Tazkirah Jumaat: Bahaya Lidah


Untuk Tazkirah Jumaat kali ini, ingin saya bawakan satu artikel yang menarik, satu peringatan untuk kita semua tentang bahaya lidah. Artikel ini saya baca dari sini.

Mukadimmah:

Ulama mengatakan yang lidah ini fizikalnya kecil sahaja tetapi besar implikasi dosanya. Al-Habib Zin Ibni Ibrahim Ibni Sumair, seorang ulama besar yang masih hidup dan tinggal di bumi Madinah sekarang ini berkata, anggota badan lain tidak perlu kepada penjagaan yang banyak, tetapi lidah dijaga dan dipagari oleh 2 anggota lain iaitu gigi dan mulut. Ini menunjukkan betapa bahayanya lidah. Imam Ghazali pula dalam kitab Ihya’ Ulumiddin membicarakan perihal-perihal kemusnahan yang disebabkan oleh lidah sehingga 79 muka surat (dalam bahasa arab). Ini menunjukkan kepentingan lidah itu dijaga agar tidak menjerumuskan manusia ke lembah neraka.

Fokus hari ini, seperti yang dipesan oleh Imam Ghazali dalam kitab Bidayatul Hidayah, adalah untuk menjaga lidah daripada 8 perkara:

  1. Jangan bercakap bohong: Bohong itu bercakap dusta dan merupakan dosa besar. Orang berbohong hilang harga dirinya kerana orang tidak lagi percaya kepadanya.
  2. Jangan mungkir janji: Kata Imam Ghazali ,”Usahakan supaya jangan mungkir janji, kerana ia adalah sifat orang munafik.”. Nabi SAW ada bersabda bahawa 3 perkara jika dilakukan akan menjadikan seseorang itu munafik walaupun dia solat dan berbuat baik. 3 perkara itu ialah jika bercakap dia bohong, jika berjanji dia mungkiri, dan jika diamanahkan, dia khianati amanah itu. Oleh itu jangan senang-senang berjanji. Dan jika berjanji, usahakan sedaya upaya untuk memenuhinya.
  3. Jangan mengumpat: Ini memang sukar dijauhi dan sudah berleluasa dalam masyarakat sekarang. Apa maksud mengumpat? Berbicara tentang benda yang betul yang mengaibkan seseorang, di belakang orang itu, dan jika orang itu tahu, dia akan marah. Jika kita cerita tentang benda yang tak betul tentang seseorang, itu namanya fitnah. Fitnah itu lebih dasyat bencananya daripada membunuh, dan dosanya lebih besar daripada mengumpat. Jadi kita perlu berhati-hati. Kita sepatutnya menutup keaiban orang lain, supaya Allah juga akan meutup keaiban kita. Jika tidak, Allah akan membuka keabaikan kita dan akan menyediakan lidah-lidah yang lebih tajam untuk mengumpat kita. Itu hanyalah balasan di dunia, di akhirat nanti akan dibuka keaibannya dan diperlihatkan kepada seluruh manusia. Ada juga orang berkata yang dia tak mengumpat, sekadar tumpang mendengar. Sebenarnya sama saja dosanya, sama ada mengumpat atau mendengar umpatan. Jika terdengar secara tak sengaja, dan kita tak redha, berusahalah untuk menegur, menukar topik perbicangan atau membubarkan kumpulan itu. Jangan pula kita jadi ‘nasi tambah’ dalam sesuatu perbualan mengumpat. Hasan Al-Basri diberitahu bahawa ada orang mengumpat beliau, lantas beliau mengambil bakul dan mengisinya dengan buah-buahan dan meminta orang yang menyampaikan cerita itu memberi bakul tersebut kepada si pengumpat. Pembawa berita itu pun hairan lalu bertanya sebabnya. Jawab Hasan Al-Basri, “Sesungguhnya dia telah memberikan pahalanya pada saya, jadi ini tanda penghargaan saya padanya.”
  4. Jangan berdebat, bertengkar atau suka membantah cakap orang lain: Ini boleh menyebabkan orang lain sakit hati dengan kita. Selalunya kita berdebat berkaitan perkara-perkara peribadi orang yang mungkin tidak benar. Kita berdebat seolah-olah kita sahaja yang benar. Jika berdebat dengan orang yang jahil, dia mungkin akan berdendam pula selepas itu. Jika bertengkar dengan orang yang sabar sekalipun, mungkin akan sampai tahap di mana dia tak mampu sabar lagi hingga boleh menyebabkan bermusuhan pula nanti.
  5. Jangan memuji diri-sendiri: Apabila ditanya seorang imam, “Apakah perkara benar yang buruk?” Lalu jawabnya, “Memuji diri sendiri.” Itulah juga yang kita kenali sebagai ‘masuk bakul angkat sendiri’. Kita sendiri pun rasa tidak senang jika ada orang datang dan bercerita membangga-banggakan dirinya sendiri. Semua orang mengharapkan orang sebegini lekas-lekas beredar.
  6. Jangan melaknat: Imam Ghazali berpesan supaya jangan melaknat makhluk. Makhluk termasuklah manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan, makanan dan banyak lagi. Nabi SAW sendiri tidak pernah mencela makanan, walaupun tidak sedap. Baginda sendiri ketika makan cuka, walaupun tidak suka, tetap memuji dan mengatakan bahawa cuka itu sedap rasanya.
  7. Jangan doakan kecelakaan untuk orang lain. Walaupun kita dizalimi, jangan doakan kecelakaan. Ini kerana ditakuti kecelakaan yang kita minta itu lebih besar daripada kezaliman ynag dilakukan kepada kita. Takut nanti kita pula yang dikira menzalimi orang tadi dan akan dituntut balasannya di akhirat pula. Sepatutnya kita menasihati rakan yang zalim dan mendoakan kebaikan untuk mereka.
  8. Jangan mengejek atau memperkecilkan orang lain. Walaupun dengan niat bergurau, lebih elok elakkan, kerana kadang-kadang orang tetap berkecil hati walaupun kita cuma berniat bergurau. Orang lain juga boleh hilang hormat pada kita. Jika kita diejek, cuba usahakan menegur mereka yang berbuat demikian. Jangan kita lawan pula.

Senarai soalan & jawapan:

S: Bagaimana pula jika kita perlu berdebat untuk mempertahankaan diri kita?

J: Bertengkar yang dilarang ialah bertengkar yang melampaui batas. Jika bertengkar dengan tujuan mempertahankan diri, itu dibolehkan. Tetapi harus ada hadnya, jangan sampai emosi menguasai diri kerana ianya boleh membuatkan kita lupa kebenaran. Berdebat dan berpidato perkara ilmiah seperti di sekolah atau universiti dibenarkan.

S: Jika berkomunikasi dengan rakan dan saudara, kita mungkin tidak tahu yang kita menyakiti hati mereka. Apa yang perlu kita buat?

J: Itulah sebabnya kita perlu berbicara bila perlu sahaja. Bila bercakap, pilih perkataan yang baik supaya jangan sampai ornag lain terasa hati. Kita boleh juga bertanya sahabat agar memberitahu jika kita menyakiti mereka. Sahabat yang baik ialah mereka yang benar dalam perkataan mereka. Jika kita salah, sahabat ini suka tegur. Sahabat yang baik bukanlah sahabat yang selalu setuju dengan kita dalam semua perkara. Kita perlu berusaha tegur sahabat kita yang melakukan kesalahan dengan cara yang baik. Orang yang ditegur pula jangan marah-marah. Ada satu perumpamaan orang-orang sufi – Seseorang yang menegur akan kebaibanmu, dan jika ternyata perkara yang ditegur itu benar, adalah seumpama seseorang yang memberitahu dalam jubahmu ada kala jengking. Kala jengking itu boleh menyepit dan meracuni kamu sehingga menyebabkan kematian. Jadi kita tidak sepatutnya marah pada orang yang memberitahu ada kala jengking pada kita, sebaliknya kita perlu berterima kasih pada mereka. Sebab itu ada kalanya mendengar apa yang musuh beritahu kita adalah lebih baik kerana mereka jujur menegur kesalahan kita, sedangkan kadang-kadang rakan rapat tidak berani menegur kesalahan kita.

S: Bagaimana berdepan dengan manusia yang berlidah tajam? Apakah ayat atau doa mudah untuk menghadapi mereka?

J: Surah yang boleh diamalkan ialah surah Al-Falaq kerana antara ayatnya termasuk memohon perlindungan daripada orang yang hasad. Untuk zikir, boleh amalkan ‘Ya Allah, Ya Latif’ 100 kali sehari. Jika ingin orang yang selalu mengumpat kita berasa segan dan menghormati kita, amalkan ‘Ya Allahu Ya ‘Aziz’ (maksudnya: Ya Allah Yang Perkasa) 41 kali setiap hari. Sekiranya diamalkan, orang akan nampak kita ada kewibawaan tersendiri.

S: Bagaimana isteri ingin menjaga lidah kerana dikatakan ramai isteri masuk neraka kerana lidah. Bagaimana menghadapi orang yang kasar dan sukar luahkan kemaafan. Bila orang berkasar balik dengannya, dia tak boleh terima pula.

J: Isteri dan suami perlu berkomunikasi dengan baik. Isteri perlu buat baik dulu dengan suami, barulah cakapnya mudah didengar. Jika ingin menegur, cari orang yang suami hormati, atau hadiahkan majalah dan seumpamanya. Jangan lawan kekerasan dengan kekerasan. Cuba nasihat dengan lembut dan doakan. Doa yang baik ialah doa Nabi Daud yang bermaksud “Ya Allah lembutkan hatinya (ketika sebut –nya, gambarkan siapa yang kita ingin dilembutkan hatinya), sepertimana Nabi Daud melembutkan besi.”

S: Jiwa yang ikhlas dan hati yang jujur akan membuatkan kita tidak suka mengumpat. Bagaimana untuk menegur orang yang lebih tua daripada mengumpat, terumatanya jika dilakukan di dalam masjid?

J: Hati yang bersih akan mengeluarkan perkara yang baik juga. Jika orang yang mengumpat itu orang yang lebih tua daripada kita, contohnya ibubapa, majikan kita, usahakan untuk cari orang yang dihormati oleh mereka untuk menegur. Yang kedua, mungkin kita boleh cari bahan bacaan berkaitan mengumpat dan hadiahkan kepada mereka. Cuba juga berjumpa dengan AJK masjid dan minta diberi tazkirah khusus membincangkan perkara-perkara yang perlu ditinggalkan di dalam masjid. Ada diriwayatkan dalam Ihya’ Ulumiddin, kisah dua orang wanita yang berpuasa tetapi tidak tahan dan meminta izin berbuka dengan Nabi SAW. Mereka menghantar wakil meminta izin daripada Nabi SAW dan Nabi SAW memberi 2 bekas kepada wakil itu dan minta kedua-dua wanita itu muntah di dalam bekas-bekas tersebut. Kedua-dua mereka muntah daging-daging yang berdarah dan bernanah sedangkan mereka sedang berpuasa. Orang ramai menjadi hairan. Lalu Nabi SAW menerangkan bahawa wanita tersebut menahan diri mereka daripada memakan makanan yang halal, namun telah mengumpat dan merosakkan pahala puasa mereka dengan umpatan tersebut. Semoga kita dapat mengambil pengajaran.

S: Zaman sekarang orang beperang dengan lisan, tak perlu menggunakan bom, tambahan pula dengan adanya teknologi semakin mudah menyebarkan fitnah. Mengapa dunia semakin maju namun umat Islam semakin mundur?

J: Memang benar, dan lidah sebenarnya lebih bahaya berbanding bom. Lidah juga lebih tajam daripada mata pedang kerana jika seseorang itu dibunuh, habis di situ sahaja. Namun fitnah yang dilemparkan, kesannya boleh berlanjutan sehingga beberapa keturunan. Oleh sebab itu, facebook, email dan sebagainya perlu digunakan untuk tujuan yang betul, bukan sebaliknya. Jika menerima berita yang diragui, jangan pula kita sebarkan. Orang yang menunjukkan ke arah kebaikan, akan mendapat pahala kebaikan yang dilakukan orang tersebut. Manakala orang yang menunjukkan kepada kejahatan, akan menerima dosa orang yang melakukan kejahatan itu juga. Semoga kita dijauhkan daripada jadi begini. Jagalah lisan agar tidak membawa pergaduhan, atau perselisihan faham. Semua orang termasuk pemimpin, guru, dan orang ramai perlu menjaga lisan masing-masing. Berbicara cuma perkara yang perlu saja, kerana lebih banyak kita berbicara, lebih banyak kemungkinan kita menokok-tambah cerita yang pada permulaannya benar. Sebab itu ada dikatakan “Siapa yang banyak cakap, akan banyaklah silapnya.” Bila dah banyak silap, banyaklah dosanya, dan dosa boleh bawa kita ke neraka.

S: Walaupun lidah diam, anggota lain pula tidak dijaga, contohnya jari yang menaip fitnah, telinga yang mendengar gossip dan mata yang melihat perkara yang tidak sepatutnya, dan hati yang tiada rasa redha dan syukur. Mohon pandangan ustaz.

J: Di dalam ilmu tasawwuf, kita disuruh menjaga diri daripada maksiat zahir yang tujuh iaitu maksiat yang dilakukan lidah, telinga, mata, tangan, perut, kemaluan dan kaki. Walaupun lidah diam, anggota lain perlu juga dijaga. Cuma yang ingin ditekankan hari ini bahawa lidah itu sangat berperanan, kerana tangan tidak akan menaip sekiranya dia tidak mendengar lidah orang lain mengata dahulu. Jadi apapun dimulai dengan lidah juga. Seperti yang dikatakan oleh Imam Ghazali dalam kitab Bidayatul Hidayah, lidah ini merupakan anggota yang paling cepat membinasakan manusia, di dunia dan di akhirat. Oleh itu, jaga lidah dahulu, InsyaAllah anggota lain akan terpelihara.

S: Ada tak keharusan untuk mengumpat?

J: Imam Ghazali ada menyebut bahawa ada keharusan mengumpat dalam 5 hal:

  1. Isteri yang mengadu kepada kadi atau hakim perihal dia dan anak dizalimi suaminya.
  2. Bercerita tentang kezaliman orang yang sudah terkenal tentang kezalimannya agar masyarakat tahu dan dapat menghindarkan diri daripada memilihnya menjadi pemimpin sebagai contohnya.
  3. Gelaran yang diberi kepada seseorang untuk membezakan dia daripada orang lain yang sama nama. Contohnya, ada ramai Mat di sebuah kampung, dan salah seorang digelar Mat Bulat kerana berbadan besar.
  4. Seorang yang ingin mengambil seseorang sebagai menantu. Sekiranya ada orang mengetahui tentang keburukan orang itu perlu diberitahu kepada bakal mertuanya.
  5. Bercerita masalah pada kaunselor dibolehkan selagi tidak menokok-tambah cerita asal.

S: Jika kita ada masalah berat tentang keluarga, dan merasa perlu untuk bercerita dengan seseorang untuk meringankan tekanan. Dalam bercerita pastinya akan dibuka keaiban ahli keluarga, adakah ini termasuk mengumpat?

J: Jika ingin bercerita, pastikan orang itu benar-benar amanah, dan bukan sebarangan kaunselor. Seeloknya cari orang Islam yang tahu hukum-hakam agama supaya dia boleh memberi pandangan mengikut hukum agama, dan bukan mengikut perasaan atau sentimen-sentimen tertentu.

S: Saya surirumah, dan minta tolong anak meringankan tugas harian seperti buang sampah. Anak tidak membantu dan saya cuba tegur anak, namun saya pula ditegur suami.

J: Suami-suami di luar sana perlu sangat berterima-kasih kepada isteri yang banyak berjasa menjaga suami dan anak-anak. Hatta sehelai stokin yang kecil sekalipun suami tak mampu basuh sendiri. Contohilah suami terbaik, iaitu baginda Rasul SAW. Rasul SAW juga ada berkata ,”Yang paling baik antara kamu ialah orang yang paling baik dalam keluarganya dan aku ini baik dalam keluargaku.” Kita boleh lihat dalam banyak sejarah kehidupan Nabi SAW yang direkodkan bahawa Nabi SAW membantu isteri-isterinya memerah susu, menjahit kasut dan sebagainya. Namun jika azan dilaungkan, Nabi SAW akan segera berhenti dan menuju masjid, dan seolah-olah Nabi SAW sudah tidak kenal keluarganya. Itu bermakna Nabi sangat menjaga hubungan dengan Allah, dan juga hubungan dengan manusia. Ada satu hadis yang nampak mudah di mata kita namun sangat besar pengajarannya. Aisyah r.a. apabila ditanya bagaimana akhlak Rasul SAW. Dijawabnya bahawa akhlak Nabi itulah Al-Quran. Nampak mudah, namun mari kira ambil rahsianya. Yang ditanya itu merupakan isteri Nabi SAW. Mari kita lihat contoh seseorang yang mungkin berjalan dalam keadaan tawadduk di luar rumah. Namun dirumahnya, mungkin sebenarnya dia adalah seorang yang suka berpakaian tak sopan di rumah, mungkin suka menyanyi dalam bilik air, mungkin dialah yang paling banyak tengok bola, mungkin dia garang dengan isteri dan anak-anaknya. Semua ini hanya diketahui oleh isterinya sahaja. Jadi apabila, Saidatina Aisyah mengatakan yang akhlak Nabi itu adalah Quran, itu menunjukkan keihklasan yang sangat tinggi dan kemuliaan akhlak Nabi SAW. Ini kerana kita semua mampu menjaga akhlak di luar rumah, namun kita belum tentu mampu menjaga akhlak di dalam rumah.

S: Jika kita menceritakan keburukan seseorang tanpa menyebut namanya, dengan niat agar orang dapat mengambil pengajaran, adakah dikira sebagai mengumpat?
J: Ada dua keadaan, pertama jika niat mengumpat, walaupun tak sebut nama, tetap dihukum seperti mengumpat. Kadang-kadang seseorang mengata seorang ulama yang lain, namun tidak menyebut namanya, tapi dengan niat menunjukkan yang dia lebih bagus, itu juga dikira sebagai mengumpat. Tetapi jika niatnya ikhlas untuk memberi pengajaran, InsyaAllah boleh dapat pahala.

Kesimpulan:

Kita banyak menceritakan kebinasaan hari ini, lalu apakah cara yang boleh menyelamatkan? Imam Ghazali menyatakan yang kita hendaklah:

  1. Ber’uzlah (bersendirian): Ini tidaklah bermakna kita perlu pergi ke gua untuk berseorangan. Sebenarnya boleh juga dilakukan di dalam rumah kita sendiri. Istilah lain yang turut digunakan ialah berkhalwat, tapi jangan disalah-faham dengan tangkap khalwat pula. Pada takrifannya, berkhalwat bermaksud kita duduk bersendirian sambil memuhasabah diri. Jadi, jika tiada keperluan berjumpa orang, lebih elok kita ber’uzlah di rumah saja.

  2. Lebih banyak diam. Diam itu adalah kepala kepada hikmah.

  3. Bercakap sekadar yang perlu sahaja. Jika tak perlu, jangan bercakap. Gantikan umpatan dengan zikir mengingati Tuhan. Imam Ghazali sempat khatam Quran sekali setiap hari, dan dua kali sehari di bulan Ramadhan. Imam Abdullah Al-Wali Al-Haddad, apabila berbicara, selang beberapa patah perkataan, akan diucapkan ‘La ila ha illallah’. Hari Jumaat beliau akan mengucapkan sebanyak 70 ribu kali ‘La ilah ha illallah’. Ini bermakna dia sangat sedikit berbicara, dan sangat banyak amalannya. Jadi mari kira bersama memperbanyakkan selawat terutamanya pada hari Jumaat yang mulia. Selawat boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dan merupakan jalan paling cepat menghampirkan diri kepada Allah dan disayangi Rasulullah SAW.

Nukilan OnDaStreet: Serasanya, dahulu, kebanyakan yang disampaikan adalah dengan lidah. Dahulu, sesuatu yang disampaikan kebanyakannya melalui lidah. Bukanlah saya katakan kita dah kurang guna lidah, tetapi, “lidah alam maya” kini semakin kerap digunakan.

Ya, saya maksudkan dengan bicara kita dialam maya. Apa yang kita tulis melalui twitter dan facebook sebagai contoh adalah “lidah alam maya”, kerana bicara kita itu adalah secara langsung dan pantas. Jari jemari kita kini menjadi “lidah” menaip butir kata untuk interaksi dialam maya.

Berhati-hatilah sahabat-sahabatku. Ini satu peringatan untuk diri sendiri dan mereka yang sudi.

Wallahualam… :)

About these ads

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s