Pertama sekali, mohon maaf kerana tiada tazkirah untuk dikongsi hari ini, sebagaimana saya cuba untuk biasakan di hari Jumaat. Ini kerana, saya cukup risau dengan polemik yang ada, seolah-olah hukum Allah menjadi taruhan untuk memenangi undi untuk PRU13 kali ini.
Keduanya, saya mohon maaf jika tajuk artikel ini keras.. kerana saya tidak dapat mencari tajuk yang sesuai untuk menggambarkan betapa risaunya saya.
Polemik hudud ini dah terlalu lama. Ianya selalu menjadi amat panas menjelang pilihanraya, baik umum atau kecil.
Cuma, kali ini lain sikit kepanasannya. Mungkin sebab ada tindakbalas daripada segelintir UMNO dan individu yang “mengikut” jejak langkah PAS dengan mengatakan PAS “Sesat”.
OK, saya teruskan untuk beberapa para, sebelum ke beberapa persoalan yang bermain dikepala saya, yang membuatkan tajuk diatas dinukilkan.
Dalam beberapa artikel saya yang lepas berkaitan dengan hukum hudud ini, saya ada memberi cadangan bagaimana PAS boleh melaksanakan hudud, berdasarkan jumlah calon muslim yang mereka ada dalam PR (kredit juga kepada saudara Anas Alam Faizli kerana kira guna excel). Namun, cadangan saya ini ada yang menolak (walaupun ada yang menerima) dan yang menolak ini adalah proPR sendiri. Kenapa? Jangan ditanya saya.
Mungkin, ada sesetengah kita dapat lihat, dengar dan baca bagaimana “hukuman” haram itu dijatuhkan ke atas UMNO kerana tidak laksana hudud. Sudah sejak bertahun-tahun lamanya, ini dijaja menafikan keislaman ahli UMNO dan seterusnya mendapat undi muslim yang takut masuk neraka sebab undi. Saya akui, saya pun tidak mahu masuk neraka kerana undi… melainkan saya cuba fahami hukuman hudud itu sendiri, dan apa syarat dan keadaannya ia dilaksanakan.
Dalam beberapa hari yang lepas juga, saya ada mendengar pemanggil dalam rancangan Dalam Radar radio Bernama24 bertanyakan juga, bila hudud boleh dilaksanakan sebab di bawah kerajaan diterajui BN belum lagi melaksanakan hudud. “Dah lama sangat, apa lagi alasan?” merupakan intipati yang saya boleh dapat.
Interaksi saya di twitter hari ini juga memberi gambaran yang menarik. Saya bertanya:

Ikhlas I want to know from proPAS, between merdeka till now, when it should be #hudud hv been implemented sampai nak kata UMNO kafir? #GE13
Saya terima dua jawapan susulan dari tweet ini.

- Apa bukti PAS kata UMNO kafir? Kafir sebab belum laksana hudud atau buat kenyataan tolak hudud secara total?
- PAS berjuang/brusaha utk memartabatkan ISLAM, mlaksanakn amar maaruf nahi mungkar, tp kerajaan pusat SEKAT! Kerajaan pusat siapa?
Lain ditanya, lain pula jawapan. Balik-balik, UMNO juga yang kena. Ini juga sering berlaku bilamana saya pergi sedikit teknikal tentang hukuman hudud (tiadalah teknikal sangat, lebih kepada faham ke tidak syarat dan perlaksanaannya).
Dari susulan maklumat-maklumat ini, ada beberapa persoalan:
- Jika benar sudah boleh laksana, bilakah masa yang sesuai sejak merdeka untuk kita laksanakan hudud?
- Yang berkempen gunakan hukum hudud ini PAS, kenapa muslim PKR tidak berkempen sekali gunakan hudud? Apakah mereka bukan rakan PR yang juga muslim? Kenapa UMNO sahaja yang dikenakan?
- Kenapa apabila saya bertanyakan lebih teknikal sikit tentang hudud, samada ianya tidak bersambut ataupun UMNO juga yang salah (tanpa menjawab soalan)?
- Saya telah cadangkan bagaimana hudud boleh diusahakan oleh PAS bersama rakan PR. Kenapa UMNO juga yang dipersalahkan?
Benar, tanggungjawab melaksanakan hudud itu tanggungjawab muslim. Ini saya tidak nafikan.
Namun, saya fikir dah berulangkali dijawab, belum sesuai. Apabila dijawab begini, bilanya sesuai (tetapi bila saya tanya bila sesuai, tidak pula terjawab). Rujuk artikel Dr Asri (terima kasih kepada @wandoit kerana memberikan link ini) yang antara lain menyatakan:
Suasana kondusif ialah suasana di mana apabila hukuman hudud itu dilaksanakan akan mencapai matlamat hukum itu disyariatkan. Tertegak keadilan, pencegahan dan pemeliharaan masyarakat. Suasana yang tidak kondusif ialah suasana di mana pelaksanaan hukuman tersebut membawa kepada natijah yang negatif kepada prinsip keadilan dan masyarakat Islam itu sendiri
Sudah kondusif atau belum untuk laksana hudud? Kebiasaannya apabila ditanya ini, saya akan terima jawapan menyimpang.
Juga ini:
Nabi s.a.w sebelum menegaskan tentang hudud, baginda mengujudkan suasana keadilan yang menyeluruh dalam masyarakat yang diperintah oleh baginda. Pemerintah dan rakyat sama setaraf di hadapan undang-undang. Tiada diskriminasi keturunan dan latar belakang. Suanana kebajikan; bantu membantu, tolong menolong antara masyarakat yang kukuh. Jaminan hak rakyat yang diberikan. Suasana halal yang mudah; mudah berkahwin, talak, fasakh, khuluk dan selainnya. Tiada alasan untuk lelaki ataupun wanita berzina. Sementara suasana haram yang diketatkan; sukar mendapat dan menebusi perkara haram.
Apabila suasana seperti ini wujud, maka tiada alasan rakyat memilih yang haram. Jika ada memilih yang haram juga, maka memang layak dihukum. Ini kerana pertama; dia telah mencemarkan suasana harmoni yang telah diwujudkan. Kedua; dia mempunyai penyakit jiwa yang berat yang condong memilih buruk sekalipun sukar dan menolak yang halal sekalipun mudah.
Faham atau tidak bait-bait perkara diatas? Kebiasaannya juga, apabila ditanya, saya akan terima jawapan yang menyimpang, UMNO juga yang salah.
Saya sebenarnya amat kasihankan PAS. Bermati-mati kempen nak laksanakan hudud, tetapi rakan PKR senyap membisu, DAP lantang membangkang. Sebab itulah, terdetik juga.. demi Allah atau demi undi?
Jika demi Allah, pastinya anda tahu sesuai atau tidak dilaksanakan hukum Allah itu sekarang, pastinya anda tahu apa keperluan agar ianya terlaksana secara adil dan tidak menzalimi rakyat.
Saya pohon, jika demi Allah anda mahu laksanakan hukum Allah, kita usahakan bersama-sama, tetapi bukan dengan cara ugut saya dan umat Islam yang lain dengan undi PAS, jangan undi UMNO. Pertimbangkan cadangan saya. Dapatkan sokongan rakan PKR untuk laksanakan hudud. Dapatkan sokongan lawan, baru sokongan lawan. Jangan kerja yang mudah disusahkan. Dapatkan DS Anwar dan rakan PKR lain kata “Ya, kita akan laksana hudud”. Sedangkan Rasulullah pun mulakan dakwah dengan orang yang terdekat, bukan orang yang jauh. Ambillah iktibar.
Lagipun, secara teorinya, diambil secara serius dakwaan PR yang BN tiru mereka, saya percaya, jika PAS dan PKR serius dan mengisytiharkan akan laksana hudud, saya fikir tidak lama selepas itu UMNO pun akan turut sama mencanangkan untuk melaksanakan hudud.
Akhirnya, hukum Allah itu jua dapat dilaksana… yang cuma tinggal, apakah perlaksanaan itu adil, seadil hukum Allah itu…
Pesanan saya untuk rakan PR… tika mana kamu belum menjadi kerajaan, “agree to disagree” atau setuju untuk tidak bersetuju mungkin boleh membawa kepada penyelesaian sementara, dan anda tiada tanggungannya, kerana anda bukan kerajaan.
Akan tetapi, tatkala anda kerajaan, dan isu asas sebegini tidak dapat diputuskan, anda bertanggungjawab.. dan lebih berat lagi sebab anda yang bersungguh kata untuk melaksanakan dikala anda belum mendapat mandat.
Ingatlah, anda berjanji dengan umat akan hukum Allah.. sedarilah, jika bukan kerana Allah dan semata mendapat undi, anda jawablah di akhirat kelak kerana saya tidak boleh menilai apa yang bermain difikiran kamu dan di hati kamu…
dan saya sebagai rakyat yang disuapkan dengan undi kamu untuk laksana hukum Allah, hukum hudud tapi anda GAGAL jika anda mendapat mandat, saya tidak akan maafkan kamu… kerana anda cuba “membeli” saya dengan hukum dosa pahala, syurga neraka, halal dan haram..
Soalan dijalanan: Kenapa bersungguh benar salahkan UMNO, dikala kita boleh usahakan secara berhemah dan berhikmah?
Like this:
Like Loading...