Inilah antara persoalan yang telah lama bermain di fikiran saya sejak isu di PWTC dan apa yang berlaku dalam dunia pendidikan sehinggalah apa yang berlaku di awal pagi Januari 2012.

Secara umumnya, terdapat 6 perkara yang dituntut kebebasan oleh BEBAS dan mereka, iaitu:

  1. Mansuhkan AUKU, Akta 174 dan Akta 556;
  2. Bebaskan ilmuan berakademik;
  3. Bebaskan mahasiswa untuk bersuara;
  4. Bebaskan mahasiswa bagi menguruskan kampus;
  5. Bebaskan mahasiswa bagi mengurus tadbir persatuan dan aktiviti; dan
  6. Bebaskan mahasiswa bagi berpartisipasi dalam politik

Saya percaya inilah antara perkara yang disebutkan dalam memorandum yang diserahkan kepada Dato Saifuddin Abdullah di PWTC pada 17 Disember 2011 yang lalu. Saya juga difahamkan melalui wawancara Ahmad Shukri di Sinar Harian, terdapat cadangan bagaimana menggantikan AUKU itu, iaitu alternatif undang-undang yang mereka beri nama ‘Magna Carta’.

Berdasarkan 6 perkara tersebut (dan cadangan bagaimana AUKU itu boleh diganti dengan satu cara lain), apakah benar mahasiswa benar-benar bebas? Atau apakah sebenarnya satu “kebebasan” dalam acuan atau struktur yang lain?

Pada pandangan saya, apa yang dituntut bukan bermakna kebebasan seperti yang didakwa mereka. Ianya masih ada struktur, masih ada had yang mereka sendiri tetapkan. Mereka cuma tidak “bebas” berdasarkan struktur yang sedia ada dan merasa terkongkong dengan struktur yang sedia ada.

Antara sedar atau tidak, dengan sekelumit ruang yang ada, mereka telah menyalahgunakan ruang dan kesempatan yang ada. Seharusnya, apa yang berlaku di hadapan UPSI tidak sewajarnya berlaku, dimana mahasiswa wajar bersurai selepas diberi ruang oleh polis untuk menyatakan pandangan mereka.

Lihat sepenuhnya rentetan yang ada dalam video kilp ini:

Pihak polis telah pun mengikut langkah yang sewajarnya, antaranya memberikan ruang untuk mereka bersuara dan berpesan secara elok kepada mereka untuk bersurai selepas itu. Tiada tindakan ganas yang didahulukan sebelum amaran diberikan.

Kepada mereka yang pro kepada gerakan BEBAS dan SMM ini, ingin juga saya bertanya:

  1. Kenapa pukul 1 pagi diadakan demonstrasi dihadapan UPSI? Adakah itu waktu kemuncak dan terdapat ramai staf UPSI datang bekerja?
  2. Berapa ramai daripada 100 orang itu mahasiswa UPSI?
  3. Jika benar polis ganas, kenapa tidak disiarkan daripada awal polis membelasah anda semua tanpa belas, tanpa memberi ruang?
  4. Apa akan anda lakukan, jika anda berada di tempat UPSI, dan berhadapan dengan “pelajar” yang berdemonstrasi menentang anda? Panggil polis? Berhadapan dengan mereka yang sudah tidak mahu mendengar apa kata anda dan cuma mahu lakukan apa yang mereka katakan?

Baca juga sedikit rentetan peristiwa yang diambil oleh dinturtle. Bagaimana pula dengan apa yang ditulis di sini?

Sesungguhnya saya tidak tahu siapakah yang memberikan pemahaman kepada mereka ini yang memo PERLU DITURUTI 100% tanpa satu lagi pihak menolak apa yang mereka fikirkan tidak wajar. Dengan ASPIRASI yang telah menyerahkan memorandum kepada Dato Saifuddin untuk meletak jawatan, apakah perlu Dato Saifuddin meletak jawatan?

Disinilah juga kita perlu menilai kematangan sesetengah mahasiswa kita dan juga kita yang tidak berada di tempat mereka. Apakah dengan mencaci mereka dengan kata-kata kesat menambah baikkan keadaan? Mereka ini adalah golongan yang sedang mendapatkan pendidikan dan ada yang merasakan mereka ini golongan yang terpelajar. Ada diantara mereka ini merasakan mereka ini lebih tahu daripada mereka yang berada di luar kampus. Ada juga diantara mereka ini yang merasakan pensyarah mereka ini tidak sepandai mereka.

Akan tetapi, mereka ini TERLUPA.

  1. Mereka ini terlupa yang mereka masih belajar;
  2. Mereka ini terlupa yang mereka masih menuntut ilmu daripada mereka yang telah mendapat segulung diploma atau ijazah lebih awal daripada mereka;
  3. Mereka ini juga terlupa adab menuntut ilmu, termasuklah apa yang dinyatakan dalam Islam;
  4. Mereka ini terlupa yang acuan atau struktur yang mereka kata tidak bebas itu jugalah membentuk mereka yang cemerlang sebelum mereka;
  5. Mereka juga terlupa yang mereka boleh mengubah keadaan setelah berada ditempat pensyarah atau dekan mereka;

Oleh itu, memandangkan mereka ini merasakan diri mereka ini terpelajar, mencaci maki, meludah mereka, amaran dan ugutan bukan semesti caranya. Gunakan akal, gunakan hujah yang rasional tanpa “kah, kah kah” atau “kah2″. Gunakan hujah yang buat mereka berfikir kerana mereka mengaku diri mereka ini terpelajar (dan seharusnya punya akal untuk berfikir).

Dan mungkin, disinilah kekurangan akalnya cybertroopers UMNO/Barisan Nasional yang perlu diberi perhatian.  Disinilah ruang untuk Pakatan Rakyat mengambil kesempatan. Jangankan Pakatan Rakyat, mereka ini yang kamu ludah dan hina ini bakal mendapat lebih banyak simpati masyarakat dan mereka yang berada “atas pagar”.

Gunakan akal, gunakan bicara yang sesuai. Berpencak bukan perlu sentiasa menggunakan buah keras. Buah lembut juga ada caranya untuk kunci pergerakan dan menghabiskan lawan. Jika benar kamu panglima, bertindaklah sebagai panglima. Bukan bagai orang amuk tanpa akal.

Soalan diatas jalanan: Jika kamu Menteri dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ketika ini, apa yang kamu bakal lakukan?