Isu Kalimah Allah: PAS Masih Komen Dari Konteks Politik???


Kemaskini 4.03 petang:

Kenyataan Media DS Anwar Ibrahim nyata mengecewakan saya. Manakan tidak, isu kalimah ini juga dilihat daripada sudut bangsa. Beliau antara lain menyebut:

Api kebencian ini bolehlah ditudingkan kepada kegagalan Barisan Nasional yang diketuai Umno. Propaganda Umno yang berteraskan perkauman sempit terutamanya apabila berhadapan dengan isu penggunaan kalimah Allah serta retorika media yang dikongkong kerajaan, seperti Utusan Malaysia, yang meniupkan api kebencian, sewajarnya dipersalahkan berikutan dari serangan tersebut. Provokasi mereka bukan sahaja salah dari sudut undang-undang malah menzahirkan kempen 1Malaysia yang tidak tuntas serta bermuka-muka.

Siapa yang tidak mengutuk serangan tersebut? Malah DS Najib pun mengutuk serangan tersebut, tetapi tidak pula menuding jari ke arah PAS, PKR atau DAP atas kejadian tersebut kerana nyata serangan tersebut kerana si penyerang itu terlalu mengikut emosi (atau bermain emosi) mengatasi pendirian agama (baik Islam mahupun Kristian).

Malah saya merasakan DS Anwar mungkin laintafsirannya apabila menyebut:

Dan sepertimana yang termaktub di dalam surah al- Ankabut:

Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri. (al-Ankabut, 29:46)

Apakah DS Anwar yang dilihat sebagai pemimpin yang teguh agama Islamnya sedar bahawa dalam konteks bagaimanakah Injil dan Taurat didalam surah tersebut? Apakah DS Anwar terlupa bawah kitab Injil dan Taurat yang ada pada hari ini tidak seperti diturunkan kepada Nabi Musa dan Nabi Isa? Jika Ahli Kitab itu beriman kepada Injil dan Taurat yang asli, tiada masalah.. cuma bezanya, apakah Ahli Kitab pada zaman Rasulullah itu masih ada? Apakah sama dengan apa yang diajar kepada majoriti umat Kristian yang ada pada hari ini (mengambil kira kemungkinan masih ada Ahli Kitab yang mentauhidkan Allah.. bukan dengan konsep Trinity)?

Cukup-cukuplah berpolitik.. jangan isu kalimah Allah pun nak dipolitikkan.

Artikel asal:

Berikut adalah laporan daripada Harakahdaily.net:

KOTA BHARU, 10 Jan: Kegagalan kerajaan membendung dari awal kemarahan rakyat ekoran mahkamah membenarkan penggunaan perkataan Allah bagi penerbitan Herald, akhirnya mengundang padah.

Media pula seperti dibiarkan mengapi-api isu tersebut dengan memaparkan bantahan orang ramai, tanpa mengambil kira sentimen penganut agama lain.

Kegagalan menteri yang bertanggungjawab ke atas Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mempercepatkan maraknya perasaan tidak senang hati antara kaum.

Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, kerajaan dilihat hanya bertindak selepas berlaku peristiwa di luar kawalan sehingga gereja dibakar.

“Isu yang berlaku sekarang berjaya menutup kemarahan sebenar rakyat ekoran kenaikan harga barangan dan kos hidup.

“Mungkin juga sebagai satu pelan bagi mengelakkan rakyat terus bercakap kehilangan enjin jet pejuang yang begitu mengaibkan sekali kerajaan,” katanya di sini.

Beberapa gereja menjadi sasaran serangan pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga merosakkan sebahagian prasarananya, antaranya Gereja Metro Tarbenacle, Gereja Assumption dan Gereja Chapel kesemua di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sebelum itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan membenarkan penerbitan mingguan milik Katholik menggunakan perkataan Allah sebagai ganti ‘god’ dalam bahasa Inggeris.  

Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata, isu berasaskan sentimen perkauman itu telah diperbesarkan begitu rupa sehingga mencetuskan suasana tidak senang.

Oleh itu, beliau berharap mereka yang bertanggungjawab ke atas insiden terbabit dihadap ke muka pengadilan.

Kerajaan diingatkan tidak melindungi mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Menurutnya juga, isu perkauman di negara ini seperti sukar berakhir kerana ia sudah menjadi teras kepada perjuangan Umno yang hanya mengutamakan bangsa.

“Apabila rakyat tidak lagi menghormati hak asasi manusia dan kebebasan beribadat di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, maka tidak hairanlah berlaku perbuatan khianat terhadap rumah-rumah ibadat.

“Sedangkan Islam melarang keras tindakan sedemikian, bahkan Rasulullah saw pernah mengingatkan masyarakat di zaman junjungan besar itu menghormati golongan bukan Islam termasuk tempat ibadat mereka.

“Ini menggambarkan betapa suci dan murninya Islam yang mementingkan keharmonian kehidupan masyarakat,” ujarnya.

Sehari sebelum itu pula, Harakahdaily melaporkan:

SHAH ALAM, 9 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa kejadian serangan membakar gereja kelmarin berlaku kerana Umno telah menghilangkan sensitiviti dosa dan pahala dalam masyarakat di negara ini khususnya orang Melayu itu sendiri.

Kesan hilangnya sensitiviti itu, katanya telah menyebabkan masyarakat melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak menghormati agama lain sehingga membakar gereja dan mengarak kepala lembu seperti berlaku di Shah Alam baru-baru ini.

“Tiap-tiap orang nak bakar gereja kena reti (tahu) gereja ini harta kawan kita orang Kristian, bila kita bakar kita lukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak.

“Sama juga arak kepala lembu, melukakan hati orang India (Hindu), ini berdosa. Tapi perasaan dosa pahala tidak ada dalam orang Melayu sekarang kerana telah dibuang oleh Umno, ini kita dukacita,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penutup program Taklimat Penerangan Isu-isu Semasa di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) petang tadi.

Selain itu, hilangnya sensitiviti tersebut juga, jelasnya telah mengakibatkan banyak perkara-perkara yang tidak sepatutnya, berlaku dalam negara kita.

Umno, jelasnya telah menghilangkan sensitiviti tersebut dari hati orang Melayu apabila membezakan ajaran agama Islam dengan politik dengan berpendirian agama lain, politik lain.

“Sebab itu lah menteri rasuah, orang kampung rasuah, parti-parti rasuah hatta enjin kapal pun boleh dijual senang-senang sahaja, mana boleh jual kalau tidak ada rasuah,” jelasnya lagi.

Di dalam ucapan penutupnya sebelum itu, beliau mengingatkan seluruh pimpinan dan jentera PAS meneruskan usaha memberi penerangan kepada masyarakat selaras dengan tugas yang dipikul oleh Nabi-nabi.

Beliau mengakui ianya bukan sesuatu yang mudah kerana perlu berdepan bermacam halangan.

Apatah lagi, ianya sesuatu yang boleh dianggap baru dan bertentangan dengan apa yang dibawa zaman penjajahan Inggeris.

“Kerja PAS hari ni memang buat kerja baru, yang (zaman) Inggeris dulu tidak buat, Umno dia (hanya) sambung kerja buat Inggeris,” katanya.

Aduhai.. betapa hebat dan tebalnya pandangan politik dalam isu ini daripada pihak PAS. Padahal, yang bangkit membantah datang daripada sudut bukan politik. Antara yang nyata ialah Majlis Agama Islam Selangor yang mengumpulkan tandatangan untuk petisyen membantah penggunaan nama Allah oleh bukan Islam di Malaysia di Masjid Negeri Shah Alam tempohari. Saya hairan melihatkan mentaliti PAS secara umum, sesetengah ahli politik PAS dan segelintir penyokong PAS. Seboleh sahaja mengkaitkan UMNO dalam apa jua perkara, walaupun nyata ini bukan cerita politik.

Lihatlah begitu mudah mereka memberikan komen. Apa apa sahaja, UMNO. Sikit-sikit, Barisan. Cuba-cubalah tolak ke tepi sentimen politik. Jangan terlalu tebal dendam dengan UMNO dan Barisan sehinggakan terkadang komen tidak masuk akal. Contoh? Sejak bila pula isu nama Allah yang nyata isu berkaitan agama menjadi isu perkauman???? Lihat sahaja daripada laporan Harakah yang disebut diatas:

Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata, isu berasaskan sentimen perkauman itu telah diperbesarkan begitu rupa sehingga mencetuskan suasana tidak senang.

Apakah Siti Zailah sedar yang ini ini berkaitan nama Allah.. nama tuhanmu dan tuhan umat Islam, bukannya perkauman?

Setelah beberapa hari isu ini berlanjutan, ada juga yang memberikan komen “UMNO pertahankan nama Allah, tetapi hukum Allah tidak pula ditegakkan”. Jika benarpun UMNO tidak menjalankan 100% hukum dan undang-undang Islam, apalah salahnya jika PAS turut sama dalam membantah penggunaan nama Allah oleh agama lain? Terpekik, terlolong, tergolek atas jalanraya kerana isu PPSMI (konon-konon demi pendidikan anak-anak dan Bahasa Malaysia) dan kerajaan negeri Perak (seolah-olah sedang berperang dengan Israel), boleh pula.

Cukup-cukuplah… maaf jika saya katakan, PASlah yang mempolitikkan isu ini. Kebanyakan blog yang menentang penggunaan nama Allah (malah khutbah jumaat pada Jumaat lepas di Masjid Negeri Shah Alam) berhujah atas kapasiti agama dan negara dan tidak berlandaskan politik. Kenapa PAS harus begini?

Jika benar PAS berjuang atas nama Islam, buangkanlah unsur-unsur politik dalam kenyataan yang menyentuh isu agama. Tidak perlulah kata UMNO itu ini. Berhujahlah atas kapasiti dan kualiti pemimpin yang digambarkan oleh Islam demi agama dan negara. Bukan seboleh-boleh mempolitikkan semua isu.

Maaf jika saya katakan, jika berterusan begini, saya tidak dapat lari daripada beranggapan PAS sudah lari daripada teras perjuangan asal dan lebih kepada survival politik.

Jika ada yang menyatakan lagi “UMNO pertahankan nama Allah, tetapi hukum Allah tidak pula ditegakkan”, bagaimana pula jika ada yang membalas “PAS nak mempertahankan nama Allah pun tidak mampu, bagaimana pula nak tegakkan hukum Islam?”. Ini berdasarkan kemampuan PAS yang masih belum terbukti di negeri yang “dikongsi” bersama  – Selangor. Pulau Pinang? Aduhai.. jauh sekali.. janji DS Anwar untuk calon PAS memegang MAIPP pun tidak tertunai.

Sementara itu pula, jauh dari unsur politik, berikut adalah kenyataan rasmi Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir berkenaan isu kalimah Allah ini:

Merujuk kepada isu penggunaan kalimah Allah bagi non muslim di Malaysia, Markaz Pengumpulan Kajian & Hasilan Penyelidikan PMRAM (MANHAL) mengutarakan pandangan para ulama’ berkenaan isu tersebut dan syor dari MANHAL.

1.Secara umum, para ulama telah terbahagi kepada dua pandangan.

•    Pandangan pertama: Membenarkan non muslim menggunakan kalimah Allah.  Pandangan ini bersandarkan dengan firman Allah  di dalam surah Luqman ayat 25 yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad) Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka itu. Bahkan kebanyaakn dari mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)”

Firman Allah dalam surah al-Mu’minun ayat 86-87 yang bermaksud:

“Tanyakanlah lagi siapakah yang memiliki dan mentadbir langit yang tujuh dan tuhan yang mempunyai arasyh yang besar? (86) Mereka akan menjawab (semuanya) kepunyaan Allah. Katakanlah (wahai Muhammad) mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” (87)

“Para ulama empat mazhab menyatakan dalam masalah sumpah bahawa non muslim hendaklah bersumpah dengan nama Allah.” (Dr. Wahbah Zuhaili, al-Feqh al-Islami Wa Adillatuhu 8/136)

•    Pandangan kedua: Tidak membenarkan non muslim menggunakan kalimah Allah berdasarkan hujah-hujah berikut;

Nama Allah mungkin digunakan sebagai nama khas untuk makhluk sedangkan ijmak ulamak tidak mengharuskannya sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Qarafi. (rujuk Al-Furuq 3/111, Mawahib al-Jalil 3/279)

Apabila mengizinkan non muslim menggunakan kalimah Allah, ini bakal mendedahkan nama Allah kepada penghinaan apabila disifatkan dengan pelbagai sifat yang menyalahi akidah muslim. Masalah ini didapati dari apa yang dibahaskan oleh Ulama’ mazhab Syafei bahawa haram kepada seorang muslim menulis nama Allah dalam fatwa kepada ahli zimmah (non muslim) kerana ia boleh menghina nama Allah SWT.

“Dapat diambil iktibar  darinya (mendedahkan mashaf kepada kehinaan sekiranya dimiliki orang kafir) adalah lebih utama mengharamkan muslim menulis Lafaz Jalalah (kalimah Allah) pada soalan dan jawapan apabila diminta fatwa oleh kafir zimmi.” (Hasyiah al-Bujairimi ‘Ala al-Khatib 3/314, Hasyiah al-Syarwani ‘Ala Tuhfah Al-Muhtaj 4/230)

2. Secara asasnya, pihak MANHAL bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah digunakan oleh non muslim.

3. Namun melihat kepada realiti dan sensitiviti umat islam di Malaysia, MANHAL mencadangkan agar kerajaan tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada non muslim secara bertulis atas dasar menutup implikasi buruk yang mendatang. Mengutamakan mudarat umum lebih utama daripada melihat maslahat pihak tertentu sebagaimana ditegaskan oleh Imam Syatibi dan juga Imam Ghazali.

“Sekiranya dapat dibaiki kemudaratan dan dapat dihilangkan sekaligus maka lebih utama diambil kira kemudaratan umum tersebut (daripada maslahat khusus), Jadi dihalang orang atau pihak tertentu dari mendapat maslahatnya. Ini kerana maslahat yang umum perlu diutamakan daripada maslahat khusus” (Al-Muwafaqat 2/348)
“Dan sangkaan yang menghampiri martabat yakin apabila bersifat umum dan amat besar bahaya padanya (sekiranya tidak diraikan) maka dipandang kecil individu-individu tertentu seandainya dibandingkan dengannya” (Al-Mustasfa 1/424)

4.Sekiranya kerajaan bercadang untuk membenarkan non muslim mengguanakan kalimah Allah, maka syarat-syarat yang ketat mestilah dikenakan demi memastikan perkara-perkara di atas tidak berlaku. Hukuman yang berat juga mesti dikenakan kepada pihak yang menyalahgunakan kebenaran tersebut. Ini demi memastikan kesucian nama Allah terpelihara dari sifatnya yang Maha Esa.

Persoalan jalanan: Agama untuk politik.. atau politik untuk agama? Jangan politikkan agama.. sampaikan komen pun seakan tidak berfikir sebelum bercakap…

 

9 thoughts on “Isu Kalimah Allah: PAS Masih Komen Dari Konteks Politik???

  1. Seperti biasa ODS…its PAS anyway?

    ODS: Ada yang ok, dan ada yang tidak.. akan tetapi macam tak stabil sahaja sejak dua menjak ini…

    Balik-balik UMNO itu, UMNO ini.. negeri yang ada tu jaga betul-betul… tunjukkan bagaimana PAS harus dicontohi, bukan tunjuk buruk orang lain..

    Dan ini isu agama.. bagaimana PAS yang berjuang demi agama Islam boleh ke lain isi komennya…

  2. Salam ODS,

    Siapalah Pas tanpa Umno ….

    ODS: Macam kekasih awal dan akhir.. tetapi ada juga yang lupa batas mana boleh bertentang, mana yang tidak…hahahaha

  3. cuba bayangkan laki bini yang dah bercerai tapi masih tidak dapat berpisah sepenuhnya. Macam2lah yang dibuat/kata mencemuh, memburuk2kan ex nya. Padahal ramai lagi yang kat luar tu, tapi ni duk layan je ex.Apa si ex ni buat, semua dia nak komen. Kalau kita kata nak menarik perhatian ex, dia marah tak ngaku – layan apa tah orang tak guna tu ! Kalau kita kata masih ada hati ngan ex, kita dibalingnya kasut ! Yang pasti, tanpa ex, hidupnya seperti tiada arah.(bukan mamat tu!)

    Tak cute tu ?🙂

    ODS: Haha.. cute, cute.. dan memang “scandalous” hahaha

  4. Assalamualaikum,

    Biasalah sudah menjadi asam garam bagi PAS untuk menyalahkah UMNO dari dahulu hingga sekarang. Takkan tak faham PAS ni dah kehabisan modal asyik-asyik menuding jari kepada UMNO. Sama saja dengan Anwar Ibrahim Tetapi Tuhan itu maha kaya dan maha mengetahui. Lebih kerap dia meludah ke langit akhirnya akan jatuh ke muka sendiri. Nik Aziz pun dah kelam kabut, dahulu kata Mahathir nyanyuk, Mahathir mengamalkan kronisme, tapi sekarang ???? Sebenarnya komen-komen yang dikeluarkan oleh PAS dan PKRlah yang banyak sangat mengguriskan dan amat mendukacitakan perasaan orang-orang Melayu seperti saya dan bukannya UMNO.

    ODS: Waalaikumussalam. Terima kasih atas komen anda, Sharifah Khadjah.🙂

  5. Beza PAS dan Umno dalam isu Allah | Print | E-mail
    http://peguampas.blogspot.com
    Saya ingin mulakan tulisan ini dengan mengucapkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah di atas istiqamahnya pendirian Tuan Guru Presiden PAS yang secara jelas menyatakan bahawa Islam tidak melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama lain .

    Ustaz Hadi menyatakan “ kita tidak boleh melarang mereka ( bukan Islam ) dari menggunakan nama Allah meskipun Allah bagi mereka bukan seperti yang kita yakini iaitu Tuhan yang Esa.” Bagi saya sikap Tuan Guru Presiden ini melambangkan konsistennya budaya PAS iaitu ilmu mendahului emosi, kebenaran mendahului perasaan.

    Jika emosi yang menjadi sandaran pegangan PAS sudah tentu PAS boleh dengan mudah mengerahkan para penyokongnya dan umat Islam negara ini mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi menentang keputusan Yang Arif Hakim Lau Bee Lan yang membenarkan akhbar Herald menggunakan kalimah Allah di dalam edisi melayu akhbar tersebut.

    Namun, tidak seperti Umno , PAS tidak membuat sesuatu pendirian berdasarkan emosi. Bagi PAS jika ajaran Islam membenarkan kalimah Allah digunakan oleh mana-mana manusia di dunia ini maka itu jugalah pendirian parti Islam ini.
    Ya, mungkin mudah sahaja pendirian seperti ini dimanipulasi oleh mereka yang ingin memanipulasi. Bagi golongan “muta’asibin ( yang taksub ) pendirian PAS ini dianggap satu pendirian yang lunak dan lembut dan sekadar ingin menjaga hati para pengundi bukan Islam.

    PAS peka mengambil pendirian sepertimana yang PAS ambil akan mengundang persepsi seperti itu apatah lagi sejak awal Umno memang tidak pernah bercita-cita untuk mendidik rakyat untuk memahami isu ini menurut perspektif yang betul baik perspektif Islam atau perspektif Perlembagaan.

    PAS melihat isu ini dari sudut keadilan. Keadilan adalah bersifat mutlak dalam Islam. Ianya bermakna keadilan mesti dilakukan dalam apa juga keadaan dan kepada mana-mana orang.

    Kehebatan ajaran Islam tentang perspektif keadilan terserlah apabila ia mengarahkan keadilan itu ditegakkan walaupun ke atas musuh. Permusuhan atau perseteruan tidak boleh menjadi alasan untuk mengkrompomi keadilan.
    Kesediaan Rasullulah s.a.w memotong tangan puteri kesayangannya sendiri jika Fatimah terbukti mencuri memperlihatkan betapa tingginya nilai keadilan yang Islam perjuangkan.

    Siapa tidak kenal kebobrokan bangsa Yahudi. Apa yang tidak dilakukan oleh orang Yahudi ke atas para Nabi termasuk Nabi Muhammad s.a.w. Namun tidakkah kita sedar asbabun nuzul ( sebab turun ayat ) surah Al-Nisa ayat 105 menunjukkan bagaimana Islam membebaskan tuduhan ke atas orang Yahudi yang dianiyai dengan tuduhan palsu oleh orang Islam sendiri.

    Tu‘ma ibnu Ubayriq , seorang Islam yang mencuri baju besi tetapi kemudiannya meletakkan baju curi tersebut di rumah orang Yahudi. Meskipun Tu’ma bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak mencuri dan menuduh orang Yahudi itu yang mencuri dan dalam keadaan kaum Tu’ma meminta Rasulullah s.a.w membela Tu’ma namun ayat Allah membebaskan bangsa Yahudi yang dianiyai itu.

    Jika emosi dan taksub menjadi taruhan dan sandaran sudah tentu orang Islam yang dibela ( kerana seagama ) dan Yahudi ( berlainan agama dan zalim dengan orang Islam ) dibiarkan terbiar dianiaya.

    Tetapi itulah Islam. Keadilannya merentasi garisan perkauman dan keagamaan.

    Dalam konteks keadilan itulah PAS mengambil keputusan bahawa adalah tidak adil kita melarang orang Kristian dari menggunakan kalimah Allah. Ada hujah yang menyatakan bahawa Allah bagi orang Kristian tidak sama dengan Allah menurut fahaman orang Islam. Jawab PAS betullah tu. Jika dari awal lagi mereka berpendirian seperti kita sudah tentu mereka sudah Islam.

    Sebab itu para Rasul diutuskan untuk berda’wa kerana disamping manusia yang kafir mentauhidkan Allah dalam konteks RububiyyahNya iaitu meyakini Allah sebagai Rabb ( Pentadbir / Penjaga ) alam semesta ini mereka tidak mengesakan Allah yang sama sebagai Tuhan yang selayaknya disembah.

    Apabila Hakim Lau Bee Lan menyatakan bahawa Allah bukan ekslusif untuk orang Islam sahaja , dari segi Islam di mana silapnya ? Sepertimana kata Yusuf Al-Qardhawi sebaik sahaja kita buka Al-Quran dan membaca Al-Fatihah kita sudah disajikan dengan kalimah “Allahu rabb al-‘alamin” bukan Rabb Al- Muslimin au Rabb al-masihiyyin . Jika dari segi Islam tidak salah adilkah kita untuk menyatakan ianya salah hanya kerana yang menggunakan kalimah itu adalah orang Kristian.

    Dalam penghakimannya Hakim Lau Bee Lan menyatakan “adalah tidak munasabah dan tidak rasional bagi pihak KDN kerana dalam satu masa tidak melarang perhimpunan Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam ibadat mereka dan aktiviti keagamaan mereka tetapi dalam masa yang sama kalimah yang sama tidak boleh digunakan dalam penerbitan yang tujuannya membantu pengganut Kristian dalam ibadat dan aktiviti keagamaan mereka. Secara jujur saya setuju dengan alasan Hakim itu. Kenapa adanya sikap double standard di situ ?

    Siapa yang membaca kesemua 57 mukasurat penghakiman Hakim Lau Bee Lan akan tentu terkejut apabila para peguam akhbar the Herald membangkitkan secara terperinci bersama-sama bukti dokumentari bagi menunjukkan bahawa kalimah Allah telah lama digunakan oleh orang Kristian, peguam KDN dikatakan tidak langsung menyangkal hal tersebut.

    Sebagai contoh peguam Herald menyatakan sudah 15 abad Kristian dan Arab Muslim telah menggunakan kalimah Allah bagi merujuk Tuhan yang Esa. Bahasa melayu telah menjadi Lingua Franca kepada penganut Katolik sejak berkurun-kurun khususnya yang tinggal di Melaka dan Pulau Pinang dan telah mengamalkan dan ber”sembahyang” dalam bahasa Melayu.

    Kalimah God telah diterjemah sebagai Allah dalam “Istilah Agama Kristian Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia” yang diterbitkan pertama kali oleh Catholic Bishops Conference of Malaysia pada tahun 1989 . Kamus Melayu-Latin yang diterbitkan sejak tahun 1631 telah menterjemah perkataan “Deus” (Kalimah Latin untuk God ) sebagai “Alla” dalam terjemahan Melayu.

    Dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia, kalimah “Allah” telah digunakan secara terus menerus dalam edisi Matthew’s Gospel di Malaysia pada tahun 1629 dan dalam Bible Melayu pertama yang lengkap pada tahun 1733 dan Bible Melayu yang Kedua Lengkap
    pada tahun 1879 sehingga sekarang .

    Munshi Abdullah yang dianggap bapa kesusasteraan Melayu telah menterjemah Gospels ke dalam Bahasa Melayu pada tahun 1852 dan beliau telah terjemah perkataan “God” sebagai “Allah”. Telah ada Bible yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu yang wujud sebelum 1957 yang mana terjemahannya telah dibuat oleh British and Foreign Bible Society di mana kalimah “Allah” telah digunakan .

    Apabila peguam KDN tidak menyangkal dan mempertikaikan fakta-fakta di atas mengapa kita harus marah apabila Mahkamah memutusakn bahawa ia tidak ada pilihan selain menyatakan bahawa kenapa dengan tiba-tiba sahaja kalimah Allah kini tidak boleh digunakan oleh Herald ?

    Perlukan saya beritahu KDN bahawa di dalam perbicaraan Mahkamah kaedah yang dipakai adalah “ apabila sesuatu fakta itu tidak disangkal ianya dikira dipersetujui atau diterima.”

    1. Terima kasih kerana sekali lagi copy dan paste artikel yang begitu panjang lebar.

      Beginalah saudara arah,
      Soalan paling mudah.. dalam Bahasa Malaysia, “water” adalah air.. dan “God” adalah Tuhan..

      Kenapa perlu berhujah pakai gunakan bangsa arab? The Herald mahu alih bahasa Bible Bahasa Inggeris ke Bahasa Arab atau ke Bahasa Malaysia?

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s