Pada artikel yang sebelumnya, saya menggesa agar pemimpin-pemimpin Islam, termasuk pemimpin politik agar menolak ke tepi perbezaan ideologi politik dalam urusan agama Islam. Saya tahu, ianya satu pandangan yang naif, tetapi demi Allah, saya rasa itu yang baik dalam membentuk masyarakat Islam di Malaysia.

Dalam nama-nama pemimpin yang saya sebutkan, salah seorang telah menyuarakan pandangannya,  iaitu Tuan Guru Nik Aziz. Beliau disebut sebagai berkata penggunaan nama Allah dibolehkan, tetapi terpulang kepada kerajaan pusat untuk bertindak. Susulan daripada itu juga, Harakah melaporkan :

“Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakri Harun berkata, wartawan silap memahami apa yang disebut Menteri Besar kerana perkataan Allah hanya boleh digunakan bagi mereka yang telah menerima Islam.

“Bagi memahami konteks yang disebut Menteri Besar dengan lebih jelas kita kena memahami maksud surah Al Ikhlas iaitu Katakanlah (ya Muhammad), Dialah Allah yang Maha Esa, Allah yang dituju (meminta hajat). Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada satu pun yang menyerupaiNya.

“Oleh itu jelaslah nama Allah hanya wajar digunakan bagi mereka yang telah beriman dan tidak boleh menyalahi sifat 99 namaNya,” kata beliau di sini.”

 

Baiklah. Di sini, ada beberapa perkara yang perlu kita fikirkan.

Pertamanya, walaupun JAKIM mencabar agar dibuktikan Bible menggunakan Allah didalamnya, namun, saya rasakan tiada larangan di dalam Al-Quran dan hadis yang sahih untuk agama lain menggunakan perkataan Allah (kerana jika ianya ada, pasti isu ini dapat ditamatkan dengan begitu mudah dari perspektif Islam). Oleh itu, apa yang Tuan Guru Nik Aziz katakan itu diterima, walaupun tiada ulasan yang lebih khusus bagi membantu merungkai kekusutan ini.

Namun, ini tidak bermakna habis disini, kerana TGNA sendiri mengatakan “terpulang kepada kerajaan pusat”. Saya pasti ada maksud disebalik kata-kata TGNA. Kenapa konteks ayatnya sebegitu? Sebagaimana ulasan BP-KL-KTN, TGNA juga seorang ahli politik, bermakna sebarang kenyataannya boleh dipolitikkan, samada membawa kepada kukuhnya lagi Pakatan, atau melemahkan Pakatan. Interpretasi, terpulang kepada anda. Ini perkara yang kedua.

Perkara ketiga, sebenarnya kenyataan ini secara tidak langsung menyokong Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain berdasarkan ayat dalam Harakah: “Oleh itu jelaslah nama Allah hanya wajar digunakan bagi mereka yang telah beriman dan tidak boleh menyalahi sifat 99 namaNya,” kata beliau di sini“. Hanya wajar? Boleh atau tidak?

Islam di Malaysia merupakan agama rasmi dan sudah tentu termaktub dalam Perlembagaan Malaysia yang telah dipersetujui oleh pelbagai agama dan bangsa ketika perlembagaan digubal dahulu. Walaupun agama rasmi ialah Islam, tetapi tiada larangan untuk agama lain dipraktikkan disini.

Islam, sesungguhnya lebih luas daripada konteks negara. Namun, untuk Islam di Malaysia yang berbilang agama dan bangsa (dan sering orang kita suka menggunakan kisah zaman Rasulullah tika bermulanya kerajaan Islam yang pertama), kita unik. Unik kerana, walaupun kita tidak berkabilah, tetapi kefahaman Islam di Malaysia sebenarnya sedikit sebanyak terbahagi kepada empat, walaupun dalam satu mazhab yang sama- satu mengikut acuan PAS, satu acuan UMNO, satu acuan yang tidak mengikut mana-mana dan satu lagi acuan ajaran-ajaran sesat. Acuan politik? Tak percaya? Bukankah kita pernah dengar kisah solat dua imam sebab berlainan ideologi politik (seperti di sini dan di sini).

Mari kita kaji, jika agama lain dibolehkan menggunakan perkataan Allah sebagai Tuhan. Apakah yang akan terjadi?

Pertama, ajaran sesat tiada lagi di bumi Malaysia. Kenapa? Kerana “Allah” dalam ajaran sesat yang diajarkan bukan lagi Allah yang diakui sebagai Tuhan Yang Esa dalam konteks agama Islam. Oleh itu, dengan terpesongnya akidah, mereka sudah keluar daripada Islam. Cuma, mereka tidak boleh ditahan kerana Allah mereka bukan Allah dalam agama Islam. Dan pastinya, untuk mempertahankan diri dalam lunas undang-undang, mereka boleh berhujah atas kapasiti Allah mengikut pemahaman mereka sendiri. Maka, Jabatan Agama Islam dan Majlis-majlis agama sudah kurang satu kerja – membanteras ajaran sesat di Malaysia.

Kedua, kanak-kanak kecil boleh terjebak kepada ajaran selain daripada Islam. Bagaimana? Bagi orang dewasa yang menggunakan akal fikiran dan setidak-tidaknya punya pengetahuan asas, masih boleh membezakan Allah dalam Islam dan Allah yang bukan dalam Islam. Akan tetapi, bagi kanak-kanak kecil yang rata-ratanya menerima apa yang “disuapkan”, sukar bagi mereka untuk membezakan mana yang benar, mana yang tidak. Tidak semua umat Islam yang muda usianya mendapat hidayah seperti Nabi Ibrahim a.s. ketika kecil untuk mampu mempersoalkan siapakah Tuhan yang sebenarnya. Kebarangkalian kanak-kanak kecil akan bereaksi seperti Nabi Musa a.s. ketika disuakan oleh racun dan madu oleh Fir’aun (dengan ketentuan Allah). Jika ajaran selain itu sudah sebati, cuma dengan izin Allah, kanak-kanak itu boleh kembali ke jalan yang benar.

Apakah ini yang kita mahu untuk generasi yang seterusnya? 

Ya, tiada termaktub dalam Kalam Allah perkataan Allah itu tidak boleh digunakan untuk agama lain, tetapi sekurang-kurangnya kita cuba mempertahankan umat Islam melalui usaha kita. Mungkin berbunyi naif, tetapi demi Islam, ketepikan perbezaan ideologi politik untuk kesejahteraan masyarakat Islam.

Soalan buat mereka yang kata “tak apa”:

Kenapa hanya tafsiran “Allah” untuk Tuhan dalam Bible ke dalam bahasa Melayu untuk Bible-bible di Malaysia? Kenapa tidak ditafsirkan juga dalam bahasa mandarin, kantonis, tamil, Urdu untuk edaran di Malaysia? Kitakan berbilang bangsa dan agama?

Fikir-fikirkan…

Oh ya, Dato Seri Anwar Ibrahim..apa kata anda?

Nota: Teringat kisah-kisah Allahyarham Ahmad Deedat yang berhujah dengan menggunakan isi kandungan Bible dalam perdebatan dengan paderi-paderi dan ilmuwan Kristian. Al-Fatihah buat Allahyarham Ahmad Deedat.

About these ads