Surat Terbuka Untuk YB Khalid Samad


Berikut adalah apa yang dipetik daripada Harakahdaily oleh Malaysian Insider:

Bible Bahasa Melayu: Di antara kepimpinan dan ketuanan — Khalid Samad

March 28, 2011

28 MAC — Saya mengikuti isu ini dengan penuh kehairanan. Alasan-alasan yang diberi hanya menunjukkan betapa Pemimpin Umno begitu keliru dan tidak memahami Islam. Apa yang lebih memburukkan ialah dalam kekeliruan ini mereka turut mengelirukan masyarakat Melayu melalui sikap-sikap mereka yang ekstrim dan songsang. Mari kita kaji alasan-alasan ini satu per satu dan memikirkan bersama sejauhmana ianya munasabah.

Alasan Pertama — Penggunaan Kalimah Allah

Sepertimana yang sering saya jelaskan sebelum ini, tidaklah menjadi satu kesalahan bagi orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan pencipta dan pemilik alam. Hakikat ini terbukti berdasarkan begitu banyak ayat-ayat Al-Quran dan juga Hadith-hadith Rasulullah (SAW).

Alasan Kedua — Haramnya Ungkapan “Al-Masih (Isa) Anak Allah”

Ini merupakan alasan yang lagi dangkal! Dari kecil lagi kita semua sudah difahamkan bahawa kepercayaan orang-orang Nasrani adalah Nabi Isa (AS) merupakan anak Tuhan. Dan oleh kerana Allah adalah Tuhan maka ini bermaksud bahawa Nasrani menganggap Isa adalah anak Allah. Itu adalah kepercayaan mereka dan memanglah sebagai orang Islam kita tidak bersetuju. Tetapi kita tidak boleh melarang orang Kristian atau Nasrani berkepercayaan sebegitu. Itulah yang dikatakan kebebasan beragama.

Ianya bertambah pelik apabila kita tahu bahawa di dalam Al-Quran sendiri kepercayaan ini disebut Allah supaya ummat Islam faham apa yang membezakan kepercayaan Nasrani dengan kepercayaan orang Islam. Malahan, lebih dari itu, Al-Quran juga menyentuh kepercayaan-kepercayaan lain orang Nasrani dan Yahudi berhubung Allah. Saya senaraikan tiga contoh disini untuk rujukan pembaca.

“Berkata orang Yahudi, “Uzair anak Allah” dan berkata orang Nasara “Al-Masiih anak Allah”… (Surah At-Taubah ayat 30)

“Telah menjadi kafir mereka yang berkata “Sesungguhnya Allah adalah Al-Masih anak Maryam”… (Surah Al-Maaidah ayat 72)

“Telah menjadi kafir mereka yang berkata “Sesungguhnya Allah adalah yang ketiga dari tiga”… (Surah Al-Maaidah ayat 73)

Ayat-ayat di atas menunjukkan kalimah Allah digunakan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani dan bahawa kepercayaan mereka itu yang ditolak Allah, telah wujud sebelum zaman datangnya Rasulullah (SAW).

Maknanya kita membantah orang Nasrani menyebut sesuatu yang Allah sendiri nyatakan dalam Al-Quran sebagai fahaman dan kepercayaan orang Nasrani. Sekiranya kita ingin ungkapan itu diharamkan, silap-silap ianya akan melibatkan ayat Al-Quran yang turut menggunakan ungkapan yang sama!

Lagipun, dengan dinyatakan sebegitu oleh masyarakat Nasrani, ia sebenarnya mengesahkan apa yang dinyatakan dalam Al-Quran berhubung kepercayaan mereka itu.

Alasan Ketiga — Ianya akan Menyebabkan Orang Melayu Ramai Murtad

Ini bagi saya satu penghinaan terhadap ummat Islam. Inilah yang sedang digambarkan oleh Umno. Saya pernah menyebut di dalam satu majlis bahawa Umno menganggap keimanan ummat Islam adalah senipis kulit bawang!

Mereka membuat andaian ini, mungkin, kerana mereka merujuk kepada diri mereka sendiri! Andaian bahawa orang Islam akan berduyun-duyun memeluk agama Nasrani apabila Bible Bahasa Melayu wujud merupakan satu andaian yang tidak berasas. Lebih-lebih lagi apabila diambil kira bahawa Bible tersebut adalah untuk kegunaan orang Nasrani dan bukan untuk edaran dikalangan orang Islam.

Tanggapan begini mungkin juga disebabkan kesedaran Umno bahawa mereka telah berusaha dan agak berjaya menjadikan ummat Islam jahil agama. Ummat Islam tidak mengenali dan memahami Islam dengan sebaik mungkin, hasil dasar sekular Umno BN selama 54 tahun, maka dirasakan ummat Islam akan mudah terkeliru. Kekhuatiran Umno adalah bukti bahawa Umno sendiri menyedari pengkhianatan yang mereka lakukan terhadap ummat Islam dengan menjadikan ummat Islam lemah kefahaman agaman mereka sendiri. Yang kerap diajar para ustadz Umno adalah bab Taharah, Solat, Saum, Zakat dan Haji. Diselang selikan dengan bab Haid dan Nifas serta mandi Junub. Bagi mereka itulah Islam.

Sekiranya kukuh kefahaman ummat Islam berhubung Aqeedah Islam dan kebenaran Tauhid, disebut Al-Masiih anak Allah dalam apa bahasa dan berapa ribu kali sekalipun, ianya akan hanya menambahkan keyakinan ummat Islam akan kebenaran Islam.

Dengan menggambarkan keimanan ummat Islam senipis kulit bawang, Umno telah menghina ummat Islam dan Islam itu sendiri. Mereka menggambarkan Aqeedah Islam rapuh, tidak mampu dipertahankan dan mudah dimusnahkan oleh agama lain. Umno seolah-olah menggambarkan bila nampak kuil, ummat Islam akan jadi Hindu, kalau nampak Gereja, ummat islam akan menjadi Kristian! Demi mempertahankan Aqeedah Islam, tiada pilihan selain terpaksa menyekat dan melarang kebebasan beragama ummat lain!

Sebenarnya di negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak, di mana Bible berbahasa Melayu telah lama wujud, kita tidak melihat perkara yang seperti yang diramalkan berlaku. Malahan jumlah ummat Islam di kedua-dua Negeri ini semakin bertambah.

Apa Sebenarnya yang Dihajati?

Oleh itu, apakah sebenarnya yang dihajati Umno. Sebenarnya mereka ingin memberikan gambaran kepara rakyat bahawa merekalah yang memperjuangkan dan membela Islam. Bukan dengan menghayati Islam, mengamalakannya dan membenarkannya mencorakkan perwatakan dan keperibadian mereka, tetapi dengan menunjukkan kesamsengan atas alas an mempertahankan Islam. Larang orang bukan Islam dari melakukan ini dan itu sebagai bukti orang Melayu bawah Umno ada kuasa, walaupun yang dibuatnya dilarang oleh Islam sekeras-kerasnya. Mereka ingin menunjuk Melayu berkuasa dan meraka adalah tuan di bumi ini!

Ini bagi saya adalah di antara seruan zaman Jahiliyyah.

Itulah yang dibezakan Tuan Guru Ustad Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan membahas titah di raja di Parlimen baru-baru ini. TG Ustad A.Hadi menyebut, Umno memperjuangkan “ketuanan”, PAS memperjuangkan “kepimpinan”.

Bila “tuan” maknanya kehendaknya dipaksa atas masyarakat dan walaupun sesuatu tindakan itu buruk, ianya terus dilakukan kerana dia berkuasa, dia tuan. Perjuangan “tuan” ini perjuangan yang berasaskan nafsu dan biasa dikalangan manusia yang tidak mempunyai akal yang waras apatah lagi petunjuk.

“Kepimpinan” sebaliknya adalah diperolehi atas sebab dia yang terbaik; menjadi ikutan kerana keadilannya dan kebenarannya. PAS memperjuangkan kepimpinan Islam, berusaha menzahirkan kelebihan dan kebenaran Islam sehingga manusia melihatnya dan meyakini mereka akan selamat di bawah naungannya, samada mereka Muslim atau bukan Muslim.

Sememangnya, inilah yang membezakan kami.

Bible Bahasa Melayu (Indonesia) Dikembalikan

Akhirnya, selepas kecoh berbulan-bulan lamanya, Bible Bahasa Melayu diserahkan kembali kepada masyarakat Kristian.

Saya yakin ianya adalah atas sebab Pilihanraya Negeri Sarawak sudah menjelang tiba. Dari segi sikap Umno, ianya tetap tidak berubah. Umno masih tidak faham dan tetap menganggap “ketuanan” adalah apa yang perlu diperjuangkan. Ummat Islam kekal dikelirukan dan diapi-apikan dan dikatakan pula bible berkenaan telah dirosakkan oleh mereka yang menyimpannya setelah ianya disitar. Inilah akibat semangat samseng yang dihasilkan “ketuanan”. Mereka tidak ingin “kepimpinan” iaitu membuktikan dan menzahirkan keadilan Islam, mereka tidak sedar pun bahawa Islam menuntut mereka bersikap adil. Oleh itu mereka tidak sama sekali mengambil peduli sekiranya tindakan mereka merosakkan imej Islam dan menjadikannya kelihatan zalim dan tidak mampu berdaya-saing.

Adalah diharap ummat Islam akan keluar dari kejahilan mereka terhadap ajaran agama Islam itu sendiri dan memahami, tugas kita sebagai ummat Islam adalah untuk mendapatkan “kepimpinan”, bukan “ketuanan”. — harakahdaily.net

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Wahai YB Khalid Samad,

Berdasarkan nukilan anda, anda memandang isu kalimah Allah ini daripada konteks politik kerana acapkali menyebut kekeliruan ini datang daripada UMNO.

Sedarkah anda siapa yang memulakannya? Siapa yang beria-ia memulakan terjemahan Bible ke Bahasa Malaysia? UMNO atau sesetengah gerakan Kristian? Sila nilai kembali asas pandangan isu ini dan berilah pandangan tanpa melibatkan unsur politik.

Ini kerana, isu ini tidak melibatkan politik. Ya, parti-parti politik seperti PAS dikaitkan, tetapi dengan harapan mempertahankan umat Islam yang lemah. Kami yang membantah (tanpa berpayung kepada mana-mana parti politik) mengharapkan kepimpinan daripada mu yang berjuang atas nama Islam dan parti politikmu yang mendakwa berjuang demi Allah dan Islam.

Mungkin dirimu menganggap yang membantah ini orang UMNO, tetapi tidak semuanya. Bagaimana pula dengan mereka yang hentam UMNO kiri kanan atas bawah jika UMNO dan Barisan Nasional berbuat salah? Sebagai contoh, sahabat saya yang dua orang ini – dinturtle dan satD. Mereka berdua acapkali mengkritik DS Najib dan mana-mana pemimpin UMNO setiap kali mereka merasakan tindakan UMNO dan Barisan Nasional tidak sesuai dan bertepatan. Apakah mereka ini juga dilabel orang UMNO?

Dan bagaimana pula saya? Ada ketika saya memuji PAS, mengkritik UMNO. Apakah ini menjadikan saya orang PAS?

Oleh itu, silalah buang ketepi kebencian UMNO anda dalam membicarakan topik dan isu ini. Kita bicara atas dasar kita sebagai hamba Allah yang memikirkan sahabat muslim kita yang lemah asasnya. Perlu diingat, tidak kira anda pemerintah atau tidak, mendidik dan menyebar syiar Islam adalah tanggungjawab bersama.

Wahai YB Khalid Samad,

Setakat ini, alhamdulillah, terang dan jelas umat Islam di Malaysia tidak senang disesatkan dengan mempercayai Nabi Isa itu anak Allah. Oleh itu, dua alasan diatas itu bolehlah ditolak. Juga jelas dan nyata, tiada larangan dalam Al-Quran untuk agama lain menggunakan kalimah “Allah”.

Namun, yang dikhuatiri adalah penggunaan kalimah “Allah” terhadap perkara-perkara yang berkaitan denga  akidah dan asas iman serta taqwa. Begitu juga dengan perkara-perkara berkaitan  perintah dan laranganNya. Apakah YB Khalid pasti akan tiada usaha menyelewengkan ajaran Islam dengan kitab Bible berbahasa Malaysia? Jika YB Khalid boleh memberi jaminan, baiklah. Akan tetapi, saya risau ada yang menuntut di akhirat kelak.

YB Khalid pastinya sendiri sedar dan tahu, Bible yang ada hari ini bukanlah kitab Injil yang diturunkan Allah kepada Nabi Isa.Isi-isinya telah diselewengkan. Apakah tidak mungkin akan diselit unsur-unsur Bible berbahasa Malaysia ini? Inilah yang dirisaukan oleh kami yang tidak berpijak di pentas parti politik.

YB Khalid Samad,

Secara asasnya, terjemahan bahasa juga salah. Di mana YB Khalid Samad belajar terjemahan “God” itu “Allah”? Bukankah “God” terjemahannya “Tuhan”? Bukankah asal kalimah “Allah” ini dalam bahasa Arab? Oleh itu, betulkah terjemahan ke Bahasa Malaysia “God” kepada “Allah”? YB, kepercayaan “God” itu Allah dan terjemahan bahasa “God” itu “Allah” adalah berbeza konteksnya. Satu itu kepercayaan, dan satu lagi terjemahan. Sebagai contoh, “religion” dalam Bahasa Malaysia adalah “agama”, dan “Islam” itu agama, bagi kita umat Islam. Apakah boleh “religion” itu diterjemah kepada “Islam” ke Bahasa Malaysia?

YB Khalid Samad,

Janganlah anda berbicara seolah UMNO sengaja dan sahaja menganggap iman umat Islam di Malaysia sahaja yang lemah. Di setiap pelusuk dunia, terdapat umat Islam yang kuat dan lemah imannya. Ini hakikat, bukan menghina umat Islam di Malaysia.

Bagi diri saya, iman saya tidak sekuat YB Khalid Samad. Saya juga tidak pasti iman anak isteri, keluarga, sanak saudara dan masyarakat Islam disekeliling saya sekuat mana. Oleh itu, dalam diri ini sentiasa takut akan dipanggil Nya tika tahap iman dan taqwa tidak setinggi mana. Ini belum termasuk dosa yang entah berapa banyak. Ini belum juga termasuk akan tanggungjawab dan amanah yang belum ditunaikan.

YB Khalid diangkat sebagai pemimpin, dan saya pasti,tanggungjawab YB Khalid lebih berat daripada saya.

Memandangkan YB Khalid penuh yakin, saya mengharapkan Allah akan mempermudahkan urusan YB Khalid dalam memastikan umat Islam di Malaysia tidak terpesong dek sokongan YB terhadap usaha menterjemah kalimah “Allah” ke Bahasa Malaysia.

YB Khalid Samad,

Sebelum saya mengakhiri kalam, kenyataan YB agak berbeza dengan dua pemimpin atasmu. Satu ketika, TG Haji Hadi mengatakan:

“Penggunaan kalimah Allah oleh umat Islam secara dalaman jelas mengEsakan Allah, penggunaan yang boleh mengelirukan orang Islam tidak dibenarkan sama sekali,”

Tuan Guru Nik Aziz juga pernah disebut (melalui setiausaha politiknya):

“Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakri Harun berkata, wartawan silap memahami apa yang disebut Menteri Besar kerana perkataan Allah hanya boleh digunakan bagi mereka yang telah menerima Islam.

“Bagi memahami konteks yang disebut Menteri Besar dengan lebih jelas kita kena memahami maksud surah Al Ikhlas iaitu Katakanlah (ya Muhammad), Dialah Allah yang Maha Esa, Allah yang dituju (meminta hajat). Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada satu pun yang menyerupaiNya.

“Oleh itu jelaslah nama Allah hanya wajar digunakan bagi mereka yang telah beriman dan tidak boleh menyalahi sifat 99 namaNya,”

Nadanya agak berbeza dengan pandangan YB Khalid. Kedua-dua pemimpin ini menolak penggunaan secara terbuka. Cuma, ianya tidak dinyatakan secara terang. Dan sumber-sumber ini diambil daripada Harakah sendiri.

YB Khalid Samad,

Apakah pula hukumnya mereka yang meninggalkan Islam? Jika terdapat mereka yang keluar Islam disebabkan perkara ini, apakah hukum kepada mereka ini, dan apakah pula natijahnya kepada mereka yang membenarkan perkara ini berlaku?

YB Khalid (dan mereka yang menyokong penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan ke Bahasa Malaysia) bolehlah membaca koleksi artikel-artikel berkaitan di sini.

Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita dan tidak memalingkan kita daripada petunjuk dan rahmatNya.

Wassalam…

 

About these ads

2 responses to “Surat Terbuka Untuk YB Khalid Samad

  1. Pingback: Flirting with Disaster: An Analysis on the Demand for Religious Freedom in Malaysia « Demi Membela Al-Islam·

  2. Pingback: PAS: Bible Should Use “Tuhan”… Dispute Over word “Allah” Strikes Again « On Da Street·

You are part of people on the street. My opinion might not as good as yours. Come, please share your thoughts with us!!!

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s