Tazkirah Aidiladha: Sekeping Hati Milik Ibrahim


Kebiasaannya, saya akan mencari nukilan tazkirah atau kisah teladan untuk Tazkirah Jumaat dan menyiarkannya pada hari Jumaat. Memandangkan kita menyambut Hari Raya Aidiladha pada esok hari, saya tidak merasakan kita akan menghabiskan banyak masa di hadapan komputer esok.

Kali ini saya ingin berkongsi artikel yang saya ambil dari saifulislam.com yang bertajuk Sekeping Hati Milik Ibrahim yang disiarkan pada tahun 2008. Marilah sama-sama kita baca, menghayati dan berfikir sejenak apa yang tersurat dan tersirat..

“Selawat Allah ke atas junjungan Muhammad, dan keluarga Muhammad, sebagaimana selawat-Mu ya Allah ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim,” bicara tasyahhud kita saban masa.

“Kami berpagi-pagian di atas fitrah al-Islam, dan kalimah al-Ikhlas, dan agama Nabi kami Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam, dan di atas jalan agama Ibrahim yang Haneef, tidak sekali-kali baginda itu dari kalangan manusia yang menyekutukan-Mu”, zikir kita mengiring terbitnya fajar pagi.

Ibrahim bapa sekalian Anbiya’.

Aidiladha mengangkat syiar memperingati pengorbanan dan kemuliaannya.

Ibrahim pemilik Hati yang Saleem.

Hati yang sejahtera.

QALBUN SALEEM

Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran tentang hati yang sejahtera () sebanyak dua. Sebutan yang pertama adalah berkenaan dengan hati yang sejahtera di dunia, manakala sebutan yang kedua menyentuh tentang Akhirat.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Saafaat [37: 83-84]:

“Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya  Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera”

Ayat ini dinyatakan oleh Allah SWT berkenaan dengan titik tolak Ibrahim Alayhi as-Salaam mencari kebenaran, melukis garis pemisah dirinya dengan syirik bapa dan kaumnya, serta asas perjuangan Baginda AS sebagai seorang Rasul.

Firman Allah SWT lagi di dalam surah al-Shu’araa’ [26: 88-89]:

“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera”

Ayat kedua ini pula menyatakan tentang kemutlakan hati sebagai satu-satunya bekalan bermanfaat yang dibawa oleh seseorang semasa mengadap Allah Azza wa Jalla di hari Akhirat nanti.

HATI YANG SEJAHTERA

Ia adalah terjemahan Bahasa Melayu kepada istilah asalnya Qalbun Saleem…. Hati yang bernilai tinggi itu diistilahkan sebagai hati yang ‘Saleem’. Ia berasal daripada perkataan umbi Sa-Li-Ma… yang menghasilkan makna linguistik:

i. Selamat

ii. Penyerahan / kepasrahan / keakuran

Oleh yang demikian, hati yang sejahtera ini terbentuk dengan asasnya yang utama iaitu penyerahan dan ketundukan yang mutlak kepada Allah SWT. Justeru itu hati yang sempurna tidak disebut sebagai ‘hati yang bahagia’ atau(Qalbun Sa’eed), bahkan tidak juga ‘hati yang sihat’ atau (Qalbun Saheeh)! Ini adalah kerana, kedua-kedua karakter itu hanyalah serpihan daripada makna yang terkandung di dalam pengertian hati yang sejahtera (Qalbun Saleem).

Memahami maksud yang terkandung di dalam makna hati yang sejahtera adalah amat penting kerana ia adalah kesimpulan kepada bekalan hidup dan bekalan akhirat. Bagi kehidupan di dunia, Allah SWT menyatakan bahawa, Ibrahim Alayhi as-Salaam, khalilNya, mencari Rububiyyah dan Uluhiyyah, menggariskan kebenaran dan menetapkan langkah di dalam perjuangan Baginda sebagai Rasul dengan berbekalkan hati yang sejahtera.

Firman Allah SWT:

“Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera” [Al-Saaffaat 37: 83-84]

HATI YANG SEJAHTERA DI DUNIA

Ulama’ Tafsir telah menghuraikan tentang pengertian atau sifat-sifat yang terkandung di dalam hati yang sejahtera itu. Ia adalah hati yang menyerah kepada Allah, tunduk kepada kehendak dan kemahuan Allah SWT. Apabila hati itu menurut segala kehendak Penciptanya, maka dengan sendirinya ia terpelihara daripada segala yang mencemari pengabdiannya kepada Allah. Menurut Qatadah, ia adalah hati yang bebas merdeka dari syirik dan nifaq. [Fath al-Qadeer, Ash-Shaukani, j4 ms. 460, Dar al-Kalim at-Tayyib, 1998]

Hati yang bebas merdeka ini adalah hati yang murni dengan fitrahnya. Ia adalah hati yang suci bersih dari syirik yang mengelirukan manusia tentang ketuhanan. Ia juga adalah hati yang lepas bebas dari sifat nifaq yang melahirkan prejudis dan karakter dusta dan menipu. Menipu Alllah sedangkan yang sebenar-benarnya ditipu itu adalah dirinya sendiri.

HATI SEJAHTERA SEORANG YANG MENCARI KETUHANAN

Ibrahim Alayhi as-Salaam mendapat keupayaan untuk menemui jawapannya terhadap ketuhanan kerana Baginda membawa hati yang sejahtera, iaitu hati yang suci dari prasangka. Selepas kukuh berpegang dengan hidayah Allah, hati yang sejahtera itu juga tunduk sepenuhnya kepada ketentuan Allah yang memilih Baginda sebagai Rasul. Baginda tidak mempertikaikan pemilihan itu walaupun dengan ketentuan Allah tersebut, bererti Baginda akan berhadapan dengan musuhnya yang paling sukar iaitu bapanya sendiri, si pengukir berhala. Hati yang sejahtera tidak prejudis atau membantah-bantah ketentuan Allah.

Tegasnya, hati yang sejahtera bagi seorang yang sedang mencari ketuhanan bererti hati yang tiada prasangka atau prejudis terhadap Tuhan. Hati seperti ini adalah kunci utama untuk menemukan pemiliknya kepada kebenaran kerana ia membuka luas-luas pintu kepada segala input untuk dianalisa dengan adil dan saksama. Bagi seorang manusia yang sedang ‘mencari Tuhan’, hatinya tidak boleh prejudis. Prejudis adalah perkataan yang datang dari kalimah Bahasa Inggeris iaitu ‘prejudice‘ yang terbentuk dari dua perkataan iaitu ‘pre’ dan ‘judgement’. Prejudice ini bermaksud membuat keputusan terhadap sesuatu perkara yang sedang di dalam pertimbangan, sebelum sampai kepadanya bukti-bukti dan maklumat yang lengkap. Ia telah membuat sekatan mental, lantas menyempitkan pintu dirinya untuk menganalisa.

Kerana itulah, Allah SWT memilih untuk menjadikan bangsa Arab sebagai kader umat Muhammad SAW yang pertama. Bangsa Arab Jahiliah tidak berpemikiran sebagaimana kaum Rom dan Parsi yang sudah mempunyai mindset berasaskan falsafah dan kepercayaan mereka yang sudah begitu tersimpul dan berakar umbi. Bangsa Arab Jahiliah mensyirikkan Allah dalam bentuk yang mudah, hati mereka senang untuk sampai kepada hati yang sejahtera kerana mereka tidak prejudis kepada ketuhanan. Tiada mulhid atau atheist di dalam masyarakat mereka bahkan semuanya percaya kepada Rububiyyah Allah. Mereka mengiyakan Allah sebagai Tuhan yang menurunkan hujan dan mencipta langit dan bumi. Namun yang masih belum selesai hanyalah Uluhiyyah dan disiplin pengabdian mereka kepada Allah.

Seorang saintis yang luhur di dalam pengkajiannya, akan dengan mudah sampai kepada ‘menemui Tuhan’. Namun bagi saintis yang sudah ada mindset yang prejudis, hatinya akan sentiasa dilarikan daripada akur kepada Allah. Seorang pakar kejuruteraan genetik merasakan kewujudan Tuhan sudah tidak relevan kerana menemui upaya untuk mencipta makhluk mengikut kehendak dirinya. Tetapi prasangka dan prejudis telah membutakan dirinya dari suatu hakikat bahawa manusia yang paling cerdik hanya mampu mencipta sesuatu daripada ada kepada ada. Namun Tuhan mencipta sesuatu dari tiada kepada ada. Sesuatu yang mustahil bagi manusia, walaupun sekadar sebelah kepak nyamuk!

HATI SEJAHTERA SEORANG MUKMIN

Manakala bagi seorang mukmin yang memiliki hati yang sejahtera, hatinya akur, tunduk dan patuh kepada segala ketetapan Allah SWT. Keputusan Al-Quran dan Sunnah NabiNya diterima dengan hati yang tunduk pasrah dan tidak lagi berbantah-bantah dan mempersoalkan “kenapa mesti aku?”, “kenapa mesti begitu” dan sebagainya.

Mungkin hati yang sejahtera inilah yang gagal dimiliki oleh seseorang yang terlalu gemar mempersoalkan suruhan dan larangan Allah ke atas dirinya. Hatinya bukan hati seorang hamba, kerana fitrah seorang hamba adalah akur sahaja kepada suruhan tuannya. Hamba Allah berasa gembira, sejahtera dengan segala apa yang diperuntukkan Allah kepadanya. Jika lelaki diwajibkan dan digesa solat berjemaah di masjid, hatinya dengan ghairah mahu patuh kerana penyerahan hatinya kepada Allah menjadikan dirinya terbuka untuk “menerima apa sahaja” dan diperlakukan semahunya oleh Tuan iaitu Tuhannya.

Namun, seorang hamba yang hilang sifat kehambaan, lebih suka mencari hak-hak untuk manfaat dirinya berbanding dengan peranan dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Sering mencari “APA UNTUK AKU” dan lupa kepada “AKU UNTUK APA”.

Hati yang sejahtera, adalah hati yang tidak malas dari beribadah. Ia adalah hati yang bingkas bangun ketika mendengar seruan Allah. Ia bukan hati nifaq yang bangun mendirikan solat dengan penuh rasa malas, serta amat sedikit mahu ingat kepada Allah Tuhannya [AL-Nisaa; 4: 142]

Hati yang sejahtera ini jugalah yang melahirkan suatu keazaman yang kukuh umpama keazaman Ulul Azmi seperti Ibrahim Alayhi as-Salaam yang melaksanakan perjuangannya di Iraq, Palestin, Mesir dan Hijaz dengan penuh sabar, ta’aluq cinta khullah yang mutlaq kepada Allah SWT.

Sesungguhnya hati yang sejahtera ini adalah hati yang berjaya memenuhi tujuan penciptaannya iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

MENGAPA HATI?

Manusia itu memiliki pelbagai unsur di dalam dirinya. Manusia itu adalah kombinasi tubuh badan fizikal, akal, nafsu dan hati. Namun keseluruhan kerajaan diri manusia itu, rajanya adalah hati. Akal yang beroleh maklumat menghasilkan ‘tahu’. Akan tetapi manusia tidak bertindak mengikut apa yang dirinya tahu. Pengetahuan tidak menjana tindakan apatah lagi untuk tindakan itu sampai menjadi tabiat atau sikap yang konsisten. Lazimnya manusia akan bertindak berdasarkan kepada kehendak hatinya. Hati itu akan membuat keputusan atas nasihat sama ada oleh akal atau sebaliknya, nafsu.

Maka segala perlakuan manusia itu, sebenarnya adalah natijah kepada kerja hati dan bukannya kerja akal. Dengan demikian itu, amat wajarlah untuk hati menjadi fokus. Ia tempat jatuh pandangan Allah, ia tempat terbit perilaku patuh kepada Allah. Maka segala perintah Allah berupa undang-undang, hukum hakam, suruhan dan larangan, semuanya akan muncul dengan titah hati sebagai raja kepada kerajaan diri seorang insan. Jika hatinya mengikut akal yang terpimpin oleh wahyu, terbentuk dengan ‘rasa’ yang terbit dari ketundukan nafsu, maka terbitlah taat dan istiqamah di dalam melaksanakan perintah Allah. Sesungguhnya taat atau maksiat, sangat bergantung kepada tahap kesejahteraan hati seorang manusia. Manusia yang bertemu Allah dengan membawa hati yang sejahtera adalah manusia yang mempersembahkan pita rakaman kepada segala ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah semasa menunaikan kewajipan hidup di dunia.

HATI YANG SEJAHTERA DI AKHIRAT

Firman Allah SWT:

“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera” [AL-Shu’araa’ 26: 88-89]

Alam Mahsyar adalah alam penilaian terhadap manusia. Ia adalah hati pengisytiharan keputusan bagi ujian yang telah ditempuhi oleh manusia semasa hidupnya di dunia. Seandainya manusia hidup di dunia dengan berbekalkan hati yang sejahtera, maka hati itulah yang akan menjadi persembahannya kepada Allah di akhirat.

Prasangka manusia terhadap peri pentingnya harta dan anak-anak semasa hidup di dunia, akhirnya akan dihadapkan kepada kenyataan bahawa semuanya tidak bermanfaat lagi, kecuali bagi yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Hati yang sejahtera di dunia, akan menguruskan harta sebagai amanah Allah, lantas segala tuntutan dan tanggungjawab infaq ditunaikan. Hati yang sejahtera di dunia juga, akan menguruskan anak-anak sehingga terdidik dan membesar sebagai manusia soleh dan bertaqwa, memiliki hati-hati yang juga sejahtera kepada Allah.

Maka hati yang sejahtera di akhirat, adalah indikasi kepada nilai amalan seseorang. Hiduplah di dunia ini dengan hati yang sejahtera, dan temuilah Allah di alam mendatang juga dengan hati yang sejahtera, kerana di situlah letaknya kebahagian dan keselamatan yang kekal abadi.

Itulah hati seorang IBRAHIM, yang kita tinggikan namanya pada hening AIDILADHA ini.

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
Kota Kinabalu, Sabah
14 April 2005

Nukilan OnDaStreet: Kisah Nabi Ibrahim dan ibadah korban kerap kali diulangi, dinukilkan dan dikisahkan untuk peringatan kita. Sesungguhnya kita terkadang terlupa dan terleka, dan mungkin bagi antara kita sudah hilang erti Aidiladha yang mungkin cuma menjadi satu hari yang tiada bezanya dengan hari lain. Dan mungkin juga antara kita hanya melihat satu rutin di Hari Raya Aidiladha dengan bersembahyang sunat Aidiladha dipagi hari, melihat lembu kerbau kambing dikorbankan dan dapat daging “free”.

Apakah nilai Aidiladha kini? Apakah kita betul-betul menghayati erti Aidiladha?

Pesanan dijalanan: Berhati-hati dijalan raya. Jangan jadi korban dek kemalangan jalanraya. Ingat orang yang tersayang.

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha!

 

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s