Saya pasti, bermula sejak petang 12 Mei 2009, sudah tersebar tentang Kempen “Satu Sekolah Untuk Semua”. Satu kempen yang menganjurkan agar satu sekolah yang menyokong aspirasi pembentukan Bangsa Malaysia yang lebih bersatu padu.

Saya mengambil kira kempen ini sebagai tidak bermotifkan politik, kerana dalam apa jua keadaan dan ideologi sekalipun, matlamat perpaduan akan menghadapi masalah jika pembentukan asasnya rapuh dan berpecah-pecah.

Mungkin secara kebetulan, kempen ini timbul tika DS Najib menganjurkan kempen 1Malaysia. Akan tetapi, sebelum kita mengorak langkah untuk berdebat ini kempen politik Barisan, cuba kita fikirkan jika Pakatan menguasai Parlimen.

PAS sebagai parti Islam pasti akan memperjuangkan Daulah Islamiah, dan dalam membentuk asas perpaduan daulah, satu caranya ialah pembentukan satu sistem pembelajaran untuk menyatu padukan rakyat Malaysia.

Begitu juga dalam menzahirkan “Malaysian Malaysia”. Jika asas pembentukan Malaysian Malaysia masih terbahagi kepada 3 cabang utama – Melayu, Cina dan India, ideologi Malaysian Malaysia juga tidak boleh pergi jauh kerana pastinya pemahaman dan kefahaman tentang konsep boleh diterjemahkan dengan cara yang berbeza.

Satu Sekolah perlu untuk semua kerana pada hemat saya, kaum lain juga berhak untuk jenis bangsa/kaum/etnik mereka. Mungkin ketika ini tidak timbul, tetapi tidak mustahil jika satu hari kaum Iban juga mahukan Jenis Iban, Kadazan dengan Jenis Kadazan dan mungkin Jenis Orang Asli juga akan kedengaran.

Saat itu, jangan terkejut jika saya katakan, laungkanlah apa jua jenis kempen untuk menyatukan rakyat, kebarangkalian sedikit sahaja yang bersahut.

Aspirasi kebangsaan harus dimulakan dengan pendidikan kerana melalui pendidikanlah kita boleh maju sebagai satu bangsa Malaysia. Jika “Iqra” permulaan penyebaran Islam (yang mana tidak pula saya ketahui sistem sekolah zaman kerajaan Islam berjenis-jenis kebangsaan), rakyat Malaysia juga perlu sahut kempen Satu Sekolah Untuk Semua.

Untuk kefahaman dengan lebih lanjut, silalah lawati laman Demi Negara (juga di sini). Pembaca juga boleh membaca nukilan satD, Lawyer KampungJMD dan Piggy Singh.

SSS_Final1 v2

Harapan di jalanan: Kita selalu melaungkan perpaduan dan kemajuan, tetapi asas kita belum betul-betul kukuh. Pendidikan anak-anak harus diutamakan. Jika mahu sangatlah kerana politik, Satu Sekolah untuk Semua boleh menampung mana-mana ideologi – 1Malaysia, Malaysian Malaysia mahupun Daulah Islamiah..

Akan tetapi, asas pendidikan bukan kerana politik, tetapi untuk hidup dengan lebih makmur dan sejahtera. Bagi umat Islam, ilmu itu untuk dunia dan akhirat.

Sekolah tempat anak-anak Malaysia belajar untuk hidup, bukan gelanggang sepak terajang politik.

Satu Bangsa, Satu Bahasa, Satu Negara, Satu Sekolah Untuk Semua!!!