Apa yang bakal anda baca ini hanyalah pandangan daripada seorang rakyat Malaysia yang mahukan satu arah yang jelas buat anak-anak Malaysia supaya masa depan mereka tidak berliku disebabkan kita yang berusia ini.

Sejak DS Najib mengambil alih tampuk kerusi empuk Perdana Menteri Malaysia, banyak pembaharuan dan usaha-usaha mengikut acuan pentadbiran baru. Apa juga usaha DS Najib dan barisan menterinya pasti ada yang menimbulkan reaksi positif dan juga negatif. Dan itu biasa. Kita tidak dapat memuaskan hati semua orang. Akan tetapi, jangan sampai terlalu ramai yang tidak berpuas hati. Jika tidak, selamat tinggal kerusi empuk itu.

Banyak usaha dan pembaharuan yang cuba dilakukan, termasuklah pengenalan konsep 1Malaysia, yang mana salah satu asasnya berkaitan dengan perpaduan rakyat Malaysia. Perpaduan yang amat diperlukan tika ini untuk mengharungi cabaran terutamanya dari segi ekonomi, sosial, dan politik yang tidak menentu. Perkataan “Selamat” dan “selesa” bagaikan kabur dari kamus rakyat Malaysia, terutama golongan pertengahan ke bawah. Dan sedihnya, “selamat” dan “selesa” itu tidak kelihatan dalam pendidikan anak-anak kita.

Pendidikan dijadikan isu

Gelodaknya bermula dengan permintaan pejuang bahasa mahukan PPSMI dimansuhkan dengan alasan mahu memartabatkan bahasa. Satu permintaan yang seharusnya dilakukan secara elok, secara bijaksana dibawa ke jalanan. Pepatah Melayu sendiri ada mengatakan “Bahasa menunjukkan Bangsa”. Bagi saya, apa yang dilakukan oleh pejuang bahasa tidak menunjukkan nilai murni bahasa dan bangsa yang ingin diperjuangkan.

Tidak dinafikan, saya bersetuju dengan alasan bahawa anak-anak di luar bandar terasa dengan bahang PPSMI. Ada yang tidak mampu belajar Matematik dan Sains dengan baik dengan menggunakan Bahasa Inggeris. Terdapat juga dakwaan guru-guru tidak mampu untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris. Kelemahan-kelemahan ini menjadi satu “senjata” untuk mendesak kerajaan untuk memansuhkan PPSMI. Atas desakan, kerajaan bertindak untuk merujuk kembali polisi tersebut dan berjanji akan melakukan tindakan yang sewajarnya.

Ujian dalam soalan mudah

Tidak lama selepas perhimpunan jalanan anti-PPSMI, TS Muhyiddin menguji rakyat Malaysia dengan menimbulkan persoalan samada haruskah Bahasa Inggeris menjadi syarat wajib lulus bagi peringkat SPM. Satu persoalan yang boleh dirungkaikan kepada beberapa kemungkinan berdasarkan reaksi rakyat Malaysia itu sendiri.

Pertama – Bayangkan jika ramai yang kata “ya”, maka ada kemungkinan hayat PPSMI itu boleh “dipanjangkan”. Jika tidak, selamat tinggal PPSMI. Semudah itu.

Kedua – TS Muhyiddin boleh merangka rancangan dan mekanisme yang seterusnya berdasarkan reaksi rakyat. Bagi yang berkelulusan, tidak dapat tidak, walaupun tidak mengaku secara terang-terangan, mereka mengakui Bahasa Inggeris itu perlu dikuasai.

Ya, saya tahu ada yang menggunakan alasan sesetengah negara menggunakan bahasa mereka sendiri dalam memajukan negara, tetapi sedarkah anda bahawa negara-negara tersebut menghasilkan teknologi dan pendekatan dari dalam negara itu sendiri? Tidakkah anda juga sedari yang “pejuang bahasa” mereka juga berusaha mentafsir dan menterjemah ilmu untuk kegunaan mereka? Apakah anda fikir mereka tidak melakukan semua itu? Apakah anda tidak terfikir yang mereka mengkaji teknologi dan pendekatan yang digunakan oleh negara-negara lain?

Satu Sekolah Untuk Semua

Tidak lama selepas itu, idea Satu Sekolah Untuk Semua diutarakan. Akan tetapi bukan datang daripada golongan politikus, tetapi sekumpulan blogawan yang mahukan satu pendekatan yang menyatukan rakyat Malaysia menerusi pendidikan. Perpaduan dan asimilasi diperingkat awal pertumbuhan anak-anak akan membantu perkembangan mereka dihari kemudian.

Mungkin ada rakyat Malaysia yang anaknya melalui pengalaman yang kurang enak di sekolah kebangsaan dan itu menjadi salah satu alasan menolak sekolah kebangsaan. Apatah lagi, dengan pengalaman itu juga menolak idea satu sekolah untuk semua.

Namun, bagi saya, pengalaman sebegitu boleh terdapat dimana-mana, seandainya gagal diambil secara positif. Jangan ditipu diri sendiri kejadian seperti buli hanya berlaku di sesetengah tempat. Jangan ditipu diri sendiri tiada langsung masalah ditempat sendiri. Akan ada, cuma punca dan bagaimana ianya diuruskan menjadikan lanjutan selepas itu bertambah baik atau tidak.

Sebagai produk sekolah kebangsaan, saya akui, ada ruang untuk diperbaiki dan boleh dimajukan lagi. Untuk yang baik dan kurang enak itu, setidak-tidaknya membolehkan saya dan anak-anak Malaysia lain yang menghargai aspirasi pendidikan kebangsaan, bercampur gaul dan menghormati satu sama lain, tidak mengira etnik dan agama. Setidak-tidaknya rakan-rakan saya yang bukan bumiputera dapat memahami budaya dan adat bumiputera dan begitu juga bumiputera memahami bukan bumiputera melalui tutur bicara menggunakan Bahasa Malaysia.

PPSMI Dimansuhkan

Akhirnya, setelah beberapa ketika, akhirnya saga PPSMI tamat dengan pemansuhan secara berperingkat bermula tahun 2012. Ada yang melompat gembira, ada juga yang duka nestapa. Suara-suara kurang berpuas hati dengan pemansuhan pula kedengaran, tetapi datang dalam dua kumpulan umum. Satu kurang berpuas hati kerana berpendapat PPSMI wajar diteruskan untuk kepentingan jangka panjang. Satu lagi kumpulan pula kerana PPSMI dimansuhkan tetapi kembali kepada bahasa ibunda masing-masing, bukan Bahasa Malaysia untuk tujuan keseregaman. Timbul juga di hati ini.. kembali kepada bahasa ibunda? Yang tersiar hanya kembali kepada Bahasa Malaysia, Mandarin dan Tamil.. bagaimana bahasa iban, kadazan, dusun, dayak dan segala “ibunda” di Malaysia ini? Fuhh!!! Banyak terjemahan kena dilakukan kerana kembali kepada bahasa ibunda (sebab saya percaya, bahasa ibunda kadazan, iban, dusun dan bumiputera Semenanjung, Sabah dan Sarawak bukan Bahasa Malaysia.. bagaimana dengan mereka?)

Walauapapun, tahniah buat TS Muhyiddin kerana berani membuat keputusan. Saya tahu bukan mudah untuk membuat keputusan dan memuaskan hati semua pihak. Cuma, yang dikesalkan adalah penjelasan kepada beberapa perkara yang kurang jelas dan menjadikan rakyat Malaysia tertanya-tanya. Antara yang perlu diperjelaskan adalah: kenapa tidak kembali ke Bahasa Malaysia bagi kesemua sekolah untuk menyeragamkan sistem pendidikan dan bahasa perantaraan yang digunakan di semua sekolah yang ditanggung dan dibiaya kerajaan?; kenapa tidak ditunjukkan hasil kajian daripada golongan guru, ibu bapa dan murid? Saya faham ianya maklumat sulit dan indentiti hasil kajian dirahsiakan, tetapi setidaknya biarlah rakyat tahu golongan mana yang ditanyakan pendapat mereka. Kurang sikit persoalan dihati…

Kempen Satu Sekolah Masih Hidup?

Antara sedar atau tidak, cadangan ini masih lagi “bernyawa” dan “hidup” sebagai satu pilihan. Petisyennya masih lagi menerima sokongan, walau tidak selancar dahulu. Mungkin kerana tidak ramai yang faham, tidak berapa ramai yang ambil tahu,dan mungkin juga tidak ramai yang baru sedar akan kebaikan yang boleh dicapai.

Namun, semakin hari dibilang, kempen satu sekolah ini menyokong kempen 1Malaysia secara tidak langsung. Bagaimana?

Mari kita perhatikan teras 1Malaysia. Teras 1Malaysia berdasarkan nilai-nilai: 

8 Nilai 1Malaysia

8 Nilai 1Malaysia

Secara umum, nilai-nilai ini boleh dicapai dan dibentuk dimana-mana sahaja. Malah sebenarnya, ianya sudah tersemai sejak kita dibangku sekolah lagi. Apakah kita tidak diajar untuk tabah? Apakah kita tidak dididik untuk menerima (dalam konteks pergaulan, percampuran, komunikasi, interaksi)? Apakah kita tidak diajar tentang intergriti? Apakah kita tidak diasing-asingkan kelas berdasarkan keupayaan akademik kita (secara “lembut” untuk meritokrasi)? Apakah kita tidak dididik untuk rendah hati? Bukankah kita diajar untuk setia (rasanya banyak lagu sekolah yang letak perkataan “setia”)? Dan sudah tentu, nilai kelapan – pendidikan sudah dimulakan sejak kita lahir.. apatah lagi melalui pendidikan secara formal di sekolah…

Bezanya, samada kita menghayatinya atau tidak. Kerana itulah saya katakan di awal tadi, “setidak-tidaknya membolehkan saya dan anak-anak Malaysia lain yang menghargai aspirasi pendidikan kebangsaan, bercampur gaul dan menghormati satu sama lain, tidak mengira etnik dan agama. Setidak-tidaknya rakan-rakan saya yang bukan bumiputera dapat memahami budaya dan adat bumiputera dan begitu juga bumiputera memahami bukan bumiputera melalui tutur bicara menggunakan Bahasa Malaysia”.

Jika para pembaca perhatikan, satu nilai saya pekatkan tulisannya. Kenapa?

Disinilah di mana Satu Sekolah memberi peluang untuk nilai ini diterapkan secara lebih menyeluruh. Jika kita tidak mencampurkan anak-anak kita sejak kecil, untuk belajar menerima perbezaan dan persamaan agama, adat dan budaya, agak sukar apabila anak-anak ini meningkat dewasa. Bukan saya kata ianya tidak boleh, tetapi agak sukar. Relatifnya sama dengan diri kita sendiri. Kita lebih mudah menerima sesuatu apabila kita kecil berbanding kita dewasa. Kita lebih banyak belajar menerima ketika kecil.

Tidak percaya?

Cuba para pembaca perhatikan, ilmuwan agam dibentuk sejak kecil. Bagi yang beragama Islam, kebanyakan tahfiz dibentuk dari usia muda. Cuba kita ini yang dah agak berusia baru nak belajar tahfiz. Rasanya masa yang diambil memang lama dan payah bagi kita (bagi yang Berjaya.. yang separuh jalan tu tak perlu dikata..tetapi tahniah kerana berusaha). Tidak seperti kanak-kanak yang suci lagi pemikirannya.

Dan saya harap pembaca juga tidak salah faham. Bukan yang di sekolah jenis kebangsaan tidak boleh bercampur dengan baik. Boleh sahaja, Cuma kadar penguasaan dan kefasihannya berbeza. Maklumlah, persekitarannya terdiri daripada bangsanya sahaja. Peluang interaksi di sekolah dengan etnik lain di Malaysia ini agak terhad, melainkan aktiviti-aktiviti antara sekolah. Dan tentunya bahasa perantaraan utama bukan Bahasa Malaysia.

Jadi, ini mungkin menjelaskan, biarpun menjalani pendidikan selama 11 tahun dengan Bahasa Malaysia sebagai mata pelajaran wajib, seseorang itu gagal fasih bertutur dengan baik dalam Bahasa Kebangsaan kita – Bahasa Malaysia. Atau mungkin seseorang boleh menjelaskan secara logik kenapa sesuatu yang diajar selama 11 tahun yang wajib dipelajari, tetapi gagal dikuasai dengan baik. (Nota OnDaStreet: “Wajib” di sini bukan “wajib” sebagaimana hukum agama ya)

Di sinilah saya berpendapat Satu Sekolah dapat menyediakan ramuan yang sesuai untuk perpaduan rakyat yang lebih mantap. Mungkin, bagi sesetengah ianya tidak jauh beza dengan Sekolah Kebangsaan sekarang, tetapi terdapat elemen yang sedikit berbeza. Satu Sekolah menggalakkan percampuran semua etnik secara menyeluruh dan sekaligus mendidik anak-anak Malaysia ini bergaul dan berpadu sejak kecil. Kerana itulah saya fikirkan kenapa Satu Sekolah lain daripada lain kerana ia tidak mempunyai Sekolah Kebangsaan, dan Sekolah Jenis Kebangsaan di bawah bumbung yang berbeza. Ia juga berbeza dengan Sekolah Wawasan yang fizikal sekolah-sekolahnya berdekatan, tetapi percampuran ketika sesi pembelajaran masih seperti sistem  biasa.

Satu Sekolah, PPSMI, dan x-PPSMI

Bagaimana pula dengan PPSMI? Adakah Satu Sekolah pro atau anti PPSMI? Bagi saya, keduanya boleh. Samada Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, kesan kepada pergaulan sesame etnik masyarakat majmuk Malaysia tidak terjejas kerana elemen utama bahasa perantaraan adalah Bahasa Malaysia.

Dengan PPSMI, setidaknya 5 mata pelajaran utama masih dalam Bahasa Malaysia – Bahasa Malaysia, Sejarah, Geografi, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam/Moral. Bagi Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia, 7 dalam Bahasa Malaysia dan cuma satu Bahasa Inggeris.

Melihatkan kepada keadaan ini, jika dilihat dari sudut manapun, Bahasa Malaysia masih lagi terpelihara kerana majoriti subjek masih di dalam Bahasa Malaysia. Berbeza dengan jika majoriti subjek itu diajar dalam bahasa lain, mana mungkin Bahasa Kebangsaan untuk semua rakyat Malaysia dapat dimartabatkan.

Apa kata anda?

About these ads