awek belanja”, kebanyakan lelaki susah mahu menyimpan wang untuk belanja kahwin. Apa lagi kalau dibuatnya pasangan suka makan tempat-tempat yang “boleh tahan” harganya. Baru bab makan. Belum lagi “aksesori” tambahan.

Sememangnya, dari hukum syarak, lelaki kena menyediakan keperluan isterinya, baik untuk nafkah zahir, mahupun batin. Bak khutbah nikah dan pesan jurunikah-juru nikah, nafkah batin ini, tidak perlulah diulas panjang. Kebanyakan dilema yang bermain di fikiran lelaki-lelaki yang ingin kahwin adalah pada kos ingin melangsungkan perkahwinan dan selepas berkahwin. Dibuatnya si isteri (mahupun keluarga si isteri) mahu yang buat sang lelaki gugur rambut hendak bayar hutang, sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada kehidupan pasangan semasa ingin berkahwin dan selepas kahwin.

Sama-samalah berpakat dan berbincang. Yang wajib dilaksanakan. Pemilihan biarlah yang mengikut hukum agama dan diterima akal. Jangan sampai tahap “kahwin” itu menjadi sesuatu yang “eksklusif” bagi yang poketnya dalam dan tebal.

Apa kata anda?

Sedikit panduan untuk pasangan yang ingin berkahwin – Kertas Kerja Kursus Pra Perkahwinan Jabatan Agama Islam Selangor yang saya peroleh dari laman web ini. Selebihnya, pengantin dan keluarga pengantin rujuklah dengan Pejabat Agama mukim dan daerah masing-masing.

 

OnDaStreet: Teringat babak pergaduhan suami isteri dalam filem Seniman Bujang Lapok lakonan Allahyarham P.Ramlee, Sudin dan Aziz Satar.. Kita ketawa.. tetapi belajarkah kita?

 

4 thoughts on “Ala Omak.. Tak Cukup Duit Lah…

  1. salam ODS

    orang zaman dulu bagi quran sebijik pun dah cukup baik….ni sekarang kena tengok location, education status dan lain lain lagi la…..

    bodoh giler…..ramai budak melayu pinjam personal loan dg bank nak kawin…..bingai…ikut adat hindu bayar dowri…..

    ODS: “Mengikut peredaran”, “untuk kesenangan masa hadapan” alasan biasa diberi… yang terkadang membuatkan ramai tak kahwin lagi…

    Antara anak dara 20an dan 30an.. (40an tak payah cakap lah).. mana satu pilihan anda? Oopss.. kejap.. rasanya ini pun ada “tambah nilai” juga.. haha

  2. salam ODS,

    haha. post ni memang kena dengan saya. insyaallah tahun ni saya nak kahwin. harap-harap tak kena ‘rompak’ kat mesin atm. hehe. duit? satu sen pun takdak lagi. bak kata tuan “tak gentlemen la kalau awek blanje” menyukarkan saya save duit (alasan…).
    walaubagaimanapun, duit boleh dicari (tanpa buat loan). kasih sayang tak boleh dijual beli. eh… zaman ni kasih sayang boleh dijual beli kot? ntah…

    anyways, doakan saya berjaya.🙂

    ODS: Salam lordpaes,
    Alhamdulillah, tahniah diucapkan. Semoga kekal ke akhir hayat.🙂

  3. ODS,

    Pepatah Melayau “Niat dihati nak peluk gunung, apakan daya tidak tercapai.”

    Tidak salah nak peluk apa pun (asalkan jangan bini orang, hahaha) tapi bila tak dapat peluk, janganlah buat salah. Membohong, menipu kapada Polis pulaknya. Memang nak cari nahas. Kesian dia. Tapi kerana dia sabenarnya ada RM6,000 disimpan dirumah, nampaknya dia memang niat jahat. Kurang kesian kita kapada hamba Allah saperti itu.

    Pokok pangkalnya, saperti Bang ODS nasihat diatas, kalau tak cukup duit pun, rundinglah dengan emak bapak, sanak saudara dan bakal mertua. Taklah timbul kemungkinan habis peluang dan putus salitur-rahim sebab menipu. Dan taklah hilang RM2,000 atau kemungkinan masuk penjara.

    Jangan khuatir, dunia sekarang belom 100% mengamalkan konsep kebendaan berdasarkan harta benda sahaja. Masih ada yang pandang kapada adab, tata tertib dan budi pekerti bakal pasangan hidup. Tapi, kalau susah nak jumpa bakal mertua yang macam itu, jangan pergi Siam dan kahwin disana. Sabar, cari lagi. Saya do’akan dapat dan selamat.

    ODS: Terima kasih sepadu. Mungkin ada kisah disebalik insiden itu yang tidak perlu dikhabarkan kepada Berita Harian.

    Setakat ini, alhamdulillah, masih ada yang rasional permintaannya.. tetapi tidak semua..

    Aduhai…

  4. saya sendiri pun akan melangsungkan perkahwinan pada bulan 9 ni. Walaupun masih belajar, tapi rezeki alhamdulillah ada hasil dari simpanan scholar JPA dan simpanan gaji hasil dari kerja praktikal selama 6 bulan. Tapi masih tak cukup juga buat saya dan bakal isteri kerana memang nafsu untuk mengadakan perkahwinan yang mewah, setara dengan orang-orang kenamaan. Terima kasih kepada pengaruh video-video dan foto perkahwinan yang ‘grand’ di internet.

    Jika difikirkan ada baiknya duit-duit tersebut disedekahkan kepada jalan yang mulia, atau paling tidak disimpan bagi bekalan pada masa hadapan terutama selepas tamat pembelajaran dan ingin memulakan kehidupan baru. Pernah juga meluahkan kepada bakal isteri, kalau kami yang murah rezeki sendiri pun pening memikirkan soal duit, apatah lagi rakyat-rakyat marhen lain yang hanya bekerja cukup-cukup makan. Lagi susah bagi mereka untuk mengumpul duit untuk kahwin bukan?

    ODS: Berbelanjalah ikut kemampuan. Ikut nafsu ke”grand”an macam dalam gambar-gambar, memang parah.. melainkan anda pandai memilih dan menguruskan kerja-kerja kahwin.🙂

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s