Dalam dua hari ini, saya memang ada terasa geram dan marah yang amat sangat. Bukan tidak pernah diperlekeh, tetapi kali ini lain benar rasa marah yang agak membuak-buak.
Saya akui, saya ada tweet mencabar mana hilangnya proPR yang MAKSUM ketika saya mempersoalkan tindakan kerajaan menerusi SKMM meletakkan syarat tambahan rebet hanya diberikan kepada telefon pintar berharga bawah RM500.
Kenapa saya mencabar?
Manakan tidak. Ketika hangat isu kalimah Allah yang ditimbulkan kembali oleh DAP dan PAS memberikan kenyataan, saya telah dituduh menyokong UMNO secara hebat oleh proPR. Apabila disuakan artikel dan kenyataan PAS, saya pula dituduh pencacai UMNO. Agak menghairankan, kerana sudahlah tidak membaca dengan elok, saya telah dituduh sebagai pencacai UMNO, hanya kerana menyentuh DAP dan PAS.
Mungkin, secara kebetulan, tweet saya mendapat perhatian Abby Abadi.
Hakikatnya, saya juga tahu manusia yang MAKSUM hanyalah Rasulullah.
Di sini, ingin saya jelaskan, kenapa saya memberikan perkataan sebegini kepada pro Pakatan Rakyat:
- Setiap kali saya sentuh perkara tentang Pakatan Rakyat, ada sahaja yang tidak kena dan dibalas dengan hujah keburukan UMNO dan Barisan Nasional;
- Setiap kali pertanyaan untuk Pakatan Rakyat, kebanyakan kali jawapan mesti kait dengan keburukan dan kelemahan UMNO dan Barisan Nasional;
- Setiap kali teguran dibuat, jawapan balas diterima, UMNO dan Barisan Nasional yang lebih buruk;
- Hampir setiap kali dipersoal tentang Pakatan Rakyat, UMNO dan Barisan Nasional juga yang salah, walhal tidak disebut pun;
- Hampir setiap kali pujian untuk Barisan Nasional, ada sahaja perkara buruk nak diutamakan oleh pro Pakatan Rakyat, menafikan kebaikan yang dibuat oleh Barisan Nasional;
- Hampir setiap teguran untuk Pakatan Rakyat, pasti akan disusuli “engkau pun patut tegur Barisan Nasional”.. tetapi, bilamana teguran untuk Barisan Nasional dibuat, ditokok tambah pula;
- PALING UTAMA. Apabila membabitkan hal-hal Islam, apa jua kenyataan atau usaha berkaitan dengan Islam, Pakatan Rakyat akan mengatakan mereka lebih arif, lebih tahu, dan UMNO dan Barisan Nasional tidak Islam.
Semalam, ketika bertukar fikiran tentang isu kalimah Allah, buat kesekian kalinya saya katakan, saya berhujah mengikut isu. Saya tidak taksub kepada satu-satu parti politik, kerana, hakikat, tiada satu pun yang sempurna.
Sesiapa yang mengikuti blog ini dan tweethandle @ondstreet pasti tahu, bahawa saya menyokong perlaksananaan hudud secara terbaik. Namun, apa yang pro Pakatan Rakyat tuduh? Saya pencacai UMNO, dan saya menyokong hudud untuk menipu pro Pakatan Rakyat.
Demi Allah, sesungguhnya, inilah yang membangkitkan kemarahan. Sudahlah minta mereka membaca apa yang terkandung dalam blog ini tidak dilakukan, diperlekeh seolah mereka lebih mulia, lebih berilmu, lebih mengetahui. Bukankah ini seolah-olah menunjukkan mereka ini MAKSUM?
Berdasarkan keadaan-keadaan inilah, biarpun mulut tidak mengatakan mereka MAKSUM, tetapi perlakuan, pertuturan, menganggap mereka lebih Islamik, lebih baik dari mereka yang neutral, apalagi UMNO dan Barisan Nasional. Asalkan tidak sebulu, pendapat dan pandangan ditolak, diperlekeh. Apa-apa kenyataan para ilmuan yang tidak memihak mereka, mereka ini akan dituduh ulama berbayar, ulama makan gaji, atau telah dibayar oleh Barisan Nasional.
Bukankah sifat-sifat dan sikap-sikap ini seolah mereka mahu memberitahu mereka tiada kelemahan dan tiada kesilapan?
Baik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, keduanya tidak sempurna. Jika benar ingin berpolitik cara Islam, memperlekeh dan tidak mengaku salah dan silap serta melakukan fitnah dan tuduhan liar pastinya tidak termasuk dalam berpolitik cara Islam. Jika benar ingin berpolitik cara Islam, berkata benarlah, bersikap adillah.
Maaf pada proPR yang tidak bersikap sebegini.
Soalan dijalanan: Tidak melakukan kesalahan bermaksud?

