Sekolah Satu Aliran: Sekolah Jenis Kebangsaan ke Sekolah Kebangsaan?


Berikut merupakan laporan Berita Harian, 23 November 2009:

Model pembelajaran SJKC ke sekolah kebangsaan

KERAJAAN akan melihat kaedah pembelajaran Matematik dan Sains yang diterapkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berikutan prestasi lebih baik yang ditunjukkan dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia untuk diguna pakai di Sekolah Kebangsaan (SK) yang mana dilihat ada jurang pencapaian antara kedua-dua jenis sekolah ini.

Beliau berkata, walaupun secara keseluruhan keputusan UPSR tahun ini adalah lebih baik, masih ada perbezaan keputusan dalam kedua-dua mata pelajaran itu antara SK dan SJKC.

Kita mahu melihat model pembelajaran yang mereka gunakan dan saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran (Tan Sri Alimuddin Mohd Dom) bersama Lembaga Peperiksaan untuk melakukan kajian berhubung perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Kelautan dan Perikanan Republik Indonesia, Fadel Muhammad, di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selain perbezaan keputusan mata pelajaran, analisis pencapaian dalam beberapa perkara juga akan dikaji.

“Ia meliputi antara sekolah dengan sekolah, pelajar perempuan dengan lelaki serta sekolah bandar dan luar bandar.

“Jurang ini harus dianalisis bagi memastikan pencapaian yang lebih baik untuk tahun seterusnya walaupun keputusan yang dicapai tahun ini lebih baik, katanya.

Sementara itu, ketika menghadiri majlis makan malam bersama pelajar Malaysia di Indonesia di sini, malam kelmarin, Muhyiddin berkata, bagi meningkatkan kecemerlangan di kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di institusi pengajian tinggi di New Zealand, Australia dan Indonesia, satu hadiah kecemerlangan akan diwujudkan bermula tahun depan.

Anugerah inisiatif TMS Charity Golf Event itu sebagai mengiktiraf kejayaan dicapai pelajar yang menuntut di ketiga-tiga negara berkenaan.

“Anugerah berkenaan bukan semata-mata untuk mereka yang berjaya dalam bidang akademik, malah beberapa bidang berkaitan, iaitu untuk pelajar serba boleh,” katanya.

Selain pelajar, majlis dihadiri kira-kira 500 tetamu itu turut disertai pemain yang menyertai TMS Charity Golf Event.

Muhyiddin berkata, beliau berharap hadiah kecemerlangan itu dapat menaikkan semangat di kalangan pelajar untuk memberikan pencapaian yang terbaik.

“Selain sokongan moral, adalah juga penting untuk memberikan sokongan dalam bentuk material bagi membolehkan pelajar menjalankan pelbagai aktiviti.

“Ia kerana selain melanjutkan pelajaran di luar negara, mereka juga bertanggungjawab dalam usaha mempromosi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, selain pembangunan dan kemajuan yang dicapainya,” katanya.

Pada majlis itu Muhyiddin turut menjelaskan kepada pelajar bahawa polisi dan langkah dilaksanakan kerajaan termasuk gagasan 1Malaysia, bertujuan memperbaiki kehidupan rakyatnya.

Tindakan yang diambil oleh Kementerian Pendidikan untuk melihat kaedah pembelajaran Matematik dan Sains di SJK untuk mempertingkatkan pencapaian bagi subjek yang sama di Sekolah Kebangsaan merupakan satu langkah yang wajar dan baik. Mengapa? Setidak-tidaknya Kementerian Pendidikan berusaha ke arah yang lebih baik dan bukan menuding kelemahan ke arah lain. Secara peribadi, inilah yang saya harapkan setelah sekian banyak komen yang saya baca daripada pihak yang membanggakan pencapaian Matematik dan Sains di SJK. Apa salahnya, yang baik kita kongsi bersama. Betul atau tidak?

Namun, itu hanya untuk Matematik dan Sains. Bagaimana pula dengan memperkasa dan mengukuhkan penguasaan subjek lain? Setahu saya, terdapat lima kertas yang diambil untuk UPSR – Bahasa Malaysia (Pemahaman), Bahasa Malaysia (Penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Bagaimana dengan pencapaian Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?

Dong Zong tempohari memberi alasan bahawa dengan mengadaptasi silibus dan sukatan pelajaran yang sama akan menjejaskan identiti SJK. Apakah dengan tindakan Kementerian Pendidikan yang mahu melihat kaedah pembelajaran (yang saya fikir sama sukatannya) SJK untuk kemungkinan diadaptasikan di Sekolah Kebangsaan, identiti Sekolah Kebangsaan akan bertukar sepenuhnya? Apakah identiti Sekolah Kebangsaan akan menjadi “Jenis Kebangsaan” dengan mengadaptasi kaedah pembelajaran Sekolah Jenis Kebangsaan dalam Matematik dan Sains?

Walauapapun, saya mengharapkan saya tidak mendengar alasan “ianya mebebankan pelajar” sekiranya Kementerian Pendidikan mengambil keputusan mengadaptasi kaedah pembelajaran Sains dan Matematik SJK ke SK. Jika tidak sesuai pun, mungkin hanya di permulaan. Lagipun, masakan ianya tidak berjaya kerana murid SJK telah membuktikan mereka lebih baik dalam mencapai keputusan yang lebih baik daripada murid SK dalam Matematik dan Sains.

Bak pepatah melayu: “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian“. Bak kata pepatah Bahasa Inggeris pula: “No Pain, No Gain“.

Persoalan dijalanan: Bagaimana keputusan UPSR anak anda? Bagi yang berjaya, tahniah! Bagi yang agak kurang menyerlah, masih ada peluang di PMR dan juga SPM. Apapun, semoga menjadi seorang manusia yang berguna untuk Agama dan Negara.

 

3 thoughts on “Sekolah Satu Aliran: Sekolah Jenis Kebangsaan ke Sekolah Kebangsaan?

  1. Saya fikir tidak ada masalah bagi sistem pembalajaran Sains dan Matematik diSJKC diserapkan keSK. Sistem yang baik kita gunakan. Begitu juga sistem pembelajaran Bahasa Malaysia diSK. Itu juga mesti diserapkan keSJKC.

    BM diSJKC sabenarnya bukan perkara sistem pembelajaran. Ia adalah perkara menyamakan bentuk dan menyetarafkan pembelajaran BM diSJKC dengan SK.

    Tidak ada so’al menjejaskan identiti SK atau SJKC dalam perkara penyerapan sistem pembelajaran BM diSK keSJKC atau sistem pembelajaran Sains dan Matematik SJKC keSK. Yang disebut Dong Zong itu hanya helah sahaja.

    Dong Zong memang perlu menerima hakikat bahawa SJKC perlu diserapkan kedalam sistem SK dengan menggunakan BM sebagai bahasa pengantar, korikulum kebangsaan dan bahasa Mandarin dipelajari sebagai mata pelajaran pilihan (elective subject). Hujah-hujah mereka itu tidak beralasan yang kukuh.

    Artikel 152 berkenaan kedudukan Bahasa Melaysia adalah nyata di Perlembagaan negara. Tiada siapa mengatakan tidak boleh mempelajarai bahasa ibunda. Mandarin bukan pun bahasa ibunda. Dan tiada pihak yang menghalang Mandarin dipelajari disekolah, tetapi sebagai mata pelajaran pilihan.

    ODS: Terima kasih atas komen anda, saudara Maju.🙂

  2. hmmm… kita nak bercakap pasal PPSMI lagi kah selepas kerajaan tak nak dengar suara ramai pasal PPSMI ini?

    Apabila segelintir masyarakat yang tebal dgn identiti perkauman mereka, dibenarkan terus mengekalkan identiti perkauman mereka dgn sekolah mereka tersendiri, pembelajaran mereka tersendiri, bahasa mereka tersendiri, kerajaan berharap semuanya ini akan jadi 1Malaysia yg kabur tu?

    Apabila PPSMI ini ditolak oleh kerajaan, saya rasalah, sebahagian besar pelajar-pelajar (kaum melayu) akan ketinggalan dalam mengejar ilmu Sains & Matematik yang terkini (di samping mendapat lebih peluang untuk menguasai bahasa kedua) . Yang untungnya siapa? Segelintir kaum yang sememangnya tidak mahu beridentitikan negara ini. Tangkasnya mereka dlm Sains & Matematik ini umpama ikan yang berenang di dalam air.

    Langkah untuk mengkaji modul srjk(c) dlm pembelajaran/pengajaran Sains & Matematik adalah agak tidak tepat, terlambat, atau terkebelakang jika dibandingkan dgn langkah memperkasakan PPSMI seperti kehendak ramai itu.

    Pemimpin sekarang (Najib & kabinetnya) masih berpegang kepada anggapan bahawa mereka sajalah yang tahu dan bijak, rakyat semua tak tahu memikir kah? Hanya mereka saja yang betul? Betul kayu agaknya.

    ODS: Mungkin ini perjuangan pejuang Bahasa yang belum selesai? Terutama mereka yang berarak dan mengusung keranda harus tidak berhenti memperjuangkan martabat bahasa.. bukankah harus begitu?

    Terima kasih untuk pandangan anda.🙂

  3. SJ ingin sekali memetik pandangan di bawah ini untuk perhatian para pembaca ODS dan SSUS.

    USAH RENDAHKAN MARTABAT SK
    – Prof. Dr. Rosnani Hashim (1 Disember 2009)
    Pendidikan & Bahasa

    Saya mengikuti perkembangan yang bermula daripada kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai prestasi Sains dan Matematik Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mengatasi Sekolah Kebangsaan (SK).

    Kenyataan beliau ini kemudian disusuli dengan cadangan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, agar guru-guru SK belajar daripada SJKC bagi dua subjek ini.

    Sebenarnya mitos SJKC lebih pintar dalam Sains dan Matematik ini wajar dibicarakan. Adakah benar pelajar SJKC lebih pintar dalam Matematik daripada pelajar SK? Saya kurang setuju dengan kenyataan tersebut.

    Pada pandangan saya, sistem pendidikan SJKC, khususnya untuk Matematik, tidak dapat melahirkan ahli matematik dan saintis tulen. Ia sekadar memberikan skor A di peringkat UPSR kerana yang dititikberatkan adalah latih tubi yang intensif. Kaedah ini memang sesuai untuk meningkatkan markah atau pencapaian Matematik bagi tujuan peperiksaan. Tetapi belum tentu ia boleh melahirkan ahli matematik atau saintis yang hebat.

    Sepatutnya kita tidak harus terpedaya dengan bilangan A sebagai kayu ukur pendidikan yang sempurna, khususnya melahirkan rakyat yang kreatif, kritis dan berakhlak. Lihat sahaja keputusan persaingan Matematik antarabangsa yang dapat dilihat daripada laporan TIMSS setiap tahun. Negara timur seperti Singapura, Korea dan Jepun mendapat kedudukan yang teratas berbanding negara barat seperti Britain, Amerika Syarikat, Perancis dan lain-lain.

    Tetapi kalau kita lihat negara mana yang melahirkan lebih ramai pencipta teknologi baru, penemuan teori dan aplikasi sains dan rakyat yang lebih kreatif dalam pelbagai seni, tidak syak lagi negara seperti Amerika Syarikat akan mengatasi yang lain. Negara ini tidak memberatkan latih tubi tetapi kefahaman dan kreativiti yang kental.

    Negara-negara Asia yang terletak pada kedudukan teratas itu pula seperti Singapura kini sudah pun mula mengubah strategi supaya sistem pendidikan menerapkan lebih banyak unsur kemahiran berfikiran kritis dan kreatif. Ia masih tidak berpuas hati dengan kedudukan teratasnya itu sebab ia tidak mempunyai makna besar. Malahan Singapura kini mula mengajar pelajarnya tentang falsafah.

    Sebagai guru Matematik bertauliah di SK, guru-guru berkenaan tidak perlu pergi membuat lawatan sambil belajar di SJKC. Guru-guru SK boleh buat apa yang dilakukan di SJKC dengan menambah waktu belajar subjek itu dan membanyakkan kerja rumah serta latih tubi intensif dengan para pelajar. Amatlah memalukan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) jika ia terpaksa menghantar guru SK ke SJKC sebab ini menandakan KPM gagal dalam melatih gurunya sendiri.

    Sepatutnya kita faham bahawa SJKC telah mengutamakan masa untuk Sains dan Matematik mendahului pelajaran bahasa kebangsaan sendiri dengan waktu yang singkat sehingga gagal melahirkan pelajar yang juga rakyat Malaysia yang fasih berbahasa kebangsaan.

    Inikah model pendidikan holistik atau pun bersifat kebangsaan yang kita ingini? Justeru, saya cadangkan diperbetulkan tanggapan mengenai SJKC mengatasi SK dalam subjek Sains dan Matematik ini serta dikaji semula cadangan guru-guru SK belajar daripada SJKC dalam dua subjek tersebut.

    Dalam hal pendidikan, bawalah berbincang dengan pakar untuk keputusan yang lebih adil. Janganlah merendahkan martabat SK.

    PROF. ROSNANI HASHIM
    Institut Pendidikan, Universiti
    Islam Antarabangsa Malaysia

    1 Disember 2009 / Utusan Malaysia

    ODS: Terima kasih atas komen anda. Semoga pihak yang mengusahakan SSS dapat manfaat daripada komen dan artikel ini.🙂

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s