Dalam tempoh lebih kurang kurang seminggu, iaitu pada Khamis depan, insyaAllah kita akan menyambut 1 Muharram 1434H. Satu tahun yang baru mengikut kalendar Islam.
Bersempena dengan Maal Hijrah, saya ingin membawa diri saya dan para pembaca yang sudi untuk satu artikel, yang pada saya kita semua tahu.. tetapi terkadang lupa dan terleka.
Telah bersabda Nabi S.A.W yang bermaksud:
“Ada empat perkara yang berharga dalam diri manusia dan dia boleh hilang dengan empat perkara juga. Adapun yang berharga itu ialah akal, agama, malu, dan amal soleh, maka:
Akal boleh hilang disebabkan marah
Agama boleh hilang disebabkan dengki
Malu boleh hilang disebabkan tamak
Amal soleh boleh hilang dan terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain.
Manusia akan menghadapi empat penarikan:
Malaikat pencabut nyawa akan menarik rohnya
Para ahli waris akan menarik hartanya
Ulat akan menarik tubuhnya
Orang yang dimusuhi atau dianiayai akan menarik barang kepunyaannya di hari kiamat iaitu amalnya.”
Dari Ali r.a yang bermaksud:
“Sesungguhnya amalan yang paling sukar ada empat macam:
Memberi maaf pada waktu marah
Suka memberi pada waktu susah
Menjauhi yang haram pada waktu sunyi
Mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti atau kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya.”
Dari Hatim al-Asom yang bermaksud:
“Empat perkara yang hanya diketahui oleh empat jenis orang akan nilainya iaitu:
Nilai masa muda hanya diketahui oleh orang- orang tua
Nilai kedamaian hanya diketahui oleh orang yang pernah ditimpa bencana
Nilai kesihatan hanya diketahui oleh orang- orang sakit
Nilai kehidupan hanya diketahui oleh orang-orang yang telah mati.”
Pesan Rasulullah S.A.W dalam hadith baginda:
“Peliharalah titah perintah Allah nescaya Dia akan memelihara engkau(sepanjang masa), peliharalah larangan Allah nescaya engkau dapati Dia selalu di hadapanmu. Apabila kamu meminta, hendaklah kamu meminta kepada Allah dan apabila kamu memohon hendaklah kamu memohon pertolongan dari Allah.
Ketahuilah,
Seandainya umat manusia sepakat untuk memberi sesuatu manfaat untukmu, mereka tidak dapat memberinya melainkan mengikut apa yang telah Allah tetapkan untukmu dan sekiranya mereka sepakat untuk menimpakan engkau dengan suatu keburukan tidaklah mereka dapat melakukannya melainkan dengan sesuatu yang Allah Taala telah tentukan ke atas dirimu, kerana telah terangkat pena dan telah kering kertas (telah ditentukan semuanya.” via FB
Wallahualam.
Nukilan OnDaStreet: Benar, muhasabah diri itu sebenarnya bukan hanya ketika hendak masuk tahun baru atau tempoh masa yang baru. Ianya perlu dilakukan dari masa ke semasa, untuk memperbaiki diri sendiri.
Saya bawakan topik ini bukan untuk azam tahun baru, tetapi lebih kepada merenungi diri dan keadaan sekitar kita. Bagaimanakah pembawakan diri kita ketika ini? Adakah ilmu yang ada itu sekadar ilmu, atau ianya diamalkan? Terjemahkah ilmu itu dalam amalan kita, perlakuan kita, tutur bicara kita dan sudut pandang kita?
Semoga artikel kali ini dapat memperbaiki diri dan membawa manfaat.
Wallahualam.